- IKHLAS BEZAKAN AMALAN -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


IBADAT dalam Islam adalah kemuncak sifat kepatuhan dan ketundukan kepada Allah yang juga pengiktirafan keagungan Tuhan disembah. Menerusi ibadat, umat Islam dapat berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah (hubungan menegak).


Ibadat juga memberi kesan mendalam antara perhubungan manusia sesama manusia dan dengan makhluk lain (hubungan mendatar) di dunia ini.

Pengertian ibadat dalam al-Quran cukup luas, tidak terbatas kepada perkara difardukan saja, malah meliputi semua perkara dilakukan dengan ikhlas.

Allah berfirman bermaksud:

“Dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.”
(Surah al-Bayyinah, ayat 5)


Ikhlas kunci bagi segala bentuk amalan dan penanda yang membezakan antara ibadat dengan adat. Jadi, sesuatu amalan dilakukan penuh keikhlasan dikategorikan sebagai ibadat, meskipun tidak mempunyai perintah secara langsung dalam al-Quran dan hadis.

Menurut al-Quran, kehidupan di dunia satu kesatuan yang wujud di dalamnya hanyalah semata-mata mengabdikan diri kepada Allah. Oleh itu, Islam menetapkan supaya seluruh cara hidup manusia dipelihara supaya menjadi ibadat dan sebagai tanda kepatuhan kepada Allah.
Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah (Dialah) saja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah saja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kukuh kekuasaan-Nya.”
(Surah al-Zariyat, ayat 56-58)

Perlu dijelaskan setiap tindakan dilakukan seseorang Muslim dalam kehidupan berkait rapat dengan akidahnya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Allah berfirman bermaksud:

“Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
(Surah al-An’am, ayat 162)

Oleh itu, kita mestilah memastikan segala ibadat dilakukan mempunyai hubungan secara langsung dengan Allah. Malah ia asuhan dan didikan mendekatkan diri kepada Allah serta mencintai-Nya.

Muslim yang berdiri di hadapan Allah untuk menunaikan solat fardu atau sunat dalam keadaan penuh suci lagi khusyuk, adalah didikan praktikal mencetuskan hubungan secara langsung dengan Allah serta memberi kesan mendalam terhadap jiwanya.

Seseorang Muslim sentiasa berada dalam keadaan berjuang melawan hawa nafsunya sehingga sampai ke tahap merasakan nikmat berhubungan serta mendekatkan diri kepada Allah. Maka, pada ketika itu solat baginya adalah pertemuan dinanti-nantikan dan di situlah ketenangan serta kerehatan.

Rasulullah SAW menemui ketenangan dalam solat. Biasanya apabila Baginda SAW ditimpa sesuatu masalah, maka Baginda akan segera mengerjakan solat sambil berkata kepada Bilal:

“Berikan kerehatan kepada kami wahai Bilal.”

Jelas menunjukkan perasaan seorang ‘abid (hamba) yang mendapati solat itu pertemuan antaranya dengan Allah.

Ibadat zakat adalah penyempurnaan kepada matlamat solat iaitu mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat. Pada dasarnya zakat disyariatkan untuk menyucikan jiwa seseorang Muslim daripada segala akhlak yang keji.

Jadi, dengan mengeluarkan zakat bermakna seseorang Muslim itu sudah membersihkan jiwa dan hartanya daripada kekotoran seterusnya sebagai tanda bersyukur atas kenikmatan rezeki dikurniakan Allah.

Selain itu, ibadat puasa dapat menumpukan usaha pembersihan dan pentarbiahan jiwa dengan menjauhi perkara mungkar semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pada Ramadan seseorang Muslim dapat merasakan keagungan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia, iaitu al-Quran yang diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kejahilan kepada keimanan. Justeru, waktu malamnya dihabiskan untuk beribadat, merenungi serta bersyukur kepada Allah.

Dalam menunaikan ibadat haji pula, seseorang Muslim merasakan dirinya menjadi tetamu Allah serta merasai keagungan nikmat-Nya. Untuk menghadiri rumahnya yang mulia itu, kita seharusnya membersihkan rohani daripada segala kotoran dan menggunakan perbelanjaan harta yang bersih.

Begitulah didikan secara praktikal untuk menyintai Allah dan mendekati-Nya. Kesediaan jiwa meninggalkan perkara amat diingini dan disayanginya tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.

Inilah dikatakan ihsan dan Rasulullah SAW sendiri pernah ditanya Malaikat Jibril mengenai maksud ihsan lalu Baginda menjawab:

“Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya (sekalipun) sebenarnya Ia melihat engkau.”
(Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Sehubungan itu, beribadat perlu dalam keadaan hati merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia buat sementara waktu. Beribadat dalam keadaan seperti inilah yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Allah tidak memandang kepada solat seorang lelaki yang dikerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya.”

Al-Hasan al-Basri pula menjelaskan:

“Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia lebih hampir kepada seksaan.”

Di samping itu, kita mestilah beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak berasa cukup dan tidak pula terlalu mudah berpuas hati.

wallahu a'lam..



- KISAH BURUNG BANTU PADAM API -




In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya:

“Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.”
(Hadis riwayat Muslim)

Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:

“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.

Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).

Wallahu a'lam..



Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

- SYAABAN, PELUANG BERSIHKAN HATI -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)

Justify Full

Malam Nisfu Syaaban termasuk salah satu masa doa umat Islam mustajab, diperkenan Allah



PADA bulan Syaaban banyak amal kebajikan diperoleh mereka yang mengambil kesempatan beramal. Bulan yang sering dijadikan persediaan menyambut Ramadan turut menjadi bulan umat Islam berebut melakukan amal kebajikan.

Apabila Syaaban berhasil mendorong melaksanakan pelbagai kebajikan dengan amalan mengikut sunnah seperti memperbanyakkan berpuasa sunat, maka Ramadan yang menyusul dapat dilalui dengan mudah dan selesa untuk menunaikan kewajipan berpuasa

Ulama mengatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk membersihkan diri, Syaaban membersihkan hati dan Ramadan membersihkan jiwa.

Mengenai malam Nisfu Syaaban, Imam Syafii menyatakan dalam Kitabnya Al-Umm: Sudah sampai kepada kami, ada orang yang mengatakan sesungguhnya doa dimakbulkan oleh Allah pada lima malam: malam Jumaat, malam Hari Raya Aidil Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam 15 Syaaban.

Imam Syafii berkata: Saya suka kepada kelebihan yang dinyatakan pada malam itu dengan syarat ia tidak dianggap wajib.

Sahabat, tabiin dan ulama bersungguh beribadah pada malam itu. Kitab Durratun Nasihin menyebut:

Jibril datang kepadaku pada malam Nisfu Syaaban dan berkata: Wahai Muhammad, pada malam ini pintu langit dan pintu rahmat sedang dibuka, oleh itu bangun dan kerjakan sembahyang kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.

Aku (Rasulullah SAW) bertanyakan: Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini? Jibril menjawab: Pada malam ini sudah dibuka tiga ratus pintu rahmat, maka Allah Taala mengampuni semua orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan tukang sihir, kahin (tukang tenung), orang suka bermusuhan, peminum khamar (arak), orang yang melacur dirinya, pemakan harta riba, orang derhaka kepada ibu bapa, orang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan diampuni sehingga mereka itu mahu bertaubat dan meninggalkan pekerjaan (maksiatnya) itu.

Beribadah pada malam Nisfu Syaaban boleh dilakukan dengan memperbanyak membaca al-Quran, berselawat kepada Rasulullah SAW, berzikir dan berdoa. Ketahuilah malam Nisfu Syaaban adalah termasuk salah satu masa perkenan dan mustajab doa.

Doa yang dibaca Rasulullah SAW pada malam Nisfu Syaaban antara lain bermaksud:

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa-Mu dan murka-Mu, dan aku tidak mengira pujian kepada-Mu, seperti mana Engkau memuji kepada-Mu sendiri. Maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau reda.

Doa itu dibaca Rasulullah SAW dalam sujud di waktu malam ketika sembahyang sunat di rumahnya. Baginda SAW membaca doa itu dalam sujudnya sambil matanya menitiskan air mata kerana perasaan takutnya kepada Allah SWT.

Antara kelebihan malam Nisfu Syaaban ialah pada malam itu pintu langit dan pintu rahmat dibuka bermula daripada awal malam sehingga waktu Subuh.

Allah mengampunkan segala dosa yang pernah dilakukan oleh orang yang menghidupkan malam itu dengan melakukan ibadah kecuali orang yang syirik kepada Allah, menyimpan dendam dalam hati, ketagih arak dan orang yang sentiasa berzina.

Pada malam berkenaan juga amalan yang dilakukan dalam tempoh setahun diangkat kepada Allah, ditulis siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati, orang yang menghidupkan malam itu dengan beribadah akan dimasukkan ke dalam syurga.

Bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat banyak melakukan kesalahan mengenai malam Nisfu Syaaban dengan berebut-rebut datang ke masjid atau surau untuk mendapat fadilat malam itu.

Biasanya diadakan majlis bacaan surah Yasin sebanyak tiga kali selepas sembahyang Maghrib dan selepas bacaan yasin pertama, diniatkan memohon panjang umur, memohon dijauhkan bala bencana (bacaan Yasin kedua) dan diniatkan memohon murah rezeki yang halal (bacaan Yasin ketiga).

Difahamkan amalan sambutan malam Nisfu Syaaban yang kaifiatnya seperti ini tidak diamalkan di tempat lain melainkan di Malaysia dan sekitar Nusantara. Ada kalanya mereka membaca surah Yasin begitu cepat dan pantas sehingga mengabaikan hukum tajwid.

Ini berlaku kerana ingin mengejar bilangan tiga kali bacaan. Al-Quran melaknat mereka yang membacanya dengan tidak betul hukum tajwid kerana al-Quran mestilah dibaca dengan tartil.

Firman Allah bermaksud:
Dan bacalah al-Quran dengan penuh tartil.
(Surah al-Muzammil, ayat 4)


Kita digalakkan sembahyang, berdoa, beristighfar, membaca al-Quran dan melakukan amalan disuruh Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat. Nabi SAW tidak menetapkan bacaan surah Yasin seperti disebutkan itu.

Sering juga kita mendengar khutbah yang disampaikan khatib semasa sembahyang Jumaat dengan memperingatkan jemaah supaya jangan terlalu taksub dengan amalan Nisfu Syaaban dan ini bererti ada kesalahan sering dilakukan ketika tibanya malam Nisfu Syaaban.

Syaaban adalah satu bulan hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dianggap pintu gerbang Ramadan yang penuh berkat.

wallahu a'lam..


- FADHILAT SYAABAN -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



SETIAP bulan Islam mempunyai kelebihan seperti Syaaban yang penuh keberkatan dan kebaikan. Syaaban datang selepas Rejab sering dikaitkan sebagai bulan persediaan sementara menanti ketibaan Ramadan.

Umat Islam sentiasa menantikan ketibaan ketiga-tiga bulan yang mempunyai keistimewaan terutama hamba Allah yang sentiasa berusaha mencari keredaan Tuhannya dengan melakukan amal salih.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku (Rasulullah)
dan Ramadan bulan umatku.”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Keghairahan umat Islam melaksanakan ibadat puasa sama ada sunat atau ganti pada Syaaban sering dikaitkan dengan kisah Nabi Muhammad SAW yang berpuasa pada Syaaban.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah:

“Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak melainkan pada Syaaban (selain bulan Ramadan); sesungguhnya Baginda SAW berpuasa sebulan penuh.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Semakin hampir dengan Ramadan, semakin besar ujian dihadapi kerana bagi yang menyedari nikmat melaksanakan puasa sunat, kehadiran Syaaban dimanfaatkan sebagai bulan mempersiapkan diri untuk berpuasa selama sebulan.

Namun, ada juga yang mengambil kesempatan untuk menjadikan Syaaban bulan berpesta makanan kerana memikirkan saat lapar dan dahaga yang bakal ditempuh sepanjang Ramadan apabila semua umat Islam diwajibkan menunaikan rukun Islam ketiga.

Usman Zaid menceritakan:

“Saya bertanya kepada Rasulullah SAW, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada bulan lain seperti pada bulan (Syaaban) ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara Rejab dan Ramadan. Baginda menjawab: Ini adalah bulan segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya amat suka kiranya
amalan diangkat ketika berpuasa.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai)

Untuk mendapatkan keredaan Allah, sewajarnya kita memperbanyakkan amalan seperti puasa bersedekah dan melakukan kebajikan digalakkan pada Syaaban supaya amal ibadat diterima Allah.

Walaupun umat Islam perlu meningkatkan keimanan kepada Allah setiap saat denyut nadinya, namun tidak dapat dielakkan, sebagai manusia yang lemah, sentiasa memerlukan suntikan semangat terutama dalam melakukan kebaikan.

Apabila ada panduan yang menaikkan semangat seperti amalan puasa Rasulullah SAW pada Rejab dan Syaaban, contoh murni itu menarik perhatian dengan niat mencari kesempurnaan iman.

Saidatina Aisyah turut menceritakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Selain amalan puasa, umat Islam digalak memperbanyakkan amalan malam seperti solat sunat kerana diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz memberitahu wakilnya di Basrah:

“Hendaklah kamu perhatikan empat malam dalam satu tahun kerana sesungguhnya Allah SWT membukakan pintu rahmat-Nya seluas-luasnya iaitu malam pertama Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan Aidiladha.”



Selain amalan untuk diri sendiri, umat Islam sentiasa diingatkan memohon keampunan serta rahmat bagi ahli keluarga, saudara atau sahabat handai yang sudah meninggal dunia kerana kebaikan itu juga menyedarkan kita hakikat hidup di dunia hanya sementara.

Justeru, sementara ada masa dianugerahkan Allah, gunakan sebaiknya dan sentiasa mencari peluang mendalami ilmu agama supaya tidak ketinggalan mencapai rahmat Allah yang ada kalanya datang sekali saja.

wallahu a'lam..

- ILMU = PAKAIAN HIDUP -


In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



TANPA ilmu dan bimbingan, mustahil generasi muda mampu menerajui diri sendiri untuk menjadi insan terbilang yang bukan saja dibanggakan kerana kebijaksanaan, kecerdasan akalnya tetapi juga sahsiah mulia dan fizikal kuat.

Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik dalam menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga ada kalanya kita kelihatan lesu mencari punca sedangkan masalah semakin meruncing serta tidak terbendung.

Generasi muda yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal serta minda. Urusannya dengan Allah, manusia dan alam dijalankan penuh tanggungjawab. Lebih hebat, yang menyedari kepentingan ilmu untuk terus menyedarkan umat Islam supaya hidup dalam landasan agama.

Syarat generasi muda kini untuk menjadi seorang hebat ialah mesti berilmu dan mempunyai hikmah dalam tindak-tanduknya. Mereka juga perlu adil iaitu amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah, manusia dan alam.

Mereka juga mesti berani kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentu mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain yang akan jadi ikutan golongan muda yang memerlukan contoh terbaik.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita. Sedangkan, impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang berjasa kepada agama dan negara.

Namun, cita-cita perlukan hasrat dan tekad tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan. Jika tiada seperti disebutkan, orang muda tetap boleh berjaya dengan izin-Nya dengan yakin kuasa Allah dan sifat pengasih serta pemurah-Nya.

Segelintir generasi muda kini menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim.

Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islam. Hidup melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul serta khurafat yang begitu mudah meresapi minda sehingga menjadikan tukang tilik dan nujum sebagai guru.

Bukan tidak cukup ilmu boleh dipelajari secara percuma. Malah hari ini sesiapa yang mahu, ilmu boleh diraih di mana saja dan mungkin kerana terlalu mudah, ilmu tidak dihargai menyebabkan sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan untuk menuntut ilmu.

Kebanyakan adalah mereka yang mempertaruhkan kehidupan sosial di luar batasan hukum, terkinja-kinja di pentas nyanyian dan sanggup melondeh pakaian dalam adegan lakonan untuk merubah kehidupan.

Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar dan mempertingkatkan komitmen untuk membimbing anak mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir mereka supaya anak sentiasa diingatkan supaya tidak menggadaikan agama.

Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan generasi akan datang bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini. Bukan semua juga jahil bahawa masa muda hanya sekejap, jangan sampai waktu muda merosakkan seluruh usia kehidupan mereka.

Ramai juga terpesong ke jalan yang lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi orang selayaknya. Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah memajukan diri untuk agama, bangsa dan negara.

Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menyuruh melakukan maksiat. Perlu diingat, generasi akan datang pasti muncul bersama ‘zaman mudanya’ dan biarlah zaman itu, masa yang terbaik untuk mereka membina jati diri.



wallahu a'lam...



credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)

- P.H.D -



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Penyakit jiwa dorong umat Islam buat maksiat, serlah sifat tercela dalam diri


PERASAAN hasad dengki atau dengan singkatannya PHD, boleh menyerang sesiapa saja dan penyakit jiwa itu sangat bahaya kerana bukan saja boleh merosakkan keperibadian diri, menyebabkan permusuhan dan boleh mengancam ketenteraman masyarakat.

Dengki mendorong seseorang melakukan kemaksiatan seperti mengumpat, menghasut, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain. Benarlah ungkapan Imam Ghazali, bahawa hasad dengki akan melahirkan sifat tercela yang lain sehingga sukar diperinci satu persatu.

Apabila perasaan dengki menguasai diri, hati tidak reda menerima qada dan qadar Allah menyebabkan timbul perasaan benci melulu terhadap orang lain. Kesempurnaan iman memerlukan seseorang menyayangi saudaranya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak beriman salah seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cinta untuk dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Penyakit hasad dengki sukar untuk dijauhi selagi mana ada terdetik perasaan tidak puas hati terhadap orang lain. Penyakit itu sebenarnya memberi kesan besar kepada mereka yang dikuasai perasaan dengki, bukan orang yang menjadi mangsa dengki.

Bahaya jika dijangkiti rasa dengki ialah perasaan hasil hasutan syaitan itu boleh menghancurkan segala kebaikan yang dilakukan selama ini seperti dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Hindarilah dengki kerana dengki itu menghancurkan kebaikan seperti mana api memakan kayu bakar.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sebabnya ialah perasaan dengki membawa si pendengki melakukan perkara jahat seperti memfitnah, menghasut dan memutuskan hubungan orang lain dengan pihak yang di dengki itu. Perbuatan itu hakikatnya hanya merugikan si pendengki.

Dengki adalah beban yang berat kerana hati sentiasa dipukul kegelisahan setiap kali melihat orang lain berjaya atau bahagia. Lidah akan menuturkan kata-kata berupa fitnah, cacian dan memperlekeh.

Bukan itu saja, jiwa menyala perasaan marah, benci, curiga, kecewa dan kesal. Jiwa semakin terseksa sepanjang masa dan tidak pernah tenang. Inilah hasil daripada penyakit dengki yang membarah dalam hati.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih.” (Surah Al-Baqarah, ayat 10)

Sesungguhnya si pendengki tidak pernah mahu merasai apalagi meraikan kebahagiaan atau kejayaan dikecapi orang lain, tidak ingin memberi senyuman apalagi menghulurkan ucapan tahniah.

Jauh sekali untuk mengeluarkan tenaga membantu atau mendorong saudara lain supaya terus memperoleh kejayaan dalam hidup. Dengan itu, tergambar pada dirinya sedikit demi sedikit menyeleweng daripada watak keislaman seperti melenyapkan nilai agama yang suci pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Menjalar kepada kalian penyakit umat (terdahulu), kedengkian dan kebencian. Itulah penyakit yang akan mencukur gondol. Aku tidak mengatakan bahawa penyakit itu mencukur rambut melainkan mencukur agama.”
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dengki adalah ciri orang munafik dan digambarkan mereka ini dalam al-Quran kerana sikap suka memperkecilkan niat pihak yang ingin membuat kebaikan. Ketika umat Islam ingin memberi infak dalam jumlah besar, dikatakan mereka riak dan apabila jumlah infak itu kecil, dikatakan Allah tidak memerlukan sumbangan yang kecil.

Maka, turunlah firman Allah yang bermaksud:

“(Orang munafik itu) iaitu orang yang mencela orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupannya. Maka orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu dan untuk mereka azab yang pedih.” (Surah At-Taubah, ayat 79)

Oleh itu, umat Islam yang ingin maju dan mendapat keredaan-Nya, haruslah berusaha bersungguh-sungguh menghindari sifat dengki serta menghayati ajaran Islam dengan penuh keimanan.

wallahu a'lam..

- BERBUAT BAIK SESAMA JIRAN TETANGGA -



In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)




ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingat supaya menjaga serta memelihara hubungan dengan jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat negara ini secara umumnya dilihat masih kental namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara.

Justeru, masyarakat perlu menghayati kembali suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan, kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa.

Nabi SAW menunjukkan contoh teladan membina kerukunan hidup berjiran termasuk mengambil berat dan hidup rukun bersama jiran tetangga.

Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW berkunjung menemui Abu Zar yang sedang memasak kuah lalu Baginda berkata:

“Wahai Abu Zar , jika kamu memasak perbanyakkanlah airnya. Kemudian, berilah jiran tetanggamu daripada masakanmu itu dengan baik.”

Islam menekankan hubungan baik sesama tetangga demi melahirkan suatu kehidupan dalam masyarakat yang harmoni. Mungkin barang yang kita sedekah atau berikan kepada jiran tidak seberapa tetapi nilai ganjaran pahala di sisi Allah sangatlah besar.

Di samping itu, pemberian seumpama itu juga akan mencetuskan nilai kasih sayang sesama manusia. Jibril selalu berpesan kepada Nabi SAW mengenai jiran dan tidak sempurna status iman seseorang seandainya tidak berbuat baik terhadap jiran.

Sabda Baginda SAW bermaksud:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Nabi SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Kesibukan kerja dengan waktu tidak menentu mendorong melakukan hal masing-masing.

Bagaimanapun, itu bukan alasan mengetepikan tanggungjawab terhadap jiran kerana pasti ada cara bermesra dengan jiran yang tinggal di sebelah atau berhampiran rumah kita. Senyum atau melambai tangan sudah memadai untuk memberitahu jiran kita mengenali mereka.

Bagi perumahan berpagar yang mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan, semangat kejiranan boleh dipupuk melalui pertubuhan Jawatankuasa Persatuan Penduduk yang bertanggungjawab mengambil berat kemaslahatan penduduk taman berkenaan.

Melalui persatuan penduduk juga, pelbagai program dapat digerakkan bagi mengeratkan hubungan dan penduduk juga jangan mengasingkan diri atau enggan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan.

Kehidupan berjiran secara positif seperti dianjurkan Islam mampu mencegah jenayah dalam masyarakat setempat. Ini kerana semua pihak harus mengambil berat dan saling membantu. Keadaan seperti ini menyukarkan pihak yang ingin melakukan jenayah seperti kecurian.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasakan oleh setiap umat Islam. Jangan biarkan kepentingan diri menenggelamkan hubungan dengan jiran tetangga.

Umat Islam dilarang menyakiti jiran termasuk bukan Islam walaupun mereka bersikap sombong atau tidak mesra. Sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa mengambil berat keperluan jiran serta membantu apabila diperlukan.

wallahu a'lam..

- LAUT TERBELAH DI KOREA -


In
The Name of
ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)





Ratusan ribu pelancong banjiri Jindo setiap tahun untuk merasa sendiri kejadian laut terbelah.
Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam



APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.

Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.

Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.


“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.



Kisah Nabi Musa belah samudera


Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.

Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.


Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.




INFO: Laut terbelah Jindo

# Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.

# Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.

# Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.

# Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.

# Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun.


wallahu a'lam...




sumber: berita harian online