- SUDAH CUKUPKAH BEKALAN KITA...?? -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



UMUR pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Nabi, rasul iaitu manusia yang paling dekat dan menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.

Firman Allah bermaksud:

“Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.”
(Surah an-Nisaa’, ayat 78).

Persoalan mati adalah kejadian paling hebat yang tidak dapat dielakkan. Apabila seseorang manusia mati, ia dikatakan kiamat kecil kerana roh keluar daripada jasad yang akan busuk dan kembali menjadi tanah.

Kubur atau alam barzakh tempat permulaan alam akhirat. Seperti mana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh, alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, alam barzakh adalah episod ngeri dipenuhi azab hingga datangnya hari kiamat.

Pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit manusia yang bercakap mengenai kematian, alam berzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kerjaya dan kelazatan kehidupan dunia.

Saidina Ali berkata:

“Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Kesibukan mencari keseronokan dunia punca manusia lalai mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian.

Persoalan perkara ghaib seperti kematian, alam barzakh, hari kiamat, syurga dan neraka adalah hak Allah SWT yang tidak boleh dicerobohi manusia atau malaikat. Islam menetapkan dasar akidah dan perkara ghaib bersandarkan dalil al-Quran dan hadis sahih.

Dasar akidah bersumber qiyas, ilham manusia atau ramalan kosong seperti pengamal ajaran sesat adalah ditolak. Nabi dan malaikat hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan Allah SWT.

Kita sering bercakap mengenai kematian rakan.



Apakah kematian itu menimbulkan keinsafan untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan mencukupi menghadapi kematian yang pasti??


wallahu a'lam...

- MAKSIAT SELEPAS BERKAHWIN -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



APABILA tersiar kisah isteri ditangkap khalwat oleh suami serta isteri menjalinkan hubungan sulit dengan remaja lelaki, ia bukan saja memalukan kaum hawa tetapi juga umat Islam seluruhnya. (Zaman sekarang, wanita pun sudah pandai "main kayu tiga"..astaghfirullah..astaghfirullah..astaghfirullah..)


VS


Ketika kajian mengenai gejala sosial di kalangan remaja dijalankan pakar akademik dan pelajar di institusi pengajian tinggi, ‘ibu’ remaja pula turut sama terjebak ke kancah kehidupan gelap. Oleh itu, wajar juga dilakukan kajian punca isteri menghampiri zina sedangkan boleh berkasih sayang dengan suami masing-masing, malah mendapat keberkatan Allah SWT.

Ramai isteri yang tidak kasihkan suami. Ada juga berkahwin tanpa rasa cinta dan rasa hormat yang tinggi terhadap suami. Benar, ada yang baru mengenali hati budi suami dan keluarganya hanya selepas majlis akad, sebab itulah banyak masalah dikatakan timbul selepasnya.

Tetapi kepada Muslimah yang arif ajaran agama, mereka akan berusaha sedaya upaya membina persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga, malah menjadi benteng untuk menghalang anasir jahat yang mengganggu ketenteraman istana cinta mereka.

Apa pun alasan, ada caranya untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan tetapi tidak membebaskan diri daripada mentaati suami. Islam tidak pernah membenarkan isteri menduakan suami yang halal dinikahinya ketika masih dalam tempoh perkahwinan, begitu juga suami.

Syuraih, seorang alim dan ahli fikah meriwayatkan bahawa beliau mengahwini seorang wanita dari Bani Handhalah. Pada malam pertama sebagai suami isteri, mempelai menunaikan solat sunat dua rakaat dan memohon Allah SWT memberi kebaikan serta kesejahteraan kepada mereka.

Sesudah solat, si isteri menghadapkan wajahnya tepat ke arah suaminya Syuraih dan berkata:

“Sesungguhnya aku adalah wanita yang asing bagimu dan belum mengetahui kebiasaanmu. Terangkan apa yang menjadi kesukaanmu supaya aku dapat memberikannya dan jelaskan kebencianmu supaya aku dapat menjauhinya.”

Meskipun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, sebagai Muslim yang patuh kepada perintah agama, Syuraih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sebaiknya.

Ia ditambah pula dengan anugerah seorang isteri solehah, yang tahu mendiamkan dirinya di tempat paling sunyi di hati suaminya sehinggakan selama 20 tahun usia perkahwinan mereka, Syuraih tidak pernah melihat kecelaan pada isteri yang dinikahinya.

Walau bagaimana buruk pun seorang suami, jika boleh dinasihati dan mampu berubah ke arah kebaikan, isteri harus istiqamah memberi bimbingan. Walaupun tugas mendidik isteri adalah tanggungjawab suami, isteri juga berkewajipan menasihati suami.

Kebanyakan isteri hari ini memiliki latar belakang pendidikan tinggi dan dengan ilmu yang ada memudahkan usaha mengharmonikan rumah tangga melalui kerjasama suami, isteri serta keluarga. Isteri perlu menjadi nilai tambah yang positif terhadap kekurangan suami.

Sering kali apabila berhadapan masalah atau tidak mendapat perhatian suami, isteri mula mencari keseronokan di luar syariat. Keadaan ini juga berlaku disebabkan masing-masing tidak memenuhi tanggungjawab sehingga ada yang terabai.

Hubungan yang tidak syarie antara suami atau isteri dengan bukan mahram menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Perbuatan ‘main kayu tiga’ kini bukan dilakukan lelaki atau suami saja, tetapi sudah berjangkit kepada isteri. Isteri sudah berani menunjuk belang tanpa memikirkan harga diri, apatah lagi maruah suami dan masa depan anak.

Justeru, suami dan isteri mesti lebih prihatin terhadap pasangan masing-masing kerana pernikahan adalah ikatan yang mulia dan bukan perjanjian biasa. Ia tidak akan terurai hanya kerana dunia dan pesonanya, malah perkahwinan merapatkan langkah kita ke syurga.

wallahu a'lam..



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- AL-MAWARDI TOKOH ULAMA' TERKENAL -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


SALAH seorang pemikir asas keilmuan politik Islam dan dianugerahi kebijaksanaan dalam bidang kehakiman adalah al-Mawardi. Nama sebenar ulama mazhab Syafie ini adalah Abu al Hasan Ali bin Habib al Mawardi dan lahir di kota pusat peradaban Islam klasik, Basrah (Baghdad) pada 386 H/975 M.

Menyelami tiga kitab yang ditulis al-Mawardi iaitu al-Ahkam al-Sultaniah, Qanun al-Wizarah dan Nasihah al-Muluk, kita sudah pasti akan tahu siapa sebenarnya ilmuwan Islam ini. Dalam kitab pertama dibahaskan asas pentadbiran negara Islam, kitab kedua menyentuh aturan peraturan kementerian dan kitab ketiga pula dihimpunkan beberapa panduan nasihat, kata hikmah dan ucapan untuk kalangan raja.

Apabila kita melihat kitab keempatnya iaitu al-Hawi al-Kabir, kita juga akan lebih mengetahui siapa sebenarnya susuk yang disebut orang Barat sebagai Alboacen.

Ketokohannya ini terserlah hasil pendedahannya kepada bidang undang-undang ini. Sejak remaja lagi, al-Mawardi sudah terbabit dalam bidang undang-undang Islam yang mana beliau berguru kepada tokoh mazhab Syafie di Basrah, Abu al-Qasim Abdul Wahid al-Saimari. Selepas menguasai ilmu fekah, al-Mawardi melanjutkan pelajaran ke Baghdad dan mendalami ilmu sastera dan tata bahasa Arab, hadis, politik, falsafah, dan etika.

Dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, al-Mawardi termasuk salah seorang ulama yang memulakan penulisan fekah perbandingan mazhab. Ini berikutan usahanya mengetengahkan pandangan mazhab Syafie yang kemudian dilanjutkan dengan perbandingan mazhab-mazhab lain.

Kemampuan al-Mawardi dalam menguasai pelbagai ilmu menghantarkannya kepada sebuah perjalanan karier yang cemerlang, termasuk hakim di jabatan pertama yang ditawarkan khalifah kepadanya. Ketokohannya sebagai hakim di beberapa wilayah kekuasaan Abbasiyah menyaksikannya bertugas di jabatan yang lebih kanan. Malah kemuncak kariernya adalah apabila diangkat sebagai ketua hakim di Baghdad.

Kecemerlangan al-Mawardi itu menjadikan al-Qa’im bi Amrillah, seorang khalifah di penghujung kerajaan Abbasiyah untuk melantiknya sebagai duta besar kekhalifahan. Dia bertugas dari satu negeri ke negeri lainnya sebagai ketua misi khusus Khalifah Abbasiyah.
Sebagai seorang penasihat politik, Al Mawardi memainkan peranan penting dan diakui sebagai salah seorang ahli hukum terbesar pada zamannya. Al Mawardi mengemukakan fiqh madzhab Syafi’i dalam karya besarnya Al Hawi, yang dipakai sebagai buku rujukan tentang hukum mazhab Syafi’i oleh ahli-ahli hukum di kemudian hari, termasuk Al Isnavi yang sangat memuji buku ini.



Dua bukunya yang bertajuk, al-Ahkam al-Sultaniah dan Qanun al-Wizarah, turut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa sehingga membat nama al-Mawardi dikenali di seluruh dunia. Dia diyakini sebagai seorang penulis Doctrine of Necessity dalam ilmu politik.

Malah, dalam al-Ahkam al-Sultaniah dibahas cara pelantikan pemimpin termasuk ketua negara, para menteri, gabenor, panglima tentera, jihad, jawatan hakim, imam masjid dan pentadbirannya, pengumpulan zakat dan pengagihannya dan lain-lain secara terperinci.

Satu lagi kitab yang ditulis ulama era Abbasiyah yang meninggal dunia pada 30 Rabiulawal tahun 450H bersamaan 27 Mei 1058M pada usia 86 tahun, adalah kitab Adab al-Dunya wa al-Din yang membincangkan kajian etika. Kitab ini masih dikaji oleh para cendekiawan masa kini dan telah memberikan banyak manfaat dalam bidang etika Islam.

Menurut Imam al-Subki dalam kitab Tabaqat al-Syafi’iyah al-Kubra yang menghimpun semua ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa al-Mawardi adalah seorang ulama yang sudah mencapai tahap keilmuan yang tinggi, tokoh mazhab terkenal serta pakar dalam segala bidang ilmu.

wallahu a'lam..

part 1- لمسة بين المسلمات -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Alhamdulillah walaupun berada dalam kesibukan suasana di awal semester baru dengan assignment dan presentation yang semakin bertambah dari hari ke hari, Allah masih memberi ruang dan peluang kepada ana untuk melakar sesuatu disini. Masa yang dikurniakan olehNya ini sangatlah berharga dan amat rugi andai disia-siakan walau sesaat cuma kerana sesungguhnya taklifan kita, tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini teramatlah banyak sehingga melebihi masa yang ada sepertimana yang Sayid Hassan Al-Banna katakan “orang mukmin mempunyai tanggungjawab melebihi dari masa yang ada”. Buat para da'ie yang berjuang dijalanNya tanpa mengira waktu janganlah antum bimbang dan gelisah kerana usaha antum itu akan di nilai oleh Allah dan bakal menjadi saksi didepanNya kelak ketika Mahkamah Mahsyar membuka sidang pengadilannya bahawa sesungguhnya antum punya usaha untuk mendaulatkan agamaNya.

Sedang sibuk melayan pertanyaan yang bertubi-tubi daripada sahabat tentang presentationnya (turn ana belum lagi..hehe..) , satu sms diterima daripada adik kesayangan iaitu pemilik blog "rasa di hujung kata" yang meminta ana untuk mengambil hadiah "penghargaan"..siapakah dia..??*asif..tidak dapat linkkan blognya..cari la ye..man jadda wajada..^_~ dan disebabkan dia bersungguh-sungguh menyuruh ana publish tentang ni, makanya entri kali ini ana nukilkan khas untuknya, yang berada jauh di mata ana tapi dia sentiasa dekat di hearty ana. Sesungguhnya ana sayang + rindukannya setiap saat dan waktu kerana Dia..subhanallah, betapa hebatnya ALLAH menciptakan kerinduan sebegini..hanya ukhuwah yang disuburi dengan ketaqwaan kepada ALLAH akan dapat merasainya..percayalah..^_^


Photobucket


Hadiah ini katanya sebagai tanda penghargaan kepada sahabat2..masyaALLAH..شكرا جزيلا ya habibaty...really9 appreciate it..even tanpa hadiah ni pun, kasih sayang + doa anti pun sudah cukup buat ana..insyaALLAH..=) Perkenalan kami bermula pada 02/05/2009 di sebuah laman sosial..(baru lagi..erk..??hehe..) ana mula mengenalinya dirinya yang menggunakan nama pena "Syauqah Mujahidah"..

Hebatnya mujahadah insan yang menggunakan nama penanya "Syauqah Mujahidah"..kenapa ana mengatakannya hebat..??? kerana title "mujahidah" itu sendiri..Mujahidah adalah semulia-mulia status yang disandang oleh seorang wanita muslimah. Dalam kaitannya dengan status ini seorang muslimah harus boleh memahami secara benar, bahawa jawatan mujahidah bukan nama pemberian dari seseorang tetapi ia adalah hasil dari kegigihan dan mujahadah yang ia lakukan dalam usaha menegakkan syariat Islam..Pengislahan diri yang sangat9 ana kagumi yang terdapat dalam dirinya adalah merasa belum puas selagi fitnah dan kemungkaran masih hidup, sehingga dia sentiasa tidak pernah diam, selalu berfikir dan bekerja tanpa mengenal lelah dengan tujuan menegakkan Islam...(sebab tu la blognya kalau ada yang perasan, kadang2 pasti ada sesuatu yang tidak kena..hehe..sekiranya terdapat dari kalangan pengunjung blognya yg paling setia pasti antum dapat mengagak maksud yang tersirat di sebalik kenyataan ana ini)...(^_^)v

Aura insan yang mempunyai nama yang bermaksud "Cahaya Petunjuk" ini memberi impak besar dalam pembentukan diri ana pada hari ini.Bagi diri ana sendiri, tidak penting selama mana, sekerap mana atau sekenal mana pun kita dengan seseorang, namun jika ia digarap dengan sebuah ikatan yang penuh keikhlasan dan bimbingan, ia tetap tinggi nilainya..

Betapa beruntungnya pada mereka yg bisa mengecap kasih sayang dan cinta daripada para sahabat. Betapa bahagianya mereka yang bisa berkongsi apa saja (masalah dan sebagainya), nasihat-menasihati, tegur-menegur dan saling ingat-mengingati. Hamdalah, ana juga ada beberapa orang sahabat yang boleh ana kategorikn sebagai sahabat yang boleh berkongsi masalah dan sebagainya.. tapi..kebanyakannya daripada mereka tiada di depan mata ana..ana selalu mengingatkan pada sahabat2 yang ana cinta, "sekiranya kita tidak berjumpa di dunia ini, insyaALLAH kita still akan mencari di dunia yang lain"..Itulah ungkapan yang selalu ana digunakan sekiranya ALLAH tidak mengizinkan pertemuan antara kami..


*************


Akhirul kalam, pesan ana pada kamu wahai sahabat yang teramat......amat.....amat
ana sayangi dan cintai...

Jagalah dirimu sebaik-baiknya. Peliharalah dirimu dari kelalaian duniawi. Letakkanlah dunia di tanganmu dan akhirat itu di hatimu. Janganlah sesekali kerana hartamu, keluargamu, cintamu pada makhluk membuatkanmu lupa, lupa pada tujuan asalmu diciptakan. Bukanlah ana melarang dirimu mencari kesenangan duniawi. Kejarlah kebahagiaan duniawi itu sahabatku tapi jangan sesekali kau gadai syurga yang Allah janjikan buatmu semata-mata kerana itu! Sesungguhnya syurga itu seribu kali lebih membahagiakan berbanding kesenangan palsu di alam fana ini. Tepislah godaan duniawi dengan mewujudkan rasa kasyatillah yakni takut kepadaNya..

Kita bertemu atas kesungguhan dan ikrar kita pada jalan Allah, dan perpisahan kita pun hanyalah kerana Allah juga kerana walau apapun matlamat kita hanya satu, meraih syurgaNya.

"Didiklah diri kamu kepada cinta pada Allah, bermula pada diri kamu. Tingkatkan penghayatan diri kamu pada cinta pada Allah, berusaha membaiki dan meningkatkan diri kamu menjadi hamba Allah yang lebih taat, nescaya kamu akan menjadi teman ke syurga dan Allah akan mengurniakanmu teman ke syurga."


sama2 la kita bermujahadah ye..

~uhibbuki fillah ya ukhti~

.....wassalam....




p/s: asif kalam ana tidak sehebat kalam kamu...=p
perlu belajar mengolah kata2 dari anti nampak gayanya..

- GILA KUASA - - > HANCUR NEGARA -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



AKIBAT keserakahan nak menjadi pemimpin, akhirnya Syairuyah mati oleh tangannya sendiri. Dia bunuh ayahnya, Kisra bin Barwaiz, Raja Parsi pada zaman Rasulullah SAW dan Kisra juga sudah menyiapkan senjata untuk membunuh anaknya yang derhaka itu dengan muslihat sebuah kotak wasiat.

Ketika membahas hadis mengenai suatu bangsa tidak akan berjaya apabila menyerahkan pemerintahannya kepada perempuan, Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari fi Sharh Sahih al-Bukhari menjelaskan latar belakang hadis berkenaan.

Menurutnya, perempuan yang dilantik menjadi Raja Parsi dalam kisah hadis ini bernama Buran binti Syairuyah bin Kisra bin Barwaiz. Pelantikannya sebagai raja kerana tidak ada orang lain yang berhak menduduki jabatan itu kerana Syairuyah membunuh ayahnya sendiri, Kisra.

Sebelum Kisra meninggal dunia, dia mengetahui bahawa kematiannya adalah disebabkan oleh anaknya sendiri, Syairuyah. Kemudian dia berpesan kepada pengawalnya yang setia untuk membunuh Syairuyah dengan membuat sebuah kotak yang diberi racun. Di atas kotak berkenaan tertulis 'Kotak Perpaduan' siapa yang dapat meraih kotak itu maka dia boleh menyatukan negeri. Syairuyah membaca tulisan berkenaan, kemudian mengambil kotak itu. Akhirnya dia terkena racun yang ada pada kotak itu kemudian meninggal enam bulan selepas kematian ayahnya.

Selepas Syairuyah meninggal, tidak ada satu orang pun saudaranya yang menggantikan kedudukan raja kerana seluruh saudaranya dibunuh olehnya dek kerakusan kepada kekuasaan. Supaya kedudukan raja tidak jatuh ke tangan orang di luar keluarga kerajaan, akhirnya dilantik Buran binti Syairuyah sebagai Raja. Begitu pula saudara perempuannya Arzumidkhat dilantik menjadi seorang raja.

Keserakahan seorang pemimpin adalah satu ramuan biasa dalam satu-satu episod kekuasaan dan ia menjadi bumbu pemusnah kelazatan satu-satu hidangan. Sebaliknya, pemimpin yang amanah, bersahaja dan berwibawa menjadi penyedap hidangan.

Oleh itu, penanda aras kekeberhasilan sesuatu umat ada pada kepemimpinannya seperti yang kita fahami daripada hadis berikut yang bermaksud:

"Apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum. Juga Allah SWT jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan.Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi suatu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang-orang dungu yang menangani hukum dan harta berada di tangan orang kikir. (Hadis riwayat al-Dailami).


Keserakahan menjadi pemimpin sebagai satu bentuk cita-cita sudah diingatkan oleh baginda SAW dalam hadisnya bermaksud:

"Sungguh kamu semua bercita-cita menjadi pemimpin padahal kamu semua akan menyesal pada hari kiamat, maka alangkah baiknya orang yang sedang menyusukan dan alangkah buruknya orang yang sedang menyapih (berhenti menyusu)." (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa'i)

Abu Hurairah pernah berkata kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, apakah Tuan berkenan melantik saya sebagai pemimpin? Maka baginda menegaskan dengan hadis di atas. Dengan melihat latar belakang kisah ini, nampaknya Abu Hurairah sebagai seseorang yang sudah sekian lama dekat dan menjadi pembantu Nabi, tentu saja sebagai manusia biasa, dia juga ingin meningkat status sosialnya dengan memohon dan mengajukan diri kepada Rasulullah agar baginda berkenan mengangkat dirinya menjadi seorang pemimpin. Namun, mengingat sudah sekian lama Abu Hurairah hidup bersama Nabi sudah pasti baginda tahu tentang kemampuan dan pelbagai kemungkinan seandainya Abu Hurairah diangkat menjadi pemimpin. Kerana berkenan, maka dengan nada tegas baginda menyatakan sabdanya itu.


Ada empat peranan penting seorang pemimpin:

i-menjadi contoh, figur (uswah, qudwah).
ii-pemimpin menjadi sahabat atau teman.

Maka, mereka bukan sekadar disebut teman, tetapi khadim al-ummah. Sebaik-baik pemimpin adalah yang dapat melayani. Oleh itu, orang yang mulia bukan orang yang dimuliakan, tetapi orang yang dapat memuliakan orang lain. Dan orang terhormat bukan orang yang dihormati, tetapi orang yang dapat menghormati.

iii-pemimpin yang punya peranan pendidik.

Ertinya, pemimpin harus punya visi, selangkah lebih maju. Oleh itu, pemimpin tidak boleh cacat hukum, cacat moral, tetapi juga harus mampu pandang ke depan dan berwawasan kerana dia lebih tahu daripada mereka yang dipimpin.

iv-pemimpin tentu harus menjadi pelopor atau orang yang mendahului melakukan kebaikan.


Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani juga disebutkan mengenai hakikat kepemimpinan yang mana permulaan kepemimpinan akan ada saling mencela, kemudian ada penyesalan dan akhirnya seksaan pada hari kiamat. Hadisnya bermaksud:

"Jika kamu mahu, akan aku beritahu kepada kamu tentang kepemimpinan (al-imarah), apakah imarah itu? Imarah itu awalnya cela mencela, keduanya penyesalan dan ketiganya azab pada hari kiamat kecuali seseorang yang adil."


Latar belakang hadis di atas adalah satu kes yang berlaku pada seorang sahabat Nabi bernama Miqdad. Beliau bercerita bahawa Rasulullah melantiknya menjadi seorang pemimpin untuk melaksanakan satu tugasan. Setelah selesai dan kembali kepada Rasulullah, baginda bertanya kepada Miqdad, bagaimana menurutnya tentang kepemimpinan? Miqdad menjawab dia tidak mengira bahawa semua bawahannya menjadi budak. Kemudian dia bersumpah tidak mahu lagi diangkat menjadi pemimpin untuk selamanya. Maka disabdakanlah hadis di atas.

Pengecualian yang Nabi sampaikan pada penghujung hadis yang berbunyi 'kecuali pemimpin yang adil,' nampaknya menjadi sesuatu yang cukup menarik untuk dibincangkan. Sebab apabila pemimpin itu dapat berlaku adil, maka beberapa kemungkinan buruk yang disenaraikan di dalamnya tidak akan terjadi. Bahkan pemimpin yang adil nanti pada hari kiamat termasuk dari tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tidak ada perlindungan sedikitpun kecuali perlindungan Allah SWT.

Contoh keadilan Umar bin Khatab kekal direkodkan sejarah. Pada suatu malam beliau tidak dapat tidur semalaman kerana dilaporkan ada unta yang tergelincir di Iraq. Maka, Umar pun menangis dan mengaku berdosa kepada Tuhannya. "Ya Allah, saya menjadi pemimpin, tapi tak boleh membuat jalan yang elok sehingga ada unta yang tergelincir."

Keadilan seorang pemimpin adalah satu berkat yang boleh mensejahterakan orang bawahannya. Dan ia sebagai natijah dari penyerahan kepemimpinan kepada orang yang layak menjadi pemimpin. Seperti sabda baginda dalam nilai norma sejagatnya maksudnya:

"Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari)

Mafhum mukhalafah daripada hadis ini adalah apabila suatu urusan diserahkan kepada ahlinya maka nikmatilah kedamaian dan ketenteraman.

Jika kalangan pemimpin pada zahirnya beranggapan bahawa mereka mesti dilayan oleh orang bawahannya maka angapan ini mesti diulangkaji semula hakikatnya kerana ada sabda Nabi yang bermaksud:

"Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka."(Hadis riwayat Abu Na'im)


Wallahu a'lam.

- KHALIFAH AL-MU'TASHIM BILLAH -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Ana pernah terbaca satu cerita..Kejadiannya sangat sederhana dan remeh tetapi hasilnya di luar jangkaan bahkan luar biasa. Ada seorang wanita Muslim dari Bani Hashim yang sedang berbelanja di sebuah pasar di kawasan negeri di bawah kuasa kerajaan Romawi di utara benua Asia, kota Ammuriah, kawasan Turki hari ini. Ketika dia sedang berjalan, seorang lelaki berbangsa Romawi mengganggunya dengan hanya menyentuh hujung jilbab atau tudungnya sehingga dia secara spontan berteriak,


"Wa Mu'tashamah". !!!!!
(Tolonglah aku wahai Mu'tashim)


Selepas berita ini sampai ke telinga Khalifah Al-Mu'tashim Billah daripada Khalifah Abbasiyyah, puluhan ribu tentera dikejarkan ke Baghdad untuk menolong wanita berkenaan sekali gus membebaskan kota berkenaan daripada jajahan Barat.

Dikisahkan dalam buku rujukan sejarah Islam termasuk kitab al-Kamil fi al-Tarikh karangan Ibn Al-Athir jilid 3 muka surat 197 perihal kejadian pada tahun 223 Hijrah dalam tajuk Penaklukan Kota Ammuriah. Ketika mendengar berita itu, Khalifah Mu'tashim sedang memegang gelas mahu minum kemudian dibatalkan niatnya itu dan berseru kepada panglima tenteranya untuk bersiap-siap menuju Ammuriah tempat wanita berteriak meminta pertolongannya.

Ribuan tentera Muslim bergerak pada April 838 Masihi dari Baghdad menuju Ammuriyah dan selepas berlaku pertempuran sengit di antara tentera Khalifah dan tentera Romawi yang membawa kepada pengepungan kota oleh tentera Islam selama lima bulan sehingga akhirnya kota itu jatuh kembali ke tangan tentera Islam pada 13 Ogos 838M.


Seorang wanita Muslim yang lemah berteriak kerana diganggu oleh lelaki penjajah orang Romawi yang bukan Islam. Dalam teriaknya dia meminta pertolongan khalifah yang sedang berkuasa pada masa itu iaitu Khalifah al-Mu'tashim Billah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah selepas abangnya, Khalifah al-Ma'mun meninggal dunia pada 10 Ogos 833 hingga 5 Januari 842M.

Khalifah tersentuh hati dan terbakar ghairah keIslamannya sehingga dia membuat keputusan untuk melancarkan serangan dan mencetuskan peperangan walaupun dia di dalam negerinya sedang menghadapi dugaan yang berat untuk menumpas kelompok penganut ajaran sesat yang bermaharajalela di kawasan Azeirbaijan di bawah pimpinan Babak al-Kharmi yang berpendapat adanya inkarnasi dan menghalalkan amalan seks bebas.

Mu'tashim Billah termasuk antara khalifah yang meninggalkan kenangan indah pada masa kepemimpinannya. Beliau menggantikan kekhalifahan daripada kedua-dua abangnya Al-Amin dan Al-Ma'mun yang digelar dengan khalifah yang cendekiawan.

Walaupun berbeza dengan kedua-dua abangnya dari segi kepintaran tetapi Al-Mu'tashim membuktikan keperkasaan jasmaninya. Diberitakan bahawa Al-Mu'tashim termasuk orang yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi dia menundukkan banyak singa dan mengangkut seribu liter air. Bagaimanapun, kehidupan ilmiah dan sastera pada zamannya tidak jauh berbeza daripada zaman sebelumnya.

Kejadian sama banyak berlaku pada hari ini, bahkan ia lebih parah lagi. Kita dengar umat Islam diganggu, dihina, dicedera, dihalau, dijadikan suspek, dianggap penjenayah, dianggap pengganas bahkan dibunuh seorang-seorang mahupun beramai-ramai tetapi tiada sesiapa tersentuh hatinya dan tercabar ghairah keIslamannya.

Umat Islam ingin melaksanakan ajarannya secara kaffah atau menyeluruh di negeri asing tetapi disulitkan, bahkan dilarang walaupun mereka mendakwa bahawa negara mereka demokrasi di mana kebebasan beragama adalah dilindungi oleh negara. Mereka melarang tudung digunakan oleh wanita Muslim, bagaimanapun umat Islam diam. Mereka melarang azan dikumandangkan, umat Islam tidak bergerak. Mereka melarang restoran hanya menyediakan makanan halal, umat Islam pun tidak berganjak.

Dengan satu kenyataan pada hari ini yang mana umat manusia sedang dijajah oleh satu kelompok berpengaruh dunia yang memiliki kekuatan dan kekuasaan yang luar biasa dan selubung seperti selubungnya iblis daripada pandangan manusia, maka diperlukan satu kelompok lagi yang boleh menangkis balik dakyah mereka dan membawa kembali umat manusia ke jalan yang benar seperti misi kalangan nabi dan rasul terdahulu.

Nabi dan rasul sudah meninggal dunia tetapi musuh mereka, iblis, masih hidup dan sedang dipuja dan disembah oleh kelompok berpengaruh dunia berkenaan.

Menurut Syed Qutb,

sebuah masyarakat yang dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan,
--> masyarakat yang bertamadun.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam,
--> masyarakat Jahiliyah.

Sesungguhnya masyarakat Islam sajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap akidah sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertakwa dan yang selainnya setaraf saja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah SWT.

Apabila nilai kemanusiaan atau moral kemanusiaan yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamadun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula menjadi satu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, seperti yang dituduh oleh tafsiran ala benda atas sejarah atau seperti yang dituduh oleh para penganut sosialisme saintifik.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia saja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai yang menonjolkan sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Sejarah Islam membuktikan bahawa pemimpinlah yang berjaya membuat umat mencapai kemuncak kedudukannya. Pemimpin itu dalam istilah politik Islam disebut khalifah dan adakah seorang khalifah yang berjiwa al-Mu'tashim pada hari ini?

Wallahu a'lam.

- UWAIS AL-QARNI -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)




.::Pemuda miskin Yaman disebut Nabi sebagai penghuni langit kerana taatkan Allah, Ibu::.


UWAIS al-Qarni hidup pada zaman Rasulullah. Merupakan seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, berpenampilan cukup tampan, kulitnya kemerah-merahan, dagunya melekat di dada selalu melihat pada tempat sujudnya, tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya, ahli membaca Al Quran, pakaiannya hanya dua helai sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya untuk selendangan, tiada orang yang menghiraukan, tidak dikenali oleh penduduk bumi akan tetapi sangat terkenal di langit. Beliau seorang pemuda miskin yang tinggal di Yaman bersama ibunya yang sudah tua, lumpuh dan buta. Uwais tinggal dengan ibunya kerana beliau tidak mempunyai ahli keluarga lain.

Kerjanya mengambil upah mengembala qibas dan unta. Upah diterimanya cukup untuk nafkah beliau bersama ibunya. Apabila ada rezeki lebih, digunakan untuk membantu jiran yang serba kekurangan. Beliau terkenal seorang anak yang taat kepada ibunya dan Allah. Beliau selalu berpuasa dan pada malam hari bermunajat kepada Allah memohon petunjuk. Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa negeri Yaman mendengar seruan Nabi Muhammad SAW, yang telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tak ada sekutu bagi-Nya. Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya sangat menarik hati Uwais, sehingga setelah seruan Islam datang di negeri Yaman, dia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran. Ramai jirannya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad SAW secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbarui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.Hatinya sedih setiap kali jirannya pulang dari Madinah menceritakan pertemuan dengan Nabi Muhammad kerana beliau sendiri belum berpeluang berjumpa Baginda.

Di ceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah SAW mengalami kecederaan dan giginya patah akibat daripada terkena batu yang dilempar oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya diketahui oleh Uwais. Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun dia belum pernah melihat baginda.Hari berganti hari kerinduan Uwais untuk berjumpa Nabi Muhamad semakin mendalam. Hatinya selalu bertanya bila beliau dapat bertemu Baginda untuk memandang wajahnya dari dekat. Beliau rindu mendengar suara Nabi dan kerinduannya kerana iman sedangkan beliau mempunyai seorang ibu yang tua, buta dan lumpuh. Bagaimana harus meninggalkannya untuk menemui Nabi.

Akhirnya kerinduan selama itu dipendamkan. Suatu hari Uwais mendekati ibunya dan meluahkan isi hati untuk memohon izin menemui Nabi di Madinah. Mendengar permohonan anaknya itu, ibunya berkata:

“Pergilah wahai Uwais, anakku, temuilah Nabi di rumahnya,
selepas berjumpa segeralah engkau pulang.”

Betapa gembiranya hati Uwais mendengar ucapan ibunya. Beliau segera berkemas dan tidak lupa menyiapkan keperluan ibu yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran supaya menemani ibunya selama beliau ke Madinah.

Selepas merentasi perjalanan jauh, akhirnya Uwais sampai di Madinah. Beliau segera mencari rumah Nabi lalu diketuk pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Maka keluarlah seorang seraya membalas salamnya.

Uwais menanyakan Nabi yang ingin ditemui tetapi Nabi tidak berada di rumahnya kerana sedang berada di medan perang. Uwais hanya dapat bertemu Siti Aisyah. Betapa kecewanya hati Uwais datang dari jauh tetapi tidak dapat menemui Nabi.
Uwais ingin menunggu kepulangan Nabi dari medan perang tetapi telinganya masih terngiang pesan ibunya yang sudah tua dan sakit supaya segera pulang ke Yaman. Dia melupakan keinginan hatinya dan berjumpa Siti Aisyah sambil berpesan menitipkan salam kepada Nabi Muhammad.

Selepas itu, beliau segera berangkat ke Yaman dengan perasaan amat terharu. Peperangan selesai, Nabi Muhammad kembali ke Madinah. Setibanya di rumah, Nabi menanyakan Siti Aisyah mengenai orang yang mencarinya.

Seterusnya Nabi mengatakan bahawa Uwais anak yang taat kepada ibunya, adalah penghuni langit.


Mendengar perkataan Nabi, Siti Aisyah dan sahabat terpegun. Menurut keterangan Siti Aisyah, memang benar Uwais mencari Nabi dan bersegera pulang ke Yaman kerana tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Nabi meneruskan keterangannya mengenai Uwais, penghuni langit kepada sahabatnya dan berkata:

“Jika kamu ingin berjumpa dengan dia,
perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah tapak tangannya.”

Setelah itu Nabi memandang kepada Ali dan Umar seraya berkata:

“Suatu ketika apabila kamu bertemu dengan dia,
mohonlah doa dan istighfarnya,
dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”


Selepas Nabi Muhammad wafat dan diganti Abu Bakar, kemudian Umar. Suatu ketika Khalifah Umar teringat akan sabda Nabi mengenai Uwais. Beliau segera mengingatkan juga kepada sahabatnya Ali bin Abi Talib.

Rombongan khafilah dari Yaman datang ke Madinah. Umar dan Ali selalu menanyakan Uwais. Rombongan itu memberitahu Uwais ada bersama mereka dan sedang menjaga unta di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, Khalifah Umar dan Ali segera bertemu Uwais.

Setibanya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar dan Ali memberi salam. Tetapi Uwais sedang solat, selepas mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam Khalifah Umar dan Ali sambil mendekati kedua-dua sahabat Nabi itu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di tapak tangan Uwais, seperti pernah dikatakan Nabi. Memang benar, nampaklah tanda putih di tapak tangan Uwais.

Wajah Uwais nampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi dia adalah penghuni langit. Khalifah Umar dan Ali menanyakan namanya dan dijawab:

“Abdullah.”

Mendengar jawapan Uwais, mereka tertawa dan mengatakan:

“Kami juga Abdullah iaitu hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?”

Uwais kemudian berkata:

“Nama saya Uwais al-Qarni.”

Khalifah Umar dan Ali memohon doa dan istghfar daripada Uwais dan selepas itu Khalifah Umar berjanji untuk menyumbangkan wang dari Baitulmal kepada Uwais tetapi Uwais berkata:

“Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang.
Untuk hari seterusnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”


Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam tidak terdengar beritanya. Tapi ada seorang lelaki pernah bertemu dan pernah dibantu oleh Uwais , waktu itu kami sedang berada di atas kapal menuju tanah Arab bersama para pedagang, tanpa disangka-sangka angin taufan bertiup dengan kencang. Akibatnya hempasan ombak memukul kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang lelaki yang mengenakan selimut berbulu di sudut kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya. Lelaki itu keluar dari kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.

“Wahai waliyullah,” Tolonglah kami !”

tetapi lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,

" Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!”

Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata:

“Apa yang terjadi ?”

“Tidakkah engkau melihat bahawa kapal ditiup angin dan dipukul ombak ?”tanya kami.

“Dekatkanlah diri kalian pada Allah ! “katanya.

“Kami telah melakukannya.”

“Keluarlah kalian dari kapal dengan membaca bismillahirrahmaanirrahiim!”

Kami pun keluar dari kapal satu persatu dan berkumpul di dekat itu. Pada saat itu jumlah kami lima ratus orang lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut. Lalu orang itu berkata pada kami ,

”Tak mengapalah harta kalian menjadi korban asalkan kalian semua selamat”.

“Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan ? “Tanya kami.

“Uwais al-Qarni”. Jawabnya dengan singkat.

Kemudian kami berkata lagi kepadanya,

“Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir.”

“Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membagi-bagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?” tanyanya.

”Ya,”jawab kami.

Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdo’a. Setelah Uwais al-Qorni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membagi-bagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tidak satupun yang tertinggal.

Beberapa waktu kemudian, tersiar kabar yang mengatakan Uwais al-Qorni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah ramai orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafankan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya. Demikian pula ketika
orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke pekuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebut untuk mengusungnya. Dan Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan, “ketika aku ikut mengurusi jenazahnya hingga aku pulang dari mengantarkan jenazahnya, lalu aku bermaksud untuk kembali ke tempat penguburannya guna memberi tanda pada kuburannya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas kuburannya.

(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qorni pada masa pemerintahan sayyidina Umar r.a.)

Meninggalnya Uwais al-Qorni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian ramainya orang yang tidak dikenali hadir untuk mengurus jenazah dan pemakamannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tak dihiraukan orang. Sejak ia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu.

Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka saling bertanya-tanya :

“Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qorni ? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala qibas dan unta ? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya."

Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa “Uwais al-Qarni” ternyata ia tidak terkenal di bumi tapi terkenal di langit..

wallahu a'lam..

- MAKSIAT MENGUNDANG BALA -




In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Lelaki patut mengelak daripada memandang wajah wanita dan memelihara kemaluan


TIADA siapa yang menyangkal bahawa gejala pembuangan bayi berpunca daripada perbuatan zina. Akibat gagal mengawal nafsu, manusia mudah terjebak dalam perbuatan yang menjijikkan ini. Hasilnya seperti dipaparkan media baru-baru ini mengenai kes pembuangan bayi. Terbaru, kes bayi ditanam di tepi sungai di sebuah daerah di Melaka yang mana menurut pakar perubatan, bayi berkenaan masih hidup ketika ‘dikebumikan’.

Pelbagai punca dilihat menjadi penyumbang kepada perbuatan zina. Dari pergaulan bebas, tiada asas agama yang kukuh, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat mengenai anak-anak remaja mereka hinggalah kepada meniru budaya hidup masyarakat Barat yang bersekedudukan tanpa ikatan.

Jika dilihat dari kaca mata al-Quran dan Sunnah, zina bermula dengan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang lelaki berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan, seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Syaitan pula memainkan peranan siang dan malam menanti peluang menghanyutkan anak Adam ke lembah dosa.

Islam menyediakan garis panduan untuk umat manusia menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah perzinaan. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Nur: 30)

Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki supaya merendahkan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan. Diikuti pula suruhan supaya memelihara kemaluan daripada melakukan perbuatan yang terkutuk iaitu zina. Oleh kerana itulah setiap ayat al-Quran yang memerintahkan lelaki memelihara kemaluan bertujuan menyuruh mereka menjauhi zina.



Beberapa panduan nabawi juga ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk kaum lelaki. Dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin Abdillah berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum melihat wanita ajnabi (bukan mahram), lalu baginda mengarahkanku mengalihkan pandangan.”
(hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan urusan jual beli.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali:

“Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan kali kedua.”
(hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)

Berdasarkan hadis ini, baginda SAW menyebut pandangan seorang lelaki terhadap wanita pada kali pertama adalah bahagiannya yang Allah takdirkan tetapi larangan dari baginda SAW menyusul selepas itu jika dia sengaja melihat wanita itu semula. Pandangan kedua berlaku dengan pilihan yang disertai oleh nafsu manakala yang pertama itu tiada dosa padanya kerana tidak disengajakan.

Al-Azim Abadi menukil kata-kata al-Qadi ’Iyad ayat ke-30 surah al-Nur menjadi hujah bahawa:

“Tidak wajib seorang wanita Muslimah menutup mukanya kerana perbuatan itu adalah sunnah.”

Tetapi mesej utama ayat itu ialah kewajipan untuk kaum lelaki menundukkan pandangan daripada melihat muka wanita dengan sengaja apatah lagi memandang aurat mereka. Sekalipun melihat wajah wanita berulang kali dikategorikan sebagai dosa kecil tetapi kesannya amat besar di sisi Allah SWT.

Kenyataan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Albani)

Zina mata terjadi dengan melihat apa yang Allah haramkan, zina lidah pula berlaku dengan mengeluarkan kata-kata yang haram dan zina hati terjadi apabila timbul keinginan untuk melakukan zina yang sebenar. Pembahagian zina ini disebut oleh Rasulullah SAW kerana ia adalah mukadimah kepada zina hakiki. Maka penentuannya diukur oleh kemaluan. Jika nafsu menguasai diri, berlakulah zina, tetapi jika nafsu berjaya dijinakkan, zina dapat dielakkan.

Kehidupan hari ini menuntut kaum lelaki untuk bergerak ke sana ke mari mencari rezeki. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh mereka. Ke mana saja tempat dituju, pasti mereka terdedah kepada wanita dan aurat mereka. Justeru, menundukkan pandangan adalah jalan keluar untuk mengelak daripada mukadimah zina seterusnya zina yang nyata. Tidak dinafikan kadangkala pandangan yang dipelihara terlepas lalu mata terlihat apa yang dilarang, tetapi Allah SWT maha mengetahui kelemahan hamba-Nya. Lantaran itu Islam menyediakan ruang untuk insan mencuci ‘dosa kering’ itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana kamu berada dan gantilah sesuatu dosa itu dengan pahala, nescaya ia (pahala) akan menghapuskannya (dosa) dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang mulia.” (hadis riwayat Tirmizi)




wallahu'alam..