- BERBUAT BAIK SESAMA JIRAN TETANGGA -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)




ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingat supaya menjaga serta memelihara hubungan dengan jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat negara ini secara umumnya dilihat masih kental namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara.

Justeru, masyarakat perlu menghayati kembali suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan, kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa.

Nabi SAW menunjukkan contoh teladan membina kerukunan hidup berjiran termasuk mengambil berat dan hidup rukun bersama jiran tetangga.

Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW berkunjung menemui Abu Zar yang sedang memasak kuah lalu Baginda berkata:

“Wahai Abu Zar , jika kamu memasak perbanyakkanlah airnya. Kemudian, berilah jiran tetanggamu daripada masakanmu itu dengan baik.”

Islam menekankan hubungan baik sesama tetangga demi melahirkan suatu kehidupan dalam masyarakat yang harmoni. Mungkin barang yang kita sedekah atau berikan kepada jiran tidak seberapa tetapi nilai ganjaran pahala di sisi Allah sangatlah besar.

Di samping itu, pemberian seumpama itu juga akan mencetuskan nilai kasih sayang sesama manusia. Jibril selalu berpesan kepada Nabi SAW mengenai jiran dan tidak sempurna status iman seseorang seandainya tidak berbuat baik terhadap jiran.

Sabda Baginda SAW bermaksud:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Nabi SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Kesibukan kerja dengan waktu tidak menentu mendorong melakukan hal masing-masing.

Bagaimanapun, itu bukan alasan mengetepikan tanggungjawab terhadap jiran kerana pasti ada cara bermesra dengan jiran yang tinggal di sebelah atau berhampiran rumah kita. Senyum atau melambai tangan sudah memadai untuk memberitahu jiran kita mengenali mereka.

Bagi perumahan berpagar yang mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan, semangat kejiranan boleh dipupuk melalui pertubuhan Jawatankuasa Persatuan Penduduk yang bertanggungjawab mengambil berat kemaslahatan penduduk taman berkenaan.

Melalui persatuan penduduk juga, pelbagai program dapat digerakkan bagi mengeratkan hubungan dan penduduk juga jangan mengasingkan diri atau enggan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan.

Kehidupan berjiran secara positif seperti dianjurkan Islam mampu mencegah jenayah dalam masyarakat setempat. Ini kerana semua pihak harus mengambil berat dan saling membantu. Keadaan seperti ini menyukarkan pihak yang ingin melakukan jenayah seperti kecurian.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasakan oleh setiap umat Islam. Jangan biarkan kepentingan diri menenggelamkan hubungan dengan jiran tetangga.

Umat Islam dilarang menyakiti jiran termasuk bukan Islam walaupun mereka bersikap sombong atau tidak mesra. Sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa mengambil berat keperluan jiran serta membantu apabila diperlukan.

wallahu a'lam..

0 leave ur comment here: