In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
TANPA ilmu dan bimbingan, mustahil generasi muda mampu menerajui diri sendiri untuk menjadi insan terbilang yang bukan saja dibanggakan kerana kebijaksanaan, kecerdasan akalnya tetapi juga sahsiah mulia dan fizikal kuat.
Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik dalam menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga ada kalanya kita kelihatan lesu mencari punca sedangkan masalah semakin meruncing serta tidak terbendung.
Generasi muda yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal serta minda. Urusannya dengan Allah, manusia dan alam dijalankan penuh tanggungjawab. Lebih hebat, yang menyedari kepentingan ilmu untuk terus menyedarkan umat Islam supaya hidup dalam landasan agama.
Syarat generasi muda kini untuk menjadi seorang hebat ialah mesti berilmu dan mempunyai hikmah dalam tindak-tanduknya. Mereka juga perlu adil iaitu amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah, manusia dan alam.
Mereka juga mesti berani kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentu mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain yang akan jadi ikutan golongan muda yang memerlukan contoh terbaik.
Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita. Sedangkan, impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang berjasa kepada agama dan negara.
Namun, cita-cita perlukan hasrat dan tekad tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan. Jika tiada seperti disebutkan, orang muda tetap boleh berjaya dengan izin-Nya dengan yakin kuasa Allah dan sifat pengasih serta pemurah-Nya.
Segelintir generasi muda kini menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim.
Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islam. Hidup melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul serta khurafat yang begitu mudah meresapi minda sehingga menjadikan tukang tilik dan nujum sebagai guru.
Bukan tidak cukup ilmu boleh dipelajari secara percuma. Malah hari ini sesiapa yang mahu, ilmu boleh diraih di mana saja dan mungkin kerana terlalu mudah, ilmu tidak dihargai menyebabkan sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan untuk menuntut ilmu.
Kebanyakan adalah mereka yang mempertaruhkan kehidupan sosial di luar batasan hukum, terkinja-kinja di pentas nyanyian dan sanggup melondeh pakaian dalam adegan lakonan untuk merubah kehidupan.
Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar dan mempertingkatkan komitmen untuk membimbing anak mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir mereka supaya anak sentiasa diingatkan supaya tidak menggadaikan agama.
Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan generasi akan datang bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini. Bukan semua juga jahil bahawa masa muda hanya sekejap, jangan sampai waktu muda merosakkan seluruh usia kehidupan mereka.
Ramai juga terpesong ke jalan yang lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi orang selayaknya. Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah memajukan diri untuk agama, bangsa dan negara.
Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menyuruh melakukan maksiat. Perlu diingat, generasi akan datang pasti muncul bersama ‘zaman mudanya’ dan biarlah zaman itu, masa yang terbaik untuk mereka membina jati diri.
wallahu a'lam...
credit to:
Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh
(Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM)
0 leave ur comment here:
Post a Comment