-IsLam GariS KaeDah BerKeSaN ataSi PenuLaRan WabaK-

PENYAKIT yang menjangkiti penduduk dunia hari ini adalah qada’ dan qadar Allah yang perlu dimengerti dan difahami individu Muslim. Islam mengajar umatnya menerima dengan lapang dada musibah yang menimpa dengan keinsafan dan kesedaran.

Namun kita tidak boleh berserah diri semata-mata kepada takdir tanpa usaha diiringi dengan doa, sifat sabar serta rimbunan taubat kepada Allah atas segala kesilapan yang tidak tahu mensyukuri nikmat akal kurniaan Allah.

Penyakit yang menyerang manusia tidak dapat dinafikan berpunca atas kesilapan membuat percaturan hidup tanpa landasan syariat ditetapkan Allah. Kesalahan itu membuka jalan bagi manusia menilai semula cara hidup mereka dengan menggunakan Islam sebagai kayu ukur dan bermuhasabah kenapakah penyakit datang silih berganti ‘mengganggu’ hidup manusia.

Di samping itu, sebagai manusia yang dikurniakan kecerdasan dan kewarasan akal sewajarnya menggunakan ‘kesempatan’ ditimpa penyakit, melakukan pelbagai penyelidikan secara efektif dan proaktif mengenai kaedah rawatan seterusnya menghasilkan ubat atau vaksin menghadapi ancaman penyakit yang tidak dapat digambarkan keadaan pada masa hadapan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155- 157)

Sewajarnya umat Islam merenung kembali kisah daripada Abdullah bin Abbas: “Pada suatu hari tatkala Saidina Umar bin Khattab pergi ke Syam, apabila sampai di Sargha, datang pemimpin tentera bersama Abu Ubaidah bin Jarrah dan sahabatnya memberitahu Umar mengenai wabak taun yang sedang melanda kawasan itu.

Lantas Saidina Umar berkata: Panggil ke sini orang Muhajirin pertama (berhijrah) (dengan tujuan mendapatkan pendapat dan berbincang. Aku memanggil mereka, lalu Umar bermesyuarat dengan mereka.

Umar berkata: Wabak penyakit berjangkit sedang melanda kawasan ini. Jadi apa pendapat tuan-tuan mengenai perkara ini? Seorang demi seorang memberi pendapat. Kata seorang daripada mereka: Tuan sudah keluar untuk satu tugas penting, adalah tidak layak tuan meninggalkannya.

Kemudian berkata pula sahabat lain: Tuan datang dengan membawa angkatan besar dan angkatan tuan itu pula dari sahabat Rasulullah SAW, dan kami fikir adalah tidak patut tuan menghadapkan mereka kepada wabak penyakit ini.

Apabila Umar mendengar pendapat orang Muhajirin, beliau memerintahkan dipanggil orang Ansar. Apabila mereka semua berkumpul, Umar bertanya soalan sama dan menerima jawapan sama seperti diberi orang Muhajirin.

Lalu Umar menyuruh mereka berundur. Selepas itu Umar memanggil pula orang Quraisy yang berhijrah sebelum penaklukan Makkah. Apabila tiba orang Quraisy itu, Umar pun bertanya pendapat seperti ditanya pada orang Muhajirin dan Ansar. Ternyata jawapan diterima Umar sama.

Mereka berkata kepada Umar: Pada pendapat kami, adalah lebih baik tuan membawa angkatan tuan itu balik dari menghadapkan mereka kepada wabak penyakit. Umar pun bersetuju meninggalkan tempat itu sambil memberitahu sahabatnya: Oleh sebab kita akan bertolak esok pagi, maka aku harap dapatlah kita bersiap sedia untuk pulang.

Sebaik saja Umar habis berkata, Abu Ubaidah bin Jarrah pun bertanya: Apakah kita hendak lari dari qadar Allah? Oleh kerana pertanyaan itu daripada Abu Ubaidah, maka Umar tidak mahu membantah dan sebaliknya menjawab: Ya, kita lari dari qadar Allah.

Sebagai penjelasan, Saidina Umar membuat analogi dengan contoh mudah, katanya: Apa akan kamu buat jika kamu mempunyai seekor unta, lalu kamu sampai pada suatu lembah yang ada dua keadaan iaitu satu subur dan satu kering?

Sudah tentu kamu akan memilih tempat subur. Bukankah kamu mengembala dengan qadar Allah dan jika kamu memilih untuk mengembala di tempat kering, kamu juga mengembala dengan Allah.

Sebaik saja Umar habis menerangkan kepada Abu Ubaidah, tiba-tiba datang Abdul Rahman bin Auf, lalu berkata: Aku faham masalah ini dan aku sendiri pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu mendengar ada wabak penyakit berjangkit merebak di negeri itu, maka janganlah kamu masuk ke negeri itu, dan jika wabak terjadi di negeri kamu, maka janganlah kamu keluar dari negeri itu kerana hendak melarikan diri.

Selepas mendengar apa diperkatakan Abdul Rahman bin Auf itu, Umar pun mengucapkan puji-pujian kepada Allah kerana memberi petunjuk kepadanya. Selepas itu Umar dan orangnya meninggalkan tempat itu.”

Antara pengajaran daripada kisah itu ialah pencegahan daripada penyebaran penyakit boleh dilakukan dengan cara kuarantin seperti disebut Baginda SAW dan dipraktikkan Saidina Umar.

Inilah langkah paling besar impaknya dan berkesan dalam kaedah perubatan umat terdahulu dan umat zaman moden ini bagi menghadapi ancaman penularan wabak penyakit. Penjagaan kesihatan baik amat dituntut di samping mengamalkan kesederhanaan dalam aktiviti kehidupan.

Setiap individu mestilah bertanggungjawab terhadap negara didiaminya dan tidak wajar menimbulkan suasana panik yang boleh mengkucar-kacirkan keadaan dengan menyampaikan maklumat salah.

Setiap permasalahan hendaklah diselesaikan melalui perbincangan serta percambahan idea melalui saluran betul supaya tidak menggugat kestabilan negara.

Setiap penyakit ada ubatnya. Umat Islam perlu mempertingkatkan usaha meneroka bidang perubatan untuk manusia sejagat.

Qada’ dan qadar adalah ketentuan Allah yang mempunyai hikmah besar dalam mengembalikan hati manusia ingatkan Allah dalam apa juga keadaan sama ada ketika senang atau susah, sihat atau sakit.

Umat Islam hendaklah sedar dan insaf penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti tidak menjaga kebersihan diri.

Daripada Abdullah bin Umar, katanya:

“Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang atau musafir.”

Sejak itu, Ibn Umar selalu berkata:

“Apabila engkau berada pada waktu petang janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi dan apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau tunggu datangnya petang dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan masa hidupmu berbekal untuk matimu.” (Hadith riwayat al-Bukhari)


0 leave ur comment here: