ULANG tahun kelahiran Rasulullah SAW atau Maulidur Rasul disambut dengan pelbagai upacara sambutan dan aktiviti keagamaan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, kampung dan sekolah.
Umat Islam menyambutnya dengan satu niat yang sama, yakni menyatakan tanda ingat, rasa kecintaan dan kasih kepada Rasulullah SAW. Mencintai Rasulullah SAW samalah mencintai agama.
Sesiapa menerima keesaan Allah, tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah SAW, bermakna masih tidak lengkap keimanannya, tidak sempurna agamanya. Kalimah syahadah yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut merangkaikan ungkapan persaksian kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Kita memiliki keyakinan bahawa Islam itu hadir membawa rahmat yang sekali gus memancarkan keindahan agama maha suci. Rahmat yang hadir bersama terutusnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW 1400 tahun lalu.
Kita mencintai Rasulullah SAW kerana Baginda membawa risalah kebenaran. Rasulullah SAW diutus bersama akhlaknya yang sempurna, sebagai asas moral kepada semua lapisan masyarakat.
Rasulullah SAW memang seorang manusia yang patut dirindui serta dicintai melebihi insan lain di dunia ini. Malangnya kadang-kadang kita terlupa untuk mengenali Baginda dengan lebih mendalam hingga membuahkan keimanan yang dapat menghidupkan jiwa kerana menjadikan Baginda sebagai qudwah dan ikutan.
Ulama besar al-Imam al-Qhadi 'Iyadh al-Yahsubi menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa' bi al-Ta'rif Huquq al-Mustafa, mengenai tanda, bukti atau dalil bagi orang yang mencintai Rasulullah SAW. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada Baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda berikut:
l Mengikuti agama dan cara hidup Rasulullah SAW, mengamalkan sunnah Baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya.
Sentiasa mengamalkan adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira.
l Mereka yang mencintai Nabi SAW akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas Baginda. Selawat kepada Rasulullah SAW adalah ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada Baginda.
Islam memberi ganjaran lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW kerana Baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas Baginda.
l Antara tanda orang yang mencintai Baginda ialah membenci apa yang dibenci Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunnahnya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariat.
l Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri Baginda Aisyah mengungkapkan bahawa akhlak Baginda adalah al-Quran.
Tanda kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.
Masyarakat Islam hari ini berdepan dengan gejala hilang jati diri, jauh dari agama, runtuh akhlaknya serta lemah semangat jihad. Penghayatan terhadap ajaran Islam semakin menipis dalam diri. Umat Islam semakin jauh daripada ajaran yang dibawakan Rasulullah SAW.
Sedangkan, ancaman daripada musuh terhadap umat Islam semakin memuncak. Ancaman itu menjauhkan umat Islam daripada membina kecintaan sebenar kepada apa yang sepatutnya mereka cintai.
Mengingati hari kelahiran Rasulullah SAW diharap dapat menjadi pemangkin kepada membangun kecintaan hakiki kepada Baginda. Semoga dengan itu, umat Islam terutama generasi muda hari ini berjaya membina benteng kekuatan untuk menepis dan menghalang segala ancaman dan bahaya.
0 leave ur comment here:
Post a Comment