Showing posts with label Bidadari Syurga. Show all posts
Showing posts with label Bidadari Syurga. Show all posts

-NaBi KehiLaNgaN BoNda-


APABILA membaca surah Ad-Dhuha, tentu sahaja ia tidak ada kena mengena dengan satu tempoh masa yang berlaku di pertengahan waktu pagi, iaitu semasa cahaya matahari belum panas lagi yang dikira 24 minit selepas waktu terbit matahari.
Ini kerana jika kita hayati, surah itu seolah-olah Rasulullah sedang dipujuk hatinya jika baginda berada dalam hati yang rawan akibat dilahirkan sebagai anak yatim

.

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat) sehingga engkau redha - berpuas hati. Bukankah ia mendapati engkau yatim piatu, lalu diberikan perlindungan? (ad-Dhuha: 5-6)

Surah ini mungkin memberikan semangat yang kuat kepada baginda untuk mengharungi arus kehidupan seorang diri di dunia ini, tanpa ayah dan ibu di sisi .
Begitupun bagi membesarkan anak yatim ini, Nabi Muhammad telah Allah berikan pelbagai 'penjagaan' khas sedari baginda kecil mengenangkan anak yatim ini akan memikul satu tanggungjawab yang sangat berat, besar dan mencabar sebagai Pesuruh Allah kala dewasanya kelak!

Begitulah yang terjadi ketika baginda kembali semula ke Kampung Bani Saad selepas ibu susu baginda, Halimatus Saadiah berjaya memujuk Siti Aminah untuk beliau terus memelihara walaupun anak susuannya itu telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.


Dikatakan ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka berlakulah peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat.

Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat Jibrail ketika baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak sebaya yang lain.
Jibrail yang lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu tanpa membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di bahagian organ hati lalu dikeluarkan organ itu.

Daripada organ itu, Jibrail telah keluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat mengatakan sebuku darah itu berwarna hitam lalu berkata: "Inilah bahagian syaitan yang ada padamu!"
Lalu organ hati itu dimasukkan ke dalam sebuah bikar emas lalu dibasuhkan hati itu dengan air Zamzam.

Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya dikembalikan semula ke tempat asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan semula. Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga dengan kejadian yang menimpa baginda itu.Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu.

Belum sempat mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya berlari kepada ibu susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang lelaki. Mereka berkata dengan cemas: "Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!"
Lalu apabila mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada dalam keadaan selamat tanpa sedikit pun sebarang kecederaan.

Kejadian yang penuh makna itu, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah. Beliau begitu bimbangkan mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu sahaja beliau tidak dapat melindungi anak yatim itu.
Ini menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga berpisah dengan Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri.

Walaupun perpisahan itu bakal mencalarkan kebahagiaan beliau selama ini kerana dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah. Namun beliau sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana baginda dilahirkan dahulu.
Dalam hal ini kala dewasa, baginda masih mengenang jasa dan keikhlasan ibu-ibu susu yang pernah memberikan yang terbaik dan paling berkhasiat kepadanya.

Selain ajaran baginda dan Islam itu sendiri amat menggalakkan susuan susu badan ini, kedudukan ibu yang menyusukan anak, dipandang sangat mulia dan tinggi oleh Rasulullah. Ini sebagaimana sabda baginda, yang bermaksud; "Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku setelah ibuku sendiri".

Dalam riwayat lain; "Diriwayatkan daripada Hajjaj al-Aslami bahawa dia bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang boleh menghilangkan ingatan hatiku daripada mengenang jasa orang yang telah menyusuiku?" Lantas Rasulullah menjawab dengan katanya: "Hendaklah kamu menghadiahkan kepadanya seorang hamba atau jariah yang masih kecil".

Lalu berpisahlah ibu susu yang namanya begitu tercatat besar dalam sirah Nabi Muhammad dengan anak susuannya itu. Berkat dan kesudian Halimah menyusukan Rasulullah ternyata melihatkan kesan yang cukup ketara apabila Nabi Muhammad tumbuh besar dengan baik, sihat dan kuat.
Meskipun hatinya amat berat sekali, namun Nabi Muhammad tetap dipulangkan semula ke ibu kandungnya, Aminah.

Sebaik sahaja, anak itu diserahkan sehingga itu sahajalah catatan sejarah yang menceritakan mengenai kemuliaan Halimah.
Namun beliau meninggalkan juga satu lagenda dan bagaimana umat kini dapat mempertahankan ibu susuan kerana tanpa bantuan dari Halimah, manakan Rasulullah tetap gagah perkasa sehingga ke akhir hayat baginda. Semua itu berkat dari susu badan wanita desa yang dipercayai sangat berhikmah, lemah lembut dan berbudi pekerti mulia, Halimatus Saadiah!

Sebagai ibu kandung, melihat anaknya membesar dengan sihat dan kuat merupakan satu kegembiraan kepada Siti Aminah selepas kehilangan suami tercinta, Abdullah.
Namun kita akan memasuki satu lagi episod sedih apabila kegembiraan dari pertemuan semula seorang ibu dan anaknya itu ditakdirkan berlangsung tidak lama.

Sehinggalah pada suatu hari, dikatakan hanya selepas setahun bersama ibu kandungnya itu, dalam usia enam tahun baginda telah dibawa ibunya untuk menziarahi kubur ayahanda baginda yang terletak di Yathrib (nama lama Madinah).
Itulah pertama kali baginda hendak 'didekatkan' dengan bapa kandung yang tidak sempat baginda temui di samping telah menjadi tanggungjawab kepada Siti Aminah yang setiap tahun mesti menziarahi pusara suaminya itu.

Rombongan untuk menziarahi pusara Abdullah itu diketuai sendiri datuk baginda, Abdul Mutalib yang turut bersama dalam rombongan itu, hadina (pengasuh) Rasulullah, Ummu Ayman.
Dalam ziarah itu mereka menetap di Yathrib selama sebulan sebelum kembali semula ke Mekah.
Dalam perjalanan pulang itu, iaitu setibanya rombongan itu di suatu tempat bernama Abwak, Siti Aminah mengadu sakit manakala sesetengah riwayat berkata Ummul Mukminin itu dikatakan jatuh demam yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan ke Mekah.
Pada hari itu juga, bonda Nabi Muhammad ini dikatakan akhirnya menghembuskan nafas terakhir ketika dalam tidurnya.

Maka, yatim piatulah Nabi Muhammad dengan kehilangan ibu tercinta di kala usia baginda enam tahun, iaitu satu usia yang sangat muda dan amat memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ibu, lebih dari segala-galanya di dunia ini.
Namun dikatakan sebelum wafat ibu Rasulullah itu, Siti Aminah sempat menitipkan pesan kepada anak yang tercinta; "Ya Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu". (Wahai Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati, kerana sesungguhnya aku akan mati).

Walaupun pesanan itu sungguh bermakna besar kepada Rasulullah tetapi bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh si anak kecil melihatkan ibu tercinta turut menjejak langkah bapanya dengan meninggalkan beliau seorang diri di dunia ini.
Namun sebagaimana yang dipesankan oleh ibunya itu, maka jadilah baginda seorang lelaki di waktu kecil, di waktu kanak-kanak, di waktu muda, di waktu dewasa sehinggalah di waktu usia tua baginda. Iaitu baginda begitu matang berbanding usia sebenar.
Datuk mana yang tidak belas, melihat cucunya kini benar-benar si yatim piatu walaupun luluh lagi hatinya mengenangkan anak dan menantunya lebih dahulu pergi meninggalkannya berbanding dirinya yang lebih tua.

Abdul Mutalib kini bertanggungjawab untuk mewarnai kesuraman akibat kehilangan ayah dan ibu akan cucunya itu. Namun terdayakah beliau, sedangkan dirinya sendiri juga semakin di makan usia?
Ikuti bagaimana Nabi Muhamad menempuh kehidupan 'lelaki' dalam usia yang masih kanak-kanak!



-KauLah WaniTa sOLeHah-


Kecantikanmu bersinar melebihi terangnya mentari,
akhlakmu semerbak melebihi harumnya kasturi,
tawadhumu indah melebihi cahaya bulan purnama,
dan kasih sayangmu membawa ketenangan
melebihi curahan hujan.
Peliharalah kecantikanmu dengan keimanan, keredhaan, sifat qana ah,sifat iffah (menjaga diri dan kehormatan) dan busana muslimah.
Ketahuilah, perhiasanmu bukan emas, perak dan berlian.
Tetapi, beberapa rakaat menjelang sahur,
rasa dahaga di siang hari saat puasa mencari redha Allah, sedekah tersembunyi yang tidak diketahui kecuali oleh Allah,air mata hangat yang membasuh dosa,
sujud panjang di atas permaidani penghambaan kepada Allah, serta rasa malu kepada Allah saat muncul kehendak jahat dan bisikan syaitan.


Kenakan pakaian taqwa, tentu engkau menjadi wanita tercantik di dunia,
meski pakaian tertambal. Pakailah baju luar yang sopan, tentu engkau menjadi wanita terindah di alam,,,


-ZiNnieRa SeriKaNdi SeJaTi-

Zinniera diseksa tuannya

ZINNIERA adalah wanita Rom yang ditawan dan dibawa ke kota Mekah bagi dijual sebagai hamba. Ada beberapa wanita dan lelaki berdiri di samping Zinniera ketika dilelong kepada bangsawan Quraisy.

Mereka mengerumuni kawasan jualan hamba bagi mencari lelaki dan wanita yang terbaik bagi dijadikan hamba di rumah mereka.

"Wanita Rom ini kuat dan boleh melakukan apa sahaja pekerjaan di rumah tuan. Lihat badannya yang tegap dan tinggi," penjual hamba cuba memancing pembeli dengan kata-kata positif mengenai diri Zinniera.

"Jual dia kepada saya. Ini wangnya!" tiba-tiba Umar al-Khattab bersuara, lalu menyerahkan sejumlah wang kepada penjual hamba.

"Ikut saya!" perintah Umar al-Khattab kepada Zinniera yang sudah dibukakan ikatan tangan dan kakinya.

"Baik tuan," balas Zinniera lalu mengekori Umar al-Khattab balik ke rumahnya.

Setiap hari, Zinniera melakukan pekerjaan di rumah tuannya dengan tekun dan rajin. Oleh kerana ajaran agama Islam menyatakan semua manusia itu setaraf, beberapa orang hamba memeluk agama Islam.

Zinniera menerima ajaran Islam dengan sepenuh hati. Beliau melakukan kewajipan sebagai seorang Islam ketika Umar al-Khattab berada di luar rumah dan ketika tuannya tidur pada waktu malam.

Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang yang benci kepada Islam sebelum dia memeluk agama Islam. Dia akan menghukum sesiapa sahaja yang memeluk Islam dengan harapan mereka meninggalkan agama Islam.

Zinniera tahu tuannya akan menghukumnya sekiranya rahsianya terbongkar. Walaupun Zinniera kelihatan lembut daripada segi penampilannya, tetapi jiwanya tabah. Beliau sanggup menghadapi apa sahaja hukuman yang diberikan oleh Umar al-Khattab sekiranya rahsianya terbongkar.

"Tahukah kamu bahawa Zinniera sudah memeluk Islam secara sembunyi?" kata salah seorang bangsawan Quraisy kepada Umar al-Khattab yang sedang berjalan pulang ke arah rumahnya.

"Apa?" Hamba saya sudah memeluk Islam? Saya akan pastikan dia mendapat hukuman yang setimpal sehingga dia kembali ke agama kita!" Umar al-Khattab marah mendengar kata-kata bangsawan Quraisy itu.

Umar al-Khattab berjalan pantas dengan hati yang marah. Dia menolak daun pintunya dengan kasar sehingga kedengaran bunyi kuat pintu itu apabila menghentam dinding rumahnya. Dia mencari Zinniera yang kelihatan sedang berdoa di dalam biliknya.

"Saya memang sudah syak kamu sudah memeluk Islam kerana ada perubahan dalam diri kamu sejak kebelakangan ini," Umar al-Khattab terus menengking Zinniera dengan suara yang kasar.

"Berani kamu memeluk agama Islam walaupun tahu hukuman berat menanti kamu!" Umar al-Khattab memukul badan Zinniera dengan dua belah tangannya sehingga Zinniera rebah menyembah tanah.

"Tinggalkan agama Islam jika kamu mahu hidup lagi!" Umar al-Khattab terus menyeksa Zinniera supaya meninggalkan agama Islam.

"Allah! Allah! Allah!" jawab Zinniera dalam kesakitan.

Api kemarahan Umar al-Khattab memuncak apabila mendengar jawapan Zinniera. Matanya merah. Dia mengambil tali cemeti dan meneruskan seksaan ke atas Zinniera.

Dia menyebat badan Zinniera berulang-kali tanpa perasaan belas kasihan sehingga pakaiannya dibasahi darah. Akhirnya, Umar al-Khattab menghentikan seksaannya apabila Zinniera jatuh pengsan.

Apabila Zinniera tersedar daripada pengsan, hukuman yang sama diulangi ke atasnya. Hati Umar al-Khattab tidak puasa selagi Zinniera tidak kembali ke agama nenek moyangnya. Walaupun pelbagai seksaan dikenakan ke atas Zinniera, hatinya semakin tabah menghadapinya kerana cintanya yang menalam pada agama Islam dan Allah.

"Ini sahaja cara bagi memaksa kamu meninggalkan agama Islam!" ugur Umar al-Khattab yang mula mengikat tangan Zinniera menariknya ke padang pasir pada suatu pagi.

"Kamu akan dijemur di sini sehingga kamu meninggalkan agama Islam!" sambung Umar al-Khattab yang mengikat badan Zinniera pada bongkah batu yang dibakar oleh panas matahari yang terik.

Keperitan dan bahang matahari yang membakar tubuh Zinniera tidak meruntuhkan imannya kepada Allah. Tubuhnya semakin lemah kerana menahan kesakitan tetapi hatinya masih yakin Allah sahaja yang dapat membantunya.

"Allah! Allah! Allah!" mulut Zinniera tidak berhenti-henti menyebut nama Allah sebagai penawar segala keperitan yang sedang dialaminya.

"Kamu masih mahu berpegang pada agama Islam?" tanya Umar al-Khattab yang memegang dua batang besi panas di hadapan muka Zinniera.

Mendengar jawapan Zinniera, Umar terus mencucuk mata Zinniera dengan besi panas. "Allah! Allah! Allah!" mulut Zinniera tidak menjawab soalan Umar al-Khattab.

Kini mata Zinniera sudah buta dan dunia sekitarnya menjadi gelap. Mulutnya masih kumat kamit mengungkap nama Allah walaupun kesakitan akibat cucukan besi panas itu masih terasa. Umar al-Khattab mengundang beberapa orang bangsawan Quraisy bagi melihat keadaan Zinniera yang masih mempertahankan agama Islam walaupun badanya sudah terkulai tidak bermaya dan buta matanya.

"Hanya Allah sahaja yang dapat membuat mata saya melihat kembali kerana Allah adalah pencipta semua makhluk." Zinniera cuba menyedarkan Umar al-Khattab dan bangsawan Quraisy tentang kuasa Allah.

Kata-kata Zinniera membuatkan api kemarahan Umar al-Khattab semakin meledak lalu disebat Zinniera bertubi-tubi. Berdesing bunyi cemeti memecah udara padang pasir. Mulut Zinniera hanya mengucapkan "Allah! Allah! Allah" tanpa henti menahan kesakitan akibat sebatan tali cemeti yang singgah ke atas badannya.

"Kamu akan hidup sengsara kerana tidak dapat melihat lagi. Puas hati aku sekarang," kata Umar al-Khattab. Dia mengajak bangsawan Quraisy meninggalkan Zinniera yang terbaring tidak bermaya dengan pakaiannya dibasahi darah.

Kisah seksaan Zinniera akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq dan beliau bergegas ke tempat Zinniera diseksa untuk membelinya dari Umar al-Khattab.

Dia menyerahkan sejumlah wang bagi menebus dan menyelamatkan Zinniera daripada tangan Umar al-Khattab. Maka terlepaslah Zinniera daripada seksaan musuh Islam dan dia hidup gembira bersama tuan barunya yang beragama Islam. Zinniera yang teguh dan yakin dengan keimanan kepada Allah dapat melihat kembali dengan izin Allah tidak lama selepas kejadian itu...

Zinniera....
Kau umpama bintang di malam hari,
Menerangi alam maya dan diteman purnama..
Cinta murni yang kau dambakan untuk Ilahi ,Tiada sempadan dan tiada bertepi
Zinniera....
Kau serikandi sunyi bersendiri,Di medan ngeri dan bersuara sepenuh berani
Kasih suci yang kau hulurkan untuk Ilahi ,Menagih korban kasih abadi....