- QADA' PUASA DAN FIDYAH -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


FIRMAN Allah bermaksud:

“Oleh itu barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan barang siapa yang sakit atau dalam musafir, maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Syeikh al-Sabuni menafsirkan Allah mensyariatkan ibadat puasa pada Ramadan kerana bulan itu diturunkan rahmat kepada segenap hamba-Nya yang bertakwa. Pada masa sama, Allah tidak mengkehendaki kepada hamba-Nya kecuali kemudahan.

Oleh itu, Allah memberikan kelonggaran yang mengharuskan orang sakit dan musafir berbuka puasa pada Ramadan dan Allah memerintahkan mereka menggantinya (qada) sebanyak hari yang ditinggalkan, sehingga sempurna bilangan satu bulan iaitu 29 atau 30 hari.

Qada’ puasa Ramadhan bermaksud menggantikan puasa yang terbatal pada Ramadan atas sebab diharuskan berbuka oleh syarak. Hukum qada puasa adalah wajib dan waktunya bermula selepas Ramadan sehingga Ramadan berikutnya.

Walau bagaimanapun, qada puasa yang dilakukan pada masa dilarang berpuasa adalah tidak sah seperti hari raya.

Jika musafir, orang sakit, perempuan kedatangan haid dan nifas tidak berpuasa pada Ramadan, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.

Fidyah ialah denda memberi makan seorang miskin secupak bagi setiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa dengan sebab tertentu atau melewatkan qada puasa Ramadan tanpa uzur sehingga masuk Ramadhan berikutnya.

Jika seseorang masih melewatkan qada puasanya sehingga masuk Ramadan seterusnya, maka bayaran fidyah meningkat dua cupak iaitu satu hari puasa ditinggalkan dengan dua cupak. Begitu juga jika melengahkan qada puasa hingga masuk Ramadan ketiga, dikehendaki membayar fidyah tiga cupak bagi satu hari puasa ditinggalkan dan begitulah seterusnya.

Sebagai Islam yang mengaku beriman, maka kita janganlah lalai mengqada puasa yang ditinggalkan. Lagi cepat kita qada lagi besar faedahnya dan ringan penanggungan terhadap Allah SWT.

Sebab wajib fidyah adalah:

# Tidak mampu melakukan ibadah puasa seperti orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqada puasanya dan hanya membayar fidyah saja.

# Orang yang melewatkan qada puasa tanpa uzur sehingga masuk Ramadan berikutnya, maka dia wajib mengqada puasa dan membayar fidyah.

# Perempuan mengandung dan perempuan menyusu bayinya, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama, ada berpendapat mereka harus berbuka dan wajib mengqada puasa yang ditinggal serta membayar fidyah.

Sesetengah ulama menyatakan, mereka hendaklah membayar fidyah saja tanpa diwajib mengqada puasanya, ada juga menyatakan mereka hanya diwajibkan qada tanpa fidyah dan yang lain pula berpendapat, harus berbuka, tanpa sebarang tindakan susulan sama ada qada dan fidyah.

Berkaitan puasa orang musafir, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menjelaskan, dibolehkan melakukan safar (pemusafiran) dengan kereta api, kapal laut, kapal terbang, termasuk apa juga alat pengangkutan menyenangkan, yang sedia ada pada zaman sekarang ini.

Alat pengangkutan itu tidak menggugurkan kemudahan hukum yang ditetapkan Islam. Ia adalah sadaqah (hadiah) Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai menolaknya.

Sebahagian yang tidak faham fiqh berpendapat safar (pemusafiran) di zaman moden tidak sama dengan zaman dulu. Mereka tidak menganggap perjalanan dilakukan dengan alat pengangkutan moden adalah musafir, sehingga membolehkan si pelakunya mendapat kemudahan hukum.

wallahu a'lam..



credit to:
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar)
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA)

0 leave ur comment here: