Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

- MATLAMAT FARDHU RAMADHAN -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ibadah tazkiyah al-nafs adalah proses penyucian jiwa ummah daripada segala penyakit rohani



SALAH satu matlamat fardu Ramadan adalah untuk menjana natijah akhlak yang terpuji seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan sebenar kepada Allah Taala.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosanya yang lalu.”

Ramadan bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat itu kerana peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat adalah jalan mendekatkan serta berserah diri kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:

“Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka
tidak bebas seperti biasa.”

Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada Ramadan mengikut apa yang dikehendaki syarak. Puasa adalah ibadah tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang.

Ibadat puasa dapat melahirkan sifat terpuji seperti amanah, jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertakwa dan sabar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.”
(Hadis riwayat Bukhari)


Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW dapat dilaksanakan dengan syumul, banyak perkara perlu diberi perhatian supaya ibadat puasa terpelihara daripada terbatal dan kurang pahala kerana kelalaian menjaga anggota badan.

Besarnya fadilat diperoleh semua muslimin sepanjang bulan barakah ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui khutbah Baginda:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah tambahan. Sesiapa mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan lain.”

Ramadan adalah bulan memberi pertolongan dan Allah menambahkan rezeki orang mukmin dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikat segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru: Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan daripada api neraka.”

Menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan serta pahala yang berlipat ganda daripada Allah Taala.

Usah jadikan Ramadan sebagai bulan berlumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan.

Tambahan, 10 malam terakhir ini, umat Islam diseru untuk merebut rahmat yang dijanjikan Allah seolah-olah inilah Ramadan terakhir kerana hakikatnya, memang di luar pengetahuan kini mengenai rezeki sama ada akan bertemu Ramadan tahun depan.

Semoga perjuangan selama tempoh diwajibkan kita berpuasa ini menghasilkan natijah diharapkan, untuk menjadi hamba lebih bertakwa, berubah ke arah lebih baik dan istiqamah melakukan yang terbaik walaupun selepas berakhir Ramadan.

wallahu a'lam..

- GANJARAN MEMBACA AL-QURAN KETIKA RAMADHAN -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


AL-QURAN yang menjadi petunjuk kepada manusia menghimpun pelbagai pengajaran meliputi kebaikan akhlak, kisah teladan, serta penawar segala penyakit batin seperti kufur, syirik, hasad dengki dan khianat.

Allah berfirman bermaksud:

Wahai umat manusia, sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidangan petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.
(Surah Yunus, ayat 57)

Fadilat membaca al-Quran memang besar seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Orang yang membaca al-Quran dengan lancar, maka dia bersama malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran kurang lancar, maka baginya dua pahala.

Catatan sejarah menunjukkan ulama terdahulu tidak pernah lekang dengan amalan mengaji al-Quran sebaik tiba Ramadan. Mereka menghentikan kegiatan lain selain beristiqamah dengan amal ibadat, termasuk mengaji al-Quran.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Imam Malik, sebaik saja Ramadan tiba tidak mahu lagi menyibukkan diri dengan tugas lain serta meninggalkan seketika urusan mengajar, memberi fatwa atau hal berkaitan keduniaan sebaliknya menumpukan amalan membaca al-Quran.

Imam Malik pernah berkata sebaik tiba Ramadan: Ini adalah bulan al-Quran. Begitu besar penghormatan diberikan seorang aulia (pewaris nabi) terhadap Ramadan dan al-Quran, seolah-olah tersimpul dalam ikatan sungguh kuat hingga sanggup menghentikan segala urusan lain.

Dalam beberapa riwayat ada dicatatkan kalangan ulama membaca al-Quran dengan penuh tartil (teliti). Kerap kali mereka menangis ketika membaca ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai petunjuk serta bimbingan.

Dalil al-Quran diturunkan pada Ramadan adalah firman Allah yang bermaksud:

Beberapa hari yang ditentukan itu adalah Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil).
(Surah al- Baqarah, ayat 185)

Amalan tadarus bukan saja dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat suci, malah memperbetulkan kesilapan bacaan terutama dari segi tajwid dan makhrajnya.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan sepanjang Ramadan sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid pada 10 terakhir Ramadan untuk melakukan solat sunat, membaca al-Quran serta memperbanyakkan berdoa dan antara masa mustajab berdoa ialah sebelum azan menandakan waktu berbuka puasa.

Ketika duduk menantikan azan untuk berbuka puasa, berdoalah kepada Allah. Minta apa yang hendak dan dengan izin Allah, akan dimakbulkan. Tetapi jika sudah banyak berdoa, masih belum dikurniakan, mesti ada hikmah di sebaliknya.

Apabila doa diminta tidak tertunai, maknanya Allah simpan untuk diberi di akhirat nanti atau permintaan itu akan datang masalah. Nabi Musa pun Allah makbulkan doanya selepas 40 tahun inikan kita manusia biasa. Yang penting, jangan jemu untuk berdoa.

wallahu a'lam...

- DOA YANG TIADA HIJAB DENGAN ALLAH -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



FIRMAN Allah yang bermaksud:

Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawa Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqarah, ayat 186)


Sheikh al-Maraghi menjelaskan, apabila Allah menuntut hambanya mengenai kefarduan puasa Ramadan, menyempurnakan bilangannya serta menggesa supaya bertakbir untuk persiapan bersyukur, ayat ini sebagai dalil bahawa Allah bersifat Maha Mengetahui keadaan dan Maha Mendengar segala doa mereka.

Sayid Qutub pula berkata, sebelum rangkaian ayat ini meneruskan penerangannya tentang hukum mengenai masa puasa, batasan merasai kenikmatan puasa dan peraturan imsak, kita dapati ia mengemukakan satu tarikan kepada persoalan jauh di sudut jiwa dan rahsia hati manusia.

Sebab turunnya ayat ini, Nabi SAW mendengar orang Islam berdoa kepada Allah dengan suara yang tinggi dalam peperangan Khaibar. Lantas Nabi SAW bersabda kepada mereka yang bermaksud:

Hai manusia, perlahankan suara kamu dalam berdoa kerana kamu tidak berdoa kepada yang pekak dan tidak kepada yang ghaib. Sesungguhnya kamu berdoa kepada yang Maha mendengar, dekat dan bersamamu.

Selain itu, Ibnu al-Jauzi ada menyebut pendapat lain berkenaan turunnya ayat ini, iaitu seorang Badwi datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Adakah Tuhan kita hampir untuk munajat atau jauh untuk menyeru? Kemudian turunnya ayat ini.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah menjelaskan bahawa Dia adalah dekat. Dia memperkenankan doa orang yang memohon dan memenuhi sebarang hajat orang yang meminta. Tidak ada tirai pendinding antara Allah dengan salah seorang hamba-Nya. Oleh itu, mereka sewajarnya menghadap hanya kepada-Nya dalam berdoa, merendahkan diri, lurus dan memurnikan ketaatan kepada-Nya semata-mata.

Prof Hamka menyatakan di penghujung ayat ini, jadikanlah bulan puasa sebagai bulan penuh ibadat, membaca al-Quran, solat dan berdoa. Oleh kerana doa amat penting dan menjadi otak daripada ibadat, maka Allah berkenan memberitahu mengenai doa dan bagaimana sambutan-Nya jika hamba-Nya berdoa menyeru nama-Nya dan memohon sesuatu hajat.
Oleh sebab itu, Allah dekat dengan hamba-Nya, maka hendaklah berdoa dan memohon kepada Allah dengan ikhlas dan tidak perlu bersuara keras mahu pun bertempik menyeru nama-Nya.

Lantaran dekatnya Allah dengan manusia, maka tidak perlu perantaraan atau wasilah antara manusia dengan Allah, berdoa dan memohon langsung terus kepada Allah. Malah, Allah hampir pada seseorang yang menarik nafasnya yang penghabisan menunggu saat-saat kematian sebagaimana firman Allah bermaksud:

Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada kamu, akan tetapi
kamu tidak melihat.
(Surah al-Waqiah, ayat 87)

Melaksanakan ibadat puasa, seseorang Muslim dilatih dalam keadaan beribadat dan berdoa. Pada masa sama, apabila semakin bertambah makrifahnya kepada Allah, maka semakin bertambahlah ikhlas dan tawakal kepada-Nya.

Natijah daripada latihan dilalui seseorang yang berpuasa terhadap jiwanya dan imannya adalah dia semakin dekat dengan Allah SWT. Lantaran, hampirnya dengan Allah itu yang menyebabkan doanya mudah dikabulkan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, yang doa itu tidak bermaksud dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT pasti akan memperkenankan doa itu melalui tiga cara, iaitu doa itu akan diperkenankan dengan serta merta, ada kalanya doa itu disimpan dan ditangguhkan dulu untuk persediaannya pada hari akhirat dan ada kalanya dijauhkan dan dipalingkan daripada kejahatan yang seumpama dengannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Menariknya, ibadat doa termasuk dalam ayat puasa sekali gus bermaksud doa orang berpuasa itu lebih dekat dikabulkan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Bagi orang yang berpuasa itu sewaktu hendak berbuka puasa adalah
doa yang mustajab.
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:

Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak, iaitu doa pemerintah yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang dianiayai. Akan diangkat doa itu oleh Allah ke atas awan pada hari kiamat kelak dan akan dibukakan baginya pintu langit, lalu Allah berfirman: Demi kemuliaan-Ku, sesungguhnya Aku akan tolong kamu walaupun dalam masa yang sekejap saja. (Hadis riwayat Ahmad, Nasai, Tirmizi dan Ibnu Majah).

wallahu a'lam..

-LaiLatuLqaDar DiraHsiakaN gaLak uMat ikhLas LakukaN ibadat-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



LAILATULQADAR, satu daripada malam Ramadan yang amat istimewa melebihi 1,000 bulan. Ini dijelaskan dalam firman Allah Taala surah al-Qadr ayat 1 dan 2 bermaksud: "Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada lailatulqadar. Tahukah kamu apakah lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan."

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu mempunyai nilaian lebih 29,500 ganda kerana difahami daripada ayat itu pahala lebih banyak dan lebih baik daripada 1,000 bulan.

Kebesaran Lailatulqadar berdasarkan dua perkara. Pertama, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran dan kedua, turun malaikat dalam angkatan besar, gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatulqadar kerana pada pada malam itu turun malaikat mengucapkan salam sejahtera kepada penduduk bumi. Ia juga dikenali sebagai Lailatulsyaraf (malam kemuliaan) dan Lailatultajalli iaitu malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah kepada orang berpuasa dan beribadat.

Penentuan tarikh dan malam lailatulqadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang kuat menyatakan pada malam ganjil sesudah hari ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar bermaksud: "Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam ke-27."

Sebuah hadis Rasulullah diriwayatkan Muslim bermaksud:

"Carilah dengan segala upaya kamu malam qadar pada malam ganjil daripada 10 malam akhir Ramadan."

Jelas daripada kedua-dua hadis itu, Lailatulqadar hanya berlaku pada satu malam dan perangsang kepada umat mukmin supaya berebut mencari pahala dan ganjaran malam qadar dengan melipat gandakan ibadat pada malam akhir Ramadan al mubarak.

Persembunyian tarikh Lailatulqadar menguatkan semangat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran. Allah menyembunyikan urusan lain agama kerana hikmah seperti menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari berkenaan.

wallahu'alam..

-PuaSa Beri KekuataN PsikoLogi HeNtikaN taBiat MerokoK-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


RAMADAN adalah peluang terbaik untuk menjayakan misi berhenti merokok. Kekuatan iman dan takwa yang dijana melalui ibadat puasa dapat mengatasi mengatasi rasa ketagih. Bagi individu dalam kategori ketagih rokok, sukar untuk berpisah daripada rokok. Pada kebiasaannya perokok tidak senang duduk jika tidak merokok dalam tempoh tiga atau empat jam.

Jika ditahan keinginan itu akan menyebabkan perasaan tidak tenteram dan tidak dapat melakukan tugasan lain. Perkara ini disebabkan tubuh perokok telah terbiasa dengan nikotin. Bagaimanapun, pada Ramadan, perokok yang ketagih sekalipun boleh berhenti merokok sekitar 12 jam bermula dari sahur hingga berbuka. Perkara ini tidak dapat dijawab dengan ilmu sains, melainkan mengakui itulah keberkesanan puasa meningkatkan ketakwaan.

Ini membuktikan ketagih merokok dapat diatasi sekiranya minda kita menguasai mengatakan tidak boleh merokok kerana ia perbuatan yang membatalkan puasa. Hakikat bahawa perokok boleh menahan diri daripada merokok dalam tempoh masa kira-kira 12 jam adalah satu kejayaan besar. Kebiasaannya perokok 'mesti' merokok setiap selang dua atau tiga jam.

Pakar psikologi menjelaskan ketagih rokok sebenarnya lebih dikuasai oleh minda dan perasaan. Ketagih merokok sebenarnya dikuasai oleh keinginan merokok. Individu merokok bukan kerana ketagih, tetapi keinginannya mengatakan dia perlu merokok.

Ketika berpuasa, segala kekuatan dan tumpuan diberikan untuk menghalang diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa, termasuklah merokok. Jadi ketagih merokok secara tidak langsung hilang.

Sekiranya selama ini perokok mendakwa terpaksa merokok kerana ketagih, mengapa pula ketika berpuasa tidak menunjukkan tanda-tanda ketagihan?

Sekiranya 12 jam mampu bertahan, keupayaan yang sama perlu diteruskan. Jika ketika berpuasa tidak merokok kerana tidak mahu membatalkan puasa, tanam pula azam tidak merokok selepas berbuka kerana perbuatan mendatangkan keburukan.

Waktu berbuka hendaklah dimulai dengan makan dan minum, bukannya merokok. Selesai berbuka, bersegeralah menunaikan sembahyang Maghrib. Elakkan daripada memberi ruang masa untuk memikirkan keinginan merokok.

Selesai sembahyang, elok berdoa kepada Allah agar memberi kekuatan diri menjauhkan tabiat merokok. Sesungguhnya doa dan usaha yang dilakukan pada Ramadan mudah dimakbulkan Allah.

Selesai sembahyang Maghrib, diisi dengan aktiviti berfaedah menantikan masa untuk ke masjid untuk bersembahyang Isyak dan kemudian diikuti sembahyang tarawih.

Apabila pulang ke rumah, jangan biarkan fikiran dan perasaan ingin kepada rokok. Cuba elakkan berada bersama-sama orang yang merokok.

Lebih baik jika masuk tidur awal untuk mengelak keinginan merokok. Atau, jika ingin meneruskan ibadat malam seperti membaca al-Quran dan bersembahyang sunat. Amalan itu dapat mengelak diri rasa ketagih rokok.

wallahu'alam..

-WaNita IsLam PerLu reBut GaNjaraN PahaLa RaMDhan-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


DALAM menyambut Ramadan, dianjurkan kita sama-sama ingat mengingat mengenai kebesaran bulan ini. Selalu berdoa semoga Allah memberi kekuatan untuk mengisi bulan ini dengan ibadah yang sebaiknya. Bersyukur pada Allah kerana masih diizinkan hidup untuk bertemu bulan ini sedangkan ramai di kalangan kita yang pergi menghadap Ilahi. Kita juga digalakkan untuk merancang masa supaya dalam kesibukan yang ada, kita mampu memperuntukkan sebahagiannya untuk bacaan al-Quran, menghadiri majlis ilmu untuk menyuburkan ingatan kita kepada kebesaran dan pengisian Ramadan serta melaksanakan solat Tarawih dari awal hingga akhir Ramadan.

Sepanjang Ramadan, kita juga selalu didedahkan dengan berita penangkapan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Begitu juga ada pula kedai makanan menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa secara terang-terangan. Ini adalah suatu perlakuan yang sangat dikesali.

wanita Islam juga dianjurkan agar tidak tertinggal dalam mengisi bulan hebat ini. Dalam kesibukan menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga, wanita Islam perlu mengambil langkah bersesuaian agar tidak terlepas daripada mendapat ganjaran melakukan ibadah khusus yang besar pahalanya ini.

Antara cadangan untuk wanita Islam adalah:

# Turut sama ke masjid bersama suami dan anak untuk berbuka dan melaksanakan sembahyang tarawih berjemaah di masjid. Namun begitu, sekiranya masih mempunyai masalah seperti anak masih kecil dan boleh mengganggu jemaah dengan tangisan dan lari ke sana sini, maka sembahyang Tarawih di rumah adalah lebih afdal untuk mereka.

# Bagi yang mempunyai anak kecil dan sentiasa sibuk dengan urusan rumah tangga, usahakan juga untuk solat Tarawih ketika anak tidur agar kita tidak tertinggal merebut pahala.

# Apabila bangun menyediakan juadah bersahur, mungkin dapat diusahakan terus mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum mengejutkan anak supaya tidak terlepas peluang solat sunat sebelum fajar yang sangat besar pahalanya.

# Mengadakan majlis tadarus al-Quran bersama anak sebelum masuk waktu berbuka. Di samping dapat membetulkan bacaan al-Quran anak, kita juga secara tidak langsung menunjukkan teladan yang baik untuk sama-sama bertadarus dengan anak.

# Sentiasa mengingatkan diri serta anak mengenai kebesaran Ramadan, menyuburkan kekuatan dalaman anak dengan membawa mereka menghadiri majlis ilmu bersama-sama.

wallahu'alam..

-GanDakaN iBadaH 10 maLam teRakHir RaMadHaN-




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan antaranya ialah:_

١- Melakukan qiamullail;

٢-Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;

٣-Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);

٤-Mandi antara Maghrib dan Isyak;

-٥Iktikaf dalam masjid.

Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: "Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan."

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya:

"Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu".

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi'iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya:

"Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu."

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi'iy menyatakan:

"Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu."

Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda:

"Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya."

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.

Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: "Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku."

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy 'alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan:

"Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar."

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud:

"Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim."

wallahualam..

-SuaSaNa rai RaMadHaN di Makkah 700 taHun LaLu-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..


Ibn Batuttah gambarkan Baitullah gemerlapan, penduduk beribadat sepanjang malam

PENGEMBARA agung Islam, Ibn Battutah banyak mengungkap mengenai kehidupan, budaya dan tempat menarik sepanjang 29 tahun mengembara bermula dari tanah kelahirannya di Tangiers, Maghribi pada 1325 (700 Hijrah) meliputi Afrika Utara, Semenanjung Arab, Balkan, Parsi, India, Kepulauan Melayu dan China. Ibn Battutah tidak melepaskan peluang untuk memberi gambaran sambutan Ramadan di kalangan penduduk Makkah ketika kunjungan ke Kota Suci itu. Berikut ialah catatan Ibn Batuttah, lebih 700 tahun lalu yang dipetik daripada buku Pengembaraan Ibnu Battutah (Rihlah Ibn Battutah).


Apabila anak bulan Ramadan muncul, gendang serta kompang dipalu di rumah Amir Makkah dan suatu persediaan hebat dibuat di Masjidil Haram. Hamparan diganti baru, lilin dan obor ditambah sehingga Baitullah bergemerlapan cahaya, berseri-seri dan gilang-gemilang.

Imam berpecah kepada beberapa kumpulan dan setiap seorang bersama pengikut mazhab masing-masing iaitu Syafie, Hambali, Hanafi dan Zaidiyyah. Pengikut Mazhab Maliki pula mengumpulkan empat qari yang bergilir-gilir membaca al-Quran dan menyalakan lilin. Tiada satu ruang atau sudut pun di Masjidil Haram tidak diduduki qari yang mendirikan solat bersama-sama jemaahnya. Bergemalah masjid dengan suara qari dan setiap jiwa menjadi lembut, hati menjadi khusyuk dan air mata pula jatuh berguguran.

Selain itu, ada juga antara penduduk Makkah yang hanya menunaikan tawaf dan solat di Hijr secara bersendirian. Imam Mazhab Syafie adalah paling tekun beribadah. Apabila selesai solat Tarawih 20 rakaat, imam mereka biasanya melakukan tawaf mengelilingi Kaabah bersama jemaahnya. Apabila selesai membuat tujuh pusingan tawaf, farqa'ah (sebatang kayu yang dililit dengan kulit binatang yang nipis di hujungnya) yang dibawa di hadapan khatib pada Jumaat seperti yang diceritakan sebelum ini, dipalu sebagai pengumuman supaya setiap orang kembali menunaikan solat.

Kemudian imam mendirikan solat dua rakaat dan sesudahnya pula, menunaikan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Beginilah keadaannya sehingga beliau menyempurnakan 20 rakaat yang lain bersama-sama jemaahnya. Kemudian mereka mendirikan pula solat syaf (genap) dan witr lalu bersurai. Imam yang lain pula tidak membuat sebarang penambahan kepada adat yang biasa diamalkan ketika menunaikan solat.

Apabila tiba waktu sahur, Mu'azzin Zamzami akan menjalankan tanggungjawab untuk mengumumkan waktunya dari menara yang terletak di timur Masjidil Haram. Beliau akan berdoa, memberikan peringatan dan galakan kepada orang ramai supaya bersahur. Ini dituruti oleh semua mu'azzin di menara yang lain. Apabila seorang daripada mereka bersuara, sahabatnya akan menjawab. Di puncak setiap menara pula ada sekeping papan yang di hujungnya diletakkan sebatang kayu secara melintang. Dua lentera (lampu) besar yang dinyalakan dan diperbuat daripada kaca digantungkan pada kayu ini. Apabila waktu fajar semakin hampir dan peringatan supaya berhenti makan diberikan dari semasa ke semasa, kedua-dua lentera tersebut diturunkan. Mu'azzin pula mula melaungkan azan dan ia tingkah-meningkah antara satu sama lain.

Bumbung rumah di Makkah, semoga Allah memuliakannya, setara dan mendatar. Oleh itu, sesiapa yang rumahnya jauh sehingga tidak dapat mendengar azan akan dapat melihat kedua-dua lentera itu dan bersahur. Apabila tidak lagi dapat melihat kedua-dua lentera, ia akan berhenti makan.

Pada 10 malam ganjil (witr) yang terakhir Ramadan, penduduk Makkah akan mengkhatamkan bacaan al-Quran. Kadi, fuqaha dan pembesar turut menghadiri majlis berkhatam ini. Orang yang membaca bahagian yang terakhir al-Quran ialah anak kepada seorang pembesar Makkah. Apabila ia selesai mengkhatamkan bacaan al-Quran, sebuah mimbar yang dihiasi sutera dibawa untuknya dan lilin pun dinyalakan. Kemudian ia menyampaikan khutbah. Apabila selesai khutbah, bapanya akan menjemput orang ramai datang ke rumah dan menjamu mereka dengan makanan yang banyak serta pelbagai kuih-muih.

Begitulah amalan penduduk Makkah pada setiap malam witr. Bagaimanapun, malam yang paling mulia di sisi mereka ialah malam ke-27. Sambutan mereka untuk malam ini adalah lebih hebat daripada sambutan yang dibuat terhadap malam yang lain. Pada malam ini, al-Quran dikhatamkan di belakang Maqam Nabi Ibrahim. Bertentang dengan Hatim Mazhab Syafie, sebuah pentas didirikan. Pentas ini diperbuat daripada alang kayu yang bersambung dengan Hatim itu. Di antara kedua-duanya pula dilintang papan yang panjang. Pentas ini dibina sebanyak tiga tingkat dan di puncaknya diletakkan lilin serta lentera kaca. Sinaran cahaya menyilaukan mata memandang. Kemudian imam datang dan menunaikan solat Isyak. Kemudian beliau mula membaca surah al-Qadr. Imam pada malam sebelumnya akan menghentikan bacaan sebelum Surah al-Qadr.

Semua imam berhenti menunaikan solat Tarawih untuk memberikan penghormatan kepada majlis berkhatam al-Quran di Maqam Nabi Ibrahim dan mereka sendiri datang menghadiri majlis berkhatam al-Quran ini untuk mengambil berkat. Imam menamatkan bacaan dengan membaca surah terakhir dalam dua salam iaitu empat rakaat. Kemudian beliau akan bangun berkhutbah dengan menghadap Maqam. Selesai berkhutbah, imam akan mendirikan solat semula dan orang ramai pun bersurai. Majlis berkhatam al-Quran pada malam yang ke-29 pula diadakan di Maqam Mazhab Maliki. Sepanjang malam itu, khutbah akan disampaikan dan tiada upacara kemegahan lain yang diadakan selainnya.

Dipetik daripada buku Pengembaraan Ibn Batttutah, karya terjemahan IKIM, terbitan MPH Group Printing (M) Sdn Bhd


-PuaSa DidiK roHaNi jauHi sifat kEji-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Ramadhan ajak ummah rasai keperitan hidup golongan kurang kemampuan


KESERONOKAN beramal pada Ramadan semakin terasa selepas lebih 10 hari berpuasa. Umat Islam juga mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan pada bulan rahmat ini, tetapi juga amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, bertadarus, menunaikan umrah dan qiyam pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar dan sebagainya. Puasa juga mendidik rohani agar menjauhi semua sifat terkeji yang didalangi iblis.

Amalan bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa, sudah menjadi rutin umat Islam. Dulu, amalan ini dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan. Anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadhan baru sehari dua.

Seperti dimaklumi, salafus salih seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha'i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain-lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lainnya sama ada dengan memberi makan orang lapar atau memberi makan saudara yang salih, bukan semata-mata seseorang fakir saja.

Keadaan ini berlarutan walaupun selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan At-Timizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja di antara orang mukmin memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah memberinya minuman Rahiqul Makhtum."

Sekiranya umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah.

Sikap bermurah hati pada Ramadan pula sangat terpuji, seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insaan, yang bermaksud:

"Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera."


Orang melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai apabila melihat orang lain bahagia dengan apa diperoleh.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

"Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun."

Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji, atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri. Orang yang ikhlas dalam menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.

Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah SWT sebagai amal ibadah dan sedekah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Seutama-utama sedekah adalah pada Ramadan."



wallahualam..

-DaRi aNNa uNtuk aNa..=D -


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


ape nih "dari anna untuk ana"??hehe..
sebenarnya ana gembira dapat comment dari sahabat ana..nama die "anna"..
tengah2 bosan ni,ana check la tagged ana..ana tak ada la aktif sangat men bende nih..bukak gitu2 jer..hmm,tapi kan rajin betul sahabat2 send message n comment kat ana..especially sahabat2 dari luar malaysia..yislamu ya ukhti..akhi..^_^
walaupun kadang2 x sempat nak balas comment sume..mereka tetap "istiqamah" hantar comment graphics,video islamic dan macam2 lagi la..huhu..
insyaALLAH nanti kalau ada masa terluang,ana akan reply ye..

********************
ni comment yg dihantar sahabat ana..hee..
syukran ye ukhti..sbb memberi peringatan pada ana..

*********************

BULAN POSE NEY...INGAT....BILA MAKAN TU. HEHEHE. TINGGALKAN ORG BLKG CKIT.

JANGAN CURI2....MAKAN.....

JANGAN KEJAASYIK.TIDO.JER..

JANGAN BUAT....KERJA.....

JANGAN AYSIK...., BANYAK2 BERSABAR....

KENA SENTIASA...BEBAIK.......

**********************

banyak peringatan buat ana yang kadang2 lagho nih kat comment nih..walaupun orang lain tengok cuma gambar2 cartoon yang boleh dikira lucu jugak la 10 sen..hehe.. bagi ana comment ni buat ana berfikir..bukan berangan ye..tp "BERFIKIR"..=)

..::::::::::..

١-bila makan,ingat orang belakang sikit.

=Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

٢-jangan keje asyik tido jer.

=Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

٣-jangan sibuk dengan kerja yang tidak berfaedah.

=Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat

٤-jangan asyik marah..banyak2 bersabar.

=tujuan disyariatkannya berpuasa adalah latihan menahan nafsu amarah (suka marah). Orang yang mampu menahan amarah lebih baik dan lebih sempurna daripada orang yang suka marah (pemarah). bak kata ukhti nurol "syaitan dah bawak beg balik kampung... xkan nak marah2 lg beb.. xrock la.."..hehehe..best la ayat ni,kak..=)

-٥kena sentiasa berbaik

=Berpuasa bukan sekadar menahan lapar, tapi juga menjaga diri dari perilaku tercela. Bahkan, berbuat baik di bulan Ramadhan telah dijanjikan pahala yang berlipat ganda oleh ALLAH swt. Sehingga, tak hairan la setiap orang akan berlumba-lumba memperbaiki sikap dan perilakunya di bulan ini.Berbuat baik juga boleh dilakukan melalui percakapan. Menjaga perkataan, memberi semangat, mengucapkan kata-kata yang mententeramkan hati, menginspirasi dalam mencari jalan keluar, hingga sekadar memberi senyum yang menyenangkan kepada orang-orang di sekitar, merupakan perbuatan yang mendatangkan pahala.

sama2 la renung-renungkan ye sahabat yang dikasihi fillah..Ramadhan menuntut ummah sentiasa muhasabah diri dan sentiasa beramal..

wallahualam..


-LaraNGan BorOs mEmBazir kEtika bErbuKa puAsa-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Ramadan mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja


WAKTU iftar atau berbuka puasa adalah satu daripada dua masa yang menggembirakan setiap umat Islam yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika berbuka dan kedua, kegembiraan ketika menemui Tuhannya."

Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan untuk berbuka puasa, mereka tidak seharusnya lalai sehingga melanggari etika berbelanja sebagaimana yang dianjurkan Islam. Oleh kerana terlalu gembira kadangkala menyebabkan umat Islam tidak menyedari mereka melanggari etika murni yang ditetapkan Islam iaitu boros dalam perbelanjaan.

Pemborosan bererti mengeluarkan wang ringgit atau menggunakan barang secara berlebih-lebihan dengan cara yang membazir. Amalan membazir ini amat dilarang Allah yang menganggap orang yang membazir itu adalah saudara mara syaitan.

Allah berfirman yang bermaksud,

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya" � (Surah Al-Isra, 27).

Ini suatu gambaran yang amat keras kerana syaitan itu makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah.

Berhubung larangan pembaziran ini juga, Rasulullah SAW bersabda di dalam hadisnya yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi sedekah miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta." � (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam.

Pemborosan yang sering kali kita lakukan ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa adalah dari aspek makanan dan minuman. Maksudnya membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan sehinggakan ia tidak mampu habis dimakan. Kadangkala dilihat waktu berbuka puasa itu bagaikan pesta makanan dengan pelbagai juadah.

Meskipun berbelanja itu hak golongan berada, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.

Keinginan untuk membeli pelbagai jenis kuih, lauk dan minuman kadangkala agak keterlaluan. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman yang dibeli itu sekali gus. Maka baki atau lebihan makanan dan minuman yang dibuang sebab tidak terdaya dimakan itulah yang dikatakan pembaziran.

Secara jelas,

Nabi Muhammad hanya menggalakkan kita menyegerakan berbuka puasa tepat pada waktunya dan disunatkan berbuka dengan kurma atau buah-buahan yang lain. Jika tiada buah-buahan itu, berbukalah dengan meminum air. Kemudian hendaklah didahului solat Maghrib sebelum memakan makanan yang lain seperti nasi dan sebagainya. � (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda amat melarang perbuatan boros ketika berbuka puasa sehinggakan membawa kepada pembaziran. Perkara ini ada dijelaskan Rasulullah yang bermaksud,

"Ketika Mu'awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin 'Amr bercerita mengenai Rasulullah, katanya Rasulullah SAW tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah melakukan perkara keji (seperti pemborosan). Beliau juga berkata: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya." � (Riwayat al-Bukhari).

Sikap Rasulullah itu sepatutnya dijadikan ikutan dan teladan semua umat Islam.

Tuntutan puasa yang sebenarnya bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum semata-mata. Puasa adalah suatu bentuk latihan praktikal bagi mendidik roh, minda, jasad dan nafsu manusia ke arah pengabdian dan kepatuhan kepada Allah.

Justeru, kita perlu sedar bahawa Ramadan yang sedang dilalui ini banyak mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan praktikal yang kita terima dalam bulan Ramadan ini, kita akan manfaatkan untuk mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang berikutnya.

Ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa, kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa dalam keadaan serba kedaifan dan kekurangan. Mereka juga inginkan menjamah makanan yang lazat seperti orang lain. Namun, dengan kedaifan, membuatkan mereka berbuka dengan makan makanan yang mampu dibeli saja.

Oleh itu alangkah baiknya jika kita membanteras amalan pemborosan dan pembaziran yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah.

wallahualam..

-KeBenDaaN teNggeLamKan HikMah PuaSa-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Ibadah pembersihan diri dilupakan kerana sibuk penuhi keperluan nafsu


DALAM khazanah ilmu komunikasi transendental, yang berkaitan komunikasi antara manusia dengan Tuhan. Al-Quran memberikan pengetahuan kepada kita mengenai komunikasi ini yang salah satunya adalah dalam bentuk doa yang termuat dalam surah Nuh (ayat 71:5�6) bawah ini.

Nuh AS berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menyeru kaumku malam dan siang tetapi seruanku itu tidak menambahkan mereka kecuali lari (daripada keimanan)".

Ini terlihat bagaimana Nabi Nuh berkomunikasi kepada Allah secara transenden, seperti juga dalam ayat selanjutnya, Nuh berkata:

"Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu derhaka kepadaku, dan mereka mengikuti orang yang harta dan anaknya tiada menambah kepadanya melainkan kerugian belaka. (Surah Nuh ayat: 21)

Dalam kaitannya dengan komunikasi transendental pada Ramadan, sejauh manakah Ramadan dapat menjadi saluran yang menciptakan komunikasi berkesan antara manusia dengan Rabbnya?

Dalam masyarakat kita ini, kedatangan Ramadan memperlihatkan semangat berbeza dengan bulan lain terutama apabila kecenderungan banyak ditumpukan kepada aspek zahir, kebendaan daripada aspek kerohanian dan dalamannya.

Semangat ini mengalihkan perhatian dan fikiran kita daripada maksud sebenarnya berpuasa kerana fokus umat yang lebih kepada aspek luaran itu.

Jika diteliti secara realitinya umat Islam selama sebulan ini penuh berlumba melakukan pelbagai kebaikan seperti menyediakan juadah makanan dan mengeratkan tali silaturahim dengan jiran tetangga, saudara mara mahupun rakan sekerja dan kalangan pelajar.

Kesibukan lahiriah ini juga diperhebatkan dengan persiapan dalam kehidupan seharian seperti membeli pakaian baru, membuat kuih-muih dan aneka makanan tradisional sehinggalah kepada persiapan menghias dalam dan luaran rumah, menggantikan beberapa perabot, bahkan sehingga membeli kereta atau motosikal baru bagi menyambut kedatangan Syawal.

Jika kita meneliti fenomena ini dapat dikatakan kita lari daripada inti dan hikmah berpuasa yang sepatutnya memperbaharui dan membersihkan jiwa raga dan bukannya kepada penonjolan zahir semata.

Memang antara ciri zaman permodenan ialah melengkapkan diri dengan serba baru dan terkini. Pengertian baru dan kini juga menjuruskan kepada pola hidup yang berteknologi di mana istilah teknik itu sendiri memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan.

Ini amat berkaitan dengan pola hidup materialisme iaitu � suatu pandangan hidup yang memberi tempat sangat tinggi pada kenikmatan lahiriah.

Ini amat berbeza dengan maksud sebenar berpuasa. Justeru itulah seharusnya kedatangan Ramadan ditandai sebagai ibadah pembersihan diri sehingga kehadiran Syawal iaitu Aidilfitri memberikan maksud kita muncul sebagai manusia baru, dengan hati dan akhlak baru, bukan sekadar baju baru, kereta baru, perabot baru atau rumah yang baru.

Jika dilihat dari aspek psikologi humanistik, terdapat tiga tahap atau peringkat kesedaran kepada diri manusia. Pertama, kesedaran di tingkat psikobiologis. Kesedaran ini dipacu oleh pengalaman pancaindera dan tubuh manusia (biologis). Apa yang dimaksudkan di sini ialah kesedaran untuk minum misalnya, dipacu oleh keringnya tekak. Kedua, kesedaran di tingkat psikososial. Kesedaran ini erat kaitannya dengan keperluan sosial: keperluan berhubungan dengan masyarakat atau keperluan menjalin komunikasi sosial. Akhir sekali kesedaran pada tingkat transendental: kesedaran akan ada dan kehadiran Tuhan (suatu aspek yang diabaikan), keperluan untuk beribadah, kesedaran akan adanya Yang Maha Esa, keperluan berkomunikasi secara transendental dengan Sang Kekasih.

Dalam keadaan normal ketiga-tiga tingkat ini akan bergabung menjadi satu dalam diri manusia. Ini bermaksud dalam setiap perilaku manusia selalu mengandungi tiga tingkat kesedaran iaitu:

i. Sebagai saranan menyihatkan tubuh dengan memberi kesempatan pada organ tubuh untuk beristirahat

ii. Sebagai saluran membangun hubungan komunikasi sosial misalnya dengan memperbanyak solat wajib mahupun sunat secara berjemaah dan bertadarus di masjid yang dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dengan seluruh sanak saudara dan jiran tetangga, mengeluarkan zakat, infak dan sedekah bagi sesama umat Islam yang berhak menikmati kebahagiaan

iii. Berlumba meraih pelbagai ganjaran Ramadan yang ditawarkan Allah serta meraih ampunan dan dikabulkan permohonan daripada doa iaitu dengan menggiatkan kegiatan komunikasi transendental.

wallahualam..

-RaMadHan tuNtut uMMah bErmuHasaBah, bEramaL-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


Tingkat ibadat rebut keberkatan bulan yang mulia


KEHADIRAN Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim kerana ia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah persediaan serta amalan sebelum, ketika dan selepas Ramadan.

Muhasabah penting kerana Ramadan hanya setahun sekali, tambahan pula apakah kita yakin terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah Ramadan kali ini kita melaksanakan yang terbaik sebelum ditakdirkan bertemu Allah pada bila-bila masa saja. Muslim yang bijaksana juga memanfaatkan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa dan beribadat sunat.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan ialah terhadap jasmani dan rohani kerana ibadat sepanjang Ramadan berkait dengan amalan zahir dan batin. Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.

Rejab adalah permulaan bulan yang mulia dan Mukmin bertakwa tidak melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini untuk melipatgandakan amalan termasuk puasa sunat sebagai persediaan menghadapi penghulu segala bulan, Ramadan. Rasulullah berdoa setiap datang Rejab bermaksud:

"Ya Allah! Berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan."

Begitulah amalan orang Mukmin bertakwa dan beristiqamah mempersiapkan diri sama ada fizikal dan rohani. Mereka membersihkan diri dan hati sebelum menyambut Ramadan yang agung agar ia bersedia menerima cahaya, rahmat dan kurnia Allah yang tidak terhingga pada bulan penuh rahmat.

Ahli hikmat berkata:

"Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun segala dosa dan Syaaban untuk memperbaiki hati daripada kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar untuk mendekatkan diri kepada Allah."

Muslim juga dituntut mengulang kaji persoalan mengenai puasa seperti rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmahnya. Kesempurnaan puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung pada cara pelaksanaan ibadat berdasarkan sunah atau tidak. Mengetahui cara melakukan puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.

  • Muslim diwajibkan mengekang diri daripada kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama ibadah ini ialah menahan diri daripada nafsu duniawi kecil atau besar dan nikmat jasmani (makan, minum dan seks) atau penyakit rohani (mengumpat, dengki dan sombong).

  • Muslim harus memperbanyakkan amalan sunat seperti solat tarawih, witir, tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf. Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

    Tawaran istimewa Allah sediakan pada Ramadan wajar menjadi perangsang Muslim merebut ganjaran yang tiada pada bulan lain.
  • Ibadat puasa tidak patut menjadi penghalang melakukan kerja seharian ikhlas kerana Allah yang dianggap sebagai ibadat.

  • Ibadat diberikan Allah ganjaran berganda. Mengapa perlu disia-siakan detik berharga sepanjang Ramadan dengan tidur dan bermalas. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah janjikan sepanjang Ramadan.

  • wallahualam..

    -PerSiaPan mEndaPat bErkat RaMadHaN-

    In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
    Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


    BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa:

    “Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan.”

    Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

    l- Tahap terbaik (khusus al-khusus) - Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

    2- Khusus - Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.

    3- Umum - Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

    Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.

    Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud:

    “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu” (riwayat Muslim).

    Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).

    Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:

    l- Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

    2- Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

    3- Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

    4- Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

    5- Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

    6- Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

    Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh sepanjang bulan ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu:

    “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

    Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mengharap keberkatan dan pahala yang berlipat ganda dari Allah Taala. Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

    wallahualam..

    -MeMpErsiapKaN Diri MenGhayati RaMaDHaN-

    In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
    Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


    Amalan ditunjukkan ibu bapa menjadi pendakwah terdekat kepada anak

    RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

    Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

    Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

    Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

    "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."

    Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

    Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya:

    "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

    Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

    Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

    Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

    Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

    wallahualam..

    -PuaSa SeMpurNa beNtuK PeriBadi MukMin MuttaQi-


    In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

    Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


    HANYA tinggal beberapa hari lagi sebelum kita diberi keizinan Allah untuk bertemu Ramadan al-Mubarak yang mewajibkan untuk kita melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa. Allah berfirman bermaksud:

    “Hai orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

    Ada beberapa peringkat harus diberi perhatian supaya termasuk dalam golongan puasa terbaik. Ini diingatkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya bermaksud:

    “Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa balasan melainkan lapar dan dahaga. ”

    Peringatan ini jelas menunjukkan kita perlu berpuasa seperti dikehendaki Islam supaya mendapat balasan Allah seterusnya menjadikan kita orang bertakwa.

    Puasa peringkat pertama, puasa orang awam yang sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan persetubuhan ketika siang. Namun pancaindera lain seperti mata, telinga, tangan, kaki, mulut, pemikiran dan lebih penting hati tidak dipelihara malah berlipat ganda melakukan perkara negatif yang mengurangkan pahala.

    Puasa peringkat kedua ialah puasa ahlul khusus iaitu mereka menahan diri daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga anggota zahir lain daripada perbuatan yang keji. Namun mereka lalai mengingati Allah. Jasad saja yang berpuasa tetapi unsur terpenting iaitu hati mereka abaikan sehingga terus alpa terhadap Allah.

    Puasa peringkat ketiga dan terbaik ialah puasa ahli khusus/ahlul ma’rifah iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati supaya tidak lalai mengingati Allah. Segala amalan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Inilah martabat ibadah puasa nabi dan sidikin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.

    Konsep asas Allah mewajibkan kita berpuasa ialah supaya dapat menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Menerusi puasa, beberapa panduan serta larangan ketika melaksanakan ibadah melahirkan rasa syukur kepada Allah, sifat kasih sayang sesama insan, perasaan yang mendorong kita saling membantu lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan perhatian.

    Puasa sempurna dapat melahirkan insan muttaqi iaitu modal insan yang amat bernilai dan mampu berkhidmat untuk agama Allah dengan penuh penghayatan dan mereka adalah nukleus bagi pembangunan mapan ummah.

    Inilah golongan yang berjaya dilahirkan Muhammad SAW iaitu sahabat. Sifat serta kriteria sahabat dulu semakin terhakis kerana kehidupan hari ini berdepan pelbagai cabaran. Ada yang gugur dengan percubaan dan ada pula yang berusaha gigih menghadapinya. Ketibaan Ramadan kali ini adalah kesempatan terbaik untuk berusaha menggilap kembali semangat serta kesungguhan yang tertanam kukuh dan jitu dalam jiwa dan sanubari sahabat Nabi SAW.

    Kadangkala sikap menjadi penghalang daripada menjiwai tujuan sebenar berpuasa. Sikap sebahagian umat Islam pada Ramadan ada yang bersungguh-sungguh beramal dan ada yang lalai. Masih ada antara kita yang berpuasa sebagai adat bukan ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredaan Allah tidak menjadi pendorong untuk melaksanakan ibadah.

    Ada yang berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menghalang daripada melakukan perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu atau berkata lucah. Ada yang mengambil ringan sahur sehingga meninggalkannya sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan sahur. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggal solat Subuh.

    Ibadat solat fardu dan sunat hanya dilakukan pada Ramadan serta bersungguh-sungguh mengerjakan tarawih dan witir tetapi meninggalkan solat fardu. Bersungguh dalam pelaksanaan ibadat pada Ramadan termasuk membaca al-Quran untuk diri sendiri, tetapi mengabaikan pembabitan ahli keluarga untuk sama beribadah.

    Terlalu membandingkan antara imam solat tarawih sehingga sampai pada peringkat mengumpat dan menghina. Bersungguh-sungguh menghidupkan ibadat hanya pada awal sehingga pertengahan Ramadan sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan 10 hari terakhir antaranya lailatul qadar.

    Tilawah al-Quran hanya pada Ramadan dan berakhir bersama Ramadan. Rajin membaca al-Quran, tetapi tidak berusaha memahami dan menghayati kandungannya sebagai panduan kehidupan seharian. Bersungguh-sungguh melaksanakan puasa, namun mengabaikan kewajipan lain seperti solat, menunaikan haji, menutup aurat, menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

    Tidak bersimpati dan mengambil berat terhadap saudara Islam yang mengalami penderitaan, kesusahan, kelaparan serta terus dengan sifat bakhil dan kedekut.

    Mensia-siakan fadilat atau kelebihan iktikaf di masjid terutama pada 10 akhir Ramadan. Masa dihabiskan membuat persiapan 1 Syawal. Tidak salah untuk membuat persiapan tetapi kita terlepas satu masa dan ketika yang afdal melakukan ibadat.

    Ramadan ialah proses membentuk mukmin muttaqi iaitu insan paling mulia di sisi Allah. Kemuliaan ini tidak diperoleh melainkan dengan usaha dan mujahadah yang tinggi.

    wallahualam..

    -RasuLuLLah tiDak mEnEtapKan juMLah raKaat soLat taRawiH-


    In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

    Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


    SUASANA di dalam masjid hiruk-pikuk dengan pekikan dan makian. Hassan al-Bana yang dari luar mendengar suara berkenaan segera masuk ke dalam masjid. Kelihatan dua kumpulan sedang bertegang urat. Apabila kedua-dua kumpulan ini melihat Hassan al-Bana memasuki masjid, mereka semua diam.

    “Kenapa bergaduh?” Soal Hassan al-Bana dengan lembut.

    “Kami mahu solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Tetapi mereka katakan tidak sunnah. Yang sunnah kata mereka 9 rakaat.” Seorang lelaki dari kumpulan itu menjawab pertanyaan Hassan al-Banna.

    Dengan lembut dan bersahaja Hassan al-Bana bersuara, “Adakah solat yang sunat ini lebih penting daripada kewajipan untuk bersaudara di kalangan kita sesama Muslim?”

    Di atas adalah secebis peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Hassan al-Bana masih hidup. Isunya kecil tetapi disebabkan tiada kefahaman yang mendalam terhadap hukum Islam, ia menjadi besar. Lebih-lebih lagi apabila emosi mengatasi wahyu dan rasional, maka itulah yang akan terjadi.

    Saban tahun perkara ini sering berlaku. Satu pihak menuduh mengadakan perkara baru dan satu pihak menuduh terlalu memudah-mudahkan agama. Namun yang sebenarnya, kedua-dua dakwaan ini sama sekali tidak berasas. Dalam Islam, sesuatu hukum atau penetapan dalam agama haruslah bersandarkan dalil. Dalil atau bukti dalam Islam ialah al-Quran dan Hadis sahih. Oleh itu, untuk membicarakan mengenai hukum, emosi harus dijauhkan. Terutama dalam hal yang terdapat di dalamnya perbezaan pandangan di kalangan ulama muktabar.

    Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, “Rasulullah bersabda:

    Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.

    Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.

    Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, “Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan solat tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.

    Berdasarkan hujah di atas, kita dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak ada menetapkan sebarang rakaat untuk melaksanakan solat sunat tarawih. Cuma, sunnah yang dianjurkan adalah 11 rakaat termasuk witir. Ini bertepatan dengan satu hadis yang direkodkan Imam Bukhari dalam Sahihnya. Saiditina Aisyah berkata,

    “Tidak pernah Baginda melaksanakan solat malamnya pada Ramadan mahupun pada bulan lain melebihi sebelas rakaat.”

    Dalam menyelesaikan perbalahan mengenai jumlah rakaat ini. Imam Ibn Taimiyah berkata, “(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan.”

    Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadanitu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)

    Muhasabahlah diri kita. Adakah Ramadan yang bakal menjelma ini akan menghasilkan bibit perpecahan hanya kerana bertegas soal jumlah rakaat. Atau kita sama-sama meraikan perbezaan yang menjadi satu rahmat kepada manusia. Ramadan bukanlah bulan untuk berdebat siapa salah siapa betul. Tetapi Ramadan adalah bulan keberkatan yang di dalamnya penuh dengan kebaikan.

    wallahualam..