-AkHLak bEza MaNuSia DeNGan haiWaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..

AKHLAK adalah suatu fenomena kemanusiaan yang tidak terpisah daripada kehidupan setiap manusia walaupun golongan yang rendah tahap tamadunnya, bahkan masyarakat primitif sekalipun.

Manusia dikenali sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat. Dalam kehidupan itu manusia melaluinya dengan peraturan tertentu yang dinamakan akhlak. Cuma yang berbeza dari segi baik atau buruk akhlak dipersembahkan.

Sekiranya ada manusia di dunia ini yang mendakwa tidak mempunyai agama atau menganuti fahaman bebas sepenuhnya, akhlak yang tersemat pada dirinya itulah juga sebagai ganti agama dan itulah agamanya.

Akhlak dalam kehidupan manusia amat jelas, malah didorong rasa ingin mengetahui, aspek itu menjadi suatu bahan pemikiran dan penyelidikan secara khusus dalam pelbagai bidang sejak zaman berzaman.

Semua pengkaji mendapati akhlak menjadi satu daripada aspek yang menjelaskan lagi bukti perbezaan antara manusia dan haiwan.

Daripada kesan dan bukti sejarah perkembangan, kemajuan serta tamadun manusia menunjukkan kekuatan dan keutuhan suatu umat atau bangsa dan tamadunnya bergantung pada dua unsur.

Pertama, kekuatan dan keutuhan kebendaan, manakala yang kedua keutuhan dan kekuatan akhlaknya.

Dua unsur terbabit sama-sama diperlukan, kerana ketiadaan satu daripadanya tidak akan membawa kepada kekuatan suatu umat atau bangsa di dunia.

Kecemerlangan dan kegagalan, ketinggian dan kerendahan, kemajuan dan kemunduran, malah kekuatan serta kelemahan sesuatu bangsa bergantung kepada dua unsur terbabit.

Tetapi sekiranya diperhatikan dengan lebih teliti, antara dua kekuatan terbabit akan zahir kekuatan sebenar sebagai tenaga berkesan serta penentu kepada kesejahteraan hidup manusia dan tamadunnya atau sebaliknya.

Kekuatan itu ialah akhlak yang disifatkan sebagai kekuatan maknawi, bukannya kekuatan kebendaan (maddi), sedangkan dunia kini lebih banyak memberi fokus kepada unsur kebendaan, dengan mengambil mudah aspek akhlak.

Oleh kerana itu dapatlah dirumus, kejayaan dan kemajuan, ketinggian dan kesejahteraan bangsa adalah kekuatan serta keutuhan akhlaknya.

Walau betapa membangun sesebuah negara itu, megah bersama bangunan pencakar langit dan teknologi moden, tetapi jika bangsanya rendah budi bahasa dan buruk akhlaknya, sudah tentu negara terbabit tidak dijulang serta tidak disebut-sebut.

Lihat saja bangsa yang menjadikan rasuah sebagai amalan, tidak dipandang tinggi masyarakat antarabangsa, walaupun pembangunan di negara terbabit tidak kurang hebat, malah bilangan rakyatnya melebihi daripada sesetengah negara lain.

Ringkasnya akhlak itulah yang akan merendahkan atau meninggikan suatu umat dan bangsa. Akhlak itulah yang akan melemahkan atau memajukan dan dengan faktor itulah akan membuatkan bangsa itu derita, sejahtera, cemerlang atau binasa.

Pantun Melayu lama berbunyi:

Kukuh rumah kerana sendi
Rosak sendi rumah binasa
Kukuh bangsa kerana budi
Rosak budi bangsa binasa.

Contoh kehancuran umat manusia di zaman silam disebabkan keruntuhan akhlak jelas di depan kita, yang boleh diteladani melalui kisah dipaparkan al-Quran serta hasil penemuan dan kajian ahli arkeologi, seperti generasi manusia yang rendah akhlak di zaman Nabi Luth a.s.

Umat terbabit menerima musibah kerana sudah ketandusan dan kekeringan unsur kemuliaan akhlak. Mereka pupus benih kebaikan, dilanda keruntuhan dan kerosakan akhlak yang melampau-lampau, sehingga disifatkan al-Quran sebagai umat yang zalim.

Kehancuran umat terbabit dan kebinasaannya sebagai akibat daripada sebab keruntuhan akhlak, adalah suatu sunnah atau suatu undang-undang yang pasti kepada setiap umat dan bangsa di dunia.

Justeru, akhlak walaupun aspek yang sering dipandang remeh oleh banyak pihak, ia sebenarnya nadi utama dalam mewujudkan keseimbangan riwayat hidup setiap manusia, umat dan tamadunnya.

Nabi s.a.w ada bersabda dalam sebuah hadis bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." (Riwayat al-Hakim)

wallahualam..

0 leave ur comment here: