Showing posts with label Ulul Albab. Show all posts
Showing posts with label Ulul Albab. Show all posts

-NuZuL al-Quran pEdoMaN Hayati KitaB Suci-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Kandungan kitab Allah lengkap dengan penawar, petunjuk urus kehidupan


MALAM ini umat Islam secara rasmi kenegaraan mahu pun tidak akan meraikan tahun ke-1413 sempena diturunkan ayat pertama al-Quran yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Junjungan kita, Muhammad SAW di Gua Hirak.

Keraian ini sebagai bukti zahir kecintaan kita kepada kitab petunjuk, al-Quran. Dengan meraikannya diharapkan kita selalu ingat dan dekat dengannya, merujuk kepadanya jika menghadapi kesusahan hidup dan kekal menjadikannya panduan hidup sama ada sebagai individu atau masyarakat.

Antara kata hikmah yang disinarkan al-Quran daripada diri seseorang yang membaca, memahami dan mentadabburinya ialah ucapan khalifah Abu Bakar al-Siddiq seperti ditulis al-Mahasibi dalam kitabnya Risalah al-Mustarshidin:

"Bertakwalah kepada Allah dengan cara mentaati-Nya, dan taatlah kepada Allah dengan bertakwa kepada-Nya. Tahanlah tanganmu daripada menumpahkan darah kaum Muslimin dan perutmu daripada memakan harta mereka, serta lisanmu daripada mencela kehormatan mereka."

Tali al-Quran yang mengikat Abu Bakar sejak masuk Islam menjadikan beliau graduan berjaya yang mengamalkan apa yang dia dapat daripada membaca, memahami dan mentadabburinya. Abu Bakar termasuk orang terawal mendengar al-Quran dan menerimanya sebagai kalam Allah.

Membaca al-Quran dan mentadabburinya, mendalami isinya dan merenungi kandungan ayatnya ialah perkara yang dapat dijadikan cara untuk meraih kebahagiaan dan kelapangan hati. Allah menyifatkan kitab-Nya itu sebagai petunjuk, cahaya dan penawar penyakit atas semua yang ada di dalam dada. Allah juga menyifatkannya sebagai rahmat.

Dengan penyebutan kata quran 71 kali oleh al-Quran dan 50 daripadanya ialah kata tunggal al-quran seperti dipaparkan mesin pencari Pocket Quran adalah satu bukti kebesaran nama al-Quran sendiri. Ini belum lagi sebutannya dalam bentuk kata dhamir seperti anzalnahu (Kami menurunkannya), atau nama lain seperti al-Kitab, al-Furqan dan al-Huda.

Al-Quran memperkenalkan diri dengan di dalamnya tidak ada keraguan seperti menerusi ayatnya bermaksud:

"Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah: 2)

Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai petunjuk dalam ayatnya bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. Dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Israk: 9)

Al-Quran bukan hanya petunjuk kepada sesuatu kaum tetapi kepada umat manusia seluruhnya ke jalan amat lurus.

Ia wajib dipegang dan ditaati dengan wajib meninggalkan kitab lain agar tidak tersesat. Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai pelajaran dan penawar semua penyakit di dalam dada menerusi ayatnya bermaksud:

"Sesungguhnya sudah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada dalam dada)." (Surah Yunus: 57)

Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai ubat penawar dan rahmat dalam ayatnya bermaksud:

"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian." (Surah al-Israk: 82)

Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai sesuatu yang mempunyai keberkatan dalam ayatnya yang bermaksud:

"(Al-Quran) ini kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) yang penuh dengan berkat supaya memperhatikan ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sad: 29).


Berkat dalam ayat ini bermakna banyak faedah dan manfaat.

Demikianlah beberapa pengenalan yang disampaikan al-Quran mengenai dirinya yang tidak ada syak atas kebenarannya, petunjuk, pelajaran, penawar, rahmat dan berkat.

Ketika seseorang menerima pelawaan perkenalan diri al-Quran ini kemudian menjadikannya sebagai teman sepanjang hayat dalam apa juga keadaan, lahirlah peribadi dan masyarakat 'khaira ummah', atau sebaik-baik umat (Surah Ali Imran: 110) yang dibuktikan pada zaman Nabi SAW dan sahabat Baginda.

