Showing posts with label ujana ilm'. Show all posts
Showing posts with label ujana ilm'. Show all posts

- ILMU = PAKAIAN HIDUP -


In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



TANPA ilmu dan bimbingan, mustahil generasi muda mampu menerajui diri sendiri untuk menjadi insan terbilang yang bukan saja dibanggakan kerana kebijaksanaan, kecerdasan akalnya tetapi juga sahsiah mulia dan fizikal kuat.

Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik dalam menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga ada kalanya kita kelihatan lesu mencari punca sedangkan masalah semakin meruncing serta tidak terbendung.

Generasi muda yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal serta minda. Urusannya dengan Allah, manusia dan alam dijalankan penuh tanggungjawab. Lebih hebat, yang menyedari kepentingan ilmu untuk terus menyedarkan umat Islam supaya hidup dalam landasan agama.

Syarat generasi muda kini untuk menjadi seorang hebat ialah mesti berilmu dan mempunyai hikmah dalam tindak-tanduknya. Mereka juga perlu adil iaitu amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah, manusia dan alam.

Mereka juga mesti berani kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentu mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain yang akan jadi ikutan golongan muda yang memerlukan contoh terbaik.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita. Sedangkan, impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang berjasa kepada agama dan negara.

Namun, cita-cita perlukan hasrat dan tekad tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan. Jika tiada seperti disebutkan, orang muda tetap boleh berjaya dengan izin-Nya dengan yakin kuasa Allah dan sifat pengasih serta pemurah-Nya.

Segelintir generasi muda kini menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim.

Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islam. Hidup melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul serta khurafat yang begitu mudah meresapi minda sehingga menjadikan tukang tilik dan nujum sebagai guru.

Bukan tidak cukup ilmu boleh dipelajari secara percuma. Malah hari ini sesiapa yang mahu, ilmu boleh diraih di mana saja dan mungkin kerana terlalu mudah, ilmu tidak dihargai menyebabkan sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan untuk menuntut ilmu.

Kebanyakan adalah mereka yang mempertaruhkan kehidupan sosial di luar batasan hukum, terkinja-kinja di pentas nyanyian dan sanggup melondeh pakaian dalam adegan lakonan untuk merubah kehidupan.

Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar dan mempertingkatkan komitmen untuk membimbing anak mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir mereka supaya anak sentiasa diingatkan supaya tidak menggadaikan agama.

Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan generasi akan datang bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini. Bukan semua juga jahil bahawa masa muda hanya sekejap, jangan sampai waktu muda merosakkan seluruh usia kehidupan mereka.

Ramai juga terpesong ke jalan yang lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi orang selayaknya. Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah memajukan diri untuk agama, bangsa dan negara.

Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menyuruh melakukan maksiat. Perlu diingat, generasi akan datang pasti muncul bersama ‘zaman mudanya’ dan biarlah zaman itu, masa yang terbaik untuk mereka membina jati diri.



wallahu a'lam...



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

-TiaDa kENikMatan, keMaNiSan iBadaH taNpa iLmu-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


RAMADAN telah pun berakhir, belum terlambat untuk ana mengucapkan tahniah bagi saudara seakidah yang istiqamah menjaga ibadah dengan sempurna sebagaimana yang diteladani daripada sunnah Nabi SAW. Diucapkan dukacita kepada sesiapa yang cepat bosan dengan ibadahnya, tidak merasai kemanisan puasa, solat malam dan membaca al-Quran.

Mereka hanya menikmati keletihan saja. Mereka tidak mampu menyelami hakikat ibadah sedalam-dalamnya disebabkan kejahilan dan terhalangnya hati mendekati ilmu. Lalu hati cepat berpaling, jemu dan mencari kerehatan sepuas-puasnya sehingga tidak disangka ia menjadi lalai.

Tanpa ilmu ibadah tidak terasa nikmat, hati kurang menjiwai amal, akal menjadi jumud dan terikut-ikut suasana tanpa keyakinan. Ibadah yang dilakukan ala kadar dan tanpa asas ilmu akan cepat hilang kepanasannya, bagai manusia tiada roh dan mati jiwanya.

Oleh itu ramai beribadah tetapi masih mencari rezeki dengan menipu orang lain, memakan riba, dan rasuah. Tidak sedikit yang begitu teliti menjaga kesucian badannya daripada najis tetapi tidak menjaga kesucian hatinya daripada mengumpat, memfitnah, berkata kesat kepada orang lain bahkan bersumpah palsu.

Mereka semua ahli ibadah tetapi ibadah yang bukan dari hati yang mengenal Tuhannya. Jauh sekali berpegang kepada asas ilmu yang diwarisi daripada Nabi SAW. Bahkan ramai yang beribadah secara taksub bertaqlid kepada tokoh agama disucikan dan tersohor, sayangnya sunnah Nabi SAW yang sahih diketepi begitu saja.

Apa saja perkataan tokoh itu diikuti tanpa usul periksa dan jauh sekali mahu merujuk kepada Al-Quran dan al-Hadis, akhirnya ibadah yang dilakukan terseleweng daripada kebenaran. Begitulah ragam orang beribadah, yang jahil atau yang taqlid buta, kedua-duanya akan berasa keletihan dan cepat bosan kerana tidak melalui jalan yang dilalui Nabi SAW.

Hanya ibadah cara Nabi SAW yang menjanjikan kenikmatan, kepuasan jiwa dan ketenangan hati. Sebagaimana yang dilalui sahabat dan Salafus salih. Antara rahsia ibadah dan syarat kesempurnaannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah:

#Ibadah membina asas tauhid

Jalan mengenal Allah hendaklah diterokai sewaktu melakukan ibadah. Kesempurnaan nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya sewajarnya difahami dengan penghayatan yang mendalam supaya lahir jiwa hamba yang berserah diri, patuh dan mencintai Allah SWT tanpa syarat.

Belajar ilmu mengenal Allah SWT melalui al-Quran dan Hadis akan memberi kesan terhadap kualiti ibadah yang dilakukan. Oleh itu Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk menyebut nama dan sifat Allah ketika berdoa, memuji Allah dalam sembahyang, merasai kebesaran Allah ketika berpuasa, haji dan umrah. Bahkan ketika bermusafir dengan berjalan kaki pun Baginda menyuruh sahabatnya bertakbir ketika menaiki bukit dan bertasbih ketika menuruninya. Menyebut nama dan sifat Allah yang mulia seraya memuji dengan penuh khusyuk memberi kesan terhadap hubungan dua hala di antara hamba dan Tuhannya. Untuk itu dapat disimpulkan bahawa kenikmatan ibadah bergantung kepada sejauh mana hati seseorang itu mengenal Allah.

# Ibadah sebagai bukti cinta dan mengharap rahmat-Nya.

Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya Zadul Ma'ad telah memaparkan dua jenis cinta yang hidup di dunia. Pertama cinta yang menjadi kesenangan jiwa, kelazatan hati, kenikmatan roh, hidangan dan penawar kalbu iaitu cinta kepada Allah semata. Kedua, cinta yang menjadi seksaan bagi roh, keresahan jiwa, penjara hati dan kesesakan dada. Ia menjadi sebab kepedihan dan keletihan, itulah cinta kepada selain Allah SWT.

Sesiapa yang lebih mencintai sesuatu selain Allah, maka dia akan diseksa dengan sesuatu yang dicintainya itu. Cinta kepada dunia ataupun wanita membuat seseorang letih dan payah mengejar kenikmatan perasaan dan akhirnya terpenjara olehnya. Tetapi jika dia mencintai Allah SWT, menghadirkan bukti cinta itu dengan beribadah secara ikhlas maka Allah akan memberi ketenangan hati. Adapun orang yang cinta akan sentiasa mengharap balasan daripada yang dicintai, begitu pula seorang hamba yang menagih rahmat-Nya setiap kali melakukan sembahyang, zikrullah, puasa, tilawatul Quran, sedekah, haji dan umrah.

Jika bukan kerana rahmat-Nya siapalah kita, sebagaimana al-Quran mengingatkan menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Dan sekiranya bukanlah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar) dan Allah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." � (Al-Nur: 20)

Dengan beribadah, seorang hamba membuktikan bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan layak menerima balasan rahmat-Nya. Ibadah yang diikat dengan rasa cinta berlainan daripada ibadah yang dilakukan tanpa ikatan perasaan apapun.

wallahu'alam..

-SaMpaiKan meSej IsLam seCara bErhEmaH-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


TUGAS berdakwah kepada masyarakat Islam adalah antara kewajipan yang dituntut dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Perintah kewajipan berdakwah ini sememangnya banyak terdapat di dalam rentetan ayat al-Quran dan juga hadis Rasulullah. Di antaranya, firman Allah maksudnya:

Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik. (surah al-Nahl, ayat 125)

Dalam surah yang lain, Allah berfirman lagi maksudnya:

Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata ‘sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman. (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi di dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan bahawa ayat-ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah dijelaskan al-Quran dan al-Sunnah dan ia adalah satu kewajipan yang amat besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Yang lebih menariknya, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan agar hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapatnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya:

Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya. (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana itu, Allah memerintahkan umat Islam supaya menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah salah satu pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping ia juga mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah. Ini kerana jika seorang pendakwah berdakwah dengan tidak mengambil kira pendekatan hikmah, sudah pasti akan menatijahkan kelompok sasaran semakin jauh darinya.

Sheikh al-Sabuni ketika mentafsirkan ayat di atas, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah dengan maksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci dengan cara yang penuh bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan kepada mereka dan seterusnya dapat menerimanya dengan penuh kerelaan tanpa kekerasan dan kekasaran.

Sehubungan itu, Allah menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap santun dan tidak bersikap kasar dalam tindak tanduknya. Ini kerana dengan bersikap kasar, orang bukan Islam bukan saja tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam, malah mereka juga akan terus membenci dan mencerca Islam, bahkan sampai ke tahap menghina Allah.

Oleh kerana itu, Allah berfirman yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan setiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan. (Surah al-An’am, ayat 108)

Jelas di sini bahawa Islam melarang umatnya mencerca orang bukan Islam dalam perkara ibadat mereka, apatah lagi mencerca sesama Muslim yang hanya sebab berlainan mazhab atau fahaman politik. Oleh sebab itulah berdakwah kepada kebaikan dengan tidak bersikap santun dan penuh hikmah hanya akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan di kalangan umat.

Berdakwah adalah satu kewajipan yang amat mulia di sisi Islam dengan tujuan untuk mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran. Sekiranya golongan yang didakwahkan itu tidak tertarik dan terbuka pintu hatinya, maka itu adalah kehendak dan ketentuan Ilahi semata-mata. Oleh sebab itu, seorang pendakwah hendaklah bersabar dan berusaha dengan lebih giat lagi untuk mempamerkan keindahan Islam.

wallahualam..

-ILmu AnGKat MaRtaBat MaNusia SeBaGai kHaLifah-

ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud:

“Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi.

Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi, seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud:

“Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah bermaksud:

“Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)


Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)

Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud:

“Allah mengangkat beberapa darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Di Malaysia, sumber ilmu melalui penghasilan buku sangat sedikit. Hasil kajian profil membaca Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 1996 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India.

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan perangkaan PNM itu, hanya 1,273 atau 32 peratus saja buku ilmiah dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, dilaporkan daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata:

“Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar:

“Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah)

-MiNda Mati JiKa kOntaNg iLmu-

Budaya membaca mampu mematangkan fikiran, tinggalkan kejahilan

TIADA buku tanpa pena dan kertas. Gersang buku, manusia akan jadi kaku. Jika tidak tahu menghargai manfaat tulisan, masyarakat tidak akan digelar berilmu, apatah lagi bijak pandai. Hari ini, cabaran kehidupan menuntut umat Islam terus mendampingi buku untuk mengendali liku-liku kehidupan dengan penuh hemah, bukan gundah dan tidak betah.

Buku melambangkan ilmu kerana di dalamnya tercatat segala yang perlu dipelajari sama ada sebagai manusia atau hamba. Ibarat cahaya menerangi kegelapan, ilmu dijadikan kewajipan ke atas setiap umat Islam supaya mampu meninggalkan kejahilan.

Kepentingan ilmu diakui apabila Allah menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu surah al-'Alaq yang bermaksud:

"Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui-Nya."

Tiada siapa tahu hakikat kebesaran Allah tanpa membaca kitab suci al-Quran. Tidak juga jika tidak cuba memahami maksudnya melalui bahasa yang difahami. Sama ada difahami melalui pembacaan, ajaran pakar tafsir yang ahli dalam bidangnya atau gandingan halaqah yang membincangkan makna setiap ayatnya, semuanya berbalik kepada pembacaan.

Darjat orang berilmu dengan yang sebaliknya wajar diperbandingkan. Hakikat ini dirakamkan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Katakanlah lagi kepada-Nya: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Allah juga meletakkan kedudukan orang berilmu itu lebih tinggi dan mulia, seperti disebut dalam mafhum-Nya yang bermaksud:

"Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

Hari ini pena dan tulisan boleh dimanfaatkan dengan begitu mudah, kadangkala tanpa perlu berhujan dan berpanas, kita boleh membaca di skrin komputer tanpa susah payah membelek helaian, yang tidak berkudrat pun boleh mendapatkan ilmu di layar komputer bila-bila masa, tinggal lagi kemahuan mesti dipaksa.

Sudah tentu kita membaca dengan harapan ilmu yang terkandung di dada semakin bertambah, supaya semakin matang dan berpemikiran menerajui diri dalam kehidupan. Gencatan akhlak akibat terlalu leka dengan hiburan dan tuntutan material melampau menyusutkan modal insan yang berketrampilan dalam ilmu serta moral.

Keadaan ini berlaku di mana-mana saja dalam dunia hari ini, cuma yang mempertahankan akidah dan keimanan ialah ilmu dan agama yang dijunjung. Bayangkan jika ilmu tidak lagi menjadi agenda negara dan setiap warga mengambil mudah pendidikan, sudah pasti tiada apa lagi yang tinggal.

Mengharapkan hati dan jiwa yang bersatu, kadangkala tidak kena dengan kepentingan sesuatu, tetapi jika ada ilmunya sudah tentu umat Islam mengkesampingkan sedikit sangsi sesama sendiri demi agama, bangsa dan negara.

Manusia yang dilantik sebagai khalifah di bumi Allah ini dibezakan dengan makhluk lain melalui kemampuan berfikir. Kemahiran ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika tugas minda tidak dibekalkan dengan keperluan sepatutnya seperti pembacaan dan pengalaman.

Allah mengajar hamba-Nya supaya memohon untuk ditambahkan ilmu yang ada, seperti firman Allah yang bermaksud:

"Dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." (Surah Taahaa, ayat 114)

Justeru, tuntutan menuntut ilmu khususnya berkaitan akidah, ibadat, akhlak, syariah dan muamalat amatlah dituntut supaya umat Islam tidak mudah terpesong dalam ranjau kehidupan di dunia yang terlalu mencabar ini.

Banyak kisah mengajar kita supaya sentiasa beringat, kelonggaran akidah kerana tipu daya dunia juga berlaku kerana kontang ilmu, sehingga ada sanggup menukar agama, membunuh diri, minum arak, berzina, bersosial tanpa batasan hukum, malah menggadaikan agama kerana wang ringgit, wanita dan kuasa yang sementara.

Dunia moden menuntut umat Islam mengejar kemajuan, sains dan teknologi yang menjadikan dunia semakin kecil perlu dihargai dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tetapi pencerobohan ke atas kehidupan peribadi menggunakan sains dan teknologi yang dikuasai dengan ilmu contohnya menunjukkan betapa ilmu tidak bermakna tanpa saringan akidah dan akhlak.

Ibu bapa sebagai guru pertama yang memberi pendidikan kepada anak perlu terlebih dulu mengisi dada dengan ilmu, walaupun ilmu bukan saja dilambangkan dengan segulung ijazah, tetapi juga contoh teladan yang baik untuk diikuti.

Ibu bapa perlu menyediakan ruang secukupnya untuk mendidik secara formal mahupun tidak formal, supaya setiap anak mengerti hakikat kepentingan ilmu sedari kecil.

Peluang untuk memilih sama ada menuntut ilmu atau tidak adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku hari ini kerana sebagai negara yang semakin disegani seluruh umat Islam di dunia, ilmu adalah lambang ketinggian dan kebanggaan negara.

Biarlah setiap Muslim berbeza dengan yang lainnya kerana ilmu. Insaf dengan hakikat penciptaan yang direka sebegitu rupa sebagai khalifah, inilah masanya umat Islam berfikir bagaimana untuk kembali kepada ilmu, di kala dunia Islam resah kerana ekonomi yang susut, akhlak merosot, perpaduan direnggut, tanah air direbut dan politik serabut.

-AmaLan MemBaCa LaHir uMat bEriLmu, BertAmaDuN-

Pemilihan bahan berkualiti mampu bina masyarakat berpengetahuan dunia dan akhirat

MEMBACA satu amalan mulia yang dapat membentuk insan berilmu pengetahuan. Hanya dengan ilmu pengetahuan tinggi, manusia dapat mencipta kejayaan gemilang seterusnya membentuk satu tamadun terbilang.

Inilah yang dilakukan oleh tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, Ibn Al-Haitham, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan ramai lagi. Segala bentuk khazanah ilmu berjaya mereka kaji dan terokai, bertitik tolak daripada proses pembacaan mendalam hingga menghasilkan penemuan bernilai serta berkualiti.

Maka selayaknya bagi tokoh ilmuwan bersama berjihad dalam bidang ilmu, mendapat pengiktirafan tinggi di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Allah akan meninggikan martabat orang yang beriman di antara kamu dan orang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ibu bapa mampu memupuk minat suka membaca di kalangan anak melalui pelbagai kaedah seperti pemberian buku bacaan ringan dan bagi yang berkemampuan, menyediakan mini perpustakaan di rumah dalam usaha membudayakan ilmu dalam suasana kondusif.

Pemilihan bahan bacaan, terutama yang berkualiti juga penting untuk membina jati diri Muslim bukan saja berilmu, juga berakhlak mulia. Lambakan bahan bacaan di pasaran jika tidak ditapis sesuai usia serta minat anak boleh memberi kesan sebaliknya.

Oleh itu, ibu bapa perlu memilih serta menapis buku atau bahan bacaan untuk diberi kepada anak dalam usaha meningkatkan minat terhadap ilmu pengetahuan melalui proses bacaan. Pastinya ibu bapa tidak mahu anak terdedah pengaruh serta ideologi negatif disebarkan melalui bahan bacaan.

Kehebatan dunia teknologi zaman ini sedikit sebanyak menurunkan minat golongan remaja untuk memilih buku sebagai bahan bacaan utama. Kebanyakan lebih suka duduk berjam-jam di hadapan komputer melayari internet daripada memperuntukkan sebahagian masa membaca buku.

Tanpa menafikan peranan internet yang tidak kurang pentingnya ketika ini, usaha perlu diteruskan bagi memupuk minat masyarakat untuk membaca buku yang lebih berbentuk ilmiah serta dipenuhi fakta yang jelas dan tepat.

Justeru, usaha kerajaan menganjurkan Kempen Bulan Membaca setiap tahun memang dialu-alukan dan seharusnya dimanfaatkan rakyat seluruhnya. Hal ini demi untuk memupuk sikap cintakan ilmu dalam diri individu seterusnya membina masyarakat celik ilmu pengetahuan dan bertamadun tinggi..

Kitab Nashr Thoy at-Ta'rif karangan Muhammad Abd Ar-Rahman bin Umar bin Muhammad menyatakan Imam Syafi'e pernah berkata yang maksudnya: "Sesiapa yang hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu."


Perlu menjadi ingatan bahawa keghairahan menerokai ilmu pengetahuan dan membaca bahan ilmiah bertimbun banyaknya, tidak sesekali menjadi alasan kepada kita untuk meninggalkan al-Quran sebagai salah satu bahan bacaan seharian.

Ini bertepatan dengan martabatnya sebagai kalamullah dan sumber utama bagi segala bentuk ilmu pengetahuan sama ada berkaitan dunia mahupun akhirat. Sesungguhnya ilmu Allah itu luas umpama hamparan lautan yang tidak bertepian.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada hamba-Nya untuk menimba seberapa banyak ilmu terkandung dalam al-Quran kerana mendalami isi kandungan kitab Allah secara tidak langsung mendekatkan hamba kepada Penciptanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahf, ayat 109)


Jika direnung pula tuntutan membaca melalui penurunan surah al-'Alaq, bukan saja meletakkan ilmu sebagai asas utama menimba pengetahuan tetapi juga cara menyebarkan dakwah menyeru kepada mentauhidkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq, ayat 1-5)


Amalan membaca menghasilkan petunjuk yang akan memandu manusia ke arah kehidupan lebih sempurna.

Istimewanya bagi mereka yang bersungguh menuntut ilmu, membaca akan menjadi satu tabiat sukar dipisahkan daripada aktiviti seharian.