Showing posts with label Doa dan Adab. Show all posts
Showing posts with label Doa dan Adab. Show all posts

- BERBUAT BAIK SESAMA JIRAN TETANGGA -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)




ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingat supaya menjaga serta memelihara hubungan dengan jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat negara ini secara umumnya dilihat masih kental namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara.

Justeru, masyarakat perlu menghayati kembali suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan, kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa.

Nabi SAW menunjukkan contoh teladan membina kerukunan hidup berjiran termasuk mengambil berat dan hidup rukun bersama jiran tetangga.

Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW berkunjung menemui Abu Zar yang sedang memasak kuah lalu Baginda berkata:

“Wahai Abu Zar , jika kamu memasak perbanyakkanlah airnya. Kemudian, berilah jiran tetanggamu daripada masakanmu itu dengan baik.”

Islam menekankan hubungan baik sesama tetangga demi melahirkan suatu kehidupan dalam masyarakat yang harmoni. Mungkin barang yang kita sedekah atau berikan kepada jiran tidak seberapa tetapi nilai ganjaran pahala di sisi Allah sangatlah besar.

Di samping itu, pemberian seumpama itu juga akan mencetuskan nilai kasih sayang sesama manusia. Jibril selalu berpesan kepada Nabi SAW mengenai jiran dan tidak sempurna status iman seseorang seandainya tidak berbuat baik terhadap jiran.

Sabda Baginda SAW bermaksud:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Nabi SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Kesibukan kerja dengan waktu tidak menentu mendorong melakukan hal masing-masing.

Bagaimanapun, itu bukan alasan mengetepikan tanggungjawab terhadap jiran kerana pasti ada cara bermesra dengan jiran yang tinggal di sebelah atau berhampiran rumah kita. Senyum atau melambai tangan sudah memadai untuk memberitahu jiran kita mengenali mereka.

Bagi perumahan berpagar yang mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan, semangat kejiranan boleh dipupuk melalui pertubuhan Jawatankuasa Persatuan Penduduk yang bertanggungjawab mengambil berat kemaslahatan penduduk taman berkenaan.

Melalui persatuan penduduk juga, pelbagai program dapat digerakkan bagi mengeratkan hubungan dan penduduk juga jangan mengasingkan diri atau enggan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan.

Kehidupan berjiran secara positif seperti dianjurkan Islam mampu mencegah jenayah dalam masyarakat setempat. Ini kerana semua pihak harus mengambil berat dan saling membantu. Keadaan seperti ini menyukarkan pihak yang ingin melakukan jenayah seperti kecurian.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasakan oleh setiap umat Islam. Jangan biarkan kepentingan diri menenggelamkan hubungan dengan jiran tetangga.

Umat Islam dilarang menyakiti jiran termasuk bukan Islam walaupun mereka bersikap sombong atau tidak mesra. Sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa mengambil berat keperluan jiran serta membantu apabila diperlukan.

wallahu a'lam..

-MAKRUH MENDOAKANNYA-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Syukur Alhamdulillah kepada ALLAH swt kerana memberikan kesempatan lagi kepada ana untuk meneruskan jihad da'wah melalui tinta keyboard di sini ...=)

Seperti mana yang telah kita ketahui, Islam adalah agama yang lengkap lagi terperinci. Ini sememangnya satu kebenaran. Jika kita mengkaji Islam secara keseluruhan, akan kita temui bahawa Islam mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Ia bukan sekadar sebuah agama yang menjalankan ibadah seperti sembahyang dan zikir, tetapi ia turut meliputi ekonomi, sosial, politik, peperangan dan sebagainya.

Menyentuh tentang kehidupan, dua aspek yang turut dicakupi oleh Islam ialah adab ketika bersin dan menguap. Ini merupakan perkara yang lazim berlaku kepada kita, tanpa disedari telah digariskan oleh Islam adab-adabnya.

Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada 5 (lima), menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, memenuhi undangan dan menjawab orang bersin. (HR. al Bukhari dan Muslim, hadits no. 900 pada Terjemahan Riyadush Shalihin).

Menguap dan bersin secara tidak langsung memiliki kaitan antara satu sama lain, iaitu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Maka apabila (seseorang) bersin, hendaklah dia memuji Allah (dengan mengucapkanAlhamdulillah ) dan merupakan kewajipan bagi setiap muslim (yang mendengar saudaranya bersin) untuk mendoakannya. Adapun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan. Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (seseorang menguap) berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.”[Sahih al-Bukhari, hadis no: 6223]


Bersin adalah sesuatu yang disukai oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis di atas. Di antara sebab ia disukai adalah, bersin membersihkan rongga hidung dan tekak dari habuk, debunga, bakteria dan apa-apa lain yang mungkin memenuhi rongga tersebut. Bersin juga adalah satu cara untuk sistem badan menyesuaikan diri dengan perbezaan cuaca yang berlaku secara mendadak. Oleh kerana itulah seseorang itu lazim bersin jika dia bergerak dari tempat yang sejuk kepada panas atau panas kepada sejuk. Bahkan seseorang itu juga akan bersin semata-mata dengan melihat kepada keterikan sinaran matahari.

Berhubung dengan tajuk ana pada kali ini, pasti ada yang tertanya-tanya kenapa terdapat hukum makruh di dalam adab bersin ini. Makruh yang ingin ana tekankan ialah sekiranya seseorang yang ketika bersin tidak mengucapkan maka makruh untuk kita mendoakannya. Terdapat 2 riwayat berhubung perkara ini.

Anas r.a berkata:

عطس رجلان عند النبي صلى الله عليه وسلم فشمت احدهما ولم يشمت الاخرء،
فقال الذي لم يشمة: عطس فلان فشمته، وعطست فلم تشمتني،
فقال: هذا حمد الله وانك لم تحمد الله


maksudnya: "Dua lelaki bersin dihadapan Rasulullah saw,Baginda mendoakan mereka dengan kepada salah seorang daripada mereka. Pemuda yang tidak mendapat doa baginda berkata: kenapa engkau tidak mendoakan aku. Sedangkan engkau mendoakan dia. Rasulullah saw bersabda: dia mengucapkan sedangkan kamu tidak mengucapkannya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Musa al-Asy'aari r.a berkata:

اذ عطس احدكم فحمد الله فشمتو، فان لم يحمد الله فلا تشمتوه

maksudnya:"aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu bersin dan mengucapkan ,maka katakanlah padanya .Sekiranya dia tidak mengucapkan , maka jangalah kamu mendoakan padanya. (Hadis Riwayat Muslim).



Kelebihan mengucapkan ketika bersin

Bersin membawa rahmat. Hikmah di sebalik semua ini ialah boleh melegakan dan membebaskan gas yang terperangkap dalam kepala yang boleh menyebabkan penyakit. Oleh itu, Islam memerintahkan orang yang bersin memuji ALLAH swt. Apabila seseorang itu menyebut dan memuji ALLAH, ia boleh membangkitkan kelamahan syaitan.

Selain itu, ikatan ukhuwah dan kasih sayang sesama umat Islam dapat dijalinkan kerana mereka saling berdoa untuk mendapat rahmat dan petunjuk daripada ALLAH. Sepatutnya seseorang muslim itu patut bergembira dengan doa yang dipohon untuknya. Ia membawa makna yang baik dan perlu diingati oleh setiap muslim.

Mengingatkan banyak kebaikan bersin, ditambahi dengan faktor bahawa ia adalah sesuatu yang disukai oleh Allah, seseorang itu dituntut untuk memuji Allah ketika bersin. Bacaan pujian tersebut ialah yang bermaksud “Segala puji bagi Allah dalam segala sesuatu”.

Sesiapa yang tidak mengucapkan kerana lupa atau seumpamanya, maka dianjurkan bagi sesiapa yang berada disisinya atau berdekatan dengannya agar mengingatkannya untuk mengucapkan kerana mengucapkan tahmid, iaitu ketika bersin itu adalah orang-orang yang ingat dan bersyukur kepada ALLAH swt. Maka bagi orang-orang yang bersyukur kepada ALLAH itu pasti mendapat ganjaran yang tidak terhingga.

Ulama Ibnu Muflih al-Hambali r.h berkata:

"Al-razi mengambil pendapat daripada beberapa orang doktor, iaitu bersin bukanlah tanda-tanda permulaan penyakit kecuali jika dengan selsema."

Ibnu Hurairah r.h berkata:

"Jika seseorang itu bersin,ia menunjukkan bahawa dia berada dalam keadaan yang sihat. Penghadaman dan kekuatan fizikal yang baik. Oleh itu,dia memuji ALLAH swt. Rasulullah saw amat menggalakkan kita memuji ALLAH".

Adab ketika bersin

Adab ketika bersin ialah menutup mulut dan hidung dengan tangan atau kain. Pada waktu yang sama hendaklah merendahkan muka dan suara. Jangan bersin sehingga menghamburkan air liur, bersin ke arah muka orang lain atau bersin dengan suara yang kuat. Abu Hurairah menerangkan adab Rasulullah s.a.w. ketika bersin:

“Apabila Rasulullah s.a.w. bersin, baginda meletakkan tangannya atau bajunya ke atas mukanya (mulut dan hidung) sambil merendahkan (atau sambil menundukkan muka dan) suaranya.” [Sahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5029]


Lafaz doa ketika bersin dan cara mendoakan mereka.

Terdapat beberapa riwayat yang berbeza yang menyatakan lafaz memuji dan menjawab semula doa-doa tersebut.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Ketika salah seorang di antara kamu bersin maka hendaklah dia berkata: (segala puji bagi ALLAH). Dan hendaklah saudaranya atau temannya mendoakannya: (semoga ALLAH merahmatimu). Dan ketika temannya berkata demikian (semoga ALLAH merahmatimu), hendaklah orang yang bersin tadi berkata (semoga ALLAH memberi petunjuk dan memperbaiki sifatmu)
- Hadis Riwayat al-Bukhari : no 6224


Nafi r.a berkata:
"Jika seseorang berkata kepada Abdullah bin Umar r.a ketika dia bersin, maka dia akan berkata yarhamunallaahu wa iyyakum wa yaghfir lana wa lakum (semoga ALLAH merahmati kami dan kamu, semoga DIA memaafkan kami dan kamu)".- Rujuk kitab al- Muwattak, Imam Malik, ms:1800

Salim bin Ubaid r.a berkata bahawa Rasulullah saw berkata:

اِذَ عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ : الْحَمْدُ للهِ رَبَّ الْعَالمٍينَ ,
وَلْيَقُلْ لَهُ مَنْ يَرُدُّ عَلَيْهِ : يَرْحَمُكَ اللهُ ,
وَلْيَقُلْ : يَغْفِرُ اللّةُ لَنَا وَلَكُمْ

maksudnya:"Apabila salah seorang daripada kamu bersin,katakanlah: (segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam). Jawablah: (semoga ALLAH merahmati kamu). Oleh itu, dia hendaklah berkata: "يَغْفِرُ اللّةُ لَنَا وَلَكُمْ"(semoga ALLAH mengampuni kami dan kamu)".
- Hadis Riwayat Abu Daud: 5031 dan At-Tirmidzi: 2740

*Hadis ini diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam sahih al-adab al-Mufrad:715

Abu Hamzah r.a berkata:

سَمِعتُ ابنَ عَبِّاسَ يقُولُ اِذَ شُمَّت عَا فا نَا اللّةُ وَاِيَّاكُم مِنَ النَّار , يَرْحَمُكُمُ للهِ

maksudnya: "Aku mendengar Abu 'Abbas mendoakan kepada orang yang berkata yarhamukallah (semoga ALLAH merahmati kamu) kepadanya dengan aafanallah wa iyyakum minannar(semoga ALLAH menyelamatkan kami dan kamu dari neraka)."

*Hadis ini diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Albani dalam sahih al-adab al-Mufrad


Para ulama' telah sepakat bahawa lafaz yang dianjurkan untuk diucapkan oleh rang yang bersin ialah (segala puji bagi ALLAH) dan lebih baik (segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam) dan lebih afdhal (segala puji bagi ALLAH ke atas tiap-tiap suatu perkara).


kesimpulannya, terdapat beberapa lafaz yang digunakan untuk memuji ALLAH ketika bersin,antaranya:

-
Alhamdulillah
(segala puji bagi ALLAH)


-

Alhamdulillah 'ala kulli hal
(segala puji bagi ALLAH dalam apa jua keadaan)


-

Alhamdulillah Rabbil 'alamin
(segala puji bagi ALLAH Tuhan sekalian alam)


manakala lafaz-lafaz yang digunakan untuk mendoakan kerahmatan orang yang bersin juga telah diriwayatkan dalam pelbagai riwayat, antaranya:

-
Yahdikumullah wa yuslihu baalakum
(semoga ALLAH membimbing kamu dan memperbaiki keadaan kamu)


-"
يَغْفِرُ اللّةُ لَنَا وَلَكُمْ"
yaghfirullaahu lana wa lakum
(semoga ALLAH mengampunkan kami dan kamu)

-"عَافَانَا اللّةُ واِيَّاكُم مِنَ النَّر , يَرْحَمُكُمُ اللّةُ"
'Aafaanallah wa iyyakum minannar, yarhamukallah
(semoga ALLAH menyelamatkan kami dan kamu dari api neraka, semoga ALLAH merahmati kamu)


-yarhamunallaahu wa iyyakum wa yaghfir lana wa lakum (semoga ALLAH merahmati kami dan kamu, semoga DIA memaafkan kami dan kamu)


seorang muslim sepatutnya mengkaji dalil dan melatih diri agar dapat melakukan sesuatu perintah tanpa soal. Percayalah bahawa ALLAH adalah bijaksana. Terlalu banyak hikmah yang tersembunyi disebalik perintah ALLAH dan Rasulullah saw.





Rujukan:
-Kitab al-adab al-shara'iyyah, Ibnu Muflih, jil:2, ms:334
-Zaad al-Ma'ad, Ibn al-Qayyim, jil:2, ms:438
-Ghadhaa' al-Albab al-Safaareeni, jil:1, ms:441
-Rujuk fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid


-BerBUat BaiK KepaDa iBu BapA-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Seseorang anak mesti taat segala kemahuan orang tua selagi tidak langgar syarak



BERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan 'bahasa badan' yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.

Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil. " (Al-Isra' : 23 & 24)

Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa. Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa'd menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa.

Pendapat al-Layth dikuatkan dengan pandangan al-Imam al-Qurtubi yang membawa satu hadis mengenai seorang sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapakah yang paling utama untuk berbuat baik kepadanya. Di dalam hadis berkenaan, jawapan yang diberikan Rasulullah SAW adalah ibu dan Baginda mengulangi jawapannya sebanyak tiga kali apabila ditanya lagi oleh sahabat berkenaan.

Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.

Melakukan ketaatan kepada ibu bapa meliputi pelbagai aspek yang boleh dilaksanakan, iaitu:

# Sentiasa berbuat baik dan menjalinkan hubungan mesra dengan mereka walaupun terdapat sedikit pergeseran pendapat dan kurang bersefahaman. Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya."
(Hadis al-Tirmizi).


#Berlemah-lembut ketika bercakap dengan mereka dan tidak meninggikan suara. Apatah lagi, seseorang diharamkan daripada membantah, berdebat, berdusta dan mendahului percakapan mereka.

#Sentiasa berdoa kepada Allah agar mereka sentiasa diampunkan. Berdoa yang dimaksudkan di sini bukan hanya terbatas ketika mereka masih hidup saja, malah dituntut juga berdoa selepas kedua-duanya meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah.

#Membantu mereka dari sudut kebendaan mengikut kadar kemampuan yang dimiliki. Ia akan membuatkan ibu bapa merasa gembira sekali gus akan membawa keberkatan di dalam hidup seseorang anak.

#Menunaikan segala wasiat apabila mereka meninggal dunia. Begitu juga, si anak sepatutnya terus menjalinkan silaturahim dengan saudara-mara dan rakan-taulan ibu bapa mereka. Ia akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan harmoni.

Tegasnya, setiap insan perlu melakukan segala kebaikan kepada ibu bapa mereka. Ini kerana, dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mereka akan dimurahkan rezeki dan mendapat kasih sayang dan ihsan daripada isteri dan anak-anak. Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar , Rasulullah bersabda,

"Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (Hadis al-Tabrani)

wallahu'alam..

-TiGa jeNiS Sifat terCeLa PerLu DijauHi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (riak). Ujub dapat diertikan sebagai 'menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain'. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain.

Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda:

“Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” - (Hadis Baihaqi)

Jenis ujub termasuklah:

# Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.

# Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah:

“Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” - (Surah al-Israa’: 85)

# Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” - (Surah al-Hujurat: 13).

Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

wallahu'alam..



sumber : risalah "syiar Islam"

-kaEdaH HiNDari MeNguMPat-




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud,

"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah,

"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis Abu Daud).


Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud,

"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab, "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.

Antaranya ialah:

١-
Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

٢- Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

٣- Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

١-Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;

٢-Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

٣-Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

٤-Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

٥-Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

٦-Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan,

pertama, ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua , orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

wallahu'alam..

-JaNji perLu dikotakaN BukaN SekaDar PeMaNis muLut-




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



TTINDAK balas kita sebagai umat Islam apabila sesuatu situasi berlaku ada kala dilakukan dengan tujuan sebagai untuk menunjukkan keprihatinan semata-mata. Seolah-olah keikhlasan hanya perkara kedua dan tidak penting dalam mendasari sesuatu peristiwa. Apabila kita mendapat tahu berita kematian dari seseorang dengan pantas kita akan menyebut 'Innalillahiwainahillahirajiun' (dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali). Selepas itu sama ada si mati akan diziarahi atau tidak akan bergantung kepada sama ada si mati ada hubungan kekeluargaan, kawan rapat atau ada hubungan perniagaan dengan penerima berita berkenaan. Seolah kematian itu dekat dengan si arwah dan jauh dari kita.

Kata orang cara yang paling baik ialah cara yang selamat. Mungkin dengan hanya menyambut berita kematian dengan satu baris ayat yang menjadi perkara sunat dan sifat seorang Muslim sudah cukup untuk melepaskan tanggungjawab kita untuk mengetahui kebajikan si mati yang tidak mempunyai kepentingan wang ringgit kepada kita.

Kita lekas beranggapan akan ada orang yang akan mengafan dan mengebumikan jasad si mati dan kita akan segera berfikir secara logik apa perlu melawat orang meninggal dunia yang tiada kepentingan dan keuntungan langsung kepada diri kita. Lainlah kalau si mati itu majikan kita, klien kita, ibu bapa kita, saudara kita, guru kita, sahabat kita mungkin kita akan segera berziarah dan sama-sama membantu dalam urusan pengebumian.

Tabiat hanya memberi tindak balas tanpa melakukan amalan sepatutnya, mungkin kerana desakan hidup dan tiada keuntungan ekonomi kepada penerima berita. Selain itu kerap kali apabila berjanji, pemberi janji akan mengucapkan `insyaAllah` (jika diizinkan Allah), seolah-olah setiap perkara yang gagal dilakukan disebabkan Allah SWT tidak memberi restu dan memakbulkan usaha kita sedangkan usaha kita entah di mana dan ke mana hala tujunya.