Al-Syahid Sayyid Qutb dalam pendahuluan Fi Zilal al-Quran menulis bahawa hanya al-Quran saja yang menjadi sumber panduan mereka, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukan kerana umat manusia pada zaman itu tidak punya tamadun, kebudayaan, pelajaran, buku atau kajian kerana sebenarnya pada zaman itu sudah ada tamadun dan kebudayaan Romawi, buku dan undang-undangnya, yang sudah dan masih dijadikan panduan orang Eropah sampai hari ini.

Di sana juga sudah wujud peninggalan tamadun Yunani (Greek), ilmu mantiknya, falsafah dan kesenian yang juga masih menjadi sumber pemikiran Barat hingga sekarang, malah di sana juga wujud tamadun dan peradaban Parsi, kesenian, sajak, syair dan dongeng, kepercayaan dan sistem perundangannya, serta tamadun lain, seperti India, China.

Romawi dan Parsi berada di sekeliling Semenanjung Arab, sama ada di utara atau selatan, ditambah agama Yahudi dan Nasrani yang sudah wujud di tengah semenanjung itu sejak berapa lama dulu.

Jadi bukan faktor kekurangan tamadun dan kebudayaan duniawi yang menyebabkan generasi pertama itu menceduk daripada Kitab Allah (al-Quran) saja pada peringkat pertumbuhan mereka, tetapi ialah planning yang ditentukan dan program yang diatur.

Dalil yang terang atas keadaan ini ialah kemurkaan Rasulullah SAW ketika beliau melihat Saidina Umar al-Khattab RA memegang sehelai kitab Taurat.

Melihat keadaan ini Baginda bersabda yang bermaksud:

"Demi Allah jika Nabi Musa masih hidup bersama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku." (Hadis riwayat Abu Ya'la).

Oleh itu, kesimpulannya Rasulullah SAW bermaksud dan mengarahkan sumber panduan dan pengajaran generasi pertama itu pada peringkat pertumbuhan lagi, hanya terbatas kepada kitab Allah (al-Quran) supaya jiwanya melurus ke arah program-Nya yang tunggal itu. Baginda murka melihatkan Umar cuba mencari panduan daripada sumber selain al-Quran.

Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi bersih hati, pemikiran, pandangan hidup, perasaannya dan murni jalan hidupnya daripada unsur selain landasan Ilahi yang terkandung dalam al-Quran.

Pepatah mengatakan tak kenal maka tak cinta dan jika tidak ada kasih sayang hubungan akan hambar, kaku bahkan beku sehingga kita tidak menghiraukan keindahan dan manfaat teman. Al-Quran memperkenalkan dirinya, tidakkah anda mahu berkenalan dengannya?

RAMADHAN KAREEM..=)

........WASSALAM.............

-LiMa Surah al-QuraN diMuLakaN deNGaN LafaZ haMdaLaH-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Ayat dimulakan dengan hamdalah iktibar ummah capai kejayaan dunia, akhirat


ADA sesuatu yang menarik daripada lima surah al-Quran dimulakan dengan lafaz hamdalah dengan catatan bahawa basmalah tidak termasuk awal ayat surah al-Fatihah. Kelima-lima surah ini ialah al-Fatihah, al-An'am, al-Kahf, Saba, dan Fatir.

Jika membuka mushaf dan membaca kelima-lima surah ini, anda dapati permulaannya dengan ayat berikut mafhumnya:

  • "Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

  • "Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka."

  • "Segala puji tertentu bagi Allah yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), kitab suci al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)."

  • "Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi-Nyalah juga segala puji di akhirat dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya."

  • "Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi yang menjadikan malaikat utusan bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang dicipta-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

    Semua surah di atas dimulakan dengan lafaz hamdalah, Alhamdulillah yang maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah."

    Bagi ulul albab yang mempunyai sifat selalu berzikir dan bertafakur tentu mencari rahsia kenapa kelima-lima ayat ini dimulakan dengan hamdalah. Apakah hubung kait antaranya?

    Apakah hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya? Bagaimanakah penyatuan makna kelima-lima surah itu boleh dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi?

    Siapakah yang boleh dan mesti mengambil peranan untuk menjayakannya? Banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan dalam menyingkap rahsia hubungan kelima-lima surah di atas.

    Urutan surah al-Quran seperti pada mushaf hari ini � bermula dengan al-Fatihah dan berakhir dengan al-Nas adalah tauqifi yakni sudah ditetapkan Allah SWT, tidak ada ijtihad daripada siapa pun dalam menentukannya dan tidak ada kena mengena dengan apa pun.

    Urutan itu seperti yang ada di Luh Mahfuz sebelum diturunkan hampir 23 tahun masa kenabian junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

    Al-Fatihah (pembuka atau mula) surah nombor satu, al-An'am (binatang ternak) keenam, al-Kahfi (gua) ke-18, Saba (negeri Saba) ke-34, dan Fatir (pencipta) ke-35.

    Dalam Tafsir Pimpinan Arrahman dinyatakan pada nota dua: "Pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna kepada yang dipuji seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran dan keagungan.

    Oleh kerana segala kesempurnaan dan kebesaran serta keagungan dan kekuasaan hanya ada pada zat Allah Yang Maha Kuasa; maka hanya Allah SWT berhak menerima pujian seperti Allah juga berhak memuji zat-Nya sendiri."

    Daripada kelima-lima surah di atas kita boleh mengambil iktibar demi kejayaan pelaksanaan kehidupan bermasyarakat dan negara berpandukan ajaran dan petunjuk al-Quran. Iktibar ini dilihat sama ada daripada nama surah dan inti sari permulaan ayat dan surah dengan mengambil contoh dilakukan pengarang kitab Asrar Tartib al-Quran (Rahsia urutan surah al-Quran), al-Imam Jalaluddin al-Suyuti.

    Iktibar daripada nama surah agar bermasyarakat dan negara boleh berjaya berpandukan al-Quran mesti mempunyai visi (al-Fatihah); kenderaan atau alat (al-An'am); tempat (al-Kahfi); masyarakat/kelompok (Saba) dan pemimpin/pentadbir (Fatir).

    Iktibar daripada sudut inti sari awal ayat dalam surah yang dikhaskan untuk matlamat ialah matlamat global atau makro ada dalam hamdalah surah al-Fatihah kerana disebutkan sesudahnya: "Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." Matlamat mikro ada dalam hamdalah surah al-An'am kerana disebutkan sesudah 'yang menciptakan langit dan bumi.'

    Penciptaan langit dan bumi hanya sebahagian daripada sekalian alam. Kedua-dua matlamat ini yakni makro dan mikro memerlukan buku panduan dan ia ada pada hamdalah surah al-Kahfi yang menyebut sesudahnya: "yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab Suci al-Quran."

    Buku panduan ini mesti dirasa milikan dan dikuasai tuntutannya agar matlamat bermasyarakat dan negara boleh dicapai. Iktibar ini boleh kita ambil daripada hamdalah surah Saba yang menyebut sesudahnya: "yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi."

    Agar matlamat berkenaan berhasil, diperlukan jentera pelaksana yang dapat kita peroleh daripada hamdalah surah Fatir yang menyebut sesudahnya: "yang menjadikan malaikat utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya."

    Seperti kita akui, malaikat ialah makhluk Allah SWT maksudnya: "Mereka tidak menderhaka kepada Allah SWT dalam segala yang diperintah-Nya dan mereka tetap melakukan segala yang diperintah." (Surah al-Tahrim: 6)

    Memuji dan mengagungkan Allah SWT ialah kewajipan manusia kerana Dialah yang menciptakan mereka dan menjadikan semua di bumi untuk kepentingan dan keperluan mereka.

    Firman Allah bermaksud: "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah SWT sudah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi." (Surah Luqman: 20)

    Hassan al-Banna dalam Usul Ishrin menggariskan: "Islam ialah sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah seperti ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah."

    Dalam perkara kedua dinyatakan juga: "al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW ialah sumber rujukan bagi setiap Muslim dalam memahami hukum Islam.

    "Al-Quran perlu difahami mengikut kaedah bahasa Arab tanpa memberatkan dan tidak pula membabi buta. Sunah pula difahami melalui periwayat hadis yang thiqah."

    Sebagai negara merdeka dan berdaulat, negara Islam perlu mempunyai falsafah negara merangkumi asas ideal mengenai pandangan dan cara hidup dalam negara dan berbangsa yang dapat mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ketahanan nasional dan mengekalkan kelangsungan bangsa.

    Daripada mencari dan meniru falsafah yang tidak sesuai dengan corak hidup masyarakat Islam, sepatutnya digali falsafah kenegaraan daripada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan sunah serta amalan generasi ulung Islam terdahulu dengan mengambil iktibar daripada kelima-lima surah al-Quran yang disorot dalam tulisan ini.

    Pengambilan iktibar ini ialah sebagai cara untuk menzahirkan memuji Allah dengan melafazkan Alhamdulillah. Wallahu a'lam.

  • -MeniLai keMuLiaaN diRi PaDa SyaaBan, RamaDHan-


    In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

    Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..

    Keberkatan kedua-dua bulan wajar jadi dorongan kepada manusia melipatgandakan amal.


    "JIKA kejahatan dibalas dengan kejahatan,maka ia dendam.Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan,ia perkara biasa.Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan,ia adalah zalim.Tetapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan itu adalah mulia dan terpuji," kata novelis terbilang berasal dari Kanada pada awal abad ke-20,Moza de la Roche.

    Kita melihat hikmah yang mendalam di sebalik kata-kata itu.Nilai kebaikan sejagat yang ada di dalamnya ialah balaslah kejahatan dengan kebaikan jika kita ingin hidup mulia dan terpuji dan jangan sekali-kali kita berbuat sebaliknya kerana ia satu kezaliman.

    "Dan jika kamu membalas kejahatan(pihak lawan),maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang sudah ditimpa kepada kamu,dan jika kamu bersabar,(maka)sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar." (Surah al-Nahl: 126)

    Nilai kebaikan sejagat yang ada pada ayat ini ialah sifat mulia dan terpuji yang ada pada kesabaran dengan tidak membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita walaupun ia dibenarkan atas dasar qisas sebagai 'semangat' keadilan.

    Oleh itu kita dapati baginda Rasulullah SAW menarik balik sumpahnya untuk mengqisas Wahsyi,budak yang membunuh bapa saudara Rasulullah,Hamzah kerana baginda mahu mendapatkan pahala sabar yang besar di samping melaksanakan anjuran Allah SWT dalam ayat di atas.

    Maha Benar Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud:

    "Dan bersabar (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu)dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan(memohon pertolongan)Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka,dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."(Surah al-Nahl: 127).

    Pada bulan yang mulia ini,Syaaban sebagai pembuka kepada bulan mulia yang lain, Ramadan ada baiknya kita menilai diri di manakah keadaan kita sebenarnya di antara orang yang mulia?Orang yang mulia berakhlak baik kerana akhlak yang baik itu adalah kebahagiaan tersendiri,sedangkan akhlak yang buruk adalah petaka dan bencana.

    Dalam hadis bermaksud:

    "Sesungguhnya akhlak yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan sembahyang malam."

    Baginda sentiasa berdoa pada Syaaban ini dengan doanya yang masyhur "Allahumma barik lana fi Sya'ban,wa ballighna Ramadan", Ya Allah,anugerahkan kami keberkatan pada Syaaban dan sampaikan hidup kami ke Ramadan.Betapa mulianya Ramadan sehingga Baginda mengharapkan dapat hidup di dalamnya walaupun diantara Syaaban dan Ramadan tinggal selangkah lagi.Betapa besarnya Ramadan sehinggakan Baginda ingin mendapatkan kebesarannya walaupun masih berada dalam Syaaban.

    Kebaikan yang ada dalam kedua-dua bulan mulia ini sangat banyak dan tidak seperti bulan lain.Baginda tidak pernah banyak berpuasa sunat kecuali pada Syaaban, sedangkan selama Ramadan baginda menunaikan kewajipan puasa.

    Pada Syaaban,ada malam Nisfu Syaaban dan dalam Ramadan ada malam Nuzul al-Quran. Dalam Syaaban ada solat sunat Nisfu Syaaban bagi sesetengah umat yang mahu melakukannya,manakala pada Ramadan ada solat tarawih bagi semua umat.Pada Syaaban pengampunan Allah SWT ke atas umat manusia kecuali orang musyrik,orang yang bermusuhan,pembunuh diri dan pelaku zina manakala pada Ramadan ada pembebasan manusia daripada api neraka.

    Kebaikan sedemikian yang kita cari di dunia sebagai jalan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak.Melalui kebaikan itu kita akan mendapatkan kemuliaan dan kemuliaan akan mendekatkan kita kepada al-Khaliq,Maha Pencipta.

    Allah berfirman yang bermaksud:

    "Sesiapa yang mahukan kemuliaan(maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT)kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan.Kepada Allah jugalah segala perkataan yang baik(yang menegaskan iman dan tauhid,untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan)dan amal yang salih pula diangkat-Nya naik(sebagai amal yang makbul,yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya)dan sebaliknya,orang yang merancangkan kejahatan(untuk mendapat kemuliaan),adalah bagi mereka azab yang berat dan rancangan jahat mereka(kalau berkesan pun)akan rosak binasa."(Surah Fatir: 10)

    Jika kemuliaan boleh didapati dengan melaksanakan perintah Allah SWT seperti dikatakan ayat di atas,maka sebaliknya kehinaan akan diperoleh seseorang jika dia mengetepikan perintah berkenaan.

    Dalam realiti kehidupan negara,kemuliaan warga negara dapat diperoleh jika dia melaksanakan semua peraturan negara dengan baik.Bagi pemimpin pula,kemuliaan kepemimpinannya akan semakin terserlah dengan lapan perkara.

    Abu Ja'far bin Babawaih al-Sijistani berkata: "Seorang raja pernah menulis surat kepada raja negeri lain. "Bagaimana engkau mengatur kerajaanmu dan memerintah rakyatmu? Raja negeri itu menjawab: "Dengan lapan cara;

    - tidak bergurau ketika memerintah dan melarang.
    - tidak melanggar satu pun janji dan ancaman.
    - menghukum berdasarkan kesalahan bukan berdasarkan kedengkian.
    - mengangkat pegawai berdasarkan kecekapan bukan berdasarkan keinginan.
    - memujuk hati rakyat dan tidak memaksa.
    - mempermudah pemberian kebenaran bukan kerana kelemahan.
    - menyediakan bahan makanan dengan merata dan,
    - menghindari perkara yang berlebihan."

    Kemuliaan itu bukanlah diukur dengan kegagahan dan penampilan.Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara.Demikian pula kebahagiaan,tidak dinilai daripada banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan.

    Nilai manusia yang mulia sebenarnya diukur daripada kemurahan hati dan sifat terpuji,bukan baju yang dipakainya,kasut yang digunakannya,bukan istananya dan bukan pula rumahnya.Justeru,yang menjadi ukuran ialah nilai ilmu,dermawan,kesabaran dan akalnya yang dirangkumkan dalam istilah takwa.

    "Sesungguhnya,orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa," maksud firman Allah dalam Surah al-Hujurat(ayat 13).

    Syaitan sebagai musuh yang wajib kita lawan menyuruh berbuat jahat dengan tidak mengendahkan ajaran Allah.Dengan mengikuti jejaknya itu kita akan tersesat dan hina. Oleh itu supaya kita tidak tersesat dan menjadi mulia,kita wajib melawannya dengan tidak membalasnya melakukan perbuatan dosa tetapi dengan melakukan perbuatan baik. Di situlah kemuliaan manusia terserlah dan pada Syaaban dan berikutnya Ramadan adalah masa sesuai untuk bertindak menuju kepada kemuliaan."Allahumma barik lana fi Sya'bana wa ballighna Ramadana".

    wallahualam..