Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

- PUASA SUNAT SYAWAL -




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Menumbuhkan kekuatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwat


SETELAH berpuasa selama sebulan pada Ramadan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu.

Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan. Pada hari raya pertama dilarang berpuasa.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa berpuasa Ramadhan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.”
(Riwayat Muslim)

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud:

“Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Riwayat ad-Darimi)

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.
Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh atau tidak berpuasa Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal. Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dulu.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar
dan dahaga saja.”
(Riwayat Al Bukhari).

Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya.

Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu.

Dengan berpuasa termasuk puasa sunat dapat merawat pelbagai penyakit rohani seperti mengingati Allah SWT, mengerjakan solat, bertaubat, takut kepada Allah SWT, mujahadah, musahabah diri, sabar, qana'ah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah, takwa dan menjauhkan makanan dan minuman haram.

Wallahua'lam..

- QADA' PUASA DAN FIDYAH -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


FIRMAN Allah bermaksud:

“Oleh itu barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan barang siapa yang sakit atau dalam musafir, maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Syeikh al-Sabuni menafsirkan Allah mensyariatkan ibadat puasa pada Ramadan kerana bulan itu diturunkan rahmat kepada segenap hamba-Nya yang bertakwa. Pada masa sama, Allah tidak mengkehendaki kepada hamba-Nya kecuali kemudahan.

Oleh itu, Allah memberikan kelonggaran yang mengharuskan orang sakit dan musafir berbuka puasa pada Ramadan dan Allah memerintahkan mereka menggantinya (qada) sebanyak hari yang ditinggalkan, sehingga sempurna bilangan satu bulan iaitu 29 atau 30 hari.

Qada’ puasa Ramadhan bermaksud menggantikan puasa yang terbatal pada Ramadan atas sebab diharuskan berbuka oleh syarak. Hukum qada puasa adalah wajib dan waktunya bermula selepas Ramadan sehingga Ramadan berikutnya.

Walau bagaimanapun, qada puasa yang dilakukan pada masa dilarang berpuasa adalah tidak sah seperti hari raya.

Jika musafir, orang sakit, perempuan kedatangan haid dan nifas tidak berpuasa pada Ramadan, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.

Fidyah ialah denda memberi makan seorang miskin secupak bagi setiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa dengan sebab tertentu atau melewatkan qada puasa Ramadan tanpa uzur sehingga masuk Ramadhan berikutnya.

Jika seseorang masih melewatkan qada puasanya sehingga masuk Ramadan seterusnya, maka bayaran fidyah meningkat dua cupak iaitu satu hari puasa ditinggalkan dengan dua cupak. Begitu juga jika melengahkan qada puasa hingga masuk Ramadan ketiga, dikehendaki membayar fidyah tiga cupak bagi satu hari puasa ditinggalkan dan begitulah seterusnya.

Sebagai Islam yang mengaku beriman, maka kita janganlah lalai mengqada puasa yang ditinggalkan. Lagi cepat kita qada lagi besar faedahnya dan ringan penanggungan terhadap Allah SWT.

Sebab wajib fidyah adalah:

# Tidak mampu melakukan ibadah puasa seperti orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqada puasanya dan hanya membayar fidyah saja.

# Orang yang melewatkan qada puasa tanpa uzur sehingga masuk Ramadan berikutnya, maka dia wajib mengqada puasa dan membayar fidyah.

# Perempuan mengandung dan perempuan menyusu bayinya, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama, ada berpendapat mereka harus berbuka dan wajib mengqada puasa yang ditinggal serta membayar fidyah.

Sesetengah ulama menyatakan, mereka hendaklah membayar fidyah saja tanpa diwajib mengqada puasanya, ada juga menyatakan mereka hanya diwajibkan qada tanpa fidyah dan yang lain pula berpendapat, harus berbuka, tanpa sebarang tindakan susulan sama ada qada dan fidyah.

Berkaitan puasa orang musafir, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menjelaskan, dibolehkan melakukan safar (pemusafiran) dengan kereta api, kapal laut, kapal terbang, termasuk apa juga alat pengangkutan menyenangkan, yang sedia ada pada zaman sekarang ini.

Alat pengangkutan itu tidak menggugurkan kemudahan hukum yang ditetapkan Islam. Ia adalah sadaqah (hadiah) Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai menolaknya.

Sebahagian yang tidak faham fiqh berpendapat safar (pemusafiran) di zaman moden tidak sama dengan zaman dulu. Mereka tidak menganggap perjalanan dilakukan dengan alat pengangkutan moden adalah musafir, sehingga membolehkan si pelakunya mendapat kemudahan hukum.

wallahu a'lam..



credit to:
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar)
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA)

-PuaSa SuNat yanG MeNjaDi aMaLan RasuLuLLah-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Puasa adalah ibadat yang berkesan sekali dalam mengendalikan hawa nafsu sekaligus dapat menyinari hati dan mendidik seluruh anggota sehingga ke martabat taqwa, kerana puasa yang sebenar-benarnya megekang pancaindera daripada melakukan perkara2 dosa dan haram.

Dari segi ganjaran puasa, bahawa tidak ada satu amal ibadat pun yang tidak ditentukan dan dibataskan ganjaran pahalanya selain dari ibadat puasa. Sesungguhnya pahala orang yang melakukan ibadat puasa tidak ditetapkan satu jumlah dan tidak pula dihadkan dengan satu had tertentu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'ANHU daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam bersabda:

"Segala amal kebajikan anak adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kalii ganda. Allah berfirman:"Kecuali puaasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKU dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku".(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa segala amalan manusia itu dihadkan atau dibatasi oleh ALLAH ganjarannya daripada sepuluh sampai 700 kali ganda, tetapi tentang puasa tidaklah sedemikian. Dalam erti kata lain tidak dibataskan ganjarannya oleh angka atau jumlah yang tertentu, bahkan terserah kepada ALLAH yang Maha Kaya memberikan pembalasan yang setimpal dengannya. Ini tidak lain tidak bukan adalah menggambarkan bahawa betapa besarnya dan istimewanya ibadat puasa di sisi ALLAH..

Lebih daripada itu lagi, ALLAH swt menyediakan sebuah pintu di dalam syurga yang dikhususkan NYA bagi orang yang berpuasa untuk memasukinya di hari Kiamat nati sebagaimana diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'd Radhiallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam bersabda"

"Sesungguhnya didalam syurga terdapat pintu disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari kiamat, orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: "Dimanakah orang-orang yang berpuasa?" Maka mereka pun berdiri(untuk memasukinya), tidak ada seorangpun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorangpun yang masuk daripadanya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahu 'anhu berkata, aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

maksudnya:"Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan ALLAH nescaya ALLAH akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun."[Hadis Riwayat Bukhari]

BERTANYA seorang sahabat kepada Anas r.a mengenai puasa Nabi SAW.

Jawab Anas: “Aku suka melihat Rasulullah SAW khususnya ketika beliau berbuka atau berpuasa. Hatta pada malam yang beliau habiskan sehingga fajar. Keadaan tidur Rasulullah SAW dan aku tidak pernah merasai kelembutan sutera yang hebat lebih daripada kelembutan tapak tangan Rasulullah SAW. Aku mencium bau hebat dari wangian kasturi, tetapi bau badan Rasulullah SAW lebih wangi dari itu. (Hadis Bukhari).


Berkata Syeikh Ibnu Hajar:

“Bahawa keadaan Rasul SAW dalam menunaikan perkara sunat seperti puasa dan Qiamullail adalah berbeza. Kadang-kadang beliau berpuasa pada awal, pertengahan atau akhir bulan. Puasa sunat tidak tertakluk kepada waktu kecuali waktu yang ditegah. Baginda tidak berpuasa sepanjang tahun. Tidak pula berqiamullail sepanjang malam kerana bimbang akan menjadi kesulitan kepada umat akan datang. Jadi beliau berpuasa dan berbuka, tidur dan berqiamullail. (Fath 4/217).


Firman Allah:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan Rasulnya (al-Mumtahanah: 6).


Marilah kita melihat sepintas lalu mengenai hari dan munasabah tertentu ibadat puasa Nabi SAW.


١- Puasa enam hari pada Syawal

- Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan kemudian meneruskannya dengan enam hari pada bulan Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah dia berpuasa setahun. (Riwayat Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibn Majah).

Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya, Mughni riwayat Said dari Sauban r.a, berkata sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa berpuasa Ramadan sebulan bersamaan sepuluh bulan dan puasa enam hari pada Syawal, maka sempurnalah setahun”.

Ini bermakna satu kebajikan digandakan sepuluh dan enam hari dengan ganjaran enam puluh hari, Demikianlah dua belas bulan, iaitu setahun. (Mughni 3/173).

