- GANJARAN MEMBACA AL-QURAN KETIKA RAMADHAN -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


AL-QURAN yang menjadi petunjuk kepada manusia menghimpun pelbagai pengajaran meliputi kebaikan akhlak, kisah teladan, serta penawar segala penyakit batin seperti kufur, syirik, hasad dengki dan khianat.

Allah berfirman bermaksud:

Wahai umat manusia, sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidangan petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.
(Surah Yunus, ayat 57)

Fadilat membaca al-Quran memang besar seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Orang yang membaca al-Quran dengan lancar, maka dia bersama malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran kurang lancar, maka baginya dua pahala.

Catatan sejarah menunjukkan ulama terdahulu tidak pernah lekang dengan amalan mengaji al-Quran sebaik tiba Ramadan. Mereka menghentikan kegiatan lain selain beristiqamah dengan amal ibadat, termasuk mengaji al-Quran.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Imam Malik, sebaik saja Ramadan tiba tidak mahu lagi menyibukkan diri dengan tugas lain serta meninggalkan seketika urusan mengajar, memberi fatwa atau hal berkaitan keduniaan sebaliknya menumpukan amalan membaca al-Quran.

Imam Malik pernah berkata sebaik tiba Ramadan: Ini adalah bulan al-Quran. Begitu besar penghormatan diberikan seorang aulia (pewaris nabi) terhadap Ramadan dan al-Quran, seolah-olah tersimpul dalam ikatan sungguh kuat hingga sanggup menghentikan segala urusan lain.

Dalam beberapa riwayat ada dicatatkan kalangan ulama membaca al-Quran dengan penuh tartil (teliti). Kerap kali mereka menangis ketika membaca ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai petunjuk serta bimbingan.

Dalil al-Quran diturunkan pada Ramadan adalah firman Allah yang bermaksud:

Beberapa hari yang ditentukan itu adalah Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil).
(Surah al- Baqarah, ayat 185)

Amalan tadarus bukan saja dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat suci, malah memperbetulkan kesilapan bacaan terutama dari segi tajwid dan makhrajnya.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan sepanjang Ramadan sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid pada 10 terakhir Ramadan untuk melakukan solat sunat, membaca al-Quran serta memperbanyakkan berdoa dan antara masa mustajab berdoa ialah sebelum azan menandakan waktu berbuka puasa.

Ketika duduk menantikan azan untuk berbuka puasa, berdoalah kepada Allah. Minta apa yang hendak dan dengan izin Allah, akan dimakbulkan. Tetapi jika sudah banyak berdoa, masih belum dikurniakan, mesti ada hikmah di sebaliknya.

Apabila doa diminta tidak tertunai, maknanya Allah simpan untuk diberi di akhirat nanti atau permintaan itu akan datang masalah. Nabi Musa pun Allah makbulkan doanya selepas 40 tahun inikan kita manusia biasa. Yang penting, jangan jemu untuk berdoa.

wallahu a'lam...

- DOA YANG TIADA HIJAB DENGAN ALLAH -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



FIRMAN Allah yang bermaksud:

Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqarah, ayat 186)


Sheikh al-Maraghi menjelaskan, apabila Allah menuntut hambanya mengenai kefarduan puasa Ramadan, menyempurnakan bilangannya serta menggesa supaya bertakbir untuk persiapan bersyukur, ayat ini sebagai dalil bahawa Allah bersifat Maha Mengetahui keadaan dan Maha Mendengar segala doa mereka.

Sayid Qutub pula berkata, sebelum rangkaian ayat ini meneruskan penerangannya tentang hukum mengenai masa puasa, batasan merasai kenikmatan puasa dan peraturan imsak, kita dapati ia mengemukakan satu tarikan kepada persoalan jauh di sudut jiwa dan rahsia hati manusia.

Sebab turunnya ayat ini, Nabi SAW mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang tinggi dalam peperangan Khaibar. Lantas Nabi SAW bersabda kepada mereka yang bermaksud:

Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu.

Selain itu, Ibnu al-Jauzi ada menyebut pendapat lain berkenaan turunnya ayat ini, iaitu seorang Badwi datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah menjelaskan bahawa Dia adalah dekat. Dia memperkenankan doa orang yang memohon dan memenuhi sebarang hajat orang yang meminta. Tidak ada tirai pendinding antara Allah dengan salah seorang hamba-Nya. Oleh itu, mereka sewajarnya menghadap hanya kepada-Nya dalam berdoa, merendahkan diri, lurus dan memurnikan ketaatan kepada-Nya semata-mata.

Prof Hamka menyatakan di penghujung ayat ini, jadikanlah bulan puasa sebagai bulan penuh ibadat, membaca al-Quran, solat dan berdoa. Oleh kerana doa amat penting dan menjadi otak daripada ibadat, maka Allah berkenan memberitahu mengenai doa dan bagaimana sambutan-Nya jika hamba-Nya berdoa menyeru nama-Nya dan memohon sesuatu hajat.
Oleh sebab itu, Allah dekat dengan hamba-Nya, maka hendaklah berdoa dan memohon kepada Allah dengan ikhlas dan tidak perlu bersuara keras mahu pun bertempik menyeru nama-Nya.

Lantaran dekatnya Allah dengan manusia, maka tidak perlu perantaraan atau wasilah antara manusia dengan Allah, berdoa dan memohon langsung terus kepada Allah. Malah, Allah hampir pada seseorang yang menarik nafasnya yang penghabisan menunggu saat-saat kematian sebagaimana firman Allah bermaksud:

Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada kamu, akan tetapi
kamu tidak melihat.
(Surah al-Waqiah, ayat 87)

Melaksanakan ibadat puasa, seseorang Muslim dilatih dalam keadaan beribadat dan berdoa. Pada masa sama, apabila semakin bertambah makrifahnya kepada Allah, maka semakin bertambahlah ikhlas dan tawakal kepada-Nya.

Natijah daripada latihan dilalui seseorang yang berpuasa terhadap jiwanya dan imannya adalah dia semakin dekat dengan Allah SWT. Lantaran, hampirnya dengan Allah itu yang menyebabkan doanya mudah dikabulkan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, yang doa itu tidak bermaksud dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT pasti akan memperkenankan doa itu melalui tiga cara, iaitu doa itu akan diperkenankan dengan serta merta, ada kalanya doa itu disimpan dan ditangguhkan dulu untuk persediaannya pada hari akhirat dan ada kalanya dijauhkan dan dipalingkan daripada kejahatan yang seumpama dengannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Menariknya, ibadat doa termasuk dalam ayat puasa sekali gus bermaksud doa orang berpuasa itu lebih dekat dikabulkan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Bagi orang yang berpuasa itu sewaktu hendak berbuka puasa adalah
doa yang mustajab.
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:

Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak, iaitu doa pemerintah yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang dianiayai. Akan diangkat doa itu oleh Allah ke atas awan pada hari kiamat kelak dan akan dibukakan baginya pintu langit, lalu Allah berfirman: Demi kemuliaan-Ku, sesungguhnya Aku akan tolong kamu walaupun dalam masa yang sekejap saja. (Hadis riwayat Ahmad, Nasai, Tirmizi dan Ibnu Majah).

wallahu a'lam..