Showing posts with label Lantai Sirah. Show all posts
Showing posts with label Lantai Sirah. Show all posts

- KHALIFAH AL-MU'TASHIM BILLAH -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Ana pernah terbaca satu cerita..Kejadiannya sangat sederhana dan remeh tetapi hasilnya di luar jangkaan bahkan luar biasa. Ada seorang wanita Muslim dari Bani Hashim yang sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kuasa kerajaan Romawi di utara benua Asia, kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Ketika dia sedang berjalan, seorang lelaki berbangsa Romawi mengganggunya dengan hanya menyentuh hujung jilbab atau tudungnya sehingga dia secara spontan berteriak,


"Wa Mu'tashamah". !!!!!
(Tolonglah aku wahai Mu'tashim)


Selepas berita ini sampai ke telinga Khalifah Al-Mu'tashim Billah daripada Khalifah Abbasiyyah, puluhan ribu tentera dikejarkan ke Baghdad untuk menolong wanita berkenaan sekali gus membebaskan kota berkenaan daripada jajahan Barat.

Dikisahkan dalam buku rujukan sejarah Islam termasuk kitab al-Kamil fi al-Tarikh karangan Ibn Al-Athir jilid 3 muka surat 197 perihal kejadian pada tahun 223 Hijrah dalam tajuk Penaklukan Kota Ammuriah. Ketika mendengar berita itu, Khalifah Mu'tashim sedang memegang gelas mahu minum kemudian dibatalkan niatnya itu dan berseru kepada panglima tenteranya untuk bersiap-siap menuju Ammuriah tempat wanita berteriak meminta pertolongannya.

Ribuan tentera Muslim bergerak pada April 838 Masihi dari Baghdad menuju Ammuriyah dan selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera Khalifah dan tentera Romawi yang membawa kepada pengepungan kota oleh tentera Islam selama lima bulan sehingga akhirnya kota itu jatuh kembali ke tangan tentera Islam pada 13 Ogos 838M.


Seorang wanita Muslim yang lemah berteriak kerana diganggu oleh lelaki penjajah orang Romawi yang bukan Islam. Dalam teriaknya dia meminta pertolongan khalifah yang sedang berkuasa pada masa itu iaitu Khalifah al-Mu'tashim Billah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah selepas abangnya, Khalifah al-Ma'mun meninggal dunia pada 10 Ogos 833 hingga 5 Januari 842M.

Khalifah tersentuh hati dan terbakar ghairah keIslamannya sehingga dia membuat keputusan untuk melancarkan serangan dan mencetuskan peperangan walaupun dia di dalam negerinya sedang menghadapi dugaan yang berat untuk menumpas kelompok penganut ajaran sesat yang bermaharajalela di kawasan Azeirbaijan di bawah pimpinan Babak al-Kharmi yang berpendapat adanya inkarnasi dan menghalalkan amalan seks bebas.

Mu'tashim Billah termasuk antara khalifah yang meninggalkan kenangan indah pada masa kepemimpinannya. Beliau menggantikan kekhalifahan daripada kedua-dua abangnya Al-Amin dan Al-Ma'mun yang digelar dengan khalifah yang cendekiawan.

Walaupun berbeza dengan kedua-dua abangnya dari segi kepintaran tetapi Al-Mu'tashim membuktikan keperkasaan jasmaninya. Diberitakan bahawa Al-Mu'tashim termasuk orang yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi dia menundukkan banyak singa dan mengangkut seribu liter air. Bagaimanapun, kehidupan ilmiah dan sastera pada zamannya tidak jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Kejadian sama banyak berlaku pada hari ini, bahkan ia lebih parah lagi. Kita dengar umat Islam diganggu, dihina, dicedera, dihalau, dijadikan suspek, dianggap penjenayah, dianggap pengganas bahkan dibunuh seorang-seorang mahupun beramai-ramai tetapi tiada sesiapa tersentuh hatinya dan tercabar ghairah keIslamannya.

Umat Islam ingin melaksanakan ajarannya secara kaffah atau menyeluruh di negeri asing tetapi disulitkan, bahkan dilarang walaupun mereka mendakwa bahawa negara mereka demokrasi di mana kebebasan beragama adalah dilindungi oleh negara. Mereka melarang tudung digunakan oleh wanita Muslim, bagaimanapun umat Islam diam. Mereka melarang azan dikumandangkan, umat Islam tidak bergerak. Mereka melarang restoran hanya menyediakan makanan halal, umat Islam pun tidak berganjak.

Dengan satu kenyataan pada hari ini yang mana umat manusia sedang dijajah oleh satu kelompok berpengaruh dunia yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang luar biasa dan selubung seperti selubungnya iblis daripada pandangan manusia, maka diperlukan satu kelompok lagi yang boleh menangkis balik dakyah mereka dan membawa kembali umat manusia ke jalan yang benar seperti misi kalangan nabi dan rasul terdahulu.

Nabi dan rasul sudah meninggal dunia tetapi musuh mereka, iblis, masih hidup dan sedang dipuja dan disembah oleh kelompok berpengaruh dunia berkenaan.

Menurut Syed Qutb,

sebuah masyarakat yang dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan,
--> masyarakat yang bertamadun.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam,
--> masyarakat Jahiliyah.

Sesungguhnya masyarakat Islam sajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap akidah sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertakwa dan yang selainnya setaraf saja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah SWT.

Apabila nilai kemanusiaan atau moral kemanusiaan yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamadun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula menjadi satu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, seperti yang dituduh oleh tafsiran ala benda atas sejarah atau seperti yang dituduh oleh para penganut sosialisme saintifik.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia saja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai yang menonjolkan sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu'tashim pada hari ini?

Wallahu a'lam.

- UWAIS AL-QARNI -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)




.::Pemuda miskin Yaman disebut Nabi sebagai penghuni langit kerana taatkan Allah, Ibu::.


UWAIS al-Qarni hidup pada zaman Rasulullah. Merupakan seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, berpenampilan cukup tampan, kulitnya kemerah-merahan, dagunya melekat di dada selalu melihat pada tempat sujudnya, tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya, ahli membaca Al Quran, pakaiannya hanya dua helai sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya untuk selendangan, tiada orang yang menghiraukan, tidak dikenali oleh penduduk bumi akan tetapi sangat terkenal di langit. Beliau seorang pemuda miskin yang tinggal di Yaman bersama ibunya yang sudah tua, lumpuh dan buta. Uwais tinggal dengan ibunya kerana beliau tidak mempunyai ahli keluarga lain.

Kerjanya mengambil upah mengembala qibas dan unta. Upah diterimanya cukup untuk nafkah beliau bersama ibunya. Apabila ada rezeki lebih, digunakan untuk membantu jiran yang serba kekurangan. Beliau terkenal seorang anak yang taat kepada ibunya dan Allah. Beliau selalu berpuasa dan pada malam hari bermunajat kepada Allah memohon petunjuk. Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa negeri Yaman mendengar seruan Nabi Muhammad SAW, yang telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tak ada sekutu bagi-Nya. Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya sangat menarik hati Uwais, sehingga setelah seruan Islam datang di negeri Yaman, dia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran. Ramai jirannya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad SAW secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbarui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.Hatinya sedih setiap kali jirannya pulang dari Madinah menceritakan pertemuan dengan Nabi Muhammad kerana beliau sendiri belum berpeluang berjumpa Baginda.

Di ceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah SAW mengalami kecederaan dan giginya patah akibat daripada terkena batu yang dilempar oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya diketahui oleh Uwais. Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun dia belum pernah melihat baginda.Hari berganti hari kerinduan Uwais untuk berjumpa Nabi Muhamad semakin mendalam. Hatinya selalu bertanya bila beliau dapat bertemu Baginda untuk memandang wajahnya dari dekat. Beliau rindu mendengar suara Nabi dan kerinduannya kerana iman sedangkan beliau mempunyai seorang ibu yang tua, buta dan lumpuh. Bagaimana harus meninggalkannya untuk menemui Nabi.

Akhirnya kerinduan selama itu dipendamkan. Suatu hari Uwais mendekati ibunya dan meluahkan isi hati untuk memohon izin menemui Nabi di Madinah. Mendengar permohonan anaknya itu, ibunya berkata:

“Pergilah wahai Uwais, anakku, temuilah Nabi di rumahnya,
selepas berjumpa segeralah engkau pulang.”

Betapa gembiranya hati Uwais mendengar ucapan ibunya. Beliau segera berkemas dan tidak lupa menyiapkan keperluan ibu yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran supaya menemani ibunya selama beliau ke Madinah.

Selepas merentasi perjalanan jauh, akhirnya Uwais sampai di Madinah. Beliau segera mencari rumah Nabi lalu diketuk pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Maka keluarlah seorang seraya membalas salamnya.

Uwais menanyakan Nabi yang ingin ditemui tetapi Nabi tidak berada di rumahnya kerana sedang berada di medan perang. Uwais hanya dapat bertemu Siti Aisyah. Betapa kecewanya hati Uwais datang dari jauh tetapi tidak dapat menemui Nabi.
Uwais ingin menunggu kepulangan Nabi dari medan perang tetapi telinganya masih terngiang pesan ibunya yang sudah tua dan sakit supaya segera pulang ke Yaman. Dia melupakan keinginan hatinya dan berjumpa Siti Aisyah sambil berpesan menitipkan salam kepada Nabi Muhammad.

Selepas itu, beliau segera berangkat ke Yaman dengan perasaan amat terharu. Peperangan selesai, Nabi Muhammad kembali ke Madinah. Setibanya di rumah, Nabi menanyakan Siti Aisyah mengenai orang yang mencarinya.

Seterusnya Nabi mengatakan bahawa Uwais anak yang taat kepada ibunya, adalah penghuni langit.


Mendengar perkataan Nabi, Siti Aisyah dan sahabat terpegun. Menurut keterangan Siti Aisyah, memang benar Uwais mencari Nabi dan bersegera pulang ke Yaman kerana tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Nabi meneruskan keterangannya mengenai Uwais, penghuni langit kepada sahabatnya dan berkata:

“Jika kamu ingin berjumpa dengan dia,
perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah tapak tangannya.”

Setelah itu Nabi memandang kepada Ali dan Umar seraya berkata:

“Suatu ketika apabila kamu bertemu dengan dia,
mohonlah doa dan istighfarnya,
dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”


Selepas Nabi Muhammad wafat dan diganti Abu Bakar, kemudian Umar. Suatu ketika Khalifah Umar teringat akan sabda Nabi mengenai Uwais. Beliau segera mengingatkan juga kepada sahabatnya Ali bin Abi Talib.

Rombongan khafilah dari Yaman datang ke Madinah. Umar dan Ali selalu menanyakan Uwais. Rombongan itu memberitahu Uwais ada bersama mereka dan sedang menjaga unta di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, Khalifah Umar dan Ali segera bertemu Uwais.

Setibanya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar dan Ali memberi salam. Tetapi Uwais sedang solat, selepas mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam Khalifah Umar dan Ali sambil mendekati kedua-dua sahabat Nabi itu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di tapak tangan Uwais, seperti pernah dikatakan Nabi. Memang benar, nampaklah tanda putih di tapak tangan Uwais.

Wajah Uwais nampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi dia adalah penghuni langit. Khalifah Umar dan Ali menanyakan namanya dan dijawab:

“Abdullah.”

Mendengar jawapan Uwais, mereka tertawa dan mengatakan:

“Kami juga Abdullah iaitu hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?”

Uwais kemudian berkata:

“Nama saya Uwais al-Qarni.”

Khalifah Umar dan Ali memohon doa dan istghfar daripada Uwais dan selepas itu Khalifah Umar berjanji untuk menyumbangkan wang dari Baitulmal kepada Uwais tetapi Uwais berkata:

“Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang.
Untuk hari seterusnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”


Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam tidak terdengar beritanya. Tapi ada seorang lelaki pernah bertemu dan pernah dibantu oleh Uwais , waktu itu kami sedang berada di atas kapal menuju tanah Arab bersama para pedagang, tanpa disangka-sangka angin taufan bertiup dengan kencang. Akibatnya hempasan ombak memukul kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang lelaki yang mengenakan selimut berbulu di sudut kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya. Lelaki itu keluar dari kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.

“Wahai waliyullah,” Tolonglah kami !”

tetapi lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,

" Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!”

Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata:

“Apa yang terjadi ?”

“Tidakkah engkau melihat bahawa kapal ditiup angin dan dipukul ombak ?”tanya kami.

“Dekatkanlah diri kalian pada Allah ! “katanya.

“Kami telah melakukannya.”

“Keluarlah kalian dari kapal dengan membaca bismillahirrahmaanirrahiim!”

Kami pun keluar dari kapal satu persatu dan berkumpul di dekat itu. Pada saat itu jumlah kami lima ratus orang lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut. Lalu orang itu berkata pada kami ,

”Tak mengapalah harta kalian menjadi korban asalkan kalian semua selamat”.

“Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan ? “Tanya kami.

“Uwais al-Qarni”. Jawabnya dengan singkat.

Kemudian kami berkata lagi kepadanya,

“Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir.”

“Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membagi-bagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?” tanyanya.

”Ya,”jawab kami.

Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdo’a. Setelah Uwais al-Qorni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membagi-bagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tidak satupun yang tertinggal.

Beberapa waktu kemudian, tersiar kabar yang mengatakan Uwais al-Qorni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafankan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya. Demikian pula ketika
orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke pekuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya. Dan Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan, “ketika aku ikut mengurusi jenazahnya hingga aku pulang dari mengantarkan jenazahnya, lalu aku bermaksud untuk kembali ke tempat penguburannya guna memberi tanda pada kuburannya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas kuburannya.

(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qorni pada masa pemerintahan sayyidina Umar r.a.)

Meninggalnya Uwais al-Qorni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian ramainya orang yang tidak dikenali hadir untuk mengurus jenazah dan pemakamannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tak dihiraukan orang. Sejak ia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu.

Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka saling bertanya-tanya :

“Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qorni ? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala qibas dan unta ? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya."

Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa “Uwais al-Qarni” ternyata ia tidak terkenal di bumi tapi terkenal di langit..

wallahu a'lam..