Showing posts with label Takwim Hijrah. Show all posts
Showing posts with label Takwim Hijrah. Show all posts

- MATLAMAT FARDHU RAMADHAN -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ibadah tazkiyah al-nafs adalah proses penyucian jiwa ummah daripada segala penyakit rohani



SALAH satu matlamat fardu Ramadan adalah untuk menjana natijah akhlak yang terpuji seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan sebenar kepada Allah Taala.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosanya yang lalu.”

Ramadan bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat itu kerana peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat adalah jalan mendekatkan serta berserah diri kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:

“Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka
tidak bebas seperti biasa.”

Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada Ramadan mengikut apa yang dikehendaki syarak. Puasa adalah ibadah tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang.

Ibadat puasa dapat melahirkan sifat terpuji seperti amanah, jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertakwa dan sabar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.”
(Hadis riwayat Bukhari)


Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW dapat dilaksanakan dengan syumul, banyak perkara perlu diberi perhatian supaya ibadat puasa terpelihara daripada terbatal dan kurang pahala kerana kelalaian menjaga anggota badan.

Besarnya fadilat diperoleh semua muslimin sepanjang bulan barakah ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui khutbah Baginda:

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah tambahan. Sesiapa mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan lain.”

Ramadan adalah bulan memberi pertolongan dan Allah menambahkan rezeki orang mukmin dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikat segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru: Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan daripada api neraka.”

Menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan serta pahala yang berlipat ganda daripada Allah Taala.

Usah jadikan Ramadan sebagai bulan berlumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan.

Tambahan, 10 malam terakhir ini, umat Islam diseru untuk merebut rahmat yang dijanjikan Allah seolah-olah inilah Ramadan terakhir kerana hakikatnya, memang di luar pengetahuan kini mengenai rezeki sama ada akan bertemu Ramadan tahun depan.

Semoga perjuangan selama tempoh diwajibkan kita berpuasa ini menghasilkan natijah diharapkan, untuk menjadi hamba lebih bertakwa, berubah ke arah lebih baik dan istiqamah melakukan yang terbaik walaupun selepas berakhir Ramadan.

wallahu a'lam..

- SYAABAN, PELUANG BERSIHKAN HATI -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)

Justify Full

Malam Nisfu Syaaban termasuk salah satu masa doa umat Islam mustajab, diperkenan Allah



PADA bulan Syaaban banyak amal kebajikan diperoleh mereka yang mengambil kesempatan beramal. Bulan yang sering dijadikan persediaan menyambut Ramadan turut menjadi bulan umat Islam berebut melakukan amal kebajikan.

Apabila Syaaban berhasil mendorong melaksanakan pelbagai kebajikan dengan amalan mengikut sunnah seperti memperbanyakkan berpuasa sunat, maka Ramadan yang menyusul dapat dilalui dengan mudah dan selesa untuk menunaikan kewajipan berpuasa

Ulama mengatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk membersihkan diri, Syaaban membersihkan hati dan Ramadan membersihkan jiwa.

Mengenai malam Nisfu Syaaban, Imam Syafii menyatakan dalam Kitabnya Al-Umm: Sudah sampai kepada kami, ada orang yang mengatakan sesungguhnya doa dimakbulkan oleh Allah pada lima malam: malam Jumaat, malam Hari Raya Aidil Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam 15 Syaaban.

Imam Syafii berkata: Saya suka kepada kelebihan yang dinyatakan pada malam itu dengan syarat ia tidak dianggap wajib.

Sahabat, tabiin dan ulama bersungguh beribadah pada malam itu. Kitab Durratun Nasihin menyebut:

Jibril datang kepadaku pada malam Nisfu Syaaban dan berkata: Wahai Muhammad, pada malam ini pintu langit dan pintu rahmat sedang dibuka, oleh itu bangun dan kerjakan sembahyang kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.

Aku (Rasulullah SAW) bertanyakan: Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini? Jibril menjawab: Pada malam ini sudah dibuka tiga ratus pintu rahmat, maka Allah Taala mengampuni semua orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan tukang sihir, kahin (tukang tenung), orang suka bermusuhan, peminum khamar (arak), orang yang melacur dirinya, pemakan harta riba, orang derhaka kepada ibu bapa, orang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan diampuni sehingga mereka itu mahu bertaubat dan meninggalkan pekerjaan (maksiatnya) itu.

Beribadah pada malam Nisfu Syaaban boleh dilakukan dengan memperbanyak membaca al-Quran, berselawat kepada Rasulullah SAW, berzikir dan berdoa. Ketahuilah malam Nisfu Syaaban adalah termasuk salah satu masa perkenan dan mustajab doa.

Doa yang dibaca Rasulullah SAW pada malam Nisfu Syaaban antara lain bermaksud:

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu, dan aku tidak mengira pujian kepada-Mu, seperti mana Engkau memuji kepada-Mu sendiri. Maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda.

Doa itu dibaca Rasulullah SAW dalam sujud di waktu malam ketika sembahyang sunat di rumahnya. Baginda SAW membaca doa itu dalam sujudnya sambil matanya menitiskan air mata kerana perasaan takutnya kepada Allah SWT.

Antara kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah pada malam itu pintu langit dan pintu rahmat dibuka bermula daripada awal malam sehingga waktu Subuh.

Allah mengampunkan segala dosa yang pernah dilakukan oleh orang yang menghidupkan malam itu dengan melakukan ibadah kecuali orang yang syirik kepada Allah, menyimpan dendam dalam hati, ketagih arak dan orang yang sentiasa berzina.

Pada malam berkenaan juga amalan yang dilakukan dalam tempoh setahun diangkat kepada Allah, ditulis siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati, orang yang menghidupkan malam itu dengan beribadah akan dimasukkan ke dalam syurga.

Bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat banyak melakukan kesalahan mengenai malam Nisfu Syaaban dengan berebut-rebut datang ke masjid atau surau untuk mendapat fadilat malam itu.

Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas sembahyang Maghrib dan selepas bacaan yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur, memohon dijauhkan bala bencana (bacaan Yasin kedua) dan diniatkan memohon murah rezeki yang halal (bacaan Yasin ketiga).

Difahamkan amalan sambutan malam Nisfu Syaaban yang kaifiatnya seperti ini tidak diamalkan di tempat lain melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara. Ada kalanya mereka membaca surah Yasin begitu cepat dan pantas sehingga mengabaikan hukum tajwid.

Ini berlaku kerana ingin mengejar bilangan tiga kali bacaan. Al-Quran melaknat mereka yang membacanya dengan tidak betul hukum tajwid kerana al-Quran mestilah dibaca dengan tartil.

Firman Allah bermaksud:
Dan bacalah al-Quran dengan penuh tartil.
(Surah al-Muzammil, ayat 4)


Kita digalakkan sembahyang, berdoa, beristighfar, membaca al-Quran dan melakukan amalan disuruh Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat. Nabi SAW tidak menetapkan bacaan surah Yasin seperti disebutkan itu.

Sering juga kita mendengar khutbah yang disampaikan khatib semasa sembahyang Jumaat dengan memperingatkan jemaah supaya jangan terlalu taksub dengan amalan Nisfu Syaaban dan ini bererti ada kesalahan sering dilakukan ketika tibanya malam Nisfu Syaaban.

Syaaban adalah satu bulan hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dianggap pintu gerbang Ramadan yang penuh berkat.

wallahu a'lam..


- FADHILAT SYAABAN -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



SETIAP bulan Islam mempunyai kelebihan seperti Syaaban yang penuh keberkatan dan kebaikan. Syaaban datang selepas Rejab sering dikaitkan sebagai bulan persediaan sementara menanti ketibaan Ramadan.

Umat Islam sentiasa menantikan ketibaan ketiga-tiga bulan yang mempunyai keistimewaan terutama hamba Allah yang sentiasa berusaha mencari keredaan Tuhannya dengan melakukan amal salih.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku (Rasulullah)
dan Ramadan bulan umatku.”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Keghairahan umat Islam melaksanakan ibadat puasa sama ada sunat atau ganti pada Syaaban sering dikaitkan dengan kisah Nabi Muhammad SAW yang berpuasa pada Syaaban.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah:

“Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak melainkan pada Syaaban (selain bulan Ramadan); sesungguhnya Baginda SAW berpuasa sebulan penuh.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Semakin hampir dengan Ramadan, semakin besar ujian dihadapi kerana bagi yang menyedari nikmat melaksanakan puasa sunat, kehadiran Syaaban dimanfaatkan sebagai bulan mempersiapkan diri untuk berpuasa selama sebulan.

Namun, ada juga yang mengambil kesempatan untuk menjadikan Syaaban bulan berpesta makanan kerana memikirkan saat lapar dan dahaga yang bakal ditempuh sepanjang Ramadan apabila semua umat Islam diwajibkan menunaikan rukun Islam ketiga.

Usman Zaid menceritakan:

“Saya bertanya kepada Rasulullah SAW, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada bulan lain seperti pada bulan (Syaaban) ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara Rejab dan Ramadan. Baginda menjawab: Ini adalah bulan segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya amat suka kiranya
amalan diangkat ketika berpuasa.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai)

Untuk mendapatkan keredaan Allah, sewajarnya kita memperbanyakkan amalan seperti puasa bersedekah dan melakukan kebajikan digalakkan pada Syaaban supaya amal ibadat diterima Allah.

Walaupun umat Islam perlu meningkatkan keimanan kepada Allah setiap saat denyut nadinya, namun tidak dapat dielakkan, sebagai manusia yang lemah, sentiasa memerlukan suntikan semangat terutama dalam melakukan kebaikan.

Apabila ada panduan yang menaikkan semangat seperti amalan puasa Rasulullah SAW pada Rejab dan Syaaban, contoh murni itu menarik perhatian dengan niat mencari kesempurnaan iman.

Saidatina Aisyah turut menceritakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Selain amalan puasa, umat Islam digalak memperbanyakkan amalan malam seperti solat sunat kerana diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz memberitahu wakilnya di Basrah:

“Hendaklah kamu perhatikan empat malam dalam satu tahun kerana sesungguhnya Allah SWT membukakan pintu rahmat-Nya seluas-luasnya iaitu malam pertama Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan Aidiladha.”



Selain amalan untuk diri sendiri, umat Islam sentiasa diingatkan memohon keampunan serta rahmat bagi ahli keluarga, saudara atau sahabat handai yang sudah meninggal dunia kerana kebaikan itu juga menyedarkan kita hakikat hidup di dunia hanya sementara.

Justeru, sementara ada masa dianugerahkan Allah, gunakan sebaiknya dan sentiasa mencari peluang mendalami ilmu agama supaya tidak ketinggalan mencapai rahmat Allah yang ada kalanya datang sekali saja.

wallahu a'lam..