Showing posts with label Persoalan Agama. Show all posts
Showing posts with label Persoalan Agama. Show all posts

- QADA' PUASA DAN FIDYAH -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


FIRMAN Allah bermaksud:

“Oleh itu barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan barang siapa yang sakit atau dalam musafir, maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Syeikh al-Sabuni menafsirkan Allah mensyariatkan ibadat puasa pada Ramadan kerana bulan itu diturunkan rahmat kepada segenap hamba-Nya yang bertakwa. Pada masa sama, Allah tidak mengkehendaki kepada hamba-Nya kecuali kemudahan.

Oleh itu, Allah memberikan kelonggaran yang mengharuskan orang sakit dan musafir berbuka puasa pada Ramadan dan Allah memerintahkan mereka menggantinya (qada) sebanyak hari yang ditinggalkan, sehingga sempurna bilangan satu bulan iaitu 29 atau 30 hari.

Qada’ puasa Ramadhan bermaksud menggantikan puasa yang terbatal pada Ramadan atas sebab diharuskan berbuka oleh syarak. Hukum qada puasa adalah wajib dan waktunya bermula selepas Ramadan sehingga Ramadan berikutnya.

Walau bagaimanapun, qada puasa yang dilakukan pada masa dilarang berpuasa adalah tidak sah seperti hari raya.

Jika musafir, orang sakit, perempuan kedatangan haid dan nifas tidak berpuasa pada Ramadan, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.

Fidyah ialah denda memberi makan seorang miskin secupak bagi setiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa dengan sebab tertentu atau melewatkan qada puasa Ramadan tanpa uzur sehingga masuk Ramadhan berikutnya.

Jika seseorang masih melewatkan qada puasanya sehingga masuk Ramadan seterusnya, maka bayaran fidyah meningkat dua cupak iaitu satu hari puasa ditinggalkan dengan dua cupak. Begitu juga jika melengahkan qada puasa hingga masuk Ramadan ketiga, dikehendaki membayar fidyah tiga cupak bagi satu hari puasa ditinggalkan dan begitulah seterusnya.

Sebagai Islam yang mengaku beriman, maka kita janganlah lalai mengqada puasa yang ditinggalkan. Lagi cepat kita qada lagi besar faedahnya dan ringan penanggungan terhadap Allah SWT.

Sebab wajib fidyah adalah:

# Tidak mampu melakukan ibadah puasa seperti orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqada puasanya dan hanya membayar fidyah saja.

# Orang yang melewatkan qada puasa tanpa uzur sehingga masuk Ramadan berikutnya, maka dia wajib mengqada puasa dan membayar fidyah.

# Perempuan mengandung dan perempuan menyusu bayinya, ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama, ada berpendapat mereka harus berbuka dan wajib mengqada puasa yang ditinggal serta membayar fidyah.

Sesetengah ulama menyatakan, mereka hendaklah membayar fidyah saja tanpa diwajib mengqada puasanya, ada juga menyatakan mereka hanya diwajibkan qada tanpa fidyah dan yang lain pula berpendapat, harus berbuka, tanpa sebarang tindakan susulan sama ada qada dan fidyah.

Berkaitan puasa orang musafir, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menjelaskan, dibolehkan melakukan safar (pemusafiran) dengan kereta api, kapal laut, kapal terbang, termasuk apa juga alat pengangkutan menyenangkan, yang sedia ada pada zaman sekarang ini.

Alat pengangkutan itu tidak menggugurkan kemudahan hukum yang ditetapkan Islam. Ia adalah sadaqah (hadiah) Allah yang dilimpahkan kepada kita, oleh itu tidak memadai menolaknya.

Sebahagian yang tidak faham fiqh berpendapat safar (pemusafiran) di zaman moden tidak sama dengan zaman dulu. Mereka tidak menganggap perjalanan dilakukan dengan alat pengangkutan moden adalah musafir, sehingga membolehkan si pelakunya mendapat kemudahan hukum.

wallahu a'lam..



credit to:
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar)
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA)

-WASIAT KHURAFAT A.K.A SMS BERANTAI / EMEL BERANTAI-



In The Name of ALLAH
,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



"لااله الاالله محمدرسول الله Send this kalimat to 12 nice persons and your financial position improves within 12 hrs. 100% gerenti. Memang aneh tapi NYATA."

"al-qayyum, al-majid, al-wajid, al-wahid, al-ahad, al-samad, al-qadir, al-malik, al-rehman, al-rahim, "Allah never fails". Send this message to 9 people. You will get good news tomorrow.If u neglect, bad luck for 9 years, this is proved true."

" Yaasin, Walqur a-nilhakim. Innakala minal mursalin. A'la siratil mustaqim. Tanzilal azizir rahim. Litunzira qaumamma unzila aba uhum fahum ghafilun. Kirim surah Yaasin ini kpd 7 insan digelar Islam. Insya Allah esok anda akn m'nerima khbr yg baik dan rezeki anda sentiasa brda di tngn anda. JGN DELATE INI BETUL2 JD KENYATAAN. "


Anda pernah menerima sms berantai, emel ataupun komen-komen sepertinya?
pasti dalam tulisan 'licik' ada yang menunjukkan bahawa siapa yang menyebarkannya kemungkinan besar mendapat rezeki yang melimpah ruah. Kalau tidak menyebarkannya, bala' yang menimpa. Benarkah?Atau sengaja mempermain-mainkan aqidah umat Islam dalam era yang tanpa sempadan ini.

Bersandar sesuatu perkara kepada khayalan menyeleweng daripada landasan Islam,
APAKAH hukum mempercayai surat atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berantai bahawa sesiapa yang sudah membaca tetapi tidak menyebarkannya akan ditimpa musibah besar? Kandungan mesej dalam surat dan SMS itu kadang-kadang turut memberitahu tarikh berlakunya kiamat.

Disini ana nak kongsikan pandangan daripada Ustaz Zahazan Mohamed tentang perkara tersebut..

WASIAT dengan segala isi kandungnya dalam surat atau SMS itu tidak ada erti dan nilainya sama sekali dalam perspektif agama. Ini disebabkan kesempurnaan Islam sudah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat ke-5 yang bermaksud:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Oleh kerana Islam sudah disempurnakan Allah SWT maka kita tidak memerlukan lagi keterangan yang diwasiatkan oleh sesiapa lagi. Apabila kita menerimanya daripada golongan seperti ini, bererti kita turut meragui kesempurnaan Islam.

Wasiat ataupun SMS berantai ini juga sebenarnya mengandungi banyak tanda kepalsuan.

Pertama, sumber awalnya tidak diketahui, apakah benar penyampainya yang hanya dinamakan sebagai Syeikh Ahmad itu benar-benar wujud?

Kedua, sebab penghantar wasiat itu sudah mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai yang tidak mahu menyebarkannya bahawa mereka akan ditimpa musibah. Hal ini tidak akan dikatakan oleh seseorang manusia yang normal fikirannya apatah lagi seorang rasul terhadap al-Quran dan hadis.

Ketiga, tiada satu pun ayat suci al-Quran yang memerintahkan agar ditulis dan disebarkan untuk mengelakkan sesuatu malapetaka atau bencana. Begitu juga tiada perintah terhadap yang membaca kitab hadis untuk menjalankan kerja itu.

Jika al-Quran dan sunnah Nabi pun tidak memerintahkan begitu, maka apatah lagi wasiat yang bersifat khurafat yang tidak jelas sumbernya ini.

Keraguan berikutnya dalam surat itu diterangkan bahawa seseorang yang sudah menyebarkan warkah Syeikh Ahmad contohnya itu akan mendapat rezeki yang melimpah-ruah, manakala sesetengah yang lain beroleh jawatan tinggi dalam masyarakat. Semua itu adalah khurafat dan penyesatan terhadap umat Islam dari jalan yang benar dan terpesong daripada mengikuti sunnah Rasulullah.

Ini disebabkan dalam Islam, Allah SWT menetapkan sesuatu itu berlaku kerana sebab musabab yang tertentu mengikut aturannya sedangkan bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti itu adalah usaha menyesatkan dan menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenar.

Seterusnya, jangkaan tarikh kiamat yang sering kali disebut dalam kandungan warkah ini juga bukti satu lagi pembohongan yang ketara kerana tarikh tepatnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Malah Allah SWT sudah menjelaskan dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat ke- 187 yang bermaksud:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan ayat di atas, walaupun Nabi SAW yang dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat serta menjadi rasul terakhir, namun baginda sendiri tidak mengetahui tarikh kiamat yang sebenarnya.

Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kaum Muslimin agar tidak mempercayai perkara khurafat seperti surat dan SMS berantai ini dengan anggapan bahawa mereka yang menyebarkannya akan mendapat syafaat Nabi SAW.

Orang yang akan mendapat syafaat Nabi adalah mereka yang beriman kepada Allah SWT dengan cara yang betul dan ikhlas, bukannya kalangan yang meyakini perkara syirik seperti yang ditetapkan dalam kandungan mesej surat atau SMS palsu itu. Sabda Nabi SAW, maksudnya:

"Orang yang paling berbahagia yang mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah seseorang yang mengikrarkan kalimah 'Lailahailallah' dengan perasaan ikhlas dari dalam hatinya.
– Riwayat al-Bukhari.

Semoga Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya menjadikan kita manusia yang memahami agama mereka dan terselamat dari mempercayai berbagai perkara khurafat, khayalan dan kebatilan...insyaALLAH..

-MALAIKAT IZRAIL JUGA AKAN MATI-



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Setiap makhluk akan rasai kematian apabila tiba masa

ADAKAH malaikat Izrail juga akan mati?
Adakah syaitan dan iblis juga mati?
Siapa pula yang akan mencabut rohnya?


Pasti ada yang pernah tertanya-tanya tentang persoalan diatas kan..??
Setiap yang bernyawa tentu akan mati. Menurut Ahli Sunnah, mati itu satu perkara yang wujud dan dijadikan, malah dapat dilihat.Oleh itu, mati adalah salah satu daripada makhluk Allah SWT.

Dengan sendirinya mati itu dijadikan oleh Allah SWT. Kematian itu adatnya menyebabkan terpisahnya roh daripada jasad, dan pada hakikatnya yang memisahkan roh daripada jasad itu adalah Allah SWT.

Bagaimanapun, secara majaznya, kerja mencabut nyawa sudah ditugaskan oleh Allah SWT kepada malaikat maut, Izrail. Malaikat maut itu mempunyai ramai pembantu daripada kalangan malaikat yang ditugaskan untuk menyempurnakan tugas ini.

Kadangkala mencabut nyawa itu disandarkan kepada Allah SWT seperti dalam surah al-Zumar ayat 42 dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya ketika matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan..."

Namun, kadangkala kematian itu disandarkan kepada malaikat maut seperti dalam surah al-Sajadah ayat 11 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh malaikat maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)..."

Adakalanya juga, urusan mengambil nyawa itu dijalankan oleh malaikat pembantu yang ditugaskan untuk mencabut nyawa seperti dalam surah al-An'am ayat 61 yang bermaksud:

"Sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, ia dimatikan oleh malaikat Kami, dan malaikat Kami itu tidak lengah terhadap tugasnya."

Bagi saudara2 seakidah sekalian, jika kita sudah memahami bahawa setiap jasad itu pasti akan merasai mati, maka dengan sendirinya semua kalangan malaikat termasuk Izrail sendiri akan mati.

Begitu juga iblis dan syaitan juga semuanya tidak terlepas daripada kematian. Haruslah kita yakini bahawa kerja untuk mencabut nyawa itu, amat mudah bagi Allah SWT melakukannya, ataupun malaikat maut itu juga boleh mencabut nyawanya sendiri.

Semua ini tidak mustahil berlaku. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa malaikat maut itu akhirnya akan mencabut nyawanya sendiri dengan penuh kehalusan, tetapi kesakitan yang dirasakan tidaklah pula digambarkan.

wallahu'alam..


-MusLim PerLu seLidik KeBerSihaN SuMber MakaNaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Diriwayatkan daripada Amr bin Syuaib daripada ayahandanya, datuknya bahawa Nabi SAW melarang memakan daging keldai belaan, menunggangi haiwan jalaalah dan memakan dagingnya (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari).

Kalangan ulama hadis menjelaskan jalaalah bermakna haiwan yang memakan daripada sumber yang kotor ataupun najis. Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah Nabi melarang memakan haiwan jalaalah daripada disembelih untuk dimakan dagingnya dan daripada meminum susunya.

Berpandukan kepada mafhum dua hadis di atas, Muslim dilarang memanfaatkan binatang yang memakan kekotoran (jalaalah ) ini untuk kegunaan berikut :

1. Menunggangnya

2. Meminum susunya

3. Memakan dagingnya

Bagaimanapun apabila seseorang itu hendak memakan binatang yang sentiasa memakan kekotoran itu, beliau hendaklah mengurung binatang itu sehingga makanannya ditukarkan kepada makanan yang baik. Perkara ini berpandukan kepada amalan Abdullah bin Umar yang pernah mengurung ayam jalaalah ( pemakan kekotoran ) selama tiga hari sebelum menyembelihnya.

Sebahagian ulama ada yang menyangka bahawa haiwan jalaalah ini terbatas kepada haiwan berkaki empat saja, walhal sabda Nabi SAW seperti yang termaktub dalam riwayat di atas, bersifat umum untuk semua pemakan kekotoran.

Sekiranya kita meragui sumber pemerolehan ikan contohnya dari tempat diharamkan, maka lebih baik diusahakan mencari rezeki daripada sumber yang diyakini kesuciannya.

Perbincangan ini sebenarnya lebih menjurus kepada ilmu akhlak bahawa Muslim diajar memastikan asal-usul atau sumber makanannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak akan mencapai seseorang Muslim itu tingkat ketakwaan sehinggalah beliau meninggalkan sesuatu yang tidak ada apa-apa dengannya kerana bimbangkan adanya sesuatu padanya.
(Riwayat al-Tirmizi, al-Nasaei, al-Baihaqi dan al-Hakim )


Maksud hadis ini menuntut seseorang Muslim untuk bertindak menjauhi sesuatu perkara yang lahirnya kelihatan harus atau halal, tetapi apabila dilihat menerusi mata hati melahirkan sesuatu yang meragukan. Demikianlah seperti yang dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam bab makan, dan dan kepentingan menjaga diri dari hal-hal yang syubhat.

Kemungkinan apabila sampai kepada suasana ini Muslim mesti lebih berjaga-jaga dan menukar menu kepada makanan yang lebih diyakini kesucian dan sumbernya.

Wasiat ini juga selari dengan perintah Allah menerusi surah al-Mukminun ayat ke 51 yang bermaksud:

Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.


Menurut al-Qurtubiy dalam tafsirnya, pesanan yang mengandungi perintah ini ditujukan khusus kepada golongan rasul. Jika kalangan manusia yang bertaraf maksum masih diingatkan kewajipan memelihara makanan, maka bagi manusia biasa, sudah tentulah lebih-lebih lagi ditekankan.

Kita juga dapat mengambil pengajaran betapa pentingnya umat Islam berkecimpung dalam kegiatan keusahawanan membabitkan penternakan ikan dan haiwan lain yang diperlukan untuk memenuhi keperluan duniawi dan fardhu kifayah.

Wallahu a'lam..