Perkara ini ada kalanya amat menyedihkan kerana ia lazim dilakukan pemimpin yang banyak memberi janji itu dan ini kepada rakyat dan untuk melepaskan diri mereka menjadikan ucapan insyaallah sebagai insurans apabila ia gagal direalisasikan. Apabila gagal orang lain pula akan dijadikan `kambing hitam` seolah janji yang dibuat sekadar pemanis kata-kata yang mengandungi racun berbisa. Bagi pemimpin sebegini jangan jadikan ayat-ayat Allah sebagai pelapik kata kerana lidah yang berkata-kata perlu mempunyai bahu yang kuat untuk memikul tanggungjawab, jangan hanya menyebut insyaallah, alhamdullillah, subhanallah demi memukau orang yang mendengar. Dunia sekarang manusia ingin melihat bukti dan realiti bukan hanya janji yang tidak pasti dan khabar angin yang hanya sedap didengar namun jauh daripada kemampuan kita untuk melakukannya.

Maka berhati-hatilah dengan kata-kata kita sekadar memberi respons yang kita anggap sudah memadai untuk menunaikan tanggungjawab lebih tepat sebagai seorang Muslim yang saling bersaudara. Kita boleh berkata `insyaallah` jika kita yakin usaha kita kelak akan berhasil dan munasabah dilakukan. Jika kita hanya mampu berkata-kata sekadar menyedapkan hati orang lain dan kemudiannya melepaskan tanggungjawab kita, lebih baik kita usah memberi tindak balas langsung kelak kita dianggap sebagai manusia yang bersifat hipokrit dan terlebih keyakinan diri sedang usaha belum dibuat manifesto panjang berjela-jela.

Manifestasinya manusia yang rasional akan memandang rendah kepada kita sebagai sama ada pemimpin atau seorang profesional. Adalah lebih baik apabila menerima sama ada menerima berita kematian atau berjanji untuk berusaha sama ada melawat si mati atas dasar sesama Muslim dan hanya berjanji jika kata itu mampu dikotakan.

wallahu a'lam..


Adab bErsiN taMbaH raHMat, maMpu eLak pEnyakit-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Rasulullah ajar doa untuk kesejahteraan umat bukti Islam sediakan cara hidup sempurna


DEMAM, batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari ini disebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawa turut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkiti atau menyebabkan jangkitan.

Benar hanya Allah SWT yang menentukan sesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaan sama ada di dunia atau akhirat.

Justeru, dalam keadaan genting seperti hari ini, umat Islam perlu lebih tekun bertahajud dan berdoa (al-ma'thurat khususnya) seperti dilakukan Rasulullah SAW dan mengetahui cara hidup Islam sebenar, termasuk ketika menghidapi penyakit berbahaya.

Antara tanda awal selesema babi ialah demam diikuti selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Kebiasaan orang yang menghidap selesema akan bersin dan berasa tidak selesa. Memang ia agak menyukarkan, tetapi ajaran Islam menganjurkan umatnya supaya beradab ketika bersin seperti menutup mulut dan menahan suara supaya tidak terlalu kuat yang sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak penyakit.

Allah SWT menyukai bersin kerana orang bersin akan memuji-Nya. Dengan pujian itu, saudara atau sesiapa yang mendengar lafaz 'Alhamdulillah' yang diucapkan akan mendoakan kita dirahmati Allah kembali.

Bayangkan jika hanya seorang bersin dan ungkapan 'Alhamdulillah' didengari ramai orang, tentulah semua yang mendengarnya mendoakannya kembali dengan lafaz "Yarhamukallah'.

Berapa ramai yang mendoakan orang bersin dirahmati Allah? Dengan wabak yang menular, kita wajar saling mengingatkan mengenai penyakit itu, di samping mengambil langkah pencegahan agresif.

Kita juga perlu kembali kepada cara dan panduan dianjurkan agama dan tahu ungkapan yang disebut sesudah bersin adalah hikmah yang sungguh bermakna dan tidak menyamai ungkapan lain.

Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari maksudnya:

"Jika seorang antara kamu bersin, hendaknya ia mengatakan Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah). Kemudian saudaranya atau temannya mengucapkan Yarhamukallah (mudah-mudahan Allah merahmatimu).

