FITRAH manusia inginkan hidup yang selamat dan terjamin. Oleh itu, bagi mencapai maksud murni itu, sejarah hidup Rasulullah SAW wajar menjadi panduan dan ikutan kerana itulah suruhan Allah kepada hambanya.
Firman Allah bermaksud; “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap rahmat dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sesungguhnya masyarakat yang diasuh dan terbina dengan acuan Rasulullah SAW di Madinah memang harmoni, disirami cahaya kedamaian dan wujud persefahaman menakjubkan, padahal masyarakat Madinah ketika itu ada pelbagai bangsa, kaum, suku dan tradisi.
Sebelum itu mereka terbiasa hidup dalam suasana huru-hara, berpecah-belah, saling berbangga dengan keturunan, bergaduh sehingga berlaku pertumpahan darah beratus tahun lamanya.
Rasulullah SAW berjaya mencambahkan pada setiap hati masyarakat bibit akidah yang suci daripada ajaran murni diwahyukan. Mereka berpegang kepada akidah itu dengan bersungguh-sungguh sehingga tidak mampu digoyangkan sebarang godaan atau janji manis.
Rasulullah SAW menyedarkan umatnya mengenai asal kejadian manusia daripada satu jiwa iaitu Adam seperti termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai segenap manusia, bertakwalah kepada Tuhan yang menciptakan kalian daripada seorang (Adam) dan daripada dia jugalah Allah menciptakan isterinya: kemudian daripada kedua-duanya Allah mengembang biak lelaki dan perempuan yang banyak. Dan Hendaknya kalian bertakwa kepada Allah yang dengan nama-Nya kalian selalu meminta. Hendaknya kalian memelihara hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kalian.” (Surah an-Nisa, ayat 1)
Apabila kefahaman ini meresap ke seluruh jiwa setiap mukmin, tentu tidak timbul perbezaan tradisi, ras, bangsa, warna kulit atau bahasa kerana semua dikira bersaudara yang membentuk perpaduan dalam keluarga besar. Islam menegaskan semua mukmin adalah satu kelompok yang tidak berpecah-pecah seperti firman Allah yang bermaksud:
“Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Ukhuwah mendorong mukmin hidup berkasih sayang yang dirahmati Allah. Keperibadian masyarakat yang dihiasi kasih sayang dan saling melengkapi menghasilkan masyarakat yang kuat.
Akidah Islam tidak membenarkan umat Islam saling membenci dan merendahkan orang lain dengan penuh kesombongan.
Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu daripada lelaki dan wanita, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal (antara satu sama) lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa daripada kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Abdul Al-Salim Makram dalam bukunya Aqidah Membina Peribadi Mukmin Sebenar menyatakan alat untuk menyatukan umat hanya menyatukan akidah mereka. Jika akidah mereka sama, maka jiwa dan perasaan mereka senada dan seirama; jika berlaku krisis dan pertentangan sesama sendiri, maka mudah menyatukan semula sekali gus melenyapkan musuh dan permusuhan.
Sesungguhnya perpecahan hanya meruntuhkan kekuatan umat Islam dan membuka peluang musuh melakukan penindasan dan penaklukan. Rasulullah SAW mengingatkan: “Kerana sesungguhnya perpecahan itu adalah pisau yang tajam (akan menghancurkan umat seluruhnya).” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
0 leave ur comment here:
Post a Comment