Showing posts with label Sosial Kemanusiaan. Show all posts
Showing posts with label Sosial Kemanusiaan. Show all posts

- 1UMMAH ASAS PERPADUAN -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ummah mesti bersatu pupuk perpaduan, perkasa hubungan atasi ancaman terhadap Islam


HARI Malaysia bukan sekadar untuk diingati sebagai sejarah, ia juga ruang mempertautkan kembali mawaddah dan rahmah. Sementara 1 Syawal pula, bagai mengingatkan keberkatan silaturahim, mengambil peluang menyatukan hati yang bertelagah.

Islam mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah. Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud:

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah
supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Justeru, ada hak yang perlu dipelihara Muslim terhadap saudara seagama bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya. Barat juga mendakwa hak asasi manusia terbina daripada norma kehidupan bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.

Namun, hari ini pertelingkahan dan perbalahan menjadi norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Disebabkan mengejar impian dunia, semangat persaudaraan digadai.

Kita dapat bayangkan betapa kalutnya dunia jika hak manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah disebar oleh sesiapa saja.
Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tidak dizalimi kerana kita semua adalah hamba yang tiada keistimewaan di sisi-Nya melainkan mereka yang bertakwa.

Ancaman demi ancaman terhadap umat Islam di Malaysia semakin melampaui batas patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam sendiri.

Sifat mazmumah yang membelenggu seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak dan tidak reda dengan qadar qadar Allah punca putusnya silaturahim sesama Muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian seperti dianjurkan al-Quran dan sunnah.

Strategi menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau bilau kerana propaganda yang begitu halus dicipta.

Lalu Islam yang sempurna dilihat sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang, warna kulit dan kedudukan.

Sejarah membuktikan belum berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Bukan itu saja, golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa, kasih sayang yang dipupuk menusuk sanubari sahabat. Malah, setiap sahabat dapat merasai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah.

Justeru, perlu diingat, kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah belah, tiada lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.

wallahu a'lam..



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- MAKSIAT SELEPAS BERKAHWIN -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



APABILA tersiar kisah isteri ditangkap khalwat oleh suami serta isteri menjalinkan hubungan sulit dengan remaja lelaki, ia bukan saja memalukan kaum hawa tetapi juga umat Islam seluruhnya. (Zaman sekarang, wanita pun sudah pandai "main kayu tiga"..astaghfirullah..astaghfirullah..astaghfirullah..)


VS


Ketika kajian mengenai gejala sosial di kalangan remaja dijalankan pakar akademik dan pelajar di institusi pengajian tinggi, ‘ibu’ remaja pula turut sama terjebak ke kancah kehidupan gelap. Oleh itu, wajar juga dilakukan kajian punca isteri menghampiri zina sedangkan boleh berkasih sayang dengan suami masing-masing, malah mendapat keberkatan Allah SWT.

Ramai isteri yang tidak kasihkan suami. Ada juga berkahwin tanpa rasa cinta dan rasa hormat yang tinggi terhadap suami. Benar, ada yang baru mengenali hati budi suami dan keluarganya hanya selepas majlis akad, sebab itulah banyak masalah dikatakan timbul selepasnya.

Tetapi kepada Muslimah yang arif ajaran agama, mereka akan berusaha sedaya upaya membina persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga, malah menjadi benteng untuk menghalang anasir jahat yang mengganggu ketenteraman istana cinta mereka.

Apa pun alasan, ada caranya untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan tetapi tidak membebaskan diri daripada mentaati suami. Islam tidak pernah membenarkan isteri menduakan suami yang halal dinikahinya ketika masih dalam tempoh perkahwinan, begitu juga suami.

Syuraih, seorang alim dan ahli fikah meriwayatkan bahawa beliau mengahwini seorang wanita dari Bani Handhalah. Pada malam pertama sebagai suami isteri, mempelai menunaikan solat sunat dua rakaat dan memohon Allah SWT memberi kebaikan serta kesejahteraan kepada mereka.

Sesudah solat, si isteri menghadapkan wajahnya tepat ke arah suaminya Syuraih dan berkata:

“Sesungguhnya aku adalah wanita yang asing bagimu dan belum mengetahui kebiasaanmu. Terangkan apa yang menjadi kesukaanmu supaya aku dapat memberikannya dan jelaskan kebencianmu supaya aku dapat menjauhinya.”

Meskipun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, sebagai Muslim yang patuh kepada perintah agama, Syuraih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sebaiknya.

Ia ditambah pula dengan anugerah seorang isteri solehah, yang tahu mendiamkan dirinya di tempat paling sunyi di hati suaminya sehinggakan selama 20 tahun usia perkahwinan mereka, Syuraih tidak pernah melihat kecelaan pada isteri yang dinikahinya.

Walau bagaimana buruk pun seorang suami, jika boleh dinasihati dan mampu berubah ke arah kebaikan, isteri harus istiqamah memberi bimbingan. Walaupun tugas mendidik isteri adalah tanggungjawab suami, isteri juga berkewajipan menasihati suami.

Kebanyakan isteri hari ini memiliki latar belakang pendidikan tinggi dan dengan ilmu yang ada memudahkan usaha mengharmonikan rumah tangga melalui kerjasama suami, isteri serta keluarga. Isteri perlu menjadi nilai tambah yang positif terhadap kekurangan suami.

Sering kali apabila berhadapan masalah atau tidak mendapat perhatian suami, isteri mula mencari keseronokan di luar syariat. Keadaan ini juga berlaku disebabkan masing-masing tidak memenuhi tanggungjawab sehingga ada yang terabai.

Hubungan yang tidak syarie antara suami atau isteri dengan bukan mahram menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Perbuatan ‘main kayu tiga’ kini bukan dilakukan lelaki atau suami saja, tetapi sudah berjangkit kepada isteri. Isteri sudah berani menunjuk belang tanpa memikirkan harga diri, apatah lagi maruah suami dan masa depan anak.

Justeru, suami dan isteri mesti lebih prihatin terhadap pasangan masing-masing kerana pernikahan adalah ikatan yang mulia dan bukan perjanjian biasa. Ia tidak akan terurai hanya kerana dunia dan pesonanya, malah perkahwinan merapatkan langkah kita ke syurga.

wallahu a'lam..



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- MAKSIAT MENGUNDANG BALA -




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Lelaki patut mengelak daripada memandang wajah wanita dan memelihara kemaluan


TIADA siapa yang menyangkal bahawa gejala pembuangan bayi berpunca daripada perbuatan zina. Akibat gagal mengawal nafsu, manusia mudah terjebak dalam perbuatan yang menjijikkan ini. Hasilnya seperti dipaparkan media baru-baru ini mengenai kes pembuangan bayi. Terbaru, kes bayi ditanam di tepi sungai di sebuah daerah di Melaka yang mana menurut pakar perubatan, bayi berkenaan masih hidup ketika ‘dikebumikan’.

Pelbagai punca dilihat menjadi penyumbang kepada perbuatan zina. Dari pergaulan bebas, tiada asas agama yang kukuh, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat mengenai anak-anak remaja mereka hinggalah kepada meniru budaya hidup masyarakat Barat yang bersekedudukan tanpa ikatan.

Jika dilihat dari kaca mata al-Quran dan Sunnah, zina bermula dengan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang lelaki berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan, seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Syaitan pula memainkan peranan siang dan malam menanti peluang menghanyutkan anak Adam ke lembah dosa.

Islam menyediakan garis panduan untuk umat manusia menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah perzinaan. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Nur: 30)

Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki supaya merendahkan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan. Diikuti pula suruhan supaya memelihara kemaluan daripada melakukan perbuatan yang terkutuk iaitu zina. Oleh kerana itulah setiap ayat al-Quran yang memerintahkan lelaki memelihara kemaluan bertujuan menyuruh mereka menjauhi zina.



Beberapa panduan nabawi juga ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk kaum lelaki. Dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin Abdillah berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum melihat wanita ajnabi (bukan mahram), lalu baginda mengarahkanku mengalihkan pandangan.”
(hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan urusan jual beli.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali:

“Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan kali kedua.”
(hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)

Berdasarkan hadis ini, baginda SAW menyebut pandangan seorang lelaki terhadap wanita pada kali pertama adalah bahagiannya yang Allah takdirkan tetapi larangan dari baginda SAW menyusul selepas itu jika dia sengaja melihat wanita itu semula. Pandangan kedua berlaku dengan pilihan yang disertai oleh nafsu manakala yang pertama itu tiada dosa padanya kerana tidak disengajakan.

Al-Azim Abadi menukil kata-kata al-Qadi ’Iyad ayat ke-30 surah al-Nur menjadi hujah bahawa:

“Tidak wajib seorang wanita Muslimah menutup mukanya kerana perbuatan itu adalah sunnah.”

Tetapi mesej utama ayat itu ialah kewajipan untuk kaum lelaki menundukkan pandangan daripada melihat muka wanita dengan sengaja apatah lagi memandang aurat mereka. Sekalipun melihat wajah wanita berulang kali dikategorikan sebagai dosa kecil tetapi kesannya amat besar di sisi Allah SWT.

Kenyataan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Albani)

Zina mata terjadi dengan melihat apa yang Allah haramkan, zina lidah pula berlaku dengan mengeluarkan kata-kata yang haram dan zina hati terjadi apabila timbul keinginan untuk melakukan zina yang sebenar. Pembahagian zina ini disebut oleh Rasulullah SAW kerana ia adalah mukadimah kepada zina hakiki. Maka penentuannya diukur oleh kemaluan. Jika nafsu menguasai diri, berlakulah zina, tetapi jika nafsu berjaya dijinakkan, zina dapat dielakkan.

Kehidupan hari ini menuntut kaum lelaki untuk bergerak ke sana ke mari mencari rezeki. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh mereka. Ke mana saja tempat dituju, pasti mereka terdedah kepada wanita dan aurat mereka. Justeru, menundukkan pandangan adalah jalan keluar untuk mengelak daripada mukadimah zina seterusnya zina yang nyata. Tidak dinafikan kadangkala pandangan yang dipelihara terlepas lalu mata terlihat apa yang dilarang, tetapi Allah SWT maha mengetahui kelemahan hamba-Nya. Lantaran itu Islam menyediakan ruang untuk insan mencuci ‘dosa kering’ itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana kamu berada dan gantilah sesuatu dosa itu dengan pahala, nescaya ia (pahala) akan menghapuskannya (dosa) dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang mulia.” (hadis riwayat Tirmizi)




wallahu'alam..

-CINTAKAN DUNIA-



In The Name of ALLAH
,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Manusia zaman sekarang lebih cinta kepada kehidupan dunia

DARIPADA Abdullah bin Aufa,

"Rasulullah SAW pada suatu hari menanti musuh sehingga matahari condong. Kemudian Baginda berdiri di hadapan orang ramai lalu bersabda: "Wahai saudara-saudara! Janganlah mengharap-harapkan menemui musuh, mintalah kesejahteraan kepada Allah! Tetapi jika kamu bertemu dengan musuh, sabarlah (berhati teguh)! Ketahuilah, sesungguhnya syurga itu terletak di bawah bayangan pedang. Kemudian Baginda berkata: Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, yang menjalankan awan dan mencerai-beraikan pasukan musuh! Cerai-beraikanlah mereka dan bantulah kami melawan mereka."
(Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam khususnya di Malaysia hendaklah bersyukur dengan keamanan dikecapi selama ini dan janganlah sekali-kali bermusuh sesama sendiri atau sengaja mencari musuh kerana kesempatan seperti ini akan digunakan musuh Islam untuk melemah dan menghancurkan umat Islam.

Antara punca kelemahan umat Islam selain daripada ketiadaan perpaduan sesama mereka ialah wujudnya kecintaan kepada kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat meresap serta menjadi budaya hidup umat Islam.

Allah akan memasukkan perasaan berani dalam hati musuh Islam dan pada masa sama mencabut keberanian itu dari hati orang Islam lalu digantikan dengan perasaan penakut iaitu takut terhadap musuh Islam.

Allah berfirman bahawa nasib sesuatu umat tidak akan berubah melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya. Oleh itu, umat Islam hari ini perlu berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki kehidupan dan maruah mereka.

Sesungguhnya hanya orang yang bijak dan tegas mempertahankan agama Allah serta beriman dan beramal soleh saja berhak mendapat pertolongan Allah dalam menghadapi ancaman musuh.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

-PerPeCahaN akiBat peReButaN KuaSa PunCa uMat IsLam tEruS ditinDaS-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..

SEJARAH perpecahan umat Islam bermula sebaik kewafatan Rasulullah SAW apabila ada pihak menolak kepemimpinan Khalifah Abu Bakar. Selagi manusia mampu dikuasai syaitan, perpecahan tetap berlaku. Syaitan berjanji memporak-perandakan seluruh keturunan Adam agar melakukan kemusnahan dan kerosakan di muka bumi akibat perpecahan.

Rasulullah SAW pernah memperkatakan mengenai perpecahan di kalangan umat Islam. Hadis diriwayatkan Tirmizi bermaksud:

"Orang Yahudi berpecah kepada 72 golongan dan orang Nasrani juga berpecah sebanyak itu, tetapi umatku akan berpecah kepada 73 golongan."

Daripada 73 golongan itu, hanya satu golongan akan memasuki syurga, sedangkan yang lain itu bakal menghuni neraka.



Faktor utama menyebabkan perpecahan umat Islam ialah perebutan kuasa pemerintahan. Islam agama universal yang mementingkan perpaduan berdasarkan kepada satu matlamat iaitu mencari keredaan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 92 bermaksud:

"Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku."

Allah dan Rasul-Nya tidak reda kepada sebarang bentuk perpecahan. Banyak ayat al-Quran dan sunnah yang menyebut mengenai pentingnya menjaga perpaduan ummah dan mengelak sebarang perpecahan.

Menolak perpaduan dibawa oleh Islam samalah seperti menolak rahmat Allah. Allah menjanjikan kebahagiaan di dunia dan akhirat kepada mereka yang mementingkan ikatan persaudaraan dan menjauhkan persengketaan.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW mengambil pendekatan menyatukan seluruh puak dan keturunan dengan satu piagam seluruh umat Islam adalah bersaudara.

Hubungan dengan bukan Islam yang tidak memusuhi Islam dihormati sebagai jiran, rakan dan rakyat yang tetap mendapat hak mereka.

Sikap umat Islam yang sentiasa berpecah-pecah menjadi senjata musuh Islam untuk terus menindas umat Islam. Seorang tokoh bukan Islam pernah berkata:

"Kalaulah orang Islam bersatu di dalam satu empayar Arab, mereka boleh menjadi satu bala dan bahaya kepada dunia. Kalaulah mereka masih bersengketa sesama sendiri, selagi itulah mereka tidak mempunyai sebarang kekuatan dan pengaruh."

Di negara ini ada kumpulan menentang kepemimpinan yang ada kerana tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan atau apabila permintaan mereka tidak ditunaikan. Dalam konteks politik, penentangan terhadap parti pemerintah dilakukan bagi membolehkan mereka pula berkuasa.

Dalam setiap rundingan tiada pihak menang atau kalah, sebaliknya persefahaman yang mengelak perpecahan itulah sebenarnya kemenangan kedua-dua pihak. Kepentingan dan kesejahteraan seluruh umat Islam perlu diutamakan dalam setiap keputusan. Kepentingan individu atau kumpulan tertentu perlu ditolak jika mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

Di negara kita wujud pihak yang mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi mencetuskan tindakan yang merugikan umat Islam. Pihak ini sebenarnya belum memahami sepenuhnya konsep negara Islam. Kedudukan Malaysia sebagai negara Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan. Semua kaum menerima dan memperakui kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

takkan la nak jadi seperti ini...???

ini??

dan ini??

ALLAH menjadikan manusia dengan akal, lebih hebat dari makhluk ALLAH yang lain.Kita lihat kemampuan binatang adakalanya lebih hebat daripada manusia kerana menggunakan semaksimum mungkin kemampuannya. Tetapi sekiranya manusia menjadi ganas dengan dalam mengejar impian, insyaALLAH impiannya akan menjadi kenyataan, kerana keganasan manusia adalah menggunakan akal yang dikurniakan ALLAH.

Jadi gunakanlah akal kita semaksimum yang mungkin.Sebenarnya anugerah ALLAH kepada manusia sudah cukup lengkap dan sempurna. Cuma kita sebagai manusia tidak memaksimumkan apa yang telah dianugerahkan. Hanya yang membezakan manusia dan makhluk ALLAH yang lain adalah akal. Hargailah kelebihan yang ALLAH bagi, gunakan kearah kebaikkan. InsyaALLAH kehidupan kita pasti akan sempurna..

renung-renungkan dan sama-samalah muhasabah diri kita...

-PerSauDaRaaN uMMah kiaN LonGGar anGkaRa Nafsu-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..


Pangkat dan harta punca sengketa, seruan kasih sayang sesama mukmin tak lagi jadi pegangan




API ketika kecil menjadi kawan, apabila besar jadi lawan. Saudara mara hanya diingat ketika berada, bila miskin mungkin dilupa. Adik beradik cukup rapat ketika kecil, apabila dewasa ada yang dipencilkan. Pertalian keluarga semakin longgar, ikatan kian terlerai. Masing-masing sibuk memburu kemewahan dan kekayaan sedangkan Islam datang di dunia ini bukan sekadar memenuhi tuntutan itu tetapi mengumpul, memperkasa serta mempereratkan seluruh umat.

Allah berfirman bermaksud:

"Sebenarnya seluruh orang mukmin itu adalah bersaudara." � (al-Hujarat ayat 10)

Seluruh mukmin itu bersaudara, seruannya kepada persamaan antara manusia. Harris Levy menulis, "Belum pernah kutemukan ajaran agama mana pun yang menyeru kepada persamaan antara manusia sekali pun kadang-kadang ada sebahagian agama yang berpura-pura dengan seruan itu."

Islam mengikat seluruh mukmin dengan suatu ikatan kuat iaitu persaudaraan. Seumpama cubit paha kiri paha kanan terasa sakitnya, tetapi kini paha kiri tercubit paha kanan tidak terasa sakitnya lantaran 'dibius' oleh nafsu. Dalam sepotong hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

"Seharusnya kaum Muslimin itu nasihat menasihati dan berkasih-sayang di antara mereka bagaikan satu anggota badan. Jika menderita sebahagiannya maka menjalar ke anggota lain dan tidur pun terganggu sehingga hilang sakit itu."

Kini kebanyakan nasihat tidak lagi didengari, kasih sayang pula semakin sepi, satu anggota dari badan sudah terpisah, kiri dan kanan sudah terasing. Masing-masing hidup sendiri kau dan aku sudah berbeza kerana kubur lain-lain. Demikian apabila nafsu menguasai, manusia hilang akal dan pertimbangan. Pergeseran bagaikan rutin, pertelagahan dan sengketa sesama manusia bagai menuruti jejak nafsu dan iman yang tidak pernah sekata, bertelagah dan bersengketa walau tinggal bersama pada satu nyawa.

Umpama satu keluarga, ketika kecil makan sepinggan kepala ikan kering jadi rebutan. Bersantai bercanda bergurau senda sesekali berkelahi dan berbalah kemudian kembali bercantum bagai 'carik bulu ayam'. Apabila dewasa dan masing-masing sudah berkeluarga semua sudah berubah. Pinggan sudah terasing, kepala ikan kering tidak lagi jadi rebutan tetapi harta sekelumit pula jadi perbalahan.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya:

"Bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan bermegah-megah antara sesama kamu, serta berlumba banyak kekayaan dan anak-anak, umpama hujan yang menakjubkan orang kafir melihat tumbuh tanamannya, kemudian itu menjadi kering dan engkau lihat kuning warnanya lalu menjadi hancur. Dan di akhirat kelak akan disediakan seksaan yang pedih (bagi orang yang bersalah), dan keampunan serta keredaan Allah (bagi orang yang mengerjakan kebajikan). Dan kehidupan dunia itu hanyalah kesenangan tipuan semata." � (Surah an-Nazi'at ayat 37-39)

Harta dan jawatan jadi rebutan sedangkan kehidupan ini cuma kesenangan tipuan serta gurauan dan perhiasan yang sementara. Sudah menjadi tabiat manusia yang tipis keimanan hidup memburu keindahan yang dipandang mata. Dalam al-Quran Allah ada berfirman bermaksud:

"Telah dihiaskan bagi manusia itu mencintai hawa nafsu terhadap wanita, anak-anak, kekayaan yang melimpah ruah dari emas dan perak, kuda yang tangkas, ternakan dan sawah ladang. Itulah perhiasan kehidupan dunia." � (Al-Quran surah ali-Imran ayat 14)

Ada di antara kita yang melebihkan dunia malah terpesona dengan keindahannya lalu gemar mengejar pangkat kedudukan harta dan kekayaan sehingga sanggup menindas malah mencetus pergeseran dan perbalahan. Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya:

"Barang siapa yang ingin kepada kehidupan dunia dan perhiasannya. Kami akan bayar secukup terhadap perbuatan di dunia dan mereka tidak akan dirugikan. Mereka tidak akan mendapat di akhirat kelak melainkan balasan api neraka, dan di sana tiada berguna segala apa yang mereka usahakan, dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan dulu."

Demikian bila nafsu menawan iman, segalanya melalaikan malah membawa ke lembah kegilaan fitnah dan duka. Umar al-Khatab pernah berkata:

"Tundukkan nafsu! Ia jahat, mengheretmu ke lembah keburukan. Kebenaran itu berat bagi seseorang, tapi yang jahat itu mudah. Tinggal kesalahan lebih ringan dan mudah daripada harus bertaubat. Betapa banyak pemandangan yang mengiurkan syahwat walaupun sesaat akhirnya membawa duka yang panjang."

Begitu juga Lukman al-Hakim pernah berpesan ujarnya:

"Hai anakku! Pertama yang mesti kuperingatkan kepadamu adalah setiap orang itu ada nafsu. Jika kamu turuti dia, ia akan meminta yang lainnya. Sungguh syahwat itu bersembunyi di dalam hati seumpama persembunyian api dalam batu, jika dibakar menyala, jika ditinggalkan akan padam jua."

Nafsu yang menumbuhkan segala gejala di dalam kehidupan ini tidak hiraukan padahnya malah terus mendorong manusia bertindak melakukan maksiat dan kemungkaran. Dan kebanyakan manusia pula tidak mampu untuk menentang dan menyimpang kerana sering kali dianggap perjuangan itu hanya melawan sesama manusia, sedangkan Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Perangilah hawa nafsumu sebagaimana kamu semua memerangi musuh-musuhmu."

Sahabat tatkala pulang dari suatu peperangan berkata: "Kita telah kembali dari jihad kecil kepada jihad yang besar." Demikian pula Rasulullah pernah ditanya: "Manakah jihad yang lebih utama wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Jihadmu terhadap hawa nafsumu."

wallahualam...

-AkHLak bEza MaNuSia DeNGan haiWaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..

AKHLAK adalah suatu fenomena kemanusiaan yang tidak terpisah daripada kehidupan setiap manusia walaupun golongan yang rendah tahap tamadunnya, bahkan masyarakat primitif sekalipun.

Manusia dikenali sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat. Dalam kehidupan itu manusia melaluinya dengan peraturan tertentu yang dinamakan akhlak. Cuma yang berbeza dari segi baik atau buruk akhlak dipersembahkan.

Sekiranya ada manusia di dunia ini yang mendakwa tidak mempunyai agama atau menganuti fahaman bebas sepenuhnya, akhlak yang tersemat pada dirinya itulah juga sebagai ganti agama dan itulah agamanya.

Akhlak dalam kehidupan manusia amat jelas, malah didorong rasa ingin mengetahui, aspek itu menjadi suatu bahan pemikiran dan penyelidikan secara khusus dalam pelbagai bidang sejak zaman berzaman.

Semua pengkaji mendapati akhlak menjadi satu daripada aspek yang menjelaskan lagi bukti perbezaan antara manusia dan haiwan.

Daripada kesan dan bukti sejarah perkembangan, kemajuan serta tamadun manusia menunjukkan kekuatan dan keutuhan suatu umat atau bangsa dan tamadunnya bergantung pada dua unsur.

Pertama, kekuatan dan keutuhan kebendaan, manakala yang kedua keutuhan dan kekuatan akhlaknya.

Dua unsur terbabit sama-sama diperlukan, kerana ketiadaan satu daripadanya tidak akan membawa kepada kekuatan suatu umat atau bangsa di dunia.

Kecemerlangan dan kegagalan, ketinggian dan kerendahan, kemajuan dan kemunduran, malah kekuatan serta kelemahan sesuatu bangsa bergantung kepada dua unsur terbabit.

Tetapi sekiranya diperhatikan dengan lebih teliti, antara dua kekuatan terbabit akan zahir kekuatan sebenar sebagai tenaga berkesan serta penentu kepada kesejahteraan hidup manusia dan tamadunnya atau sebaliknya.

Kekuatan itu ialah akhlak yang disifatkan sebagai kekuatan maknawi, bukannya kekuatan kebendaan (maddi), sedangkan dunia kini lebih banyak memberi fokus kepada unsur kebendaan, dengan mengambil mudah aspek akhlak.

Oleh kerana itu dapatlah dirumus, kejayaan dan kemajuan, ketinggian dan kesejahteraan bangsa adalah kekuatan serta keutuhan akhlaknya.

Walau betapa membangun sesebuah negara itu, megah bersama bangunan pencakar langit dan teknologi moden, tetapi jika bangsanya rendah budi bahasa dan buruk akhlaknya, sudah tentu negara terbabit tidak dijulang serta tidak disebut-sebut.

Lihat saja bangsa yang menjadikan rasuah sebagai amalan, tidak dipandang tinggi masyarakat antarabangsa, walaupun pembangunan di negara terbabit tidak kurang hebat, malah bilangan rakyatnya melebihi daripada sesetengah negara lain.

Ringkasnya akhlak itulah yang akan merendahkan atau meninggikan suatu umat dan bangsa. Akhlak itulah yang akan melemahkan atau memajukan dan dengan faktor itulah akan membuatkan bangsa itu derita, sejahtera, cemerlang atau binasa.

Pantun Melayu lama berbunyi:

Kukuh rumah kerana sendi
Rosak sendi rumah binasa
Kukuh bangsa kerana budi
Rosak budi bangsa binasa.

Contoh kehancuran umat manusia di zaman silam disebabkan keruntuhan akhlak jelas di depan kita, yang boleh diteladani melalui kisah dipaparkan al-Quran serta hasil penemuan dan kajian ahli arkeologi, seperti generasi manusia yang rendah akhlak di zaman Nabi Luth a.s.

Umat terbabit menerima musibah kerana sudah ketandusan dan kekeringan unsur kemuliaan akhlak. Mereka pupus benih kebaikan, dilanda keruntuhan dan kerosakan akhlak yang melampau-lampau, sehingga disifatkan al-Quran sebagai umat yang zalim.

Kehancuran umat terbabit dan kebinasaannya sebagai akibat daripada sebab keruntuhan akhlak, adalah suatu sunnah atau suatu undang-undang yang pasti kepada setiap umat dan bangsa di dunia.

Justeru, akhlak walaupun aspek yang sering dipandang remeh oleh banyak pihak, ia sebenarnya nadi utama dalam mewujudkan keseimbangan riwayat hidup setiap manusia, umat dan tamadunnya.

Nabi s.a.w ada bersabda dalam sebuah hadis bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." (Riwayat al-Hakim)

wallahualam..

-KeMajUan uMat IsLam BerGantuNG KepaDa kEwibaWaaN pEmiMpiN-

SEJARAH membuktikan kemajuan yang dicapai negara umat Islam banyak bergantung kepada kewibawaan dan kemampuan kepemimpinan mengendali dan mentadbir sesebuah negara.

Kemuncak kecapaian kegemilangan umat Islam ialah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, pada zaman itu umat manusia berada di kemuncak kejayaan. Nilai kemanusiaan yang utuh dihayati dengan sempurna seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kehidupan bernegara. Kemuliaan tamadun itu mampu diteruskan oleh kepemimpinan Khalifah ar-Rashidin.

Kemampuan pemimpin melaksanakan nilai itu boleh menjadi penentu kepada kemajuan tamadun umat manusia. Kegagalan menghayati nilai itu, kepincangan dan kemelut hidup manusia akan wujud.

Dalam suasana semasa dan masa depan, kepemimpinan negara perlu memiliki ciri untuk membawa umat Islam maju ke hadapan.

Antara ciri itu ialah pemimpin negara perlu mendukung idealisme luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat serta negara. Tanpa sifat itu negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela.

Keadaan semasa jelas menyokong pandangan itu bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinannya.

Kedua, kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran mantap berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru, sistem pengendalian negara perlu bersandarkan kepada asas fahaman didukung oleh arahan Ilahi.

Sistem Marxis/Komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya bercanggah fitrah manusia..

Sesebuah negara maju tidak dapat kekal kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai nilai kemanusiaan.

Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti rasuah secara berleluasa, amalan menindas, menipu dan sebagainya adalah fakta yang melemah dan meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.

Ketiga, kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik pintar. Kebolehan itu penting kepada pemimpin politik akan diamanahkan menerajui negeri dan negara. Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidun adalah bukti nyata. Dalam kajian oleh Profesor P Kotter dari Harvard Business School, 80 peratus kejayaan sesebuah organisasi bergantung rapat dengan mutu kepemimpinan.

Seseorang pemimpin perlu memahami suasana negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat serta sumber negara.

Mereka harus mampu menggembleng semua lapisan rakyat untuk memajukan negara pada peringkat tertinggi. Semua ahli masyarakat dalam negara hendaklah berperanan pada peringkat yang tertinggi dalam usaha pembangunan itu.

Keempat, kepemimpinan negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa. Pada era globalisasi, sama ada kita mahu atau tidak, negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu di pasaran antarabangsa. Justeru, kepemimpinan negara Islam tidak boleh memisahkan diri dengan ajaran Islam.

Untuk maju dan berjaya pada peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan syumul berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing dan seterusnya mengatasi pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah.

Kita yakin kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam menyusun dan membangunkan negara menepati fitrah manusia. Mana-mana pendekatan menyusun dan memajukan masyarakat dan negara bertentangan fitrah kemanusiaan akan gagal mewujudkan sebuah peradaban manusia yang sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan negatif di akhirat.

Islam merangkumi segala aspek pengendalian hidup untuk individu, keluarga, masyarakat dan negara. Ia berasaskan falsafah tauhid, di mana tauhid mencorak cara hidup dan menjadi inti tamadun umat Islam. Ia juga asas falsafah sistem pengendalian negara.

Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpandangan semua ciri keperluan manusia berada dalam satu kesatuan. Kesempurnaan keperibadian manusia akan tercapai jika semua ciri dalam dirinya diberi tumpuan sepenuhnya.

Keperluan kebendaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi secara bersepadu. Begitu juga kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Semua aspek keperluan diberi tumpuan saksama.

Dalam rangka ke arah pembentukan peribadi individu bersepadu, Islam menyarankan perlunya pelaksanaan sistem pengendalian negara dapat mendukung falsafah tauhid. Justeru, sistem pendidikan negara perlu melahirkan individu memiliki pandangan hidup sempurna, akhlak baik dan menguasai kemahiran hidup sesuai kemampuan masing-masing.

Pembentukan peribadi individu memerlukan suasana menyokong segala kegiatan dijalankan setiap individu. Polisi dan dasar pentadbiran negara hendaklah mengarahkan kepada kewujudan suasana keadilan dan muafakat di kalangan masyarakat.

Suasana itu akan membawa kepada keharmonian yang dapat menghasilkan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Berpandukan kepada pendekatan hidup berasaskan tauhid ini, pendekatan Islam dalam semua kegiatan aktiviti manusia, hendaklah menepati fitrah dan cita rasa manusia semula jadi. Islam tidak membebankan sesuatu tuntutan yang mustahil dapat dikendalikan oleh manusia.

Oleh itu, Islam adalah amali untuk semua masa, tempat dan individu sama ada beragama Islam ataupun tidak. Islam berpandangan mengingkari petunjuk Allah adalah amalan zalim terhadap diri sendiri, kefahamannya dan kebijaksanaannya.

Bahkan, keangkuhan kepada penolakan terhadap kebenaran wujudnya petunjuk Allah menyebabkan lahirnya pandangan hidup kebendaan dalam diri manusia dan masyarakat seperti dalam sistem ekonomi Kapitalisme dan Marxisme.

Oleh itu kepemimpinan negara umat Islam, wajib yakin kepada pendekatan Islam dan berjiwa ikhlas untuk membangun negara semoga kesemua lapisan rakyat memperoleh kemuliaan hidup serta dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

-BeRaDab, aKhLak MuLia aSas PupuK huBunGan HarmoNi-

DARIPADA Abi Hurairah katanya, bersabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengharungi kehidupan zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita akan struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik. Sesungguhnya sebagai agama keamanan, Islam menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia.
Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesama sendiri, menjaga maruah dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda daripada kecurian, rompakan serta pencerobohan.

Sebagai seorang Muslim kita perlu menghormati setiap maruah individu Muslim lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati serta tanggungjawab menghormati masyarakat dan individu lain.

Antara sebab mengapa puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam kerana sikap tidak ambil peduli berlaku antara sesama umat Islam hari ini. Justeru musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas umat Islam.

Sebetulnya umat Islam harus hidup seperti disebut dalam pepatah Melayu, ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya’. Jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga menikmati kebaikan itu.
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam saja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap insan mendiami bumi ini seharusnya menjalinkan hubungan sesama mereka dengan adab muamalah dan pergaulan sosial yang baik sama ada berbentuk perkataan enak didengar, kejiranan mendamaikan dan layanan terhadap tetamu yang selayaknya.

Semua ini adalah unsur keimanan seseorang kepada Allah yang menyuruh kita sebagai umat-Nya berakhlak mulia kerana kebaikan dilakukan akan mewujudkan kesatuan ummah dan menjinakkan hati manusia serta menghapuskan sifat hasad dengki selain meluaskan perasaan kasih sayang berpanjangan.

-MaNa sAtuKah PiLihaN raGaM KemAnuSiaaN Kita???-

Wahai anakku, dalam perjalanan hidupmu membesar dewasa, kamu akan ketemu pelbagai manusia dengan pelbagai ragam tabiat dan akhlak. Maka pada diri orang yang mempunyai sikap atau akhlak yang tak elok, patutlah kamu berwaspada. Jauhilah dirimu dari ragam-ragam berikut :_

#Ragam pertama:
Orang yang setelah kita menghulurkan bantuan dia buruk sangka pada kita dan menyindir kita tak ikhlas, padahal kita tolong dia semata-mata kerana kesiankan dia, tak mengharapkan apa-apa balasan darinya. Bukanlah sekali, tapi berkali-kali begitu. Seperti ustaz kata, ikhlas itu ada dalam hati dan hanya Allah saja yang tahu. Kalaulah dia boleh tahu siapa yang ikhlas atau tidak, adakah dia sama seperti Tuhan boleh tengok hati orang ? Inilah syirik yang dia tak sedar. Bila dia tuduh orang tak ikhlas maka sama seperti kata ustaz, satu jari menuding, empat jari tuding pada diri sendiri.

#Ragam kedua :
Orang yang apabila dia mendapat sesuatu ilmu, dia sangka hanya dirinya sajalah yang tahu akan perkara itu. Bila bercakap dengan orang, dia anggap orang tak tahu apa yang dia baru tahu. Kemungkinan orang yang dia tunjuk lagak sudah pun mengetahui perkara itu sejak dulu lagi tapi taklah kagum pada diri sendiri seperti dirinya. Orang seperti ini suka memuji-muji diri sendiri dan dia tak senang kalau orang lain lebih berkebolehan dari dirinya. Hidupnya hanya mahu berlaga-laga kebolehan, pandang rendah orang lain dan menonjolkan kelemahan orang lain. Inilah sifat sombong dan bongkak.
Ustaz kata, orang yang benar-benar berilmu itu adalah orang yang ilmunya disertai dengan akhlak yang mulia dan punyai sifat merendah diri. Seperti padi, lebih berisi lebih tunduk. Seperti imam-imam dulu, kalau ada perkara yang dia belum dapat jawab dengan sempurna pada saat itu, dia akan kata dia tak tahu.

#Ragam ketiga :
Orang yang setiap tahun berkata yang dia kepingin sangat hendak mengerjakan umrah atau haji, tapi tidak kesampaian dengan alasan dia masih belum mampu dari segi wang. Tapi kita lihat setiap tahun menjelang hari raya, dia akan tukar langsir baru seluruh rumah , akan beli baju kurung baru untuk semua anggota keluarga - bermakna kalau dalam 4 tahun, dia dah ada 4 set langsir seluruh rumah, 4 set baju kurung seluruh keluarga. Benda ni tak pun wajib. Dalam rumah terdapat bermacam-macam alat hiburan, komputer terhebat beberapa buah, T.V sebesar-besarnya, pergi holiday setiap tahun belanja lebih dari seribu dolar dan lain-lain. Sebenarnya, kalau betul prioriti-nya hendak pergi umrah atau haji, wang tu semua boleh disimpan setiap tahun dan mampu boleh pergi umrah. ( Ustaz kata, kita lebih banyak menggunakan wang untuk berhibur dan hiburan daripada membeli makanan untuk hidup.) Yang peliknya , dia pula yang kutuk orang yang beberapa kali pergi umrah itu membazir wang yang sepatutnya didermakan pada masjid atau madrasah. Sebenarnya lebih baik dia diam dari mengutuk orang.

#Ragam keempat :
Orang yang apabila bertemu dengan orang lain, dia sangka diri dia lebih banyak ibadat dari orang yang dia temu. Kata Ustaz, inilah sifat Iblis, kerana sebelum Allah cipta Adam a.s, memang lah dia makhluk yang paling banyak ibadat. Tapi bila dia bertemu dengan Adam a.s, dia pandang Adam itu jijik rendah dari dirinya. Dia tertipu dengan ibadatnya sendiri. Janganlah mengaku sendiri yang "aku" ini wara'. Yang menilai samada kamu itu wara' adalah Allah, bukan kamu.

#Ragam kelima :
Orang yang ada sesuatu hajat peribadi dan meminta supaya orang yang hendak ke Makkah mendo'akan untuknya di sana. Dia juga berkata kalau hajat dirinya itu tak dapat, bermakna do'a orang yang ke Makkah itu tak diterima Allah maka menunjukkan orang itu bukanlah orang yang wara'. Apakah logiknya dia menyalahkan orang yang cuba mendo'akannya apabila hajat dirinya sendiri tak kesampaian ? Orang seperti ini hanya tahu melihat kekurangan orang lain, tapi dia tak sedar oleh kerana kekurangan diri dialah, maka tersekat do'a orang lain untuk dirinya.

#Ragam keenam :
Orang yang mempunyai lidah yang jahat sewaktu berkawan. Budaya "mulut laser" sudah menjadi adat kebiasaan. Padahal ini adalah akhlak yang buruk, berbeza sekali dengan akhlak Nabi s.a.w. Kawan tu di"laser" habis-habis dan dia beranggapan bahawa kawan tu masih patut tetap berterusan berkawan dengannya. Orang seperti ini akan kehairanan apabila ada orang yang tidak mahu dekat sama dia. Dia akan menuduh orang memutuskan silaturrahim. Tapi bila diri dia sendiri yang terkena sindiran yang pedas, dengan serta merta dia boleh "buang-muka" akan orang itu tanpa terasa pun akan silaturrahim. Meng"kontradik" diri sendiri. Nabi s.a.w pernah berkata, orang yang beriman itu adalah orang yang tidak menyakiti orang lain dengan lidahnya. Dimanakah kedudukan iman orang yang mempunyai lidah yang jahat ?

#Ragam ketujuh :
Orang yang hendak mengamalkan amar ma'ruf nahi mungkar - menyuruh berbuat kebaikkan dan menegah berbuat keburukkan. Bila kita tegur seseorang yang melakukan kesilapan atau kurang ilmu agamanya, adalah dengan belas ihsan, sifat kasihan - mengharapkan kebaikkan atas orang itu. Tapi sebaliknya yang kita selalu lihat adalah orang yang menegah kesilapan dengan menghina orang itu dan menonjolkan kepandaian diri dari segi agama. Allah pernah mengingatkan Rasul s.a.w jika Rasul bersifat kasar terhadap manusia, nescaya mereka akan lari daripadanya.


#Ragam kelapan :

Orang yang kerap memberitahu kita cerita-cerita peribadi tentang hal orang lain. Tetapi bila kita sedang mengalami masalah ingin mengadu padanya, dia tuduh kita hendak mengumpat, dan tak mahu dengar masalah kita. Orang yang dah terbiasa mengumpat, dia tak sedar kebiasaan diri sendiri.