-RIAK = BINASA SEGALA KEBAIKAN-



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



Kita sesungguhnya sebagai insan adalah makhluk yang sangat lemah. Allah swt sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firman-NYA yang bermaksud,"dan manusia dijadikan bersifat lemah"(surah an-Nisaa' ayat 28).. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja dan sesiapa sahaja...termasuklah seorang da'ie itu sendiri.

Entri ana kali ini adalah sebagai muhasabah kita bersama khususnya buat para duat atau da'ie ilallah. Antara bencana besar yang sangat berisiko menimpa kita sebagai da'ie, murabbi, ketua, pemimpin atau sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan atau kedudukan ialah bencana "RIAK"..Ana akan cuba mengupas serba sedikit tantang apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini antum dan ana sendiri dapat mengambil ibrah dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri kita dan ini secara tidak langsung, sekurang-kurangnya kita sama2 boleh membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan hati tersebut.

Riak ini adalah salah satu penyakit hati. Penyakit hati ini, wujud tanpa kita sedar, kita rasa macam tak ada apa-apa, tapi hakikatnya ia telah merosakkan seluruh ibadat kita. Disebabkan riak, amalan kita mungkin tidak diterima Allah. Rasulullah juga risau dan telah berpesan bahawa jauhkan dari sifat ingin menunjuk-nunjuk ketika beramal kerana ianya menyamai syirik.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud:

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil).
Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?
Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)




Takrif Riak

Riak adalah penyakit rohani yang boleh mengancam aqidah umat Islam. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Imam al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.

Allah swt berfirman mafhumnya:

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak"

Firman ALLAH lagi yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir."
(surah al-Baqarah, ayat 264)


Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau pernghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati yang ikhlas mengharapkan keredhaan ALLAH.


Jenis-jenis riak

Orang yang tidak ikhlas menunaikan kerja ibadatnya adalah orang yang diserang penyakit riak yang membatalkan ibadatnya.
Riak terbahagi kepada dua:
1- riak khusus
2- riak bercampur.

Riak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata daripada amalan yang dikerjakan.

Mengikut pendapat (Qaul) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahala akibat riak itu. Yang jelas, riak itu mengakibatkan amalan tidak diterima, ditolak terus atau dikurangkan pahalanya.

Diriwayatkan, apabila seseorang hamba Allah yang riak menuntut pahala amalannya
pada hari kiamat, Allah swt lalu berfirman bermaksud:

Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?

Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.

Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:

"Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu)
mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku."

Mengikut riwayat lain:

Pada hari kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk,
'Hai orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku.'

Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya: 'Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riak, pengadu domba dan pendengki."

Mengikut Imam al-Ghazali 'Bakhil dalam hadith tersebut bermaksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La Ilaha Illallah,Muhammadun Rasulullah. Manakala riak itu pula ialah sejahat-jahat riak, iaitu riak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan. Orang yang tidak mengatasi bakhil dan riak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluputlah daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka.

Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda,
bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari kiamat ialah:

Lelaki yang membaca atau menghafal al-Quran;
Lelaki yang banyak harta;
Lelaki yang terkorban dalam perang sabil.

Kepada lelaki yang membaca atau menghafal al-Quran, Allah berfirman bermaksud:

"Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?" Apabila
lelaki itu menjawab, 'Ya, wahai Tuhanku', Allah berfirman lagi, 'Apa yang engkau
amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Quran itu?' Jika lelaki itu
berbohong, Allah berfirman kepadanya, 'Engkau dusta!'. Para Malaikat juga turut
berkata demikian. 'Engkau sebenarnya mahukan sebutan atau pujian orang.
Seungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran
untukmu.'

Kepada orang kaya pula Allah berfirman bermaksud:

"Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?" Jawab orang kaya itu, 'Ya, wahai Tuhanku'. Lalu Allah berfirman lagi, Apakah yang
engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu? Jika orang kaya itu
menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan
bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. Engkau berdusta!
Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah
memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil,

"apabila dia berbohong dengan mengatakan, Engkau perintah kami berjihad fi
sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku
dibunuh."

Ibnu Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah bersabda maksudnya,

Sesungguhnya neraka dan penghu-ninya menjerit-jerit kerana orang-orang riak. Ibnu Abbas lalu bertanya, Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah? Rasulullah menjawab, Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riak.

Riak khusus pula Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia,walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah
juga termasuk dalam riak.

Menurut ulama riak itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tidak kira, sama ada daripada Allah atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riak.

Firman Allah mafhumnya:

'Barangsiapa berkehendakkan hasil tanaman akhirat, Kami tambahkan baginya hasil tanamannya dan barangsiapa berkehendakkan hasil tanaman dunia, Kami kurniakan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi tiada sedikitpun baginya bahagian akhirat.'
(Surah asy-Syuura: Ayat 20).

Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu dikira riak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.

Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira riak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat pengorbanan orang ramai dengan cara meninggalkan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, mi-salnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.

Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk
akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan,
kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi.


Perkara yang diriakkan oleh manusia

1- Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2- Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3- Riak dengan perkataan.

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4- Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.


Peringkat riak

1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.


cara untuk menghindarinya.

Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak.Sabda Baginda yang bermaksud:

"Awaslah kamu..jangan mencampuradukkan antara taat pada ALLAH dengan keinginan dipuji orang(riak), nescaya gugur amalanmu"
(hadis riwayat Ad-Dailami)

4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.

5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Allah berfirman bermaksud:

"Barang siapa berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan jangan menyekutukan Allah dengan suatu apa pun."
(Surah al-Kahfi, ayat 110)

Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuatkan dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan ALLAH di akhirat nanti.Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Wallahua’lam.

Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama-kelamaan ia akan membinasakan kemurniaan aqidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada di kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai. Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, wara' atau rajin beribadah. Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya. Hal ini dingatkan ALLAH dalam firman bermaksud:

"Dan janganlah kamu turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan kamu dari (agama) ALLAH". (Surah Sad: 26)

Akhirul kalam dari ana, untuk menjauhkan diri ataupun membersihkan hati daripada amalan riak maka setiap Muslim hendaklah memperhitungkan diri sendiri berapa banyak kebaikan serta dosa yang dilakukan supaya terus berhati-hati dalam setiap gerakan dan apa juga tindakan yang akan dilakukan.

Firman ALLAH swt yang bermaksud:

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah ali-Imran: 135)


wassalam..






sumber rujukan:
Ustaz Ahmad Shukri Yusoff:_
http://www.fitrahpower.com/tazkirah-bersiri/hakikat-penyakit-riak

-TAKE THIS..-




In The Name of ALLAH
,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Sudah lama ana tidak publish entry tentang award ni..kali terakhir pun bulan september tahun lepas..hehe..lame tu..Sejujurnya ada beberapa sahabat telah beri award pada ana sebelum ni..cuma tidak berkesempatan untuk mengambilnya berikutan sibuk dengan urusan dunia yang tidak pernah selesai-selesai..alih-alih,ana lupa blogger mana yang beri award pada ana..asif jiddan ye sahabat2..Tika ini pun,ana sedang menguruskan 2 majlis yang akan diadakan pada minggu ini di kolej ana..tapi ana tetap mahu mencuri sedikit masa menunaikan janji ana untuk publish entri ini..


Untuk dapatkan award kali ini ada law & terms nya..=)
antaranya ialah:_

1- Thank and link the person who gave you the award
2- Pass the award to 15 bloggers you've recently discovered and think are fantastic.
3- Contact said blogs and let them know they've won the award.
4- State 7 things about yourself.


**********************

1- Yislamu kithir atas award yang comel ini diberikan oleh kakak2 yang ana cinta dan ana rindu kak Lin dan kak farra (hebatkan ukhuwahfillah...??? bisa menghasilkan kerinduan apabila berjauhan dan saling berkasih sayang kerana ALLAH) dan disebabkan sama kaler,gambar dan bentuk..jadi ana gabungkan je la skali..hehe..takpe kan kakak2 sayang..??(^_^)v

award ni ana nak berikan kepada blogger-blogger yang baru berjinak-jinak dalam dunia blogging..sebagai tanda sokongan ana kepada mereka untuk terus berjuang dalam lapangan da'wah..semoga antum terus thabat dalam perjuangan da'wah Islamiah..
keep Istiqamah dan ana doakan semoga kita sama-sama sentiasa berada di saff yang betul..
“Kalau kita tolong agama Allah, Allah pasti akan tolong kita!”

