In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)
Kita sesungguhnya sebagai insan adalah makhluk yang sangat lemah. Allah swt sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firman-NYA yang bermaksud,"dan manusia dijadikan bersifat lemah"(surah an-Nisaa' ayat 28).. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja dan sesiapa sahaja...termasuklah seorang da'ie itu sendiri.
Entri ana kali ini adalah sebagai muhasabah kita bersama khususnya buat para duat atau da'ie ilallah. Antara bencana besar yang sangat berisiko menimpa kita sebagai da'ie, murabbi, ketua, pemimpin atau sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan atau kedudukan ialah bencana
"RIAK"..Ana akan cuba mengupas serba sedikit tantang apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini antum dan ana sendiri dapat mengambil ibrah dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri kita dan ini secara tidak langsung, sekurang-kurangnya kita sama2 boleh membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan hati tersebut.
Riak ini adalah salah satu penyakit hati. Penyakit hati ini, wujud tanpa kita sedar, kita rasa macam tak ada apa-apa, tapi hakikatnya ia telah merosakkan seluruh ibadat kita. Disebabkan riak, amalan kita mungkin tidak diterima Allah. Rasulullah juga risau dan telah berpesan bahawa jauhkan dari sifat ingin menunjuk-nunjuk ketika beramal kerana ianya menyamai syirik.
Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud:
"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil).
Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?
Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)
Takrif RiakRiak adalah penyakit rohani yang boleh mengancam aqidah umat Islam. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Imam al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.
Allah swt berfirman mafhumnya:
"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak"
Firman ALLAH lagi yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir."
(surah al-Baqarah, ayat 264)
Paling mudah disimpulkan, riak adalah
perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau pernghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati yang ikhlas mengharapkan keredhaan ALLAH.
Jenis-jenis riakOrang yang tidak ikhlas menunaikan kerja ibadatnya adalah orang yang diserang penyakit riak yang membatalkan ibadatnya.
Riak terbahagi kepada dua:
1-
riak khusus2-
riak bercampur.Riak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata daripada amalan yang dikerjakan.
Mengikut pendapat (Qaul) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat riak itu. Yang jelas, riak itu mengakibatkan amalan tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya.
Diriwayatkan, apabila seseorang hamba Allah yang riak menuntut pahala amalannya
pada hari kiamat, Allah swt lalu berfirman bermaksud:
Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?
Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.
Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:
"Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu)
mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku."
Mengikut riwayat lain:
Pada hari kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk,
'Hai orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku.'
Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya: 'Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riak, pengadu domba dan pendengki."
Mengikut Imam al-Ghazali 'Bakhil dalam hadith tersebut bermaksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La Ilaha Illallah,Muhammadun Rasulullah. Manakala riak itu pula ialah sejahat-jahat riak, iaitu riak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan. Orang yang tidak mengatasi bakhil dan riak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluputlah daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka.
Dalam satu riwayat yang panjang,
Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari kiamat ialah: Lelaki yang membaca atau menghafal al-Quran; Lelaki yang banyak harta; Lelaki yang terkorban dalam perang sabil. Kepada
lelaki yang membaca atau menghafal al-Quran, Allah berfirman bermaksud:
"Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?" Apabila
lelaki itu menjawab, 'Ya, wahai Tuhanku', Allah berfirman lagi, 'Apa yang engkau
amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Quran itu?' Jika lelaki itu
berbohong, Allah berfirman kepadanya, 'Engkau dusta!'. Para Malaikat juga turut
berkata demikian. 'Engkau sebenarnya mahukan sebutan atau pujian orang.
Seungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran
untukmu.'
Kepada
orang kaya pula Allah berfirman bermaksud:
"Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?" Jawab orang kaya itu, 'Ya, wahai Tuhanku'. Lalu Allah berfirman lagi, Apakah yang
engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu? Jika orang kaya itu
menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan
bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. Engkau berdusta!
Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah
memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!
Demikianlah juga, firman Allah kepada
lelaki yang terkorban dalam perang sabil,
"apabila dia berbohong dengan mengatakan, Engkau perintah kami berjihad fi
sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku
dibunuh."
Ibnu Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah bersabda maksudnya,
Sesungguhnya neraka dan penghu-ninya menjerit-jerit kerana orang-orang riak. Ibnu Abbas lalu bertanya, Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah? Rasulullah menjawab, Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riak.
Riak khusus pula Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia,walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah
juga termasuk dalam riak.
Menurut ulama riak itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tidak kira, sama ada daripada Allah atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riak.
Firman Allah mafhumnya:
'Barangsiapa berkehendakkan hasil tanaman akhirat, Kami tambahkan baginya hasil tanamannya dan barangsiapa berkehendakkan hasil tanaman dunia, Kami kurniakan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi tiada sedikitpun baginya bahagian akhirat.'
(Surah asy-Syuura: Ayat 20).
Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu dikira riak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.
Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira riak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat pengorbanan orang ramai dengan cara meninggalkan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, mi-salnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.
Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk
akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan,
kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi.
Perkara yang diriakkan oleh manusia 1- Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.
2- Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.
3- Riak dengan perkataan.
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.
4- Riak pada amalan
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.
5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.
Peringkat riak
1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.
cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak.Sabda Baginda yang bermaksud:
"Awaslah kamu..jangan mencampuradukkan antara taat pada ALLAH dengan keinginan dipuji orang(riak), nescaya gugur amalanmu"
(hadis riwayat Ad-Dailami)
4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).
Allah berfirman bermaksud:
"Barang siapa berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan Allah dengan suatu apa pun."
(Surah al-Kahfi, ayat 110)Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuatkan dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan ALLAH di akhirat nanti.Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Wallahua’lam.
Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama-kelamaan ia akan membinasakan kemurniaan aqidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada di kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, wara' atau rajin beribadah. Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya. Hal ini dingatkan ALLAH dalam firman bermaksud:
"Dan janganlah kamu turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan kamu dari (agama) ALLAH". (Surah Sad: 26)
Akhirul kalam dari ana, untuk menjauhkan diri ataupun membersihkan hati daripada amalan riak maka setiap Muslim hendaklah memperhitungkan diri sendiri berapa banyak kebaikan serta dosa yang dilakukan supaya terus berhati-hati dalam setiap gerakan dan apa juga tindakan yang akan dilakukan.
Firman ALLAH swt yang bermaksud:
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah ali-Imran: 135)
wassalam..
sumber rujukan:
Ustaz Ahmad Shukri Yusoff:_
http://www.fitrahpower.com/tazkirah-bersiri/hakikat-penyakit-riak