-TiGa jeNiS Sifat terCeLa PerLu DijauHi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


SALAH satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (riak). Ujub dapat diertikan sebagai 'menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain'. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain.

Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda:

“Tiga perkara yang dapat merosakkan, iaitu bakhil yang diturut; hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri (ujub).” - (Hadis Baihaqi)

Jenis ujub termasuklah:

# Bangga atau kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara merdu. Hal sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa juga yang dibanggakan itu adalah anugerah dan nikmat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan anugerah Allah itu pada tempatnya yang wajar lagi diredai-Nya.

# Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai. Sikap sedemikian perlu dijauhi dengan kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, ulama dan intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah:

“Dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit.” - (Surah al-Israa’: 85)

# Ada pula ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya).” - (Surah al-Hujurat: 13).

Sifat ini hendaklah dijauhi dan dihilangkan dari diri seseorang individu muslimin kerana ia boleh menjejaskan amal ibadat kita kepada Allah. Semoga dengan menjauhinya kita akan mendapat keredaan Allah di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

wallahu'alam..



sumber : risalah "syiar Islam"

-KeistiMeWaaN Haji AkBar-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Ulama mempunyai pendapat berbeza mengenai Haji Akbar. Ada yang mengatakan ia adalah hari wukuf kerana ia rukun terpenting dalam ibadat haji. Ada yang mengatakan hari ke-10 Zulhijjah kerana semua asas penting dalam haji sudah diselesaikan.

Imam Hasan Al-Basri ketika ditanya mengenai Haji Akbar menjawab: "Apa yang perlu ditanyakan lagi kerana hal ini berlaku pada tahun Abu Bakar dilantik Rasul SAW mengetuai rombongan menunaikan haji pada tahun ke-9 hijrah. Jawapan ini juga sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 3 bermaksud:

"Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin".


Menurut sejarah, ketika Haji Wada' 10 Hijrah, Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat dan esoknya hari ke-10 di Mina masih dalam rangka Haji Akbar. Jika Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat nescaya wukuf Abu Bakar pada tahun sebelumnya bukan hari Jumaat sedangkan pada musim haji berkenaan disebut dalam surah Taubah berkenaan.

Ibnu Kathir pula lebih cenderung kepada hari yang ke-10 berdasarkan sebuah hadis Abdullah Ibnu Umar bahawa Rasul SAW berdiri berhampiran Jamrah ketika Haji Wada' pada hari ke-10 lalu berkata, "Inilah dia Haji Akbar.'

Alasan kedua ialah hadis Abdul Rahman Bakrah yang menceritakan,

"Pada hari duduknya Rasul SAW di atas belakang unta dan bertanya: "Hari apakah ini? Kami semua diam kerana mungkin Baginda akan mengumumkan sesuatu nama yang baru buat hari itu". Lalu sabda Rasul SAW: "Bukankah hari ini yang bernama Haji Akbar? � (Hadis Bukhari).


Saidina Ali Abi talib pernah ditanya mengenai Haji Akbar, beliau menjawab: "Hari Nahar (hari ke-10)".

Jadi tidaklah dapat dipastikan mengenai Haji Akbar ini. Namun demikian ada ulama yang mengambil jalan tengah dengan memberi maksud Haji Akbar - iaitu 'Haji Besar', ibadat haji itu sendiri dengan wukuf di Arafah dan umrah 'haji kecil'. Ulama Tabi'in berpendapat 'Haji Akbar' ialah Haji Qiran (mengerjakan haji dan umrah serentak). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ialah hari ke-10 di Mina kerana melontar Jamrah dan menyembelih binatang.

Sufya As-Tsaury berkata, "Keseluruhan ibadat haji itu adalah Haji Akbar kerana ia juga disebut Yaumul Fath (hari kemenangan). Setengah ulama berpendapat bahawa haji pertama dilakukan dalam hidup seseorang adalah 'Haji Akbar' kerana ia adalah ibadat yang amat bermakna dalam hidupnya kerana mendapat keistimewaannya yang besar. Adapun wukuf hari Jumaat adalah sama ganjarannya dengan tujuh kali haji tidak ditemui hadisnya.

wallahu'alam..


Credit to -> Ustaz Zamanuddin Jusoh

-RafatH, FasiK, jiDaL jejaS KeSeMPurNaaN ibaDaH Haji-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


APAKAH yang dimaksudkan rafath, fasik dan jidal dalam ayat 197 surah al-Baqarah. .??

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197, maksudnya:

"(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang sudah mewajibkan dirinya (dengan niat untuk mengerjakan) ibadat haji, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji.Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui Allah SWT; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."


Ulama tafsir seperti Ibn Kathir dalam kitabnya sudah mentafsirkan rafath sebagai melakukan jimak dan perbuatan yang menuju kepadanya.

Dalam pandangan Ibn Abbas al-Rafath, merujuknya sebagai sebarang kelakuan yang membawa kepada jimak yang membabitkan kata-kata, tingkah laku sehinggakan kerlingan juga termasuk dalam kategori ini.

Fasiq merujuk kepada semua jenis perbuatan maksiat. Jidal pula ditafsirkan sebagai perselisihan pendapat dalam hal yang tidak berguna dan sia-sia, yang ditentukan Allah SWT kepada hamba-Nya.

Perdebatan yang dilarang bermaksud perselisihan yang akan menyebabkan pergaduhan, membawa mudarat atau menyebabkan ketenteraman terancam.

Bagaimanapun, perdebatan dengan cara yang baik untuk menjelaskan kebenaran agar diterima sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan adalah perdebatan yang dibenarkan dalam syariat Islam. Inilah perdebatan yang tidak dilarang ketika menunaikan haji.

Ketiga-tiga perkara berkenaan tidak membatalkan haji kecuali jimak yang dilakukan sebelum tahallul awal.

Namun, ketiga-tiganya iaitu al-rafath, fasik dan al-jidal akan mengurangkan pahala haji, mengurangkan iman dan melemahkannya.

Oleh itu, setiap orang yang sedang melakukan ibadah haji wajib menjauhi ketiga-tiga perkara tersebut jika ingin mendapat kesempurnaan haji dan umrahnya.

wallahu'alam..

-ULaMa pEnEntu jatuH BanGun PeraDaBaN MaNuSia-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini.

Jika ulama berperanan sebagaimana tanggungjawab nabi dan rasul, maka akan baiklah umat itu. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelek, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) para nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi dan rasul.” (Hadis Ibnu Adiy)

Ulama, seorang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya dan berupaya menggarapkan dan seterusnya mengembangkan ilmu itu bersesuaian dengan bidang kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam bidang ilmu keagamaan atau keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi rujukan utama umat manusia zaman berzaman.

Inilah ciri utama seorang ulama yang berwibawa dan berhemah tinggi dalam sebuah masyarakat Islam. Allah berfirman:

“Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (Ulul Albab).” (Surah Ali Imran: 7).


Seterusnya, ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan bukan ulama ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Seorang ulama adalah seorang yang cukup mantap imannya dan tebal takwanya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran.

Oleh kerana imannya yang bertapak kukuh dalam sudut jiwa itulah yang mendorongkan ulama itu untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana dia menginsafi bahawa bekalan ilmu saja belum memadai. Maka tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (Ulul Albab).” (Al-Baqarah: 197).


Dengan kemuliaan yang dianugerahi Allah kepada seorang ulama, maka dia mempunyai peranan yang cukup besar dalam membimbing dan memimpin hala tuju masyarakat dan negaranya ke arah keredaan Allah. Semakin kreatif seseorang ulama, maka semakin meningkatlah tamadun dan peradaban manusia dalam hidup ini.

Justeru, setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi. Jika di Malaysia, ulama merujuk kepada orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, kadi, imam dan ustaz lepasan institusi pengajian Islam.

Sehubungan itu, orang perseorangan mahupun jemaah tidak sewajarnya cepat melatah atau melenting dalam sesuatu isu yang diperdebatkan, terutama sekali membabitkan persoalan hal ehwal Islam. Apa saja isu yang berbangkit, serahkan saja kepada mereka yang ditauliahkan kerajaan dalam menyatakan persepsi sebenarnya agar dapat dijauhkan segala kekeliruan yang mungkin merenggangkan jalinan persaudaraan sesama Muslim.

wallahu'alam..

-AhLi SuNNah PeWariS GeNeraSi SaHaBat, TaBiiN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Rasulullah menyatakan al-Jamaah terselamat berbanding 71 golongan yang akan hancur


DARI sudut sejarah, tidak diketahui dengan tepat tarikh kemunculan mazhab Ahlal-Sunnah wal-Jamaah. Begitu juga tokoh yang mula memperkenalkan nama mazhab itu. Kemunculannya jauh berbeza daripada aliran Syiah dan Khawarij.

Kemunculan kedua-dua golongan itu bermotifkan politik terutama kepemimpinan umat Islam. Oleh itu, Syiah dan Khawarij boleh dikatakan dua parti siasah agama yang terawal lahir dalam sejarah umat Islam.

Menurut Ibnu Tamiyyah (wafat 728 Hijrah), Ahli Sunnah adalah mazhab sedia ada sejak dulu dan dikenali sebelum kemunculan Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad. Ia mazhab sahabat yang bersumber daripada Nabi SAW. Mereka bersepakat mengatakan ijmak sahabat adalah hujah, tetapi mereka berselisih pendapat mengenai ijmak generasi selepas sahabat.

Ibn Abbas menyebut istilah Ahl al-Sunnah ketika beliau mentafsirkan firman Allah yang maksudnya:

"(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang) menjadi hitam legam".


Dalam ayat itu, Ibn Abbas mentafsirkan muka orang yang putih berseri ialah Ahl al-Sunnah dan ulama, manakala muka hitam legam ialah ahli bidaah sesat.

Ahmad Hambal (wafat 241 Hijrah) pula menyatakan dalam mukadimah kitabnya al-Sunnah:

"Inilah mazhab ahli ilmu, ashab al-athar dan ahl al-sunnah yang berpegang teguh pada al-Sunnah yang dikenali jejak langkahnya serta menjadi ikutan umat bermula daripada sahabat Nabi SAW hingga ke hari ini."


Asas pengenalan kepada Ahl al-Sunnah boleh dilihat melalui keiltizaman mereka dengan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama mengatasi yang lain. Di samping itu, mereka memandang tinggi kepada generasi sahabat, tabiin dan tokoh ulama hadis kerana melalui jaluran ini ilmu agama dapat dipelajari serta diyakini.

Ulama berusaha mencari siapakah yang dimaksudkan al-Jamaah iaitu golongan yang terselamat seperti dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Daripada Anas Malik bahawa Rasulullah bersabda bani Israel kepada 71 golongan, daripada itu 70 golongan hancur binasa dan satu golongan lagi terselamat.

Sesungguhnya umatku juga akan berpecah kepada 72 golongan dan 71 golongan akan hancur binasa. Satu golongan lagi akan terselamat". Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah golongan yang terselamat itu? Baginda menjawab: Al-Jama'ah, al-Jamaah. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Secara umum pendapat ulama berhubung al-Jamaah seperti berikut:

# Golongan teramai (al-Sawad al-Azam) daripada umat Islam

Ini berdasarkan sabda Rasulullah maksudnya:

"Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-Sawad al-A'zam, yang bermaksud sekumpulan majoriti orang yang berhimpun mentaati pemerintah dan menurut jalan yang lurus."

Berdasarkan kenyataan ini, termasuk dalam pengertian al-Jamaah ialah golongan mujahid umat, ulama dan pendukung syariat yang beramal dengannya. Sesiapa saja yang keluar daripada jemaah, dia ialah golongan menyeleweng yang terjatuh dalam perangkap syaitan.

Begitu juga ahli bidaah kerana amalan mereka bercanggah dengan amalan golongan terdahulu daripada umat ini. Oleh itu, dalam keadaan apa sekalipun mereka tidak termasuk dalam al-Sawad al-Azam.

# Golongan ahli ilmu, fekah dan hadis kalangan ulama mujtahidin

Allah menjadikan imam mujtahid sebagai hujah terhadap makhluk yang menerima ajaran mereka dalam urusan agama. Merekalah golongan yang dimaksudkan melalui sabda Rasulullah SAW maksudnya:

"Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya".

# Sahabat Rasulullah secara khusus tidak termasuk generasi selepas mereka

Mereka menegakkan tiang agama dan meneguhkan sendinya. Mereka juga tidak pernah berhimpun dalam perkara sesat.

Pendapat ini juga menepati riwayat al-Jamaah yang disebutkan Rasulullah dalam hadis bermaksud:

"Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan juga sahabatku."

Dr Hamka pula berpendapat Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah orang yang mengikuti sunnah Nabi dan ulama mujtahid yang mengeluarkan pendapat bebas sebagai hasil ijtihadnya. Orang yang menganut mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali dalam soal furuk ialah golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, sedangkan Syiah, Khawarij dan Muktazilah tidak termasuk di dalamnya.

Demikian juga pendukung bidaah yang menambah, apatah lagi mengurangi ajaran Nabi Muhammad SAW tidak termasuk dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dalam ilmu kalam, mazhab al-Asyari dan al-Maturidi ialah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Ringkasnya, Ahli Sunnah wa al-Jamaah adalah generasi sahabat dan tabiin yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

wallahu'alam..

- IstiQaMaH, istiQaraH DaN iStigHFar -


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Muslim sejati akan sentiasa mengingati Pencipta sekalipun berdepan dengan cabaran


UNTUK berdepan cabaran hidup, kita perlu memiliki pegangan dan amalan iaitu istiqamah, istiqarah dan istighfar.

١- Istiqamah dapat ditakrifkan sebagai: "kukuh dalam akidah dan konsisten dalam beribadah". Pentingnya istiqamah ini dapat dilihat daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud,

dari Abi Sufyan bin Abdullah berkata, " Aku telah berkata, 'Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku pesan dalam Islam sehingga aku tidak perlu bertanya kepada orang lain selain engkau'. Nabi menjawab: "Katakanlah aku telah beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah'." (Hadis Riwayat Muslim).

Orang yang istiqamah selalu kukuh dalam akidah dan tidak goyang keimanan dalam menghadapi hidupnya. Walaupun ia dihadapkan dengan persoalan hidup, ibadatnya tidak ikut surut. Ia tetap memperhatikan haram halal walaupun sakunya kering atau tebal. Sujud pantang berhenti, sekalipun dicaci dipuji. Ia hidup dalam kenikmatan, namun tidak tergoda melakukan maksiat.

Orang seperti ini dipuji Allah SWT melalui firman yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang mengatakan: 'Tuhan kami ialah Allah' kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): 'Janganlah kamu rasa takut, dan janganlah kamu rasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan Allah kepadamu'"
( Fusshilat: 30)


٢- Istiqarah pula dapat didefinisikan sebagai, selalu mohon petunjuk Allah SWT dalam setiap langkah dan penuh pertimbangan dalam setiap keputusan.

Setiap orang mempunyai kebebasan untuk berbicara dan melakukan suatu perbuatan. Namun, menurut Islam, tidak ada kebebasan tanpa batas, dan batas itu adalah aturan agama. Maka seorang Muslim yang benar, selalu berfikir berkali-kali sebelum melakukan tindakan atau mengucapkan sebuah ucapan serta ia selalu mohon petunjuk kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda,

"Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka berkatalah yang baik atau diamlah. (Hadis Al-Bukhari dan Muslim).

Orang bijak selalu berkata, berfikirlah hari ini dan berbicaralah esok hari.

Kalau ucapan itu tidak baik apalagi sampai menyakitkan orang lain, maka tahanlah, jangan diucapkan, sekalipun menahan ucapan itu terasa sakit. Tapi kalau ucapan itu benar dan baik maka katakanlah, jangan ditahan sebab lidah kita menjadi lemas untuk meneriakkan kebenaran dan keadilan serta menegakkan amal makruf nahi mungkar.

Mengenai kebebasan ini, malaikat Jibril pernah datang kepada Muhammad SAW untuk memberikan rambu-rambu kehidupan. Baginda bersabda yang bermaksud,

"Jibril datang kepadaku dan berkata: 'Hai Muhammad hiduplah sesukamu, tapi sesungguhnya engkau suatu saat akan mati. Cintailah apa yang engkau sukai tapi engkau suatu saat pasti berpisah juga dan lakukanlah apa yang engkau inginkan, sesungguhnya semua itu ada balasannya,'" (Hadis Baihaqi dari Jabir).

Sabda Nabi SAW ini semakin penting untuk diresapi ketika akhir-akhir ini dengan dalih kebebasan. Banyak orang berbicara tanpa logik dan data yang benar dan bertindak sesuka hati tanpa mengendahkan etika agama.

Kita memasyarakatkan istiqarah dalam segala langkah kita, agar kita benar-benar bertindak secara benar dan tidak menimbulkan kekecewaan pada kemudian hari.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak akan rugi orang yang beristiqarah, tidak akan kecewa orang yang bermusyawarah dan tidak akan miskin orang yang hidupnya hemat. (Hadis Thabrani dari Anas)

٣- Istighfar pula dapat diertikan sebagai bermuhasabah diri dan mohon ampun kepada Allah SWT. Setiap orang pernah melakukan kesalahan, sama ada kesalahan individu atau kesalahan sebagai sebuah bangsa. Setiap kesalahan dan dosa itu sebenarnya penyakit yang merosak kehidupan kita, ia harus diubati.

Banyak persoalan besar yang kita hadapi akhir-akhir ini adalah akibat kesalahan kita sendiri. Muhasabah diri dan pohonlah keampunan kepada Allah SWT. Buatlah pembetulan untuk masa depan yang lebih cerah dengan penuh keredaan Allah SWT.

Dalam persoalan ekonomi, jika rezeki Allah SWT tidak sampai kepada kita disebabkan kita malas, maka yang perlu diubati adalah sifat malas itu. Kita tidak boleh menjadi umat pemalas. Malas adalah sebahagian musuh kita.

Namun, ada kalanya kehidupan sosial ekonomi sebuah bangsa yang mengalami kesulitan. Kesulitan itu disebabkan dosa masa lalu yang bertompok dan belum bertaubat darinya. Jika itu penyebabnya, maka satu-satunya ubat adalah beristighfar dan bertaubat.

Firman Allah SWT yang mengisahkan seruan Nabi Hud kepada kaumnya yang bermaksud,

"Dan (Hud) berkata, hai kaumku, mohonlah ampun kepada tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa" (Hud: 52).



wallahu'alam..

-GaLaKan inFaQ-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


SUATU ketika Abdul Rahman bin Auf menghadap Rasulullah SAW sambil membawa 4,000 dirham untuk disedekahkan. Abdul Rahman berkata: "Aku mempunyai 8,000 dirham, aku simpan 4,000 dirham daripadanya untuk diriku dan keluarga, 4,000 lagi aku pinjamkan untuk Tuhanku".

Lantas Rasulullah SAW bersabda: "Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan dan apa yang kamu berikan."

Firman Allah bermaksud:

"Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; setiap tangkai mengandungi 100 biji dan ingatlah setiap tangkai pula mengandungi 100 biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuannya."
(surah al Baqarah: 261)

Ayat ini diturunkan dengan memfokuskan kelebihan dan ganjaran infaq di jalan Allah. Ia boleh dianggap amal yang bakal menjadi pertimbangan pada hari kebangkitan nanti.

Ada banyak kupasan kebaktian yang boleh dikategorikan 'pada jalan Allah' seperti disebutkan dalam ayat berkenaan antaranya menyebarkan ilmu, usaha membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit.

Tahap tertinggi ialah jihad memartabatkan kalimah Allah (agama Islam). Sesiapa yang berjihad selepas mengenal pasti dalil seperti ditunjukkan Nabi SAW, ia akan mendapat ganjaran besar.

Al-Quran berkali-kali menggalakkan melakukan infaq kerana ia wasilah bagi menghimpun kekayaan dan menjamin kesenangan untuk semua. Ia satu-satunya cara untuk memelihara kekuatan dan kemuliaan umat, di samping mengalahkan musuh.

Jika umat bakhil, pasti dicengkam kehinaan dan kemelesetan. Ibn Umar berkata: "Tatkala ayat di atas diturunkan, Rasulullah SAW bersabda: " Ya Allah, tambahkanlah untuk umatku."

Susulan itu diturunkan firman Allah bermaksud:

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda banyaknya? (surah al Baqarah: 245)


Infaq iaitu mengeluarkan harta pada jalan kebajikan mempunyai kedudukan dan peranan yang penting dalam sistem ekonomi, ia termasuk zakat, sedekah dan perbelanjaan untuk jalan kebajikan.

Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh dan melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional (seperti di YaPEIM) dan didukung semua lapisan masyarakat berdasarkan tahap keupayaan masing-masing, dapat mewujudkan dana besar serta boleh berperanan lebih berkesan bagi membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.

Pelaksanaan Program Amal Jariah berdasarkan tafsiran yang luas, memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat di samping mempamerkan keindahan Islam sebenar.

Firman Allah bermaksud:

"Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab suci, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa."


Infaq di jalan Allah tanpa mengungkit dan menyakiti si penerima menjadi sebab penerimaan Allah seperti Rasulullah SAW bersetuju dengan Uthman yang meletakkan 1,000 dirham di depan Baginda untuk tujuan membeli kelengkapan perang Tabuk.

Allah memberikan ganjaran infaq di jalan-Nya dengan tiga perkara iaitu jaminan syurga, menghilangkan rasa takut selepas mati dan menghilangkan rasa sedih atau kemurungan atas apa yang berlaku termasuk musibah.

Allah berfirman:

"Mereka mendapat pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (surah al-Baqarah: 262)

Wallahu'alam..

-TuNtutaN KeMaafaN SebeLuM ke taNaH SuCi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Haji ialah satu ibadat penting dan Rukun Islam kelima. Rukun bermaksud tiang, tanpanya bangunan tidak mampu dibangunkan. Rukun ini diwajibkan ke atas setiap Muslim yang merdeka, baligh dan berakal. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat ke-97 bermaksud:

"Dan Allah SWT mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."

Dalam ayat ke 27- 28 surah al-Hajj, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, menunggang berjenis unta kurus dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah SWT, pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang korban itu dan berilah makan kepada orang susah, fakir miskin."


Perenggan terakhir ayat ke-28 itu menunjukkan bahawa antara hikmah ibadat haji ialah memperbaiki hubungan dengan manusia iaitu membantu golongan yang susah dan fakir miskin.

Sudah menjadi suatu amalan masyarakat negara kita untuk bermaafan sebelum ke Tanah Suci. Ini disebabkan mind-set yang sedia ada ditanam dalam diri setiap individu bahawa perjalanan mengerjakan haji ini mengambil masa lama dan mencabar. Ada juga berlaku kematian ketika dalam perjalanan dan waktu mengerjakan haji.

Di samping itu, masyarakat Melayu yang kaya dengan adab sopan kerap mengadakan kenduri disertakan dengan doa agar selamat pergi dan balik dari Tanah Suci.

Pada hakikatnya, memohon kemaafan dituntut Islam. Perkara ini ditegaskan dalam banyak firman Allah, contohnya dalam ayat ke-134 surah Ali Imran menceritakan keutamaan kemaafan. Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang menahan kemarahannya dan orang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah SWT mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik."


Banyak hadis menunjukkan kasih sayang ialah prasyarat melayakkan seseorang menjadi orang beriman dan sekali gus kunci ke syurga. Penerimaan taubat nasuha juga disyaratkan ada kemaafan daripada pihak berkenaan. Perkara ini diperjelaskan ulama Islam, contohnya an-Nawawi dalam Riyadhus Salihin menerusi bab taubat. Imam Ghazali menjelaskan dalam Ihya 'Ulumiddin bahawa ada kesilapan tidak perlu disampaikan kepada pihak terbabit jika ia akan mewujudkan suatu yang tidak diingini.

Jadi di sini, ada pengecualian memohon kemaafan. Dalam konteks ini, memadailah baginya memohon keampunan Allah SWT terhadap kesalahan pihak itu, dan banyakkan bersedekah untuknya serta mendoakan baginya.

Tidak ada sebarang nas yang menunjukkan Nabi SAW melakukan perkara seperti ini. Cuma yang dapat dilihat dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sebelum berpisah ialah Nabi mengucapkan kepada ahli keluarga dan sahabat dengan kata:

"Aku tinggalkan kamu semua di bawah penjagaan Allah SWT yang tidak akan luput sesuatu ditinggalkan di sisi-Nya."
(Ibn Majah 2825, Sunan al-Nasaeiy No 10342).


