-SeDekaH UntuK Si PenCuri, PeLaCur DaN BakHiL-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Pernah dengar tak kisah seorang pemuda dermawan yang suka memberikan sedekah kepada sesiapa yang dia rasa memerlukan pertolongan dan dalam kesusahan..?? Pasti ada sahabat/sahabiah yang telah membaca tentang kisah ini kan..Bagi yang tidak tahu tapi nak tahu kisah tentang apa, ikuti la peristiwa ini yang berlaku pada zaman sahabat dulu..jangan lupa, ambil la ibrah daripadanya..


***************************


***************************

Pada suatu hari pemuda dermawan ingin memberikan sedekahnya namun tidak mahu orang yang menerima sedekahnya kenal dengannya. Pada malamnya, dia keluar membawa seuncang wang emas lalu berjalan mencari orang miskin. Selepas lama berjalan, dia bertemu seorang lelaki tidak dikenali, lalu terus diberikan wang berkenaan dan beredar tanpa mengenali lelaki itu.

Keesokan paginya, penduduk gempar kerana orang yang menerima sedekah itu adalah pencuri. Akhirnya, berita itu sampai kepada lelaki berkenaan, ia menyebabkan beliau susah hati kerana memberi sedekahnya kepada orang tidak sepatutnya menerima dan bimbang sedekahnya tidak diterima Allah.

Pada malamnya, sekali lagi, lelaki dermawan itu keluar dengan membawa seuncang emas dengan harapan sedekahnya dapat diberikan kepada penerima yang layak. Sampai saja di sebuah tempat, dia terlihat seorang wanita sedang duduk di tepi jalan menunggu sesuatu. Sampai saja di tempat perempuan, dia terus memberikan wang kepadanya tanpa bercakap dan terus beredar.

Seperti sebelumnya, penduduk gempar dengan berita mengatakan seorang wanita cantik yang juga pelacur mendapat sedekah wang emas daripada seorang lelaki tidak dikenali. Ia menjadi buah mulut orang kampung kerana merasakan sedekah itu tidak wajar diberikan kepada wanita yang menjadi pelacur.

Berita berkenaan sampai kepada lelaki dermawan dan beliau berasa amat sedih kerana memberikan sedekahnya kepada orang yang tidak sepatutnya menerima. Bagaimanapun dia berharap dan berdoa semoga Allah menerima sedekahnya.

Selang beberapa lama, dermawan itu sekali lagi keluar malam untuk memberi sedekah dan berharap penerimanya, orang yang layak. Dia terjumpa seorang lelaki yang tidak dikenali lalu terus memberikan wang kepada lelaki, yang terpinga-pinga ketika menerima sedekah itu.

Keesokan harinya penduduk gempar mengatakan seorang lelaki kaya menerima sedekah. Mereka berpendapat, penerima itu tidak layak menerima sedekah kerana dia seorang kaya yang sepatutnya mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin. Berita itu sampai kepada dermawan itu dan dia terkejut dan sedih kerana memberikan sedekahnya kepada orang yang tidak layak menerima sedekahnya.

Bagaimanapun niat pemuda dermawan itu hanya Allah saja yang tahu sama ada yang tersurat dan tersirat. Oleh sebab keikhlasan dan kesungguhan pemuda itu mencari keredaan Allah, Allah menerima sedekahnya dengan setiap kebaikan tanpa diketahui pemuda itu.

Lelaki pertama menerima sedekah itu ialah pencuri. Oleh sebab keikhlasan pemuda dermawan itu memberi sedekahnya kepada pencuri itu, Allah memberi hidayah kepada pencuri itu yang berasa terharu kerana walaupun dia melakukan kerja dilarang Allah tetapi masih ada lagi insan sudi memberikan bantuan kepadanya. Dia menggambarkan kalau dia buat jahat Allah masih lagi memberikan rahmat dan keampunan, apatah lagi kalau dia menjadi orang baik. Lagi banyak kebaikan dia akan dapat, lelaki pencuri itu insaf dan berazam tidak mengulangi perbuatannya.

Wanita yang menerima sedekah daripada lelaki dermawan itu adalah seorang pelacur yang memperdagangkan tubuhnya. Dengan sebab keberkatan sedekah dermawan itu, ia meninggalkan kesan mendalam kepada wanita berkenaan. Dia merasa malu dengan dirinya sendiri kerana walaupun dia membuat kerja tidak diredai Allah, masih ada yang sudi membantu tanpa mengetahui status dirinya. Inilah yang membuatkan dirinya terasa dihargai. Dia menyesal dengan perbuatannya serta berazam dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi wanita solehah.

Lelaki yang kaya yang menerima sedekah dari seorang pemuda dermawan itu sebenarnya seorang yang bakhil. Dia tidak pernah memberikan bantuan ataupun sedekah kepada orang ramai. Peristiwa itu memberikan kesedaran kepadanya yang tidak pernah memberi sedekah ataupun mengeluarkan zakat. Dengan sebab keikhlasan pemuda dermawan itu, orang kaya itu berubah sikap menjadi pemurah.


