In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)
Ummah mesti bersatu pupuk perpaduan, perkasa hubungan atasi ancaman terhadap Islam
HARI Malaysia bukan sekadar untuk diingati sebagai sejarah, ia juga ruang mempertautkan kembali mawaddah dan rahmah. Sementara 1 Syawal pula, bagai mengingatkan keberkatan silaturahim, mengambil peluang menyatukan hati yang bertelagah.
Islam mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah. Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah
supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah Al-Hujurat, ayat 10)
supaya kamu mendapat rahmat.”
(Surah Al-Hujurat, ayat 10)
Justeru, ada hak yang perlu dipelihara Muslim terhadap saudara seagama bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya. Barat juga mendakwa hak asasi manusia terbina daripada norma kehidupan bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.
Namun, hari ini pertelingkahan dan perbalahan menjadi norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Disebabkan mengejar impian dunia, semangat persaudaraan digadai.
Kita dapat bayangkan betapa kalutnya dunia jika hak manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah disebar oleh sesiapa saja.
Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tidak dizalimi kerana kita semua adalah hamba yang tiada keistimewaan di sisi-Nya melainkan mereka yang bertakwa.
Ancaman demi ancaman terhadap umat Islam di Malaysia semakin melampaui batas patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam sendiri.
Sifat mazmumah yang membelenggu seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak dan tidak reda dengan qadar qadar Allah punca putusnya silaturahim sesama Muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian seperti dianjurkan al-Quran dan sunnah.
Strategi menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau bilau kerana propaganda yang begitu halus dicipta.
Lalu Islam yang sempurna dilihat sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.
Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang, warna kulit dan kedudukan.
Sejarah membuktikan belum berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.
Bukan itu saja, golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa, kasih sayang yang dipupuk menusuk sanubari sahabat. Malah, setiap sahabat dapat merasai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah.
Justeru, perlu diingat, kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah belah, tiada lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.
wallahu a'lam..
credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)
0 leave ur comment here:
Post a Comment