Imam Nawawi ketika mengulas hadis di atas berkata, “Ini adalah bukti jelas bagi Imam Syafie, Imam Ahmad dan Daud menjadi alasan menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal”. (Syarah Muslim 8/56).

Ulama berbeza pendapat mengenai puasa berturut-turut atau sebaliknya. Pengarang kitab Al Hidayah dan lain-lain menyarankan supaya dilakukan berturut-turut. Namun, Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafie antaranya Abu Yusuf dan lain-lain mengatakan bahawa dipisahkan adalah lebih baik dan disunatkan kerana dapat membezakan dengan puasa penganut Kristian dan juga dapat meraikan kaum keluarga. (Maarif Sunan Syarah Tarmizi 6/121).


٢- Puasa Muharam

- Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah puasa bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat lima waktu ialah solat malam. (Muslim 1/474). Waktu yang terbaik ialah pada 9 dan 10 hari bulan. Ia berlaku sepanjang Muharam dan 10 Muharam mempunyai hak khusus tersendiri.


٣- Puasa Hari-Hari Putih

- Iaitu pada 13,14 dan 15 setiap bulan Islam. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dengan tiga perkara: Puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat solat Duha dan solat witir sebelum tidur (Hadis Bukhari).

Syekh Ruyani berpendapat bahawa berpuasa tiga hari setiap bulan adalah sunat dan lebih afdal jika bertepatan dengan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap bulan Islam). Ia dinamakan hari-hari putih kerana keceriaan malamnya dengan pancaran bulan penuh. (AlMughni 3/177)

Dari Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Berpuasalah pada setiap bulan, tiga hari kerana satu kebajikan digandakan sepuluh kali ganda. Yang demikian itu seumpama kita berpuasa setahun. (Hadis Bukhari, Muslim).

Dalam riwayat lain sabda Rasulullah SAW bermaksud,

“Sesiapa berpuasa Ramadan bersama tiga hari setiap bulan akan mendapat pertolongan pada hari yang sangat dahaga ia hari Mahsyar.

٤- Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah

- Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda: “Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang. (Hadis Muslim 1/473). Bagi berwukuf di Arafah pula kebanyakan ulama sepakat mengatakan bahawa mereka sunat berbuka puasa.

Imam Hanafi dan Maliki berpendapat adalah makruh bagi jemaah haji yang berpuasa pada hari wukuf dan hari tarwiyah (8 Zulhijjah).

Imam Hambali pula berpendapat bahawa sunat berpuasa bagi jemaah haji jika mereka berwukuf pada waktu malam dan makruh bagi mereka yang wukuf siang hari.

Bagi Mazhab Syafie pula bagi penduduk Makkah yang berwukuf pada siang hari, berpuasa adalah tidak digalakkan dan harus bagi yang berwukuf di sebelah malam. (Fiqh 4 Mazhab 1/505). Adapun puasa Arafah sudah diketahui umum bagi semua yang mengerjakan haji atau sebaliknya. (Fath 4/237).

٥- Puasa hari Asyura (10 Muharam)

- Dari Abdullah Bin Abbas ra bahawa ketika Rasulullah SAW sampai ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi bertanya, “Apakah gerangan hari ini sehingga kamu berpuasa?“. Maka mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang besar di mana Musa diselamatkan dari kaumnya, tenggelamnya Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa kerana mensyukuri dan kami berpuasa”. Selepas mendengar itu Nabi SAW pun bersabda, “Kami lebih utama berpuasa dari kamu dan Nabi SAW berpuasa dan menganjurkan kita berpuasa”.

Dalam riwayat Abu Qatadah ra bahawa apabila Nabi SAW ditanya mengenai puasa Asyura beliau menjawab, “Mendapat keampunan setahun yang lampau”. (Hadis Muslim 1/459). Dalam riwayat lain sabda Nabi SAW, “Puasalah hari kesembilan dan kesepuluh, janganlah kamu samakan dengan kaum Yahudi.

Ada yang berkata, berpuasa 9 Zulhijah sudah memadai kerana dosa dua tahun sudah terhapus. Sheikh Abd Hamid berpendapat bahawa dosa adalah seperti ‘air sungai yang mengalir’. Oleh itu, puasa dan taubat adalah ubat mujarab untuk dosa berkenaan. Ada dosa yang tidak diampun kecuali dengan puasa Asyura. Begitulah sebaliknya dan tiada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT.

٦- Puasa Isnin dan Khamis

- Dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa Isnin dan Khamis. Baginda menjawab: “Padanya aku dilahirkan dan padanya mula-mula diturunkan wahyu padaku. (HR Muslim 1/474). Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda:

“Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa”. (Hadis Tarmizi).

Dalam riwayat lain daripada sebahagian isteri Baginda ada mengatakan bahawa Rasulullah SAW berpuasa 9 dan 10 Zulhijjah, tiga hari setiap bulan Islam serta Isnin dan Khamis pada setiap minggu. (Hadis Abu Daud)

٧- Puasa Nabi Daud AS

- Rasulullah SAW bersabda:

“ Tidak ada puasa yang lebih baik selain puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Hadis Bukhari).

Dalam hadis lain, Rasul SAW bersabda:

“Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dia juga tidur dan menggunakan satu pertiga malamnya saja untuk berqiamullail. (Hadis Nasai, Abu Daud).

Untuk makluman, semua puasa sunat berkenaan dilarang bagi yang bergelar isteri kecuali mendapat keizinan suami masing-masing kerana menunaikan hajat suami adalah wajib. Maka hukum syarak mengatakan hendaklah didahului yang wajib.

wallahu'alam..

-PuaSa Qada tiDak WajiB diLakSana BertuRut-turut-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


QADA puasa Ramadan, wajib dilaksanakan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Ini jelas firman Allah yang bermaksud:

“(iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”. (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Ada dua pendapat mengenai wajib tidaknya qada puasa dilakukan sebanyak hari yang ditinggalkan. Pendapat pertama menyatakan jika hari puasa yang ditinggalkannya berurutan, maka qada harus dilaksanakan secara berurutan pula, lantaran qada pengganti puasa yang ditinggalkan, sehingga wajib dilakukan secara sepadan.

Pendapat kedua menyatakan bahawa pelaksanaan qada puasa tidak harus dilakukan secara berurutan, lantaran tidak ada dalil menyatakan qada puasa harus berurutan. Surah al-Baqarah diatas hanya menegaskan qada puasa, wajib dilaksanakan sebanyak jumlah hari yang ditinggalkan itu saja.

Pendapat kedua ini didukung oleh pernyataan dari hadis tegas , sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Qada Ramadan itu, jika ia berkehendak, maka ia boleh melakukannya terpisah. Dan jika ia berkehendak, maka ia boleh melakukannya berurutan.” - (Hadis Daruquthni).

Pendapat kedua dikira lebih baik, lantaran ia didukung oleh hadis yang sahih.

Dengan demikian, qada puasa tidak wajib dilakukan secara berurutan dan dilakukan pada bila-bila masa saja. Ia boleh dilakukan secara berurutan dan boleh juga secara terpisah. Jika jumlah hari yang harus ganti puasa itu tidak diketahui lagi, misalnya lantaran sudah terlalu lama, atau memang sulit diketahui jumlah harinya, maka alangkah bijak jika kita tentukan saja jumlah hari yang paling maksimum.

Waktu dan kesempatan untuk melaksanakan qada puasa Ramadhan panjang, sebelum sampai Ramadhan berikutnya. Sebaiknya qada puasa dilaksanakan dengan segera bimbang gagal dilaksanakan. Ia disebabkan ada halangan, sering sakit, bersikap kurang berhati-hati atau sengaja mengabaikannya.

Penangguhan atau penundaan pelaksanaan qada puasa Ramadan sampai tiba Ramadan berikutnya (tanpa halangan yang sah), maka hukumnya haram dan berdosa. Jika penangguhan itu kerana uzur maka ia tidaklah berdosa.

Orang yang meninggal dunia sebelum memenuhi kewajipan qada puasa Ramadan, mempunyai tunggakan hutang kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, pihak keluarga wajib memenuhinya. Hutang puasa Ramadan bagi orang yang meninggal dapat diganti dengan fidyah, iaitu memberi makan sejumlah 600 gram bahan makanan asas kepada seorang miskin untuk tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkannya.

Sabda Rasulullah bermaksud:

“Siapa saja meninggal dunia dan mempunyai kewajipan puasa, maka ia dapat digantikan dengan memberi makan kepada seorang miskin pada tiap hari yang ditinggalkannya.” - (Hadis Tirmidzi)


Ada juga pendapat kedua menyatakan bahawa jika orang yang memiliki kewajipan qada puasa meninggal dunia, maka pihak keluarganya wajib melaksanakan qada puasa itu sebagai gantinya, dan tidak boleh dengan fidyah. Sedangkan dalam praktiknya, pelaksanaan qada puasa boleh dilakukan orang lain, dengan izin atau atas perintah keluarganya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Siapa saja meninggal dunia dan mempunyai kewajipan qada puasa, maka walinya (keluarganya) berpuasa menggantikannya.” -(Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim).

