- GANJARAN MEMBACA AL-QURAN KETIKA RAMADHAN -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


AL-QURAN yang menjadi petunjuk kepada manusia menghimpun pelbagai pengajaran meliputi kebaikan akhlak, kisah teladan, serta penawar segala penyakit batin seperti kufur, syirik, hasad dengki dan khianat.

Allah berfirman bermaksud:

Wahai umat manusia, sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidangan petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.
(Surah Yunus, ayat 57)

Fadilat membaca al-Quran memang besar seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Orang yang membaca al-Quran dengan lancar, maka dia bersama malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran kurang lancar, maka baginya dua pahala.

Catatan sejarah menunjukkan ulama terdahulu tidak pernah lekang dengan amalan mengaji al-Quran sebaik tiba Ramadan. Mereka menghentikan kegiatan lain selain beristiqamah dengan amal ibadat, termasuk mengaji al-Quran.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Imam Malik, sebaik saja Ramadan tiba tidak mahu lagi menyibukkan diri dengan tugas lain serta meninggalkan seketika urusan mengajar, memberi fatwa atau hal berkaitan keduniaan sebaliknya menumpukan amalan membaca al-Quran.

Imam Malik pernah berkata sebaik tiba Ramadan: Ini adalah bulan al-Quran. Begitu besar penghormatan diberikan seorang aulia (pewaris nabi) terhadap Ramadan dan al-Quran, seolah-olah tersimpul dalam ikatan sungguh kuat hingga sanggup menghentikan segala urusan lain.

Dalam beberapa riwayat ada dicatatkan kalangan ulama membaca al-Quran dengan penuh tartil (teliti). Kerap kali mereka menangis ketika membaca ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai petunjuk serta bimbingan.

Dalil al-Quran diturunkan pada Ramadan adalah firman Allah yang bermaksud:

Beberapa hari yang ditentukan itu adalah Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil).
(Surah al- Baqarah, ayat 185)

Amalan tadarus bukan saja dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat suci, malah memperbetulkan kesilapan bacaan terutama dari segi tajwid dan makhrajnya.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan sepanjang Ramadan sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid pada 10 terakhir Ramadan untuk melakukan solat sunat, membaca al-Quran serta memperbanyakkan berdoa dan antara masa mustajab berdoa ialah sebelum azan menandakan waktu berbuka puasa.

Ketika duduk menantikan azan untuk berbuka puasa, berdoalah kepada Allah. Minta apa yang hendak dan dengan izin Allah, akan dimakbulkan. Tetapi jika sudah banyak berdoa, masih belum dikurniakan, mesti ada hikmah di sebaliknya.

Apabila doa diminta tidak tertunai, maknanya Allah simpan untuk diberi di akhirat nanti atau permintaan itu akan datang masalah. Nabi Musa pun Allah makbulkan doanya selepas 40 tahun inikan kita manusia biasa. Yang penting, jangan jemu untuk berdoa.

wallahu a'lam...

1 leave ur comment here:

Unknown said...

menarik :)