Showing posts with label Amir. Show all posts
Showing posts with label Amir. Show all posts

- GILA KUASA - - > HANCUR NEGARA -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



AKIBAT keserakahan nak menjadi pemimpin, akhirnya Syairuyah mati oleh tangannya sendiri. Dia bunuh ayahnya, Kisra bin Barwaiz, Raja Parsi pada zaman Rasulullah SAW dan Kisra juga sudah menyiapkan senjata untuk membunuh anaknya yang derhaka itu dengan muslihat sebuah kotak wasiat.

Ketika membahas hadis mengenai suatu bangsa tidak akan berjaya apabila menyerahkan pemerintahannya kepada perempuan, Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari fi Sharh Sahih al-Bukhari menjelaskan latar belakang hadis berkenaan.

Menurutnya, perempuan yang dilantik menjadi Raja Parsi dalam kisah hadis ini bernama Buran binti Syairuyah bin Kisra bin Barwaiz. Pelantikannya sebagai raja kerana tidak ada orang lain yang berhak menduduki jabatan itu kerana Syairuyah membunuh ayahnya sendiri, Kisra.

Sebelum Kisra meninggal dunia, dia mengetahui bahawa kematiannya adalah disebabkan oleh anaknya sendiri, Syairuyah. Kemudian dia berpesan kepada pengawalnya yang setia untuk membunuh Syairuyah dengan membuat sebuah kotak yang diberi racun. Di atas kotak berkenaan tertulis 'Kotak Perpaduan' siapa yang dapat meraih kotak itu maka dia boleh menyatukan negeri. Syairuyah membaca tulisan berkenaan, kemudian mengambil kotak itu. Akhirnya dia terkena racun yang ada pada kotak itu kemudian meninggal enam bulan selepas kematian ayahnya.

Selepas Syairuyah meninggal, tidak ada satu orang pun saudaranya yang menggantikan kedudukan raja kerana seluruh saudaranya dibunuh olehnya dek kerakusan kepada kekuasaan. Supaya kedudukan raja tidak jatuh ke tangan orang di luar keluarga kerajaan, akhirnya dilantik Buran binti Syairuyah sebagai Raja. Begitu pula saudara perempuannya Arzumidkhat dilantik menjadi seorang raja.

Keserakahan seorang pemimpin adalah satu ramuan biasa dalam satu-satu episod kekuasaan dan ia menjadi bumbu pemusnah kelazatan satu-satu hidangan. Sebaliknya, pemimpin yang amanah, bersahaja dan berwibawa menjadi penyedap hidangan.

Oleh itu, penanda aras kekeberhasilan sesuatu umat ada pada kepemimpinannya seperti yang kita fahami daripada hadis berikut yang bermaksud:

"Apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum. Juga Allah SWT jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan.Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi suatu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang-orang dungu yang menangani hukum dan harta berada di tangan orang kikir. (Hadis riwayat al-Dailami).


Keserakahan menjadi pemimpin sebagai satu bentuk cita-cita sudah diingatkan oleh baginda SAW dalam hadisnya bermaksud:

"Sungguh kamu semua bercita-cita menjadi pemimpin padahal kamu semua akan menyesal pada hari kiamat, maka alangkah baiknya orang yang sedang menyusukan dan alangkah buruknya orang yang sedang menyapih (berhenti menyusu)." (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa'i)

Abu Hurairah pernah berkata kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, apakah Tuan berkenan melantik saya sebagai pemimpin? Maka baginda menegaskan dengan hadis di atas. Dengan melihat latar belakang kisah ini, nampaknya Abu Hurairah sebagai seseorang yang sudah sekian lama dekat dan menjadi pembantu Nabi, tentu saja sebagai manusia biasa, dia juga ingin meningkat status sosialnya dengan memohon dan mengajukan diri kepada Rasulullah agar baginda berkenan mengangkat dirinya menjadi seorang pemimpin. Namun, mengingat sudah sekian lama Abu Hurairah hidup bersama Nabi sudah pasti baginda tahu tentang kemampuan dan pelbagai kemungkinan seandainya Abu Hurairah diangkat menjadi pemimpin. Kerana berkenan, maka dengan nada tegas baginda menyatakan sabdanya itu.


Ada empat peranan penting seorang pemimpin:

i-menjadi contoh, figur (uswah, qudwah).
ii-pemimpin menjadi sahabat atau teman.

Maka, mereka bukan sekadar disebut teman, tetapi khadim al-ummah. Sebaik-baik pemimpin adalah yang dapat melayani. Oleh itu, orang yang mulia bukan orang yang dimuliakan, tetapi orang yang dapat memuliakan orang lain. Dan orang terhormat bukan orang yang dihormati, tetapi orang yang dapat menghormati.

iii-pemimpin yang punya peranan pendidik.

Ertinya, pemimpin harus punya visi, selangkah lebih maju. Oleh itu, pemimpin tidak boleh cacat hukum, cacat moral, tetapi juga harus mampu pandang ke depan dan berwawasan kerana dia lebih tahu daripada mereka yang dipimpin.

iv-pemimpin tentu harus menjadi pelopor atau orang yang mendahului melakukan kebaikan.


Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani juga disebutkan mengenai hakikat kepemimpinan yang mana permulaan kepemimpinan akan ada saling mencela, kemudian ada penyesalan dan akhirnya seksaan pada hari kiamat. Hadisnya bermaksud:

"Jika kamu mahu, akan aku beritahu kepada kamu tentang kepemimpinan (al-imarah), apakah imarah itu? Imarah itu awalnya cela mencela, keduanya penyesalan dan ketiganya azab pada hari kiamat kecuali seseorang yang adil."


Latar belakang hadis di atas adalah satu kes yang berlaku pada seorang sahabat Nabi bernama Miqdad. Beliau bercerita bahawa Rasulullah melantiknya menjadi seorang pemimpin untuk melaksanakan satu tugasan. Setelah selesai dan kembali kepada Rasulullah, baginda bertanya kepada Miqdad, bagaimana menurutnya tentang kepemimpinan? Miqdad menjawab dia tidak mengira bahawa semua bawahannya menjadi budak. Kemudian dia bersumpah tidak mahu lagi diangkat menjadi pemimpin untuk selamanya. Maka disabdakanlah hadis di atas.

Pengecualian yang Nabi sampaikan pada penghujung hadis yang berbunyi 'kecuali pemimpin yang adil,' nampaknya menjadi sesuatu yang cukup menarik untuk dibincangkan. Sebab apabila pemimpin itu dapat berlaku adil, maka beberapa kemungkinan buruk yang disenaraikan di dalamnya tidak akan terjadi. Bahkan pemimpin yang adil nanti pada hari kiamat termasuk dari tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tidak ada perlindungan sedikitpun kecuali perlindungan Allah SWT.

Contoh keadilan Umar bin Khatab kekal direkodkan sejarah. Pada suatu malam beliau tidak dapat tidur semalaman kerana dilaporkan ada unta yang tergelincir di Iraq. Maka, Umar pun menangis dan mengaku berdosa kepada Tuhannya. "Ya Allah, saya menjadi pemimpin, tapi tak boleh membuat jalan yang elok sehingga ada unta yang tergelincir."

Keadilan seorang pemimpin adalah satu berkat yang boleh mensejahterakan orang bawahannya. Dan ia sebagai natijah dari penyerahan kepemimpinan kepada orang yang layak menjadi pemimpin. Seperti sabda baginda dalam nilai norma sejagatnya maksudnya:

"Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari)

Mafhum mukhalafah daripada hadis ini adalah apabila suatu urusan diserahkan kepada ahlinya maka nikmatilah kedamaian dan ketenteraman.

Jika kalangan pemimpin pada zahirnya beranggapan bahawa mereka mesti dilayan oleh orang bawahannya maka angapan ini mesti diulangkaji semula hakikatnya kerana ada sabda Nabi yang bermaksud:

"Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka."(Hadis riwayat Abu Na'im)


Wallahu a'lam.

- KHALIFAH AL-MU'TASHIM BILLAH -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Ana pernah terbaca satu cerita..Kejadiannya sangat sederhana dan remeh tetapi hasilnya di luar jangkaan bahkan luar biasa. Ada seorang wanita Muslim dari Bani Hashim yang sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kuasa kerajaan Romawi di utara benua Asia, kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Ketika dia sedang berjalan, seorang lelaki berbangsa Romawi mengganggunya dengan hanya menyentuh hujung jilbab atau tudungnya sehingga dia secara spontan berteriak,


"Wa Mu'tashamah". !!!!!
(Tolonglah aku wahai Mu'tashim)


Selepas berita ini sampai ke telinga Khalifah Al-Mu'tashim Billah daripada Khalifah Abbasiyyah, puluhan ribu tentera dikejarkan ke Baghdad untuk menolong wanita berkenaan sekali gus membebaskan kota berkenaan daripada jajahan Barat.

Dikisahkan dalam buku rujukan sejarah Islam termasuk kitab al-Kamil fi al-Tarikh karangan Ibn Al-Athir jilid 3 muka surat 197 perihal kejadian pada tahun 223 Hijrah dalam tajuk Penaklukan Kota Ammuriah. Ketika mendengar berita itu, Khalifah Mu'tashim sedang memegang gelas mahu minum kemudian dibatalkan niatnya itu dan berseru kepada panglima tenteranya untuk bersiap-siap menuju Ammuriah tempat wanita berteriak meminta pertolongannya.

Ribuan tentera Muslim bergerak pada April 838 Masihi dari Baghdad menuju Ammuriyah dan selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera Khalifah dan tentera Romawi yang membawa kepada pengepungan kota oleh tentera Islam selama lima bulan sehingga akhirnya kota itu jatuh kembali ke tangan tentera Islam pada 13 Ogos 838M.


Seorang wanita Muslim yang lemah berteriak kerana diganggu oleh lelaki penjajah orang Romawi yang bukan Islam. Dalam teriaknya dia meminta pertolongan khalifah yang sedang berkuasa pada masa itu iaitu Khalifah al-Mu'tashim Billah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah selepas abangnya, Khalifah al-Ma'mun meninggal dunia pada 10 Ogos 833 hingga 5 Januari 842M.

Khalifah tersentuh hati dan terbakar ghairah keIslamannya sehingga dia membuat keputusan untuk melancarkan serangan dan mencetuskan peperangan walaupun dia di dalam negerinya sedang menghadapi dugaan yang berat untuk menumpas kelompok penganut ajaran sesat yang bermaharajalela di kawasan Azeirbaijan di bawah pimpinan Babak al-Kharmi yang berpendapat adanya inkarnasi dan menghalalkan amalan seks bebas.

Mu'tashim Billah termasuk antara khalifah yang meninggalkan kenangan indah pada masa kepemimpinannya. Beliau menggantikan kekhalifahan daripada kedua-dua abangnya Al-Amin dan Al-Ma'mun yang digelar dengan khalifah yang cendekiawan.

Walaupun berbeza dengan kedua-dua abangnya dari segi kepintaran tetapi Al-Mu'tashim membuktikan keperkasaan jasmaninya. Diberitakan bahawa Al-Mu'tashim termasuk orang yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi dia menundukkan banyak singa dan mengangkut seribu liter air. Bagaimanapun, kehidupan ilmiah dan sastera pada zamannya tidak jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Kejadian sama banyak berlaku pada hari ini, bahkan ia lebih parah lagi. Kita dengar umat Islam diganggu, dihina, dicedera, dihalau, dijadikan suspek, dianggap penjenayah, dianggap pengganas bahkan dibunuh seorang-seorang mahupun beramai-ramai tetapi tiada sesiapa tersentuh hatinya dan tercabar ghairah keIslamannya.

Umat Islam ingin melaksanakan ajarannya secara kaffah atau menyeluruh di negeri asing tetapi disulitkan, bahkan dilarang walaupun mereka mendakwa bahawa negara mereka demokrasi di mana kebebasan beragama adalah dilindungi oleh negara. Mereka melarang tudung digunakan oleh wanita Muslim, bagaimanapun umat Islam diam. Mereka melarang azan dikumandangkan, umat Islam tidak bergerak. Mereka melarang restoran hanya menyediakan makanan halal, umat Islam pun tidak berganjak.

Dengan satu kenyataan pada hari ini yang mana umat manusia sedang dijajah oleh satu kelompok berpengaruh dunia yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang luar biasa dan selubung seperti selubungnya iblis daripada pandangan manusia, maka diperlukan satu kelompok lagi yang boleh menangkis balik dakyah mereka dan membawa kembali umat manusia ke jalan yang benar seperti misi kalangan nabi dan rasul terdahulu.

Nabi dan rasul sudah meninggal dunia tetapi musuh mereka, iblis, masih hidup dan sedang dipuja dan disembah oleh kelompok berpengaruh dunia berkenaan.

Menurut Syed Qutb,

sebuah masyarakat yang dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan,
--> masyarakat yang bertamadun.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam,
--> masyarakat Jahiliyah.

Sesungguhnya masyarakat Islam sajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap akidah sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertakwa dan yang selainnya setaraf saja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah SWT.

Apabila nilai kemanusiaan atau moral kemanusiaan yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamadun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula menjadi satu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, seperti yang dituduh oleh tafsiran ala benda atas sejarah atau seperti yang dituduh oleh para penganut sosialisme saintifik.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia saja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai yang menonjolkan sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu'tashim pada hari ini?

Wallahu a'lam.