Pendapat kedua ini dikira lebih kuat lantaran hadis sahih. Sementara pendapat pertama dinilai lemah kerana hadis marfu', gharib atau mauquf, dan tidak dapat dijadikan landasan hukum.

wallahu'alam..


*kepada akhawat yang ada hutang dengan ALLAH, cepat2 la bayar ye..=)

apa2 pun,"selamat melangsaikan hutang"..

......wassalam........


-MaSa DiharaMkaN SyaraK PuaSa SuNat-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


BAGI yang sering berpuasa akan bertembung dengan hari-hari yang diharamkan berpuasa dan hari yang dimakruhkan.

Puasa yang diharamkan syarak ialah:

١- Dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Sebuah hadis daripada Abu Ubaid bahawa beliau pernah berhari raya bersama Saidina Umar di mana Umar berselawat ke atas Nabi SAW sebelum berkhutbah lalu berkata:

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Adapun Aidilfitri kamu berbuka kerana selesai Ramadan, manakala Aidiladha kamu memakan sembelihan korban yang kamu lakukan. (HR Abu Daud).


٢- Tiga hari selepas Aidiladha atau hari Tashrik (11,12 dan 13 Zulhijjah).

Daripada Abi Murrah maula Ummu Hani’ ketika dia bersama Abdullah Bin Amr RA bertemu bapanya Amr Bin Al-As lalu dihidangkan kepada kami makanan dan Abdulah berkata: Sesungguhnya saya berpuasa. Lalu jawab Amr: Makanlah, sesungguhnya Nabi SAW menyuruh kami berbuka pada beberapa hari ini dan melarang kami berpuasa padanya. Imam Malik berkata: Hari-hari itu ialah hari Tashrik.

٣- Berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW:

Jangan kamu mendahului puasa Ramadan sehari atau dua hari melainkan bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sunat.

Namun ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal demikian. Berikut adalah pendapat ulama muktabar sebagai maklumat tambahan pembaca.

Menurut Imam Syafie haram berpuasa pada tiga hari selepas Aidiladha termasuk jemaah haji pada tahun berkenaan.

Imam Malik tidak mengharamkan berpuasa pada hari ketiga. Beliau juga berpendapat, jemaah haji yang mengerjakan Haji Tamattu’ dan Qiran boleh berpuasa pada hari raya kedua dan ketiga.

Imam Hambali mengharamkan kita berpuasa tiga hari selepas Aidiladha kecuali jemaah Haji Tamattu’ dan Qiran.

Imam Hanafi berpendapat berpuasa pada dua hari raya dan tiga hari selepas Aidiladha adalah haram kecuali bagi jemaah haji saja.

٤- Puasa sunat seorang wanita tanpa izin suaminya.

Dari abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Tidak halal bagi wanita bersuami ketika suami di sisinya sehinggalah mendapat keizinan suaminya. Janganlah seorang isteri mengizinkan seseorang masuk ke rumah melainkan dengan izin suaminya. (HR Bukhari dan Muslim).

Imam Ahmad dalam musnadnya menambah perkataan: Melainkan pada Ramadan.

Di dalam hadis lain Rasul SAW bersabda:

Seorang isteri tidak boleh berpuasa ketika suaminya hadir, selain puasa Ramadan kecuali dengan izin suaminya. (HR Tarmizi).

Oleh yang demikian ulama Syafie, Maliki dan Hambali mengharamkan puasa seorang wanita yang bersuami, berpuasa tanpa izin suaminya kecuali suami tidak memerlukan hubungan jima’ dengannya atau suaminya bermusafir atau sedang ihram atau beriktikaf atau sakit. Imam Hanafi berpendapat hukumnya makruh.

Puasa yang makruh pula antaranya ialah:

١- Berpuasa pada hari Jumaat saja tanpa disusuli puasa sehari selepas atau sebelumnya. Begitu juga berpuasa pada hari Sabtu atau Ahad saja kecuali bersebab seperti nazar dan sebagainya mengikut Imam Syafie’ RA

Jumaat adalah hari raya kaum Muslimin. Ia adalah hari yang patut diperbanyakkan ibadat. Maka sesetengah daripada ibadat yang afdal ialah puasa tetapi hendaklah didahului satu hari sebelum atau selepasnya iaitu Khamis atau Sabtu.

wallahu'alam..