***************************

Moral of the story, setiap perkara yang kita lakukan sama ada dari perbuatan, tingkah laku, akhlak perlu dengan niat ikhlas dan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Sifat suka bersedekah banyak membawa kebaikan kepada sesiapa yang melakukannya dengan membetulkan niat kepada Allah semata-mata..Mohon dari ALLAH agar diberiNYA hati yang ikhlas, ini kerana ikhlas merupakan anugerah daripada ALLAH..Dalam satu Hadis Qudsi, ALLAH swt berfirman yang bermaksud:

"ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku.Aku titiskan ia dalam hati hamba- hambaku yang Aku mangasihinya.." (Riwayat Abu Hasan Al Basri)


^^^^^^^^^^^^^^^^

*Untuk pengetahuan semua pengunjung yang ana kasihi kerana ALLAH swt, ini adalah perkongsian terakhir ana pada tahun ini & mungkin untuk beberapa minggu atau beberapa bulan, blog ni akan sepi sementara..TAPI bukan bermakna blog ini akan ditutup..insyaALLAH sekiranya ada kesempatan di lain waktu, ana akan cuba kongsikan khazanah dari syurga / ilmu milik ALLAH kepada kalian..kalau panjang umur, akan ana teruskan perjuangan pena dakwah disini..semoga kalian dalam redha-NYA selalu..Dan dikesempatan ini juga, ana menyusun 10 jari memohon maaf atas segala kekhilafan yang ana lakukan sepanjang kehadiran ana dalam dunia blogging ini..mungkin ada perkongsian atau comment2 ana yang tidak kalian senangi..asif jiddan..doakan diri ana agar bisa kembali..^_^

Akhirul kalam..jaga diri, jaga iman, jaga amal, jaga solat, jaga hubungan kita sesama muslim dan jaga hubungan kita dengan pemilik CINTA HAKIKI..IM-Smiley.com


..ma'as salamah,wa ilal liqo'..fi amaanillah wallahua`lam bisawab..

..."Wahuwa ma'akum ainamakuntum"...


-HaDiaH Buat aNak SoLeH-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


NABI Sulaiman dikurniakan oleh Allah SWT kelebihan yang istimewa dan memiliki banyak mukjizat. Dengan izin Allah, baginda boleh melihat sesuatu yang terselindung daripada pandangan mata manusia biasa.

Pada suatu hari, baginda berjalan-jalan di tepi laut untuk melihat kebesaran Allah SWT. Tiba-tiba baginda terlihat ada sesuatu yang menakjubkan di dalam dasar laut itu. Kemudian baginda memerintahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dasar laut untuk mengetahui benda tersebut.

Jin Ifrit pun terus menyelam ke dalam laut untuk mendapatkan benda yang ajaib itu tetapi tidak menemuinya. Kemudian, Ashif bin Barkhiya, iaitu seorang lelaki telah menawarkan dirinya untuk menyelam ke dasar laut tersebut, dan dia telah menjumpai suatu benda yang berupa sebuah kubah.

Dia sangat kagum dengan kecantikan kubah tersebut lalu mengangkatnya dan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman.

"Alangkah indahnya kubah ini. Aku berasa hairan dibuatnya. Aku telah dikurniakan oleh Allah mukjizat sehingga pandanganku dapat menembusi segala sesuatu yang terselindung. Tetapi kali ini aku tidak dapat melihat sesuatu di dalam kubah ini," kata Nabi Sulaiman.

Lalu baginda pun berdoa kepada Allah agar dapat melihat isi kandungan kubah itu. Doanya dikabulkan oleh Allah, dan kubah tersebut terbuka pintunya. Di dalamnya ada seorang pemuda sedang sujud sambil memuji Allah tanpa henti-henti.

"Siapakah engkau. Manusia, jin, atau malaikat?" tanya Nabi Sulaiman.

"Aku seorang manusia biasa," jawab pemuda itu.

"Bagaimana engkau memperoleh kemuliaan serupa ini?" tanya Nabi Sulaiman.

"Kerana aku telah berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuaku," jawab pemuda itu.

Pemuda itu pun menceritakan kepada Nabi Sulaiman tentang kisahnya memelihara kedua-dua ibu bapanya. Mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang soleh dan kuat imannya. Sejak kecil dia dipelihara oleh ibu bapanya dengan didikan yang baik dan mereka sentiasa mendoakannya menjadi anak yang soleh.

Bapanya telah meninggal dunia. Kemudian dia telah memelihara ibunya yang sudah tua, buta, lumpuh, lemah dan selalu sakit. Ibunya sangat mengharapkan dia supaya menjaga dan menguruskan segala keperluannya.

Dia selalu menyuapkan makanan ke mulut ibunya, memberi minuman dan memandikannya. Ibunya selalu berdoa kepada Allah supaya dia akