Showing posts with label Selangkah Pengabdian. Show all posts
Showing posts with label Selangkah Pengabdian. Show all posts

- TAUBAT SEPENUH HATI CARA PEMBERSIHAN JIWA -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Menyesali dosa perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat rahmat-Nya..



SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan. Ada yang disengaja, ada pula tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali, ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa bahawa hidup tidak kekal abadi.Kehidupan di dunia yang penuh cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik.

Dunia ini penuh permainan yang melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga, apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?”
(Surah Al-An’am, ayat 32)


Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, kegembiraan yang ditunggu bagai tidak sabar dirasai.

Jika sebaliknya, tentulah balasannya tidak tertanggung. Akal dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir, supaya tidak mengulangi kesalahan yang serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini.

Meskipun cuba menjadi hamba yang baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran terhadap Yang Esa jangan sampai kita tidak bertaubat.

Menyesali dosa dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha yang perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu sebaliknya kenanglah pengajaran yang tidak mungkin akan berulang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”
(Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa yang dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri mudah-mudahan kebaikan ini mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan yang dimuktamadkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki.

Segala bentuk maksiat terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan daripada Yang Esa.

Usahlah kita menangguhkan peluang kerana ajal akan datang pada bila-bila masa dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa serta kejahilan yang pernah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah An-Nisaa’, ayat 18).


wallahu a'lam..



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- DAHI CECAH KE SEJADAH-


DAHI CECAH KE SEJADAH



Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah ‘auratmu sebelum ‘auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih

Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian

Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan

Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
Justeru bila DIA menyeru, sambutlah seruan-NYA
Sebelum DIA memanggilmu buat kali yang terakhirnya

Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk itik tak sudu
Tapi ALLAH mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan

Pada hari itu tiada berguna Harta, takhta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia...


-KeraNa CiNtakaN DuniA, pEnGoRbaNaN kEpaDa ALLAH diLuPaKan-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


PERISTIWA korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau dihargai untuk memberi manfaat kepada orang lain. Sudah tentulah menjadi korban untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada yang bertanya, apa ganjaran berkorban?

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata bahawa sesungguhnya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.”

Mereka berkata: “Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.”
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis di atas mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja. Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu baginda sudah lanjut usia.

Namun baginda tidak pernah berputus asa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Siapalah yang tidak gembira mendapat cahaya mata? Kisah ini dinyatakan dalam surah al-Soffat ayat 101 yang bermaksud:

“Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar”.


Ulama termasuk ahli kitab bersepakat bahawa Nabi Ismail dilahirkan terlebih dulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat di dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 99 tahun. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian yang amat berat diturunkan oleh Allah SWT ke atas dua beranak itu, dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya. Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Dengan hati yang sedih, Nabi Ibrahim menyatakan mengenai perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya baginda berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar”.

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah yang terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi patuh dan redanya terhadap perintah Allah SWT. Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, ma'rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara, agar ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia lumayan menjerumuskan kita ke lembah yang sia-sia, tiada apa pun menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah pun. Di dalam al-Quran Allah SWT memberi amaran kepada manusia melalui firman-Nya dalam surah At-Taubah, ayat 24 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq”.

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati agar sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja.

wallahu'alam..

-AidiLaDHa & PeNGorBaNaN 3 inSan aGuNg-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


HARI Raya Haji atau Korban mempunyai banyak keistimewaan yang harus diperbesarkan oleh umat Islam, bagi mengingati semula serta mengambil iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya, Hajar dan Nabi Ismail yang wajar dicontohi.

Nabi Ibrahim berjiwa kental dan mempunyai cita-cita unggul serta ketakwaan yang tinggi kepada Allah, Hajar pula solehah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang yang mempunyai kesabaran luar biasa dan Nabi Ismail, sebagai anak salih berjiwa takwa, tawakal dan sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Keistimewaan inilah yang harus diperbesarkan dan dijadikan teladan segenap lapisan masyarakat terutama ibu bapa, pemimpin dan juga remaja. Semangat dan ketabahan ini haruslah dijadikan landasan dalam kehidupan bagi membina sahsiah diri, kekuatan mental dan fizikal serta kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan Allah.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim, sangat besar dalam menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah sebagai Kota Suci umat Islam yang amat penting.

Mengenai Kota Makkah, Allah berfirman maksudnya,

“Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (di antaranya) makam Ibrahim. Barang siapa memasukinya (Baitullah) amanlah dia. Dan (di antara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.” (Ali Imran:97).


Daripada ayat ini jelaslah bahawa pembangunan Kota Suci Makkah banyak membawa kebaikan dan manfaat kepada umat Islam. Selain ia menjadi arah kiblat ke Baitullah, kota ini juga menjadi tumpuan jutaan umat Islam untuk menunaikan haji setiap tahun. Ini dijelaskan dalam ayat sebelumnya melalui firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makah) yang mempunyai berkat dan menjadi petunjuk seluruh alam.” (Ali Imran: 96)

Selain itu, Hari Raya Korban wajar diperbesarkan demi mengingati betapa penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim, dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah. Baginda Nabi Ibrahim disenaraikan sebagai salah seorang Rasul yang bergelar ‘Ulul Azmi yang memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk mencari keredaan Allah.

Membesarkan Hari Raya Korban dengan pelaksanaan ibadat korban yang dilakukan semata-mata kerana Allah pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah).

Ibadat korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kariah masjid. Peserta yang melakukan ibadat korban melalui daging korban dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan ahli kariah masjid. Ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Selain itu, ibadat ini dapat mengukuhkan pertalian dan kasih sayang di kalangan keluarga dan ahli masyarakat yang berkumpul melaksanakan ibadat korban melalui kerja menyembelih, melapah, menyiang daging dan kemudian makan bersama-sama daging korban dimasak.

Ini juga dapat melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan melaksanakan perintah Allah. Ingatlah firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Ibrahim:70).


Hari Raya Korban hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, dengan mengucapkan takbir secara berterusan pada malam hari raya hingga solat sunat didirikan pada esok harinya. Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan atau juadah sebelum ke masjid tetapi untuk Hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat demikian. Sebaliknya disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah yang menyentuh antara lain kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Sebaik selesai solat sunat Aidiladha, maka bersegeralah menyembelih binatang korban. Kemudian dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan sebahagiannya juga diberikan kepada kariah masjid sebagai hadiah. Nabi SAW bersabda bermaksud:

“Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan (rezeki) hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik) sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya.” (Riwayat Asy Syihaab).

wallahu'alam..




* Sebelum terlambat, ana nak ucapkan Eid Mubarak Saeid kepada semua pengunjung yang tidak jemu2 berkunjung ke blog ana dalam mengembara mencari ilmu dunya wal akhirah..Semoga Aidiladha kali ini, kita diberi kesabaran dan ketabahan persis nabi-nabi Allah terdahulu serta dikurniakan sifat sanggup berkorban demi mendapat keredhaan ILAHI...insyaALLAH..

Photobucket

Photobucket

........Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.......

-KeiMaNaN dan KeSaBaRaN DaLaM PeNGorBaNaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Seseorang insan bertakwa perlu terima bahagian rezeki Allah dengan ikhlas


SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.

Peristiwa Nabi Ibrahim diuji dengan perintah supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail, disebut dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109:

"Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama, dengannya, Nabi Ibrahim berkata:

"Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.


Maka apabila keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tompok tanah (untuk disembelih), ketika itu Kami (Allah) menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu" - Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim,".

Pengertian ayat diatas menyingkap keimanan tinggi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan segala perintah Allah, walaupun ia hanya satu ujian. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita supaya kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah.

Lihat saja bagaimana ibadat haji meminta kita menunjukkan kesungguhan, ketabahan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Sifat mulia ini sudah sewajarnya kita tunjukkan dalam semua jenis amal perbuatan kita. Ingatlah bahawa ganjaran yang sebenarnya bukan datang daripada makhluk dan manusia lain. Ganjaran sebenarnya adalah dari Allah semata-mata.

Apakah dia nilai pengorbanan? Apakah sifat murni yang dapat kita semai dalam melakukan pengorbanan? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita renungkan akan peristiwa korban Nabi Ibrahim serta puteranya Nabi Ismail yang diabadikan Allah di dalam surah As-Saffat: 102-109. Begitulah pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan juga puteranya Nabi Ismail. Di mana kedua-duanya membuat satu pengorbanan yang besar dalam kehidupan.

Jika kita lihat akan pengorbanan Nabi Ibrahim, beliau sanggup untuk mengorbankan anak kesayangannya kerana Allah. Begitu juga dengan puteranya Nabi Ismail, beliau pula sanggup mengorbankan nyawanya bagi mendapat keredaan Allah.

Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

#Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.

#Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.

Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.

Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.

Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.

Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Sabar pula adalah satu lagi nilai yang besar dalam kita membuat pengorbanan mengharungi hidup yang berbagai cubaan dan rintangan. Inilah nilai yang dipancarkan oleh Nabi Ismail apabila ketika ditanya oleh Ibrahim akan perintah Allah untuk menjadikan beliau sebagai korban. Lantas Nabi Ismail menjawab:

Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar. � (As Saffat: 102)

Pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan ini hendaklah kita tempuh segala cabarannya dengan kesabaran. Kita mengorbankan masa, tenaga, wang dan akal fikiran, semua ini memerlukan kesabaran, dengan pengorbanan inilah terhasil pelbagai kenikmatan dari Allah.

wallahu'alam..



credit to -> Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi

-NiLai PengOrbaNaN Sejati KiaN LuNtuR-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Contohi Nabi Ismail meletakkan perintah Allah, kewajipan taati ibu bapa perkara utama


KEHADIRAN Zulhijah yang turut dikelompokkan dalam bulan haji, umat Islam dituntut menghayati nilai pengorbanan sejati sebagai wadah untuk membina kecemerlangan diri, agama, bangsa dan negara. Islam meletakkan kepentingan umat itu perlu didahulukan daripada kepentingan puak, kumpulan atau peribadi seseorang. Firman Allah:

"Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah sebagai sebuah benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu ada seratus buah. Dan Allah melipatgandakan ganjaran untuk siapa yang disukai-Nya dan Allah luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." � (Surah Al-Baqarah: 261)

Sambutan Hari Raya Korban yang diraikan seluruh umat lslam sebagai mengenang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Ia mempunyai nilai pengajaran yang tidak mampu dirungkaikan dengan akal semata-mata. Sebagai orang yang beriman, kita tidak wajar melihat dari sudut kehidupan dunia yang meletakkan nilai kebendaan sebagai landasan sebenar. Justeru, perhatikan firman Allah yang menggambarkan mengenai nilai pengorbanan sejati.

"Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah, hanya yang sampai kepada Allah adalah takwa (kepatuhan menjalankan kewajipan) dari kamu. Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu, supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang yang berbuat kebaikan." � (Al-Hajj: 35)

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh umat mutakhir ini. Sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anak kesayangan Baginda sendiri. Hari ini dapat kita perhatikan bagaimana roh pengorbanan dalam diri umat Islam semakin luntur dan kabur.

Anak Muslim terbiar tanpa didikan agama sehingga sanggup mencemarkan maruah lslam dengan perlakuan keji dan batil. Budaya negatif seperti merempit, pergaulan bebas, minum arak, berpakaian mendedahkan aurat seperti yang diamalkan remaja lslam hari ini tidak mungkin akan berleluasa sekiranya nilai pengorbanan untuk melihat imej lslam dipandang tinggi menjadi keutamaan.

Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai diri sendiri dalam kesusahan, perlu menjadi iktibar sebagai cermin moral kepada anak generasi masa kini. Tanpa pengorbanan tulus ikhlas daripada ibu bapa, tentulah ramai anak yang tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam pendidikan, kerjaya mahu pun kehidupan berkeluarga.

Ibu bapalah yang bersusah payah mengorbankan seluruh tenaga, masa dan wang ringgit demi anak yang dikasihi hingga mereka mampu berdikari.

Persoalannya, sejauh manakah letaknya nilai pengorbanan dalam diri anak pula apabila membiarkan ibu bapa mereka yang tua dan uzur tinggal di rumah kebajikan. Apakah sudah hilang perasaan kasih sayang terhadap insan yang membesarkan kita dengan segala susah payah, sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Ismail yang patuh dengan suruhan dan tuntutan bapanya, Nabi Ibrahim hingga Allah mensyariatkan tanggal 10 Zulhijah sebagai takwim mengenang sirah pengorbanan yang tiada tolak bandingnya dalam kehidupan anbia.

Semua itu menjadi iktibar kepada umat lslam akhir zaman yang perlu menanamkan semangat jihad dan sanggup berkorban mempertahankan maruah lslam yang semakin diperlekeh masyarakat bukan lslam di seluruh dunia.

Kesimpulannya, umat lslam perlu menjadikan nilai pengorbanan sejati sebagaimana yang ditunjukkan Nabi dan Rasul sebagai benteng mengukuhkan cinta dan kasih sayang di antara umat lslam. Janganlah kita berbantah-bantah atau menuding jari mencari salah ketika umat lslam sedang berhadapan dengan krisis dan bencana dari Allah. Sifat dengki-mendengki, irihati, dan dendam dikikis dalam hati setiap umat agar maruah lslam kembali dihormati sebagaimana yang berlaku di zaman kegemilangan lslam dulu.

wallahu'alam..

-FadiLat aMaLan SePuLuH Hari pErtaMa ZuLhiJaH-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Pada hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah,

"Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya". (Hadis Muslim).

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan ALLAH swt tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda,

"Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, "Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?". Jawab Baginda, "Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun". (Hadis Bukhari)


Dalam hadis lain, Rasulullah juga bersabda,

" Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid". (Hadis Ahmad).

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.

Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.

Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.

wallahu'alam..

-LaMBanG SejaraH RasuL, KeSaMarataaN-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Allah SWT memerintahkan supaya setiap jemaah haji berniat ihram kerana memuliakan Tanah Haram dan bumi Makkah selaku tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Mereka juga tidak dibenarkan melakukan perkara keji didalamnya walaupun melakukan perkara yang harus ketika berada di luar seperti memakai wangian, memotong kuku, memburu dan sebagainya.


Dengan memakai pakaian ihram yang sama melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pemandangan ini tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Pakaian ini juga sama seperti kain kafan putih ketika si mati dibawa bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW memakai pakaian ihram dari Madinah dan meniatkannya di Miqat bernama Zul Hulaifah. Mereka yang berihram menuju ke Makkah yang dijanjikan keamanan oleh Allah SWT daripada ketakutan dan kelaparan. Firman Allah,

"Di sana ada tanda-tanda kemuliaan yang nyata dan sesiapa yang masuk ke sana akan mendapat ketenteraman" (Ali-Imran: 96)


Tawaf di Kaabah pula adalah kerana adanya Baitullah dengan pakaian yang sama bagi mengingatkan kita mengenai kematian yang pasti bagi setiap yang hidup. Ini juga untuk menyatakan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan mereka yang bertakwa. Ada riwayat menyatakan Nabi SAW mengucup Hajarul Aswad sebelum melakukan Tawaf Qudum.

Mengucup Hajarul Aswad adalah pelengkap kepada ibadat tawaf di Kaabah kerana mengikut perbuatan Nabi SAW jika memungkinkan kita berbuat demikian. Nabi SAW mengucup sebelum bermulanya tawaf dengan meletakkan kedua bibir Baginda sambil menangis dan berkata kepada Saidina Umar yang bersamanya, "Wahai Umar, di sinilah tempat terkumpulnya dosa". Ada riwayat mengatakan bahawa asalnya batu ini berwarna putih dan bertukar menjadi hitam dengan dosa manusia.

Selepas selesai tawaf, Nabi SAW bersolat di belakang makam Ibrahim dengan dua rakaat sunat Tawaf dan meminum air Zamzam sambil berdoa ke ada Allah SWT lalu berjalan ke Bukit Safa untuk bersai. Sai antara Safa dan Marwa adalah bagi menghidupkan peristiwa Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali bagi mencari sumber air yang diperlukan. Begitu juga berlari anak padanya seperti dilakukan Nabi SAW bagi menzahirkan kekuatan dan kecerdasan kaum Muslimin.

Doa Nabi Ibrahim ketika meninggalkan Hajar:

"Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang kering kontang di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, semuanya agar mereka mendirikan solat dan memakmurkannya. Oleh itu, jadikanlah sebahagian dari hati manusia tertarik ke sana dan kurniakan rezeki dari berbagai jenis buah-buahan agar mereka bersyukur" (Ibrahim: 37).


Wukuf adalah salah satu rukun haji yang mesti dilakukan jemaah haji. Sejarah membuktikan bahawa hari itulah Allah SWT menyempurnakan nikmatnya kepada kaum Muslimin dan menjadikannya hari raya untuk mereka. Allah SWT berfirman,

"Pada hari ini Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan Aku reda bahawa Islam ialah agama bagi kamu" (Al Maidah:3).


Bermalam di Muzdalifah yang ada padanya Masyha'ril Haram, tempat berkumpulnya manusia selepas wukuf bagi menghabiskan satu malam di sana seperti yang dilakukan Baginda SAW. Suasana tenang dalam kegirangan dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT sehingga fajar menyinsing.

Melontar jamrah adalah simbolik kepada kemenangan Nabi Ibrahim dan Ismail daripada gangguan syaitan. Begitulah perbuatan yang dilakukan Ibrahim dan Ismail ketika menghalau Iblis Laknatullah.

Menyembelih korban adalah mesej bagi menyatakan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah SWT ke atas Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail serta seluruh kaum Muslimin. Ia juga bagi menghidupkan nikmat yang besar atas kejayaan dari ujian yang begitu hebat.

Di sinilah bermulanya keturunan yang membawa kepada Nabi yang terakhir (Muhammad SAW). Di sinilah Nabi SAW menghadiahkan seratus unta untuk dikorbankan serta menyembelih dua kambing untuk dirinya dan keluarga dan satu untuk umatnya.

Umrah pula adalah ibadat ringkas bagi mereka yang menziarahi Baitullah kerana tidak memberatkan bagi kaum Muslimin. Allah mengharamkan bagi mereka meninggalkan Makkah tanpa melakukan ibadat. Jadi yang lebih ringan dari ibadat haji adalah umrah.

wallahu'alam..

-KeistiMeWaaN Haji AkBar-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ulama mempunyai pendapat berbeza mengenai Haji Akbar. Ada yang mengatakan ia adalah hari wukuf kerana ia rukun terpenting dalam ibadat haji. Ada yang mengatakan hari ke-10 Zulhijjah kerana semua asas penting dalam haji sudah diselesaikan.

Imam Hasan Al-Basri ketika ditanya mengenai Haji Akbar menjawab: "Apa yang perlu ditanyakan lagi kerana hal ini berlaku pada tahun Abu Bakar dilantik Rasul SAW mengetuai rombongan menunaikan haji pada tahun ke-9 hijrah. Jawapan ini juga sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 3 bermaksud:

"Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin".


Menurut sejarah, ketika Haji Wada' 10 Hijrah, Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat dan esoknya hari ke-10 di Mina masih dalam rangka Haji Akbar. Jika Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat nescaya wukuf Abu Bakar pada tahun sebelumnya bukan hari Jumaat sedangkan pada musim haji berkenaan disebut dalam surah Taubah berkenaan.

Ibnu Kathir pula lebih cenderung kepada hari yang ke-10 berdasarkan sebuah hadis Abdullah Ibnu Umar bahawa Rasul SAW berdiri berhampiran Jamrah ketika Haji Wada' pada hari ke-10 lalu berkata, "Inilah dia Haji Akbar.'

Alasan kedua ialah hadis Abdul Rahman Bakrah yang menceritakan,

"Pada hari duduknya Rasul SAW di atas belakang unta dan bertanya: "Hari apakah ini? Kami semua diam kerana mungkin Baginda akan mengumumkan sesuatu nama yang baru buat hari itu". Lalu sabda Rasul SAW: "Bukankah hari ini yang bernama Haji Akbar? � (Hadis Bukhari).


Saidina Ali Abi talib pernah ditanya mengenai Haji Akbar, beliau menjawab: "Hari Nahar (hari ke-10)".

Jadi tidaklah dapat dipastikan mengenai Haji Akbar ini. Namun demikian ada ulama yang mengambil jalan tengah dengan memberi maksud Haji Akbar - iaitu 'Haji Besar', ibadat haji itu sendiri dengan wukuf di Arafah dan umrah 'haji kecil'. Ulama Tabi'in berpendapat 'Haji Akbar' ialah Haji Qiran (mengerjakan haji dan umrah serentak). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ialah hari ke-10 di Mina kerana melontar Jamrah dan menyembelih binatang.

Sufya As-Tsaury berkata, "Keseluruhan ibadat haji itu adalah Haji Akbar kerana ia juga disebut Yaumul Fath (hari kemenangan). Setengah ulama berpendapat bahawa haji pertama dilakukan dalam hidup seseorang adalah 'Haji Akbar' kerana ia adalah ibadat yang amat bermakna dalam hidupnya kerana mendapat keistimewaannya yang besar. Adapun wukuf hari Jumaat adalah sama ganjarannya dengan tujuh kali haji tidak ditemui hadisnya.

wallahu'alam..


Credit to -> Ustaz Zamanuddin Jusoh

-RafatH, FasiK, jiDaL jejaS KeSeMPurNaaN ibaDaH Haji-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


APAKAH yang dimaksudkan rafath, fasik dan jidal dalam ayat 197 surah al-Baqarah. .??

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197, maksudnya:

"(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang sudah mewajibkan dirinya (dengan niat untuk mengerjakan) ibadat haji, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji.Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui Allah SWT; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."


Ulama tafsir seperti Ibn Kathir dalam kitabnya sudah mentafsirkan rafath sebagai melakukan jimak dan perbuatan yang menuju kepadanya.

Dalam pandangan Ibn Abbas al-Rafath, merujuknya sebagai sebarang kelakuan yang membawa kepada jimak yang membabitkan kata-kata, tingkah laku sehinggakan kerlingan juga termasuk dalam kategori ini.

Fasiq merujuk kepada semua jenis perbuatan maksiat. Jidal pula ditafsirkan sebagai perselisihan pendapat dalam hal yang tidak berguna dan sia-sia, yang ditentukan Allah SWT kepada hamba-Nya.

Perdebatan yang dilarang bermaksud perselisihan yang akan menyebabkan pergaduhan, membawa mudarat atau menyebabkan ketenteraman terancam.

Bagaimanapun, perdebatan dengan cara yang baik untuk menjelaskan kebenaran agar diterima sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan adalah perdebatan yang dibenarkan dalam syariat Islam. Inilah perdebatan yang tidak dilarang ketika menunaikan haji.

Ketiga-tiga perkara berkenaan tidak membatalkan haji kecuali jimak yang dilakukan sebelum tahallul awal.

Namun, ketiga-tiganya iaitu al-rafath, fasik dan al-jidal akan mengurangkan pahala haji, mengurangkan iman dan melemahkannya.

Oleh itu, setiap orang yang sedang melakukan ibadah haji wajib menjauhi ketiga-tiga perkara tersebut jika ingin mendapat kesempurnaan haji dan umrahnya.

wallahu'alam..

-TuNtutaN KeMaafaN SebeLuM ke taNaH SuCi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Haji ialah satu ibadat penting dan Rukun Islam kelima. Rukun bermaksud tiang, tanpanya bangunan tidak mampu dibangunkan. Rukun ini diwajibkan ke atas setiap Muslim yang merdeka, baligh dan berakal. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat ke-97 bermaksud:

"Dan Allah SWT mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."

Dalam ayat ke 27- 28 surah al-Hajj, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, menunggang berjenis unta kurus dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah SWT, pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, fakir miskin."


Perenggan terakhir ayat ke-28 itu menunjukkan bahawa antara hikmah ibadat haji ialah memperbaiki hubungan dengan manusia iaitu membantu golongan yang susah dan fakir miskin.

Sudah menjadi suatu amalan masyarakat negara kita untuk bermaafan sebelum ke Tanah Suci. Ini disebabkan mind-set yang sedia ada ditanam dalam diri setiap individu bahawa perjalanan mengerjakan haji ini mengambil masa lama dan mencabar. Ada juga berlaku kematian ketika dalam perjalanan dan waktu mengerjakan haji.

Di samping itu, masyarakat Melayu yang kaya dengan adab sopan kerap mengadakan kenduri disertakan dengan doa agar selamat pergi dan balik dari Tanah Suci.

Pada hakikatnya, memohon kemaafan dituntut Islam. Perkara ini ditegaskan dalam banyak firman Allah, contohnya dalam ayat ke-134 surah Ali Imran menceritakan keutamaan kemaafan. Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang menahan kemarahannya dan orang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah SWT mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik."


Banyak hadis menunjukkan kasih sayang ialah prasyarat melayakkan seseorang menjadi orang beriman dan sekali gus kunci ke syurga. Penerimaan taubat nasuha juga disyaratkan ada kemaafan daripada pihak berkenaan. Perkara ini diperjelaskan ulama Islam, contohnya an-Nawawi dalam Riyadhus Salihin menerusi bab taubat. Imam Ghazali menjelaskan dalam Ihya 'Ulumiddin bahawa ada kesilapan tidak perlu disampaikan kepada pihak terbabit jika ia akan mewujudkan suatu yang tidak diingini.

Jadi di sini, ada pengecualian memohon kemaafan. Dalam konteks ini, memadailah baginya memohon keampunan Allah SWT terhadap kesalahan pihak itu, dan banyakkan bersedekah untuknya serta mendoakan baginya.

Tidak ada sebarang nas yang menunjukkan Nabi SAW melakukan perkara seperti ini. Cuma yang dapat dilihat dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sebelum berpisah ialah Nabi mengucapkan kepada ahli keluarga dan sahabat dengan kata:

"Aku tinggalkan kamu semua di bawah penjagaan Allah SWT yang tidak akan luput sesuatu ditinggalkan di sisi-Nya."
(Ibn Majah 2825, Sunan al-Nasaeiy No 10342).


Jadi kesimpulannya, petunjuk yang terbaik yang wajar kita amalkan ialah amalan Nabi SAW tanpa menafikan kepentingan bermaaf-maafan itu sendiri. Mengamalkan sunnah Nabi sebelum berpisah seperti hadis di atas lebih utama diamalkan, namun memohon kemaafan selepas melakukan kesilapan juga wajib dilakukan. Justeru, bagi yang akan melaksanakan ibadat haji secara khasnya dan yang akan bermusafir secara umumnya, lakukan doa Nabi seperti yang di atas, di samping memohon ampun dan maaf pada pihak yang kita ada melakukan kesalahan padanya.

Bagi pihak yang sudah meninggal dunia sedangkan ada haknya yang belum kita tunaikan, kita masih boleh melakukan salah satu perkara di bawah:

١- Beristighfar kepada Allah SWT untuknya.

٢- Melakukan sedekah lalu meniatkan pahala untuk beliau

٣- Berdoa kepada Allah SWT untuknya

٤- Menjalinkan hubungan dengan anggota kerabatnya dengan cara terbaik

٥- Membantu ahli keluarganya yang menghadapi kesusahan

Apa saja yang dilakukan adalah kebaikan sebenarnya dinilai oleh Allah SWT yang berfirman dalam ayat ke 197 surah al-Baqarah yang bermaksud :

"Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

Wallahu'alam..

-ZuLhijaH buLaN saHut sEruaN iLahi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


SEMPENA 9 Zulhijah, bulan kemuncak pelaksanaan ibadat haji, tetamu Allah beramai-ramai wukuf di Arafah. Ada beberapa hikmat mengerjakan ibadat haji sama ada bagi individu, masyarakat dan negara. Antaranya ialah:

١- Mengerjakan haji mendapat banyak ganjaran dan keampunan Allah

Sabda Baginda Rasulullah SAW,

“Antara umrah pertama dengan kedua penghapusan dosa (yang dilakukan antara keduanya) dan haji mabrur tiada pahala kecuali syurga.”
(Riwayat Al Bukhari)


٢- Menjalin dan menguatkan ikatan persahabatan (ukhuwah Islamiah)

Ibadah ini membuka ruang untuk berkenal, bertukar pendapat membincangkan mengenai pelbagai masalah dihadapi umat Islam seluruh dunia.

٣- Menambah pengalaman dan meluaskan pengetahuan

Jemaah berpeluang melihat tempat bersejarah dan melihat serta berkenalan dengan saudara Islam yang datang dari pelbagai negara, bangsa dan corak kebudayaan.

٤- Menanam keinsafan

Ketika mengerjakan ibadat haji semua orang sama dan memakai pakaian yang serupa pula. Tidak ada beza antara rakyat, orang biasa, orang berpangkat dan antara orang kaya dan miskin.

٥- Melatih diri bersabar, berani dan tabah hati

Hal ini terangkum dalam talbiah Rasulullah:

“Aku datang (memenuhi panggilan-Mu), ya Allah, aku datang. Aku datang tiada sekutu bagi-Mu, aku datang. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan (kekuasaan) milik-Mu tiada sekutu bagi-Mu” (Riwayat Al Bukhari)


Jelaslah, Zulhijah adalah bulan menyahut panggilan Ilahi dan menjalin persaudaraan sejagat. Allah memilih 10 hari pertama Zulhijjah dengan mentakdirkan ada hari Tarwiyyah (hari kelapan), hari Arafah (hari kesembilan) dan Nahar (hari ke-10) yakni disunatkan berkorban, talbiah, haji dan ibadah lain.

Pada hari pertama hingga 10 Zulhijah, mempunyai kelebihan tersendiri. Dalam hal ini, Ibnu Abbas meriwayatkan hadis Rasulullah sabdanya yang bermaksud:

“Hari Allah mengampunkan Nabi Adam adalah hari pertama Zulhijah. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah mengampunkan dosanya.

“Pada hari kedua, Allah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkan baginda daripada perut ikan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, pahalanya seperti orang beribadah kepada Allah Taala selama setahun serta tidak menderhaka Allah dalam ibadatnya meskipun sekadar sekelip mata.

“Pada hari ketiga, Allah mengabulkan doa Nabi Zakaria. Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.

“Pada hari keempat, Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah menghapuskan kesusahannya dan kefakirannya. Di samping itu, pada hari kiamat akan duduk bersama orang yang baik dan mulia.”


Hari Raya Haji mempunyai keistimewaan yang harus diperbesarkan umat Islam. Ia bertujuan mengingati dan mengenang semula serta mengambil iktibar daripada pengorbanan tiga manusia agung yang harus dicontohi setiap lapisan masyarakat, ibu bapa, remaja dan juga pemimpin bagi membina sahsiah dan kecemerlangan dalam kehidupan.

Tiga manusia agung itu ialah Nabi Ibrahim AS yang berjiwa kebal dan kental serta mempunyai cita-cita unggul.

Kedua, Hajar sebagai isteri salihah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang, serta mempunyai kesabaran yang luar biasa.

Ketiga, Nabi Ismail sebagai anak salih yang berjiwa takwa, tawakal sehingga sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Demikianlah kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Kisah itu perlu dijadikan iktibar demi meniupkan semangat kesedaran, tanggungjawab dan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah SWT.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS sangat besar iaitu dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah dan men-jadikannya kota suci umat Islam yang penting.

wallahu'alam..

-MemBersiHkaN diri SebeLum BeraNGkat ke TanaH SuCi-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Gelaran haji atau hajah biarlah mabrur, bukan untuk bermegah-megah


SERUAN haji bergema lagi, tanda musim haji sudah bermula. Ibadah haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat ulil amri dan pihak berkuasa Arab Saudi menjadi medan penuh ujian dalam mematuhi rukun wajib haji. Menunaikan haji bukan perjalanan yang mudah bagi Muslim yang membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada kehidupannya dihabiskan dengan melakukan dosa dan culas memburu pahala sama ada wajib atau sunat.

Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi 'haji sangkut' yang hanya dipakai hingga hembusan nafas terakhir.

Gelaran haji yang dibawa bersama setelah selesai ibadah di bumi Makkah akan menjadi kenangan abadi dan diingati bukan saja oleh diri kita sendiri malahan orang yang menghantar kita pergi dulu dan orang yang menyambut kita pulang. Bagi setiap bakal haji yang sedang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus 'membersihkan' diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati dan berpotensi tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita.

Sebagai seorang Muslim yang berada dalam zaman ekonomi tidak menentu, kesempatan untuk menunaikan fardu haji atau umrah bukan perkara mudah. Selain kos mengerjakan haji tinggi, kos untuk waris dan tanggungan yang ditinggalkan turut perlu difikirkan juga. Jika tidak akan timbul pula fitnah orang mengatakan langkah kita mengejar akhirat mencicirkan dunia yang juga kewajipan kita. Sebaiknya bakal haji menyelesaikan segala hutang dan belanja tanggungan sebelum meneruskan cita-cita menyahut seruan haji di Makkah. Gelaran haji yang bakal diraih akan kelak menjadi suatu gelaran sinis yang akan memalukan diri kita sendiri.

Jika boleh biarlah gelaran haji yang dianugerahkan kepada kita kerana mendapat haji mabrur tanpa memerlukan kita apabila pulang dari tanah suci terpaksa membayar hutang keliling pinggang sedang kita semua tahu bahawa salah satu syarat haji ialah berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Membawa pulang gelaran haji atau hajah biarlah tanpa kontroversi atau isu yang mampu membuatkan gelaran yang menjadi idaman semua umat Islam di seluruh dunia itu dipertikaikan. Jangan pula apabila balik dari haji, perangai buruk sebelum menjejak kaki ke sana diulangi. Atau setelah mendapat gelaran haji sikap angkuh dan bangga diri menjadi hiasan diri. Lebih buruk lagi jika ada yang mempunyai gelaran haji tidak berubah langsung sikap buruk mereka malahan lebih teruk apabila pulang dari Tanah Suci sikap buruk baru pula tercipta.

Bukankah ia memalukan agama Islam yang syumul ini. Kita takut ada orang Islam sendiri yang akan merasakan gelaran haji adalah lesen untuk mendapat kemegahan dan bukannya menjadi motivasi untuk yang masih belum menjejakkan kaki bertawaf mengelilingi di setiap empat penjuru Kaabah.

Sikap dan pekerti sebagai Muslim yang memegang gelaran haji perlu diubah dari buruk menjadi baik, dari cantik lebih indah budi dan sikahnya. Bagi yang bersifat bakhil tidak bertempat, singkirkan sikap yang tidak baik itu, bagi yang bersikap keras selama ini lembut-lembutkan sedikit adab kita dengan pekerja atau pihak yang berhubung dengan kita. Cara kita bertindak adalah datang dari cara kita berfikir dan cara kita berfikir datang dari hati kita yang suci dan bersih dari syak dan wasangka sama ada sesama Islam dan bukan Islam.

Jika boleh dikatakan seorang haji sepatutnya membawa imej seorang Muslim yang lengkap sebagai seorang Muslim sejati. Sesungguhnya dirinya telah lulus ujian sebagai Muslim yang memenuhi lima rukun Islam.

Justeru menunaikan haji bukan sekadar mengejar gelaran yang tidak akan memberi manfaat jika disalahgunakan atau disalah pembawaannya. Haji adalah gelaran yang perlu dibawa hingga ke liang lahad dan biarlah pahala kita menunaikan haji itu berpanjangan hingga kita dipanggil Yang Maha Esa di satu hari di mana kita tidak mampu untuk berkata-kata melainkan ibadah kita di dunia ini yang akan menilai kita dan gelaran kita.

Ingatlah bahawa seruan haji bukan saja bergema sebelum dan semasa kita di tanah suci saja, ia adalah seruan yang perlu diingati hingga kita selesai menunaikan rukun haji dan di saat liang lahad terpateri dengan tanah dan hanya gelaran haji dan nama kita yang ditinggalkan. Jadilah haji yang dimuliakan dan bukan sebaliknya.

wallahu'alam..