"Jika dia mengucapkan Yarhamukallah, maka ia mengucapkan Yahdikumullah wa yushlih balakum (mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk-Nya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu."

Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyintai bersin dan membenci menguap. Jika ada antara kamu bersin dan memuji Allah Azzawajalla, wajib bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan Yarhamukallah.

"Menguap berasal daripada syaitan. Jika ada antara kamu yang menguap, ia perlu menahan sekuat tenaga kerana jika menguap, maka syaitan akan mentertawakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Memang tiada sesiapa pun yang memuji Allah selepas menguap, malah kadangkala terlupa untuk menutup mulut, tetapi hakikat bahawa Allah menyukai bersin kerana ia akan memuji Allah, jika tidak ia tiada bezanya dengan menguap.

Bahkan orang yang mendengar sesiapa yang bersin dan tidak mengucapkan 'Alhamdulillah' tidak perlu mendoakannya atau mengucapkan 'Yarhamukallah'.

Rasulullah SAW turut menjelaskan hal sedemikian dalam sabda Baginda mafhumnya:

"Jika seorang antara kalian bersin kemudian memuji Allah (hamdalah), maka doakanlah ia. Jika dia tidak memuji Allah maka jangan kalian mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Pernah berlaku satu keadaan di mana terdapat dua orang lelaki yang bersin di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda mendoakan salah seorang lelaki berkenaan. Kemudian orang yang tidak didoakan oleh Rasulullah itu bertanya kenapa Rasulullah tidak berbuat demikian kepadanya (iaitu berdoa), lalu Rasulullah menjawab: "Yang ini memuji Allah tetapi engkau tidak memuji Allah."

Selain memuji Allah SWT, perbuatan saling berdoa yang kita lakukan menunjukkan hubungan persaudaraan yang teguh dan manis, kasih sayang yang kuat dan utuh antara saudara seagama.

Begitulah cara hidup Islam, apa saja yang dilakukan terangkum dalam peraturan sempurna demi mendapat rahmat Allah yang turut merangkumi kesihatan yang sejahtera.

wallahualam..

-KetaWa berLebiHan taBiat kauM muNafik-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).



SETIAP insan sering berhadapan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud:

"Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan." � (Surah at-Taubah, ayat 82).

Jelas daripada ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau. Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

"Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." � (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah. Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara. Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan. Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

wallahualam..

-AdaB ,PetuA mEmBacA AL-QURAN-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..


Al-Quran is the purest of all books. It came from the most pure (ALLAH s.w.t) transported by the pure and trustworthy of angels (Jibra'il) to the pure of heart (Rasulullah s.a.w) for the purification of our souls (the muslims).[Surah Al-Shu'ara verse 192-194]

Al Qur’an memberi petunjuk jalan yang lurus dan memberi bimbingan kepada umat manusia di dalam menempuh perjalanan hidupnya, agar selamat di dunia dan di akhirat, dan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang mendapatkan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kebenaran di dalam kalam Allah ini adalah mutlak. Untuk itulah tiada ilmu yang lebih utama dipelajari oleh seorang muslim melebihi keutamaan mempelajari Al-Qur’an. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w, yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yg mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HR: Bukhari)

Seperti ibadah yang lain,membaca Al-Qur’an juga mempunyai adab dan peraturannya sendiri. Pembaca al-Quran sebaik-baiknya mengetahui dan mematuhi adab membaca kalam ALLAH ini dengan memperhatikan adab-adab berikut ini untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membaca Al-Qur’an.

Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang ana dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

> Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
> Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
>Membaca dalam keadaan berwuduk.
> Mengadap ke arah kiblat.
> Memulakan dengan at-Ta'awwuz.
> Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
> Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain.

Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring - Ihya` Ulumiddin.

> Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
> Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
>Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
> Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
>Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
> Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” - (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)

>Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
>Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
>Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
>Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
> Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
> Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
> Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
> Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
>Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Firman ALLAH swt dalam surah al-Baqarah ayat 121,

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلاَوَتِهِ أُوْلَـئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمن يَكْفُرْ بِهِ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

maksudnya:

Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

wallahualam..