2- blog-blog yang terpilih adalah:_

ukhti raudhah
ukhti natasha
ukhti syahirah
ukhti anis suhana
ukhti nadia
ukhti hanim
ukhti illiyin
ukhti fiza kamil
ukhti ainun
ukhti effa
ukhti puteri
ukhti jamilah
ukhti aliya
ukhti azila
ukhti filzah

3- jadi,kepada sesiapa yang berkenaan..
rajin-rajinkanlah diri antum untuk mengambilnya,ye..hee...

4- 7 things about myself:_

~pemilik blog ♥ DIARI ISLAMIAH ♥
~berasal dari negeri penyu..tapi celup la..bukan pure..
~ana simple jer...tak suka tabarruj
~suka bersendirian dan bersederhana dalam semua perkara
~anak ke-4 dari 7 orang adik beradik
~friendly...orang terengganu ckp, tu pun kalau dah jumpa "gu" la..
~hard to cry..kecuali dengan orang2 yang rapat dengan ana jer..

awardnya adalah seperti yang tertera dibawah ini...
enjoy your award...=)


macam biasa...kepada sahabat2 yang tidak ada link nya disini..kalau rajin nak buat tu..amat dialu-alukan..tafadhol..=) kongsilah award ni bersama orang2 kampung, jiran2 terdekat serta sahabat2 yang lain agar ikatan ukhuwah sentiasa dieratkan dan mencapai tahap "ithar" (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri)

Ukhuwah is bonded by aqidah..(^_^)

...wassalam...



-WASIAT KHURAFAT A.K.A SMS BERANTAI / EMEL BERANTAI-



In The Name of ALLAH
,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)



"لااله الاالله محمدرسول الله Send this kalimat to 12 nice persons and your financial position improves within 12 hrs. 100% gerenti. Memang aneh tapi NYATA."

"al-qayyum, al-majid, al-wajid, al-wahid, al-ahad, al-samad, al-qadir, al-malik, al-rehman, al-rahim, "Allah never fails". Send this message to 9 people. You will get good news tomorrow.If u neglect, bad luck for 9 years, this is proved true."

" Yaasin, Walqur a-nilhakim. Innakala minal mursalin. A'la siratil mustaqim. Tanzilal azizir rahim. Litunzira qaumamma unzila aba uhum fahum ghafilun. Kirim surah Yaasin ini kpd 7 insan digelar Islam. Insya Allah esok anda akn m'nerima khbr yg baik dan rezeki anda sentiasa brda di tngn anda. JGN DELATE INI BETUL2 JD KENYATAAN. "


Anda pernah menerima sms berantai, emel ataupun komen-komen sepertinya?
pasti dalam tulisan 'licik' ada yang menunjukkan bahawa siapa yang menyebarkannya kemungkinan besar mendapat rezeki yang melimpah ruah. Kalau tidak menyebarkannya, bala' yang menimpa. Benarkah?Atau sengaja mempermain-mainkan aqidah umat Islam dalam era yang tanpa sempadan ini.

Bersandar sesuatu perkara kepada khayalan menyeleweng daripada landasan Islam,
APAKAH hukum mempercayai surat atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berantai bahawa sesiapa yang sudah membaca tetapi tidak menyebarkannya akan ditimpa musibah besar? Kandungan mesej dalam surat dan SMS itu kadang-kadang turut memberitahu tarikh berlakunya kiamat.

Disini ana nak kongsikan pandangan daripada Ustaz Zahazan Mohamed tentang perkara tersebut..

WASIAT dengan segala isi kandungnya dalam surat atau SMS itu tidak ada erti dan nilainya sama sekali dalam perspektif agama. Ini disebabkan kesempurnaan Islam sudah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat ke-5 yang bermaksud:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Oleh kerana Islam sudah disempurnakan Allah SWT maka kita tidak memerlukan lagi keterangan yang diwasiatkan oleh sesiapa lagi. Apabila kita menerimanya daripada golongan seperti ini, bererti kita turut meragui kesempurnaan Islam.

Wasiat ataupun SMS berantai ini juga sebenarnya mengandungi banyak tanda kepalsuan.

Pertama, sumber awalnya tidak diketahui, apakah benar penyampainya yang hanya dinamakan sebagai Syeikh Ahmad itu benar-benar wujud?

Kedua, sebab penghantar wasiat itu sudah mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai yang tidak mahu menyebarkannya bahawa mereka akan ditimpa musibah. Hal ini tidak akan dikatakan oleh seseorang manusia yang normal fikirannya apatah lagi seorang rasul terhadap al-Quran dan hadis.

Ketiga, tiada satu pun ayat suci al-Quran yang memerintahkan agar ditulis dan disebarkan untuk mengelakkan sesuatu malapetaka atau bencana. Begitu juga tiada perintah terhadap yang membaca kitab hadis untuk menjalankan kerja itu.

Jika al-Quran dan sunnah Nabi pun tidak memerintahkan begitu, maka apatah lagi wasiat yang bersifat khurafat yang tidak jelas sumbernya ini.

Keraguan berikutnya dalam surat itu diterangkan bahawa seseorang yang sudah menyebarkan warkah Syeikh Ahmad contohnya itu akan mendapat rezeki yang melimpah-ruah, manakala sesetengah yang lain beroleh jawatan tinggi dalam masyarakat. Semua itu adalah khurafat dan penyesatan terhadap umat Islam dari jalan yang benar dan terpesong daripada mengikuti sunnah Rasulullah.

Ini disebabkan dalam Islam, Allah SWT menetapkan sesuatu itu berlaku kerana sebab musabab yang tertentu mengikut aturannya sedangkan bersandar kepada khayalan dan khurafat seperti itu adalah usaha menyesatkan dan menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenar.

Seterusnya, jangkaan tarikh kiamat yang sering kali disebut dalam kandungan warkah ini juga bukti satu lagi pembohongan yang ketara kerana tarikh tepatnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Malah Allah SWT sudah menjelaskan dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat ke- 187 yang bermaksud:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan ayat di atas, walaupun Nabi SAW yang dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat serta menjadi rasul terakhir, namun baginda sendiri tidak mengetahui tarikh kiamat yang sebenarnya.

Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kaum Muslimin agar tidak mempercayai perkara khurafat seperti surat dan SMS berantai ini dengan anggapan bahawa mereka yang menyebarkannya akan mendapat syafaat Nabi SAW.

Orang yang akan mendapat syafaat Nabi adalah mereka yang beriman kepada Allah SWT dengan cara yang betul dan ikhlas, bukannya kalangan yang meyakini perkara syirik seperti yang ditetapkan dalam kandungan mesej surat atau SMS palsu itu. Sabda Nabi SAW, maksudnya:

"Orang yang paling berbahagia yang mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah seseorang yang mengikrarkan kalimah 'Lailahailallah' dengan perasaan ikhlas dari dalam hatinya.
– Riwayat al-Bukhari.

Semoga Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya menjadikan kita manusia yang memahami agama mereka dan terselamat dari mempercayai berbagai perkara khurafat, khayalan dan kebatilan...insyaALLAH..

-CINTAKAN DUNIA-



In The Name of ALLAH
,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Manusia zaman sekarang lebih cinta kepada kehidupan dunia

DARIPADA Abdullah bin Aufa,

"Rasulullah SAW pada suatu hari menanti musuh sehingga matahari condong. Kemudian Baginda berdiri di hadapan orang ramai lalu bersabda: "Wahai saudara-saudara! Janganlah mengharap-harapkan menemui musuh, mintalah kesejahteraan kepada Allah! Tetapi jika kamu bertemu dengan musuh, sabarlah (berhati teguh)! Ketahuilah, sesungguhnya syurga itu terletak di bawah bayangan pedang. Kemudian Baginda berkata: Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, yang menjalankan awan dan mencerai-beraikan pasukan musuh! Cerai-beraikanlah mereka dan bantulah kami melawan mereka."
(Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam khususnya di Malaysia hendaklah bersyukur dengan keamanan dikecapi selama ini dan janganlah sekali-kali bermusuh sesama sendiri atau sengaja mencari musuh kerana kesempatan seperti ini akan digunakan musuh Islam untuk melemah dan menghancurkan umat Islam.

Antara punca kelemahan umat Islam selain daripada ketiadaan perpaduan sesama mereka ialah wujudnya kecintaan kepada kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat meresap serta menjadi budaya hidup umat Islam.

Allah akan memasukkan perasaan berani dalam hati musuh Islam dan pada masa sama mencabut keberanian itu dari hati orang Islam lalu digantikan dengan perasaan penakut iaitu takut terhadap musuh Islam.

Allah berfirman bahawa nasib sesuatu umat tidak akan berubah melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya. Oleh itu, umat Islam hari ini perlu berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki kehidupan dan maruah mereka.

Sesungguhnya hanya orang yang bijak dan tegas mempertahankan agama Allah serta beriman dan beramal soleh saja berhak mendapat pertolongan Allah dalam menghadapi ancaman musuh.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

-CABARAN DA'WAH-



In The Name of ALLAH
,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)




Kehangatan semangat sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad saw tahun 1431H masih lagi kita rasai. Antara nilai utama yang perlu menjadi sumber pendorong menerusi sambutan Maulidur Rasul ialah untuk kita mengenang kembali peranan utama baginda sepanjang pengutusannya iaitu bagi menyebarkan risalah Islam kepada seluruh alam.

Peranan ini juga kita namakan sebagai tugas berdakwah iaitu menyeru dan mengajak manusia antaranya untuk mengesakan atau mentauhidkan ALLAH swt sebagai Tuhan seluruh alam, memberi peringatan mengenai kebenaran hari pembalasan atau akhirat dan membina keupayaan manusia dalam menyumbangkan kemajuan hidup di dunia ini.

Semua itu boleh dicapai manusia menerusi jalan penghayatan berterusan terhadap nilai kebenaran yang dianjurkan oleh ajaran agama Islam. Tugas dan tanggungjawab menyampaikan dakwah boleh dilakukan dengan pelbagai pendekatan dan cara berasaskan tahap keupayaan diri dan cabaran seazaman.

Dalam konteks pendakwahan Nabi Muhammad saw, wujud beberapa petunjuk di dalam al-Quran berhubung pendekatan dan cara menyempurnakan tugas dakwah ini. Hal ini boleh kita telusuri, antaranya menerusi firman ALLAH dalam surah al-Jumuah, ayat 2-3:

"Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-NYA kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajar mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Di dalam ayat ini, proses pendakwahan Nabi Muhammad saw tercerna menerusi 3 cara iaitu menerusi proses pembacaan (tilawah), penyucian (tazkiyah) dan pengajaran (ta'lim). Pendekatan ini adalah antara cara dakwah dilakukan Baginda bagi menangani cabaran kehidupan masyarakatnya pada waktu itu yang berada di dalam keadaan kemunduran ilmu dan budaya. Fenomena masyarakat ini sering diistilahkan di dalam teks sejarah sebagai keadaan hidup "jahiliah".

Usaha menjayakan usaha mendidik ummat daripada kejahilan kepada pencerahan ilmu pengetahuan adalah agenda besar kenabian yang kini diwarisi seluruh umat Islam. Menjayakan usaha ini menuntut kita umat Islam untuk terbabit di dalam menjaya dan meningkatkan dakwah Islamiah secara berterusan.

Pada masa kini, dakwah Islamiah sedang memasuki era baru peralihan zaman. Umat Islam sedang berada di dalam era yang dikenali sebagai 'masyarakat terbuka'. Arus globalisasi dan revolusi dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat menjadikan masyarakat terbuka sebagai satu realiti.

Selaku umat Islam yang berpandangan positif, era peralihan zaman ini harus dijadikan peluang untuk kita meningkatkan usaha penyampaian ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat. Kita perlu meningkatkan seluruh saluran dan ruang penghebahan untuk memastikan ajaran agama Islam tersebar seterusnya membangunkan masyarakat berasaskan panduan dan pedoman cahaya al-Quran dan al-Hikmah.

Untuk tujuan itu, bagi memanfaatkan era baru ini, kita ingin mencadangkan beberapa daya usaha dakwah yang perlu diperkasakan:

# Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan usaha di dalam bidang dialog peradaban. Realiti masyarakat terbuka memberi peluang luas untuk kita berkecimpung dan berinteraksi dengan masyarakat dunia yang pelbagai. Usaha dakwah menerusi dialog memberi ruang untuk kita memahami realiti kehidupan yang pelbagai dan berkongsi jalan kebenaran dengan seluruh masyarakat dunia.

Usaha dialog yang aktif juga akan menyumbang di dalam mengikis gejala 'Islamophobia' – rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.

# Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan penguasaan di dalam bidang teknologi dakwah. Ini bagi membolehkan citra dakwah terjelma secara meluas di dalam pelbagai wajah baru yang dinamik. Penguasaan teknologi dakwah meliputi keperluan untuk usaha penyebaran Islam terhebah menerusi saluran komunikasi baru seperti informasi maya, seni elektronik dan imej bergerak.

Hal ini menuntut umat Islam dan pergerakan dakwah membudayakan amalan kreativiti dan inovasi di dalam usaha penyampaian ajaran Islam.

# Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan ajaran Islam di dalam pelbagai bidang. Hal ini amat penting bagi memastikan persoalan berkaitan dakwah dan ajaran Islam di abad ke-21 dapat dikupas dengan sempurna dan berkualiti sebagai panduan masyarakat mendepani cabaran kehidupan hari ini yang serba mencabar.

Ini menuntut umat Islam untuk meningkatkan usaha dalam bidang pengkajian ilmu secara ilmiah bagi membolehkan ajaran Islam dari sudut perundangan, ekonomi, politik dan kebudayaan sentiasa segar dari sudut falsafah dan amalannya sejajar dengan perkembangan zaman.

Usaha pemerkasaan tiga bidang dakwah ini adalah antara cabaran zaman umat Islam dan pergerakan dakwah semasa. Menangani cabaran ini menuntut kita umat Islam meningkatkan kualiti diri terutama di dalam bidang ilmu pengetahuan, keperibadian dan kepakaran.

Peningkatan kualiti diri umat Islam adalah asas. Ia akan dapat menyumbang di dalam membetulkan persepsi negatif sebahagian pandangan masyarakat dunia yang memandang ajaran agama Islam sebagai satu sumber kemunduran. Peningkatan ini secara langsung membantu mengubah persepsi negatif ini seterusnya membuktikan Islam bukan penghalang kemajuan di dalam segala bidang kehidupan.

wallahu'alam..



p/s: esok ana dijemput ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)..Buat Sadiqati2 UMT, tunggu ana disana ye..hehe..terutamanya jue dan aniza..rindu pada kalian..semoga ALLAH pertemukan kita kembali..^_^


-دعاء اونتق صديقتي-







Ya Allah…

Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman.
Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini.
Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…
Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan
hanyalah dititipkan suatu pesanan melalui seorang teman buatku.

Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku.
Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

Ya Allah…
Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan.
Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya,
kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah…
Ampunilah daku dan sahabatku
dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu
dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

Ya Allah…
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan.
Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya.
Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya.
Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya.
Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai
dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya
wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…
Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu
dan berubahnya kesejahteraanMu
dan mendadaknya seksaMu
dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu
tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan
dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah…
Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah.
Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya
dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya,
sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya.
Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya.
Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya
dan ampunkanlah dosa-dosanya.
Ya Allah,
aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga.
Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

Ya Allah…
Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan
dan apa yang aku perlihatkan,
maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya.
Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya.

Ya Allah,
aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi hatinya,
dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya
dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya.
Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.

Ya Allah…
Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran.
Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan.
Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya.
Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu
dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.

Ya Allah…
Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai,
jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai
dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.

Ya Allah…
Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau.
Hanya kepadaMu aku bertawakal.
Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agong.





-HISTERIA-



In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful..
.

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Sebelum ini ana pernah publish satu artikel tentang "HISTERIA"..Disebabkan ada permintaan untuk kongsikan sesuatu tentang "HISTERIA" jadi ana bawa entry ini ke hadapan..

Sebelum ini,kita kerap mendengar masalah histeria di sekolah luar bandar dan bandar,kan..?? Dan pada awal tahun ini sahaja, terdapat beberapa kes histeria di kolej ana..Dari segi psikologi, ia dikaitkan dengan tekanan. Kali ini ana nak kongsikan, apakah histeria daripada pandangan Islam dan bagaimanakah menangani masalah itu serta doa yang boleh diamalkan bagi mengelak masalah ini.
.??

HISTERIA atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai kerasukan sesuatu yang benar-benar wujud. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud:

"Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama saja seperti riba". Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi (perbuatan mengambil riba), maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

Dirasuk ditafsirkan oleh ulama, contohnya Ibn Kathir dalam tafsir al-Quran al-Azim bahawa pemakan riba tidak dapat berdiri dengan betul pada hari kiamat. Mereka akan berjalan terhuyung-hayang seperti orang kerasukan.

Sebagai keterangan lanjut yang berkaitan, dalam hadis sahih riwayat al-Hakim daripada Kharijah As-Shalt daripada Alaqah Sahar, dia berkata: "Pada zaman Nabi dulu, penduduk sebuah kampung pernah meminta tolong kepadaku mengubati seorang yang selalu ditimpa penyakit gila dan kerasukan di kalangan mereka. Orang lelaki ini diikat bagi mengelakkan dia menyusahkan orang lain.

"Alaqah akhirnya membacakan al-Fatihah untuk orang yang ditimpa musibah itu setiap hari, pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut sehingga dia sembuh dan dilepaskan daripada gangguan syaitan itu."

Merujuk bukti al-Quran dan hadis yang sangat banyak, ulama ahli Sunnah bersepakat mengatakan kerasukan syaitan benar-benar wujud. Ia satu bentuk penguasaan syaitan ke atas manusia di samping cara mempengaruhi yang lain.

Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud:

"Syaitan sudah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah."

Matlamat terakhir gangguan syaitan seperti digambarkan dalam surah al-A'raf ayat ke-17 bermaksud:

"Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

Bagi mengatasi masalah gangguan itu, cara paling berkesan terutama apabila berlaku kepada ramai, seseorang melaungkan azan. Nabi SAW menyatakan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:

"Apabila azan dilaungkan, syaitan bertempiaran lari sambil membunyikan kentutnya kerana tidak mahu mendengar suara azan".

Dalam hadis lain, rawatan yang sangat berkesan ialah membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Cara dicadangkan menurut hadis riwayat Abu Daud ialah membuat tiupan kepada pesakit dan mengulangi bacaan itu tiga kali atau lebih.

Bagi mengelak ditimpa gangguan syaitan yang pelbagai, kita perlu sentiasa zikir dan wirid sekurang-kurangnya selepas solat, sentiasa membaca al-Quran dan mengamalkan doa pilihan.

Sebagai contoh pembaca boleh merujuk kitab zikir nabi karangan al-Imam an-Nawawi yang sangat padat dengan amalan dan petua yang dianjurkan Baginda SAW. Nabi juga pernah mengalami gangguan syaitan akibat disihir oleh Yahudi Labid al-A'sam, tetapi Baginda diselamatkan Allah dengan amalan membaca al-Falaq dan an-Nas.

Sebagai wasiat yang penting daripada Nabi SAW seperti yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda:

"Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya."


Elak gangguan syaitan

#Membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

#Membuat tiupan kepada pesakit dan mengulangi bacaan di atas sebanyak tiga kali atau lebih.

#Zikir dan wirid sekurang-kurangnya selepas solat, sentiasa membaca al-Quran dan mengamalkan doa pilihan.

#Larang anak keluar ketika Maghrib dan tutup pintu rumah kerana syaitan bertebaran pada waktu itu.


wallahu'alam..