- PUASA SUNAT SYAWAL -




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Menumbuhkan kekuatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwat


SETELAH berpuasa selama sebulan pada Ramadan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu.

Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan. Pada hari raya pertama dilarang berpuasa.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa berpuasa Ramadhan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.”
(Riwayat Muslim)

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud:

“Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Riwayat ad-Darimi)

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.
Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh atau tidak berpuasa Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal. Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dulu.

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar
dan dahaga saja.”
(Riwayat Al Bukhari).

Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya.

Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu.

Dengan berpuasa termasuk puasa sunat dapat merawat pelbagai penyakit rohani seperti mengingati Allah SWT, mengerjakan solat, bertaubat, takut kepada Allah SWT, mujahadah, musahabah diri, sabar, qana'ah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah, takwa dan menjauhkan makanan dan minuman haram.

Wallahua'lam..

- 1UMMAH ASAS PERPADUAN -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ummah mesti bersatu pupuk perpaduan, perkasa hubungan atasi ancaman terhadap Islam


HARI Malaysia bukan sekadar untuk diingati sebagai sejarah, ia juga ruang mempertautkan kembali mawaddah dan rahmah. Sementara 1 Syawal pula, bagai mengingatkan keberkatan silaturahim, mengambil peluang menyatukan hati yang bertelagah.

Islam mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah. Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud:

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah
supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Justeru, ada hak yang perlu dipelihara Muslim terhadap saudara seagama bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya. Barat juga mendakwa hak asasi manusia terbina daripada norma kehidupan bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.

Namun, hari ini pertelingkahan dan perbalahan menjadi norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Disebabkan mengejar impian dunia, semangat persaudaraan digadai.

Kita dapat bayangkan betapa kalutnya dunia jika hak manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah disebar oleh sesiapa saja.
Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tidak dizalimi kerana kita semua adalah hamba yang tiada keistimewaan di sisi-Nya melainkan mereka yang bertakwa.

Ancaman demi ancaman terhadap umat Islam di Malaysia semakin melampaui batas patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam sendiri.

Sifat mazmumah yang membelenggu seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak dan tidak reda dengan qadar qadar Allah punca putusnya silaturahim sesama Muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian seperti dianjurkan al-Quran dan sunnah.

Strategi menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau bilau kerana propaganda yang begitu halus dicipta.

Lalu Islam yang sempurna dilihat sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang, warna kulit dan kedudukan.

Sejarah membuktikan belum berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Bukan itu saja, golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa, kasih sayang yang dipupuk menusuk sanubari sahabat. Malah, setiap sahabat dapat merasai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah.

Justeru, perlu diingat, kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah belah, tiada lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.

wallahu a'lam..



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- IBADAH BERTUNJANGKAN SYARIAT ISLAM -

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


AIDILFITRI hari umat Islam menikmati rahmat kegembiraan dan kebahagiaan lantaran banyaknya anugerah Allah dikecapi sepanjang Ramadan kepada semua hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika Aidilfitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah SWT.”

Tidak dapat dinafikan kanak-kanak adalah golongan paling seronok apabila menjelang Aidilfitri saban tahun. Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah menjadi salah satu tunjang Rukun Islam.

Ditambah lagi, budaya menyambut hari raya di Malaysia cukup meriah, menyemarakkan lagi perasaan gembira di hati kanak-kanak. Pada hari itu mereka akan berpeluang memakai baju serba baru, makan pelbagai juadah istimewa, mengutip angpau berisi dan menonton rancangan hari raya.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Namun, mereka perlu dibimbing dan difahamkan konsep ‘wasadtiah’ atau bersederhana menyambut Aidilfitri mengikut lunas Islam.

Selama sebelas bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jugalah fitrah asal manusia sudah tercemar. Maka, dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amalan menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya.

Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada hari raya tidak sepatutnya disulam dengan unsur negatif. Contohnya, boros berbelanja pakaian, terlalu leka menonton hiburan di televisyen, makan terlalu banyak dan membazir, lalai melaksanakan solat dan bermain mercun.

Kanak-kanak perlu diasuh meneruskan kesinambungan amal ibadah yang bersifat khusus atau umum dilaksanakan sepanjang Ramadan pada bulan berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal serta puasa sunat Isnin dan Khamis.

Begitu amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah perlu digalakkan. Ajarkan kanak-kanak memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami maksudnya, berzikir dan berdoa.

Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah, sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Ibadah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) yang sukar untuk ditemui pada bulan lain seperti solat sunat Aidilfitri dan bertakbir juga perlu diterapkan sebagai ‘istimewa’ buat anak-anak kerana kedua-dua ibadah sunat ini menjadi simbolik sifat kesyukuran dan kekuatan umat Islam melaksanakan ibadah wajib berpuasa sepanjang Ramadan.

Pentingnya galakan menunaikan solat sunat hari raya dinyatakan Imam Al-Bukhari dalam riwayat hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata: “Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat sunat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin.”

Begitu juga tuntutan bertakbir dan bertahmid mengagungkan kebesaran Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu supaya kamu menjadi orang yang bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Amalan mulia lain seperti menziarahi pusara sanak saudara dan menghadiahkan mereka bacaan ayat suci al-Quran, menyertai perkumpulan marhaban, menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat berbelanja, bersedekah, bantu-membantu orang yang tidak berkemampuan, hormat kepada orang tua, adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak.

Tujuannya supaya mereka faham konsep ‘amal makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan tidak akan bermakna jika ibu bapa atau penjaga tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka meraikan Aidilfitri.

Bersederhana dan wujudkan suatu anjakan paradigma untuk beramal ibadah bertunjangkan syariat Islam semasa menyambut hari lebaran ini.


Didikan tepat akan mengubah tanggapan anak-anak yang selama ini menyatukan makna Aidilfitri dengan duit raya, mercun dan bunga api semata-mata kepada terbitnya kemanisan iman serta rasa tawaduk dan syukur ke hadrat Ilahi.

wallahu a'lam..



credit to:
Khairunneezam Mohd Noor
pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

- KAWAL AMARAH DAN BERLAPANG DADA -





In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


BERMAAF-MAAFAN antara satu sama lain adalah amalan mahmudah (mulia) dan unggul yang dianjurkan oleh Islam. Melalui amalan ini kita dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat, terutama sesama umat Islam.

Amalan bermaaf-maafan ini, terutama ketika menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha sudah menjadi sebati dalam jiwa masyarakat Islam di Malaysia.

Lazimnya, amalan bermaaf-maafan ini berlaku sesama sanak saudara yang dekat dan jauh, dengan jiran tetangga, sahabat handai dan sebagainya. Secara tidak langsung, dengan wujudnya amalan ini dalam masyarakat Islam, bermakna konsep kembali kepada fitrah dan kebersihan, suci dari pencemaran dosa dan kesilapan dengan Allah SWT dan sesama insan yang ada pada Aidilfitri telah pun terlaksana.

Di dalam Islam juga, kemaafan adalah sebahagian daripada sifat Allah yang yang suka mengampunkan dosa hamba-Nya, kecuali mereka yang syirik kepada-Nya. Namun begitu, ada pula syarat tertentu yang membolehkan Allah mengampunkan dosa hamba-Nya, yakni hamba-Nya yang begitu taat dan patuh serta sentiasa bertaubat kepada-Nya.

Sesungguhnya keutuhan dan kewibawaan konsep kemaafan dalam Islam telah lama terbukti. Malah ia tercatat kemas dalam sejarah Islam.

Misalnya sewaktu Nabi Muhammad SAW menyebarkan syiar Islam, baginda tidak pernah memusuhi atau memarahi wanita Yahudi yang selalu mencaci, meludah dan melemparkan najis kepada baginda ketika setiap kali melalui berdekatan rumah wanita itu. Dengan sikap kemaafan yang ditunjukkan oleh Rasulullah, wanita itu telah menganut agama Islam.

Ketika peristiwa Fath Makkah (pembukaan Kota Makkah), Rasulullah tidak pernah melakukan pembunuhan walaupun baginda dan rombongannya telah berjaya menguasai Kota Makkah.

Rasulullah juga pernah memaafkan seorang Arab Badwi yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid. Baginda menegah orang ramai daripada mengerumuni dan menghalangnya. Menurut Anas bin Malik, sebaik saja orang itu pergi, Rasulullah SAW meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya iaitu membasuhnya.

Sikap mulia Rasulullah yang sentiasa berlapang dada dan suka memaafkan musuh-musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa pemimpin masyarakat Musyrikin Makkah ketika itu, menyebabkan suasana hidup aman damai dapat dipertahankan.

Apabila sifat maaf-memaafkan antara satu sama lain itu diamalkan oleh baginda, hasil dakwah Rasulullah adalah positif. Dengan mengamalkan sikap mulia ini, Islam dapat disebarkan dengan meluas.

Selain itu, ketika Saidina Abu Bakar al-Siddiq terlalu marah terhadap Mistah yang turut menyebarkan cerita fitnah (Kisah Ifki) terhadap anaknya, Aisyah, maka beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan akan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya.

Menurut ahli tafsir al-Quran, berikutan peristiwa ini, maka turunlah ayat 22 daripada Surah al-Nur yang bermaksud:

“Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang yang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah, hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Berpandukan ayat ini, jelas menunjukkan bahawa manusia yang sedang marah disebabkan oleh perbuatan orang lain yang menyebarkan berita fitnah dan tuduhan palsu seperti yang dihadapi oleh Saidina Abu Bakar dan ahli keluarganya diminta oleh Allah SWT supaya mengambil jalan kemaafan dan berlapang dada terhadapnya.

Sebenarnya sikap ini satu sikap yang mulia dan unggul yang diajarkan oleh agama Islam. Keunggulan dan kemuliaan sikap kemaafan itu, telah meletakkan kemaafan sebagai salah satu sikap penting yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam.


Sekiranya sikap bermaaf-maafan ini tersemat rapi dalam diri maka sudah pasti perasaan dendam tidak akan timbul, malahan membuahkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Jika diamati dengan betul, perkara ini boleh berlaku dalam kehidupan kita seharian.

Wallahua'lam..

- QADA' PUASA DAN FIDYAH -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


FIRMAN Allah bermaksud:

“Oleh itu barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan barang siapa yang sakit atau dalam musafir, maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Syeikh al-Sabuni menafsirkan Allah mensyariatkan ibadat puasa pada Ramadan kerana bulan itu diturunkan rahmat kepada segenap hamba-Nya yang bertakwa. Pada masa sama, Allah tidak mengkehendaki kepada hamba-Nya kecuali kemudahan.

Oleh itu, Allah memberikan kelonggaran yang mengharuskan orang sakit dan musafir berbuka puasa pada Ramadan dan Allah memerintahkan mereka menggantinya (qada) sebanyak hari yang ditinggalkan, sehingga sempurna bilangan satu bulan iaitu 29 atau 30 hari.

Qada’ puasa Ramadhan bermaksud menggantikan puasa yang terbatal pada Ramadan atas sebab diharuskan berbuka oleh syarak. Hukum qada puasa adalah wajib dan waktunya bermula selepas Ramadan sehingga Ramadan berikutnya.

Walau bagaimanapun, qada puasa yang dilakukan pada masa dilarang berpuasa adalah tidak sah seperti hari raya.

Jika musafir, orang sakit, perempuan kedatangan haid dan nifas tidak berpuasa pada Ramadan, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.

Fidyah ialah denda memberi makan seorang miskin secupak bagi setiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa dengan sebab tertentu atau melewatkan qada puasa Ramadan tanpa uzur sehingga masuk Ramadhan berikutnya.

Jika seseorang masih melewatkan qada puasanya sehingga masuk Ramadan seterusnya, maka bayaran fidyah meningkat dua cupak iaitu satu hari puasa ditinggalkan dengan dua cupak. Begitu juga jika melengahkan qada puasa hingga masuk Ramadan ketiga, dikehendaki membayar fidyah tiga cupak bagi satu hari puasa ditinggalkan dan begitulah seterusnya.

Sebagai Islam yang mengaku beriman, maka kita janganlah lalai mengqada puasa yang ditinggalkan. Lagi cepat kita qada lagi besar faedahnya dan ringan penanggungan terhadap Allah SWT.

Sebab wajib fidyah adalah:

# Tidak mampu melakukan ibadah puasa seperti orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqada puasanya dan hanya membayar fidyah saja.

# Orang yang melewatkan qada puasa tanpa uzur sehingga masuk Ramadan berikutnya, maka dia wajib mengqada puasa dan membayar fidyah.

# Perempuan mengandung dan perempuan menyusu bayinya, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama, ada berpendapat mereka harus berbuka dan wajib mengqada puasa yang ditinggal serta membayar fidyah.

Sesetengah ulama menyatakan, mereka hendaklah membayar fidyah saja tanpa diwajib mengqada puasanya, ada juga menyatakan mereka hanya diwajibkan qada tanpa fidyah dan yang lain pula berpendapat, harus berbuka, tanpa sebarang tindakan susulan sama ada qada dan fidyah.

Berkaitan puasa orang musafir, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menjelaskan, dibolehkan melakukan safar (pemusafiran) dengan kereta api, kapal laut, kapal terbang, termasuk apa juga alat pengangkutan menyenangkan, yang sedia ada pada zaman sekarang ini.

Alat pengangkutan itu tidak menggugurkan kemudahan hukum yang ditetapkan Islam. Ia adalah sadaqah (hadiah) Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai menolaknya.

Sebahagian yang tidak faham fiqh berpendapat safar (pemusafiran) di zaman moden tidak sama dengan zaman dulu. Mereka tidak menganggap perjalanan dilakukan dengan alat pengangkutan moden adalah musafir, sehingga membolehkan si pelakunya mendapat kemudahan hukum.

wallahu a'lam..



credit to:
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar)
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA)

- TAUBAT SEPENUH HATI CARA PEMBERSIHAN JIWA -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Menyesali dosa perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat rahmat-Nya..



SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan. Ada yang disengaja, ada pula tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali, ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa bahawa hidup tidak kekal abadi.Kehidupan di dunia yang penuh cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik.

Dunia ini penuh permainan yang melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga, apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri Akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?”
(Surah Al-An’am, ayat 32)


Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, kegembiraan yang ditunggu bagai tidak sabar dirasai.

Jika sebaliknya, tentulah balasannya tidak tertanggung. Akal dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir, supaya tidak mengulangi kesalahan yang serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini.

Meskipun cuba menjadi hamba yang baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran terhadap Yang Esa jangan sampai kita tidak bertaubat.

Menyesali dosa dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha yang perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu sebaliknya kenanglah pengajaran yang tidak mungkin akan berulang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”
(Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa yang dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri mudah-mudahan kebaikan ini mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan yang dimuktamadkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki.

Segala bentuk maksiat terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan daripada Yang Esa.

Usahlah kita menangguhkan peluang kerana ajal akan datang pada bila-bila masa dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa serta kejahilan yang pernah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah An-Nisaa’, ayat 18).


wallahu a'lam..



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- MATLAMAT FARDHU RAMADHAN -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ibadah tazkiyah al-nafs adalah proses penyucian jiwa ummah daripada segala penyakit rohani



SALAH satu matlamat fardu Ramadan adalah untuk menjana natijah akhlak yang terpuji seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan sebenar kepada Allah Taala.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosanya yang lalu.”

Ramadan bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat itu kerana peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat adalah jalan mendekatkan serta berserah diri kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:

“Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka
tidak bebas seperti biasa.”

Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada Ramadan mengikut apa yang dikehendaki syarak. Puasa adalah ibadah tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang.

Ibadat puasa dapat melahirkan sifat terpuji seperti amanah, jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertakwa dan sabar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.”
(Hadis riwayat Bukhari)


Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW dapat dilaksanakan dengan syumul, banyak perkara perlu diberi perhatian supaya ibadat puasa terpelihara daripada terbatal dan kurang pahala kerana kelalaian menjaga anggota badan.

Besarnya fadilat diperoleh semua muslimin sepanjang bulan barakah ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui khutbah Baginda:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah tambahan. Sesiapa mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan lain.”

Ramadan adalah bulan memberi pertolongan dan Allah menambahkan rezeki orang mukmin dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikat segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru: Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan daripada api neraka.”

Menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan serta pahala yang berlipat ganda daripada Allah Taala.

Usah jadikan Ramadan sebagai bulan berlumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan.

Tambahan, 10 malam terakhir ini, umat Islam diseru untuk merebut rahmat yang dijanjikan Allah seolah-olah inilah Ramadan terakhir kerana hakikatnya, memang di luar pengetahuan kini mengenai rezeki sama ada akan bertemu Ramadan tahun depan.

Semoga perjuangan selama tempoh diwajibkan kita berpuasa ini menghasilkan natijah diharapkan, untuk menjadi hamba lebih bertakwa, berubah ke arah lebih baik dan istiqamah melakukan yang terbaik walaupun selepas berakhir Ramadan.

wallahu a'lam..