In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
HANYA tinggal beberapa hari lagi sebelum kita diberi keizinan Allah untuk bertemu Ramadan al-Mubarak yang mewajibkan untuk kita melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa. Allah berfirman bermaksud:
Ada beberapa peringkat harus diberi perhatian supaya termasuk dalam golongan puasa terbaik. Ini diingatkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya bermaksud:
Peringatan ini jelas menunjukkan kita perlu berpuasa seperti dikehendaki Islam supaya mendapat balasan Allah seterusnya menjadikan kita orang bertakwa.
Puasa peringkat pertama, puasa orang awam yang sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan persetubuhan ketika siang. Namun pancaindera lain seperti mata, telinga, tangan, kaki, mulut, pemikiran dan lebih penting hati tidak dipelihara malah berlipat ganda melakukan perkara negatif yang mengurangkan pahala.
Puasa peringkat kedua ialah puasa ahlul khusus iaitu mereka menahan diri daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga anggota zahir lain daripada perbuatan yang keji. Namun mereka lalai mengingati Allah. Jasad saja yang berpuasa tetapi unsur terpenting iaitu hati mereka abaikan sehingga terus alpa terhadap Allah.
Puasa peringkat ketiga dan terbaik ialah puasa ahli khusus/ahlul ma’rifah iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati supaya tidak lalai mengingati Allah. Segala amalan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Inilah martabat ibadah puasa nabi dan sidikin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Konsep asas Allah mewajibkan kita berpuasa ialah supaya dapat menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Menerusi puasa, beberapa panduan serta larangan ketika melaksanakan ibadah melahirkan rasa syukur kepada Allah, sifat kasih sayang sesama insan, perasaan yang mendorong kita saling membantu lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan perhatian.
Puasa sempurna dapat melahirkan insan muttaqi iaitu modal insan yang amat bernilai dan mampu berkhidmat untuk agama Allah dengan penuh penghayatan dan mereka adalah nukleus bagi pembangunan mapan ummah.
Inilah golongan yang berjaya dilahirkan Muhammad SAW iaitu sahabat. Sifat serta kriteria sahabat dulu semakin terhakis kerana kehidupan hari ini berdepan pelbagai cabaran. Ada yang gugur dengan percubaan dan ada pula yang berusaha gigih menghadapinya. Ketibaan Ramadan kali ini adalah kesempatan terbaik untuk berusaha menggilap kembali semangat serta kesungguhan yang tertanam kukuh dan jitu dalam jiwa dan sanubari sahabat Nabi SAW.
Kadangkala sikap menjadi penghalang daripada menjiwai tujuan sebenar berpuasa. Sikap sebahagian umat Islam pada Ramadan ada yang bersungguh-sungguh beramal dan ada yang lalai. Masih ada antara kita yang berpuasa sebagai adat bukan ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredaan Allah tidak menjadi pendorong untuk melaksanakan ibadah.
Ada yang berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menghalang daripada melakukan perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu atau berkata lucah. Ada yang mengambil ringan sahur sehingga meninggalkannya sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan sahur. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggal solat Subuh.
Ibadat solat fardu dan sunat hanya dilakukan pada Ramadan serta bersungguh-sungguh mengerjakan tarawih dan witir tetapi meninggalkan solat fardu. Bersungguh dalam pelaksanaan ibadat pada Ramadan termasuk membaca al-Quran untuk diri sendiri, tetapi mengabaikan pembabitan ahli keluarga untuk sama beribadah.
Terlalu membandingkan antara imam solat tarawih sehingga sampai pada peringkat mengumpat dan menghina. Bersungguh-sungguh menghidupkan ibadat hanya pada awal sehingga pertengahan Ramadan sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan 10 hari terakhir antaranya lailatul qadar.
Tilawah al-Quran hanya pada Ramadan dan berakhir bersama Ramadan. Rajin membaca al-Quran, tetapi tidak berusaha memahami dan menghayati kandungannya sebagai panduan kehidupan seharian. Bersungguh-sungguh melaksanakan puasa, namun mengabaikan kewajipan lain seperti solat, menunaikan haji, menutup aurat, menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Tidak bersimpati dan mengambil berat terhadap saudara Islam yang mengalami penderitaan, kesusahan, kelaparan serta terus dengan sifat bakhil dan kedekut.
Mensia-siakan fadilat atau kelebihan iktikaf di masjid terutama pada 10 akhir Ramadan. Masa dihabiskan membuat persiapan 1 Syawal. Tidak salah untuk membuat persiapan tetapi kita terlepas satu masa dan ketika yang afdal melakukan ibadat.
Ramadan ialah proses membentuk mukmin muttaqi iaitu insan paling mulia di sisi Allah. Kemuliaan ini tidak diperoleh melainkan dengan usaha dan mujahadah yang tinggi.
wallahualam..
0 leave ur comment here:
Post a Comment