Jadi kesimpulannya, petunjuk yang terbaik yang wajar kita amalkan ialah amalan Nabi SAW tanpa menafikan kepentingan bermaaf-maafan itu sendiri. Mengamalkan sunnah Nabi sebelum berpisah seperti hadis di atas lebih utama diamalkan, namun memohon kemaafan selepas melakukan kesilapan juga wajib dilakukan. Justeru, bagi yang akan melaksanakan ibadat haji secara khasnya dan yang akan bermusafir secara umumnya, lakukan doa Nabi seperti yang di atas, di samping memohon ampun dan maaf pada pihak yang kita ada melakukan kesalahan padanya.

Bagi pihak yang sudah meninggal dunia sedangkan ada haknya yang belum kita tunaikan, kita masih boleh melakukan salah satu perkara di bawah:

١- Beristighfar kepada Allah SWT untuknya.

٢- Melakukan sedekah lalu meniatkan pahala untuk beliau

٣- Berdoa kepada Allah SWT untuknya

٤- Menjalinkan hubungan dengan anggota kerabatnya dengan cara terbaik

٥- Membantu ahli keluarganya yang menghadapi kesusahan

Apa saja yang dilakukan adalah kebaikan sebenarnya dinilai oleh Allah SWT yang berfirman dalam ayat ke 197 surah al-Baqarah yang bermaksud :

"Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

Wallahu'alam..

-ZuLhijaH buLaN saHut sEruaN iLahi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


SEMPENA 9 Zulhijah, bulan kemuncak pelaksanaan ibadat haji, tetamu Allah beramai-ramai wukuf di Arafah. Ada beberapa hikmat mengerjakan ibadat haji sama ada bagi individu, masyarakat dan negara. Antaranya ialah:

١- Mengerjakan haji mendapat banyak ganjaran dan keampunan Allah

Sabda Baginda Rasulullah SAW,

“Antara umrah pertama dengan kedua penghapusan dosa (yang dilakukan antara keduanya) dan haji mabrur tiada pahala kecuali syurga.”
(Riwayat Al Bukhari)


٢- Menjalin dan menguatkan ikatan persahabatan (ukhuwah Islamiah)

Ibadah ini membuka ruang untuk berkenal, bertukar pendapat membincangkan mengenai pelbagai masalah dihadapi umat Islam seluruh dunia.

٣- Menambah pengalaman dan meluaskan pengetahuan

Jemaah berpeluang melihat tempat bersejarah dan melihat serta berkenalan dengan saudara Islam yang datang dari pelbagai negara, bangsa dan corak kebudayaan.

٤- Menanam keinsafan

Ketika mengerjakan ibadat haji semua orang sama dan memakai pakaian yang serupa pula. Tidak ada beza antara rakyat, orang biasa, orang berpangkat dan antara orang kaya dan miskin.

٥- Melatih diri bersabar, berani dan tabah hati

Hal ini terangkum dalam talbiah Rasulullah:

“Aku datang (memenuhi panggilan-Mu), ya Allah, aku datang. Aku datang tiada sekutu bagi-Mu, aku datang. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan (kekuasaan) milik-Mu tiada sekutu bagi-Mu” (Riwayat Al Bukhari)


Jelaslah, Zulhijah adalah bulan menyahut panggilan Ilahi dan menjalin persaudaraan sejagat. Allah memilih 10 hari pertama Zulhijjah dengan mentakdirkan ada hari Tarwiyyah (hari kelapan), hari Arafah (hari kesembilan) dan Nahar (hari ke-10) yakni disunatkan berkorban, talbiah, haji dan ibadah lain.

Pada hari pertama hingga 10 Zulhijah, mempunyai kelebihan tersendiri. Dalam hal ini, Ibnu Abbas meriwayatkan hadis Rasulullah sabdanya yang bermaksud:

“Hari Allah mengampunkan Nabi Adam adalah hari pertama Zulhijah. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah mengampunkan dosanya.

“Pada hari kedua, Allah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkan baginda daripada perut ikan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, pahalanya seperti orang beribadah kepada Allah Taala selama setahun serta tidak menderhaka Allah dalam ibadatnya meskipun sekadar sekelip mata.

“Pada hari ketiga, Allah mengabulkan doa Nabi Zakaria. Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.

“Pada hari keempat, Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah menghapuskan kesusahannya dan kefakirannya. Di samping itu, pada hari kiamat akan duduk bersama orang yang baik dan mulia.”


Hari Raya Haji mempunyai keistimewaan yang harus diperbesarkan umat Islam. Ia bertujuan mengingati dan mengenang semula serta mengambil iktibar daripada pengorbanan tiga manusia agung yang harus dicontohi setiap lapisan masyarakat, ibu bapa, remaja dan juga pemimpin bagi membina sahsiah dan kecemerlangan dalam kehidupan.

Tiga manusia agung itu ialah Nabi Ibrahim AS yang berjiwa kebal dan kental serta mempunyai cita-cita unggul.

Kedua, Hajar sebagai isteri salihah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang, serta mempunyai kesabaran yang luar biasa.

Ketiga, Nabi Ismail sebagai anak salih yang berjiwa takwa, tawakal sehingga sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Demikianlah kisah perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Kisah itu perlu dijadikan iktibar demi meniupkan semangat kesedaran, tanggungjawab dan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah SWT.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS sangat besar iaitu dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah dan men-jadikannya kota suci umat Islam yang penting.

wallahu'alam..

-JaNgaN BerTeLaGah-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Konflik yang dihadapi perlu ditangani secara berhemah demi kepentingan maruah Islam


PERBEZAAN pandangan serta pendapat mengenai sesuatu isu bukan perkara baru yang membabitkan ilmuwan Islam. Bagaimanapun sikap berkeras untuk tidak menyelesaikan masalah sehingga menimbulkan konflik berterusan. Ia amat mengecewakan kerana turut mengheret penyokong masing-masing, yang berakhir dengan kata-mengata, rendah-merendah dan jatuh-menjatuhkan sesama Islam.

Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda,

"Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.' (Hadis At-Tirmizi)

Tambah malang lagi apabila isu membabitkan pertelingkahan sesama Islam dibesar-besarkan tanpa ikhtiar untuk meredakannya. Cabar mencabar sebagai medan menunjukkan kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam Islam. Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi wasiat kepada umat Islam melalui pesannya, "Jangan memperbanyak perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan"

Bagi mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada sebelum berkata-kata, apatah lagi cabar-mencabar. Firman Allah yang bermaksud,

"Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat :11)


Agama amat memberi perhatian dalam aspek pertuturan hinggakan perkataan yang keluar daripada lidah diperhalusi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang yang mendengarnya. Apatah lagi perkataan yang terkeluar itu berupa sangkaan dan tohmahan yang gagal dibuktikan akan kebenarannya.

Allah berfirman yang bermaksud,

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' (Surah al-Hujurat: 12)


Sementara itu Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan mereka yang sering berdebat dan bertelingkah supaya "seboleh-bolehnya tinggalkan perdebatan kerana ia boleh membawa kepada riak, hasad, takbur, ujub dan sebagainya. Namun jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan, maka hendaklah ikhlas niat di hati bagi menzahirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan melalui dua tanda iaitu pertamanya, kamu tidak membezakan sama ada kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau lidah lawan debatmu. Keduanya, kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.

Dalam isu berdebat dan bertelingkah ini, didapati bahawa mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud,

"Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Surah Az-Zukhruf: 58)


Menjadi seorang Muslim yang baik bukan saja terletak pada keupayaan membaiki diri sendiri bahkan berupaya mengukuhkan ummah melalui anjuran perdamaian seandainya berlaku sebarang pertelingkahan. Apatah lagi kalau ia membabitkan tokoh ulama dan ilmuan agama. Barangkali ramai di kalangan kita yang membiarkan pertelingkahan yang berlaku sesama kita atas dasar seronok untuk melihat pertarungan hujah tetapi tidak berupaya melepasi garisan bahaya perpecahan yang sedia menunggu.

Justeru, menangani konflik yang berlaku di kalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap agama. Namun begitu kita banyak diajar dan dididik oleh agama akan cara-cara menangani konflik kalau ia berlaku. Islam menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani sebarang konflik peribadi atau kumpulan. Jawapannya dengan cara mendamaikan mereka secara adil demi maruah dan kepentingan agama mendahului pertembungan peribadi.

wallahu'alam..