-Doa KuraNG jeLas tiDak PerLu diaMiNkaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Amin berasal daripada kata kerja ammana, bermaksud Ya Allah! perkenankanlah. Menurut Syeikh Bakar Abdillah Abu Zaid dalam kitab Tashih al-Du'a, lafaz amin disyariat untuk diucapkan selepas doa kerana ia permintaan yang diringkaskan dalam doa sebelum itu.

Antara kehebatan umat Islam seperti sabda Nabi SAW bermaksud:

"Tidaklah masyarakat Yahudi rasa hasad terhadap kamu dalam sesuatu urusan melebihi hasad mereka kepada amin dan ucapan salam antara kamu." (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Antara kelebihan mengucapkan amin seperti dilihat dalam hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinyatakan bahawa amin pendengar terhadap doa diucapkan antara faktor yang menjadikan doa diterima Allah SWT.

Hadis ini jelas menggambarkan ketinggian ucapan amin. Dalam hadis berkaitan Ramadan,

Nabi SAW dikisah mengucapkan amin secara jelas tiga kali ketika menaiki tiga anak tangga mimbar menyebabkan sahabat menanyakan mengapa mengucap amin sedangkan di sekitar mereka tidak ada yang berdoa? Lalu Rasulullah SAW menceritakan amin yang diucapkannya kerana doa Malaikat Jibril yang tidak kedengaran oleh mereka." (Riwayat Ahmad dan Al-Bazzar)

Dalam hadis diriwayatkan Ibn Jarir mentafsirkan ayat terakhir surah al-Baqarah yang terdiri daripada doa hebat, setiap perenggan ayat itu apabila Jibril menyampaikannya kepada Nabi, maka Nabi mengucapkan amin sebagai reaksi naluri yang memohon rahmat dan kasih Allah atas kesilapan diri. Ayat itu adalah:

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menganggap kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat seperti Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikul kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum kafir."


Kedua-dua hadis tadi menunjukkan Nabi SAW mengucapkan amin dengan kuat sehingga didengar orang lain. Dalam pelaksanaan solat juga, contohnya ketika membaca al-Fatihah yang dimulakan dengan menyebut nama Allah SWT lalu memuji dan menyebut sifat-Nya serta kekuasaan-Nya, akhirnya berdoa dengan permintaan diberi petunjuk ke jalan lurus. Selepas itu disyariatkan menyebut lafaz amin, demikian pula dalam solat berjemaah, apabila imam membaca al-Fatihah dengan nyaring, jemaah harus membaca amin bahkan kalau dapat serentak dengan imam.

Daripada Abu Hurairah berkata Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila imam membaca amin, hendaklah kalian membaca amin. Sesungguhnya siapa yang bacaan aminnya bertepatan dengan amin malaikat, dosanya akan diampuni." (Riwayat al-Bukhari-Muslim)


Selain itu, ulama empat mazhab bersependapat jemaah disunatkan mengucapkan amin secara nyaring apabila doa diucapkan khatib dalam khutbah Jumaat. Bagi mazhab Hanafi memadailah ucapan amin dilakukan dalam hati. Berpandukan dalil ucapan amin, kita membuat kesimpulan dituntut mengungkapkan amin secara terang dan jelas menerusi dua keadaan.

Pertama, dalam solat sama ada secara bersendirian atau mengikut imam selepas membaca al-Fatihah dan dalam doa qunut.

Kedua, di luar solat juga dituntut mengucapkan amin yang bermakna ya Allah perkenankanlah hajat kami apabila mendengar doa dilafazkan termasuk ketika doa diucapkan imam membabitkan khutbah Jumaat atau solat Istisqa (minta hujan) gerhana dan lain-lain.

Tidak dituntut mengaminkan doa kurang jelas dan tidak dapat difahami maksudnya atau tidak mengetahui latar belakang imam. Jika imam salih lagi berilmu yang dikenali, tiada masalah mengaminkan doanya dengan mengambil contoh amalan dan petunjuk Rasulullah SAW ketika mengaminkan doa.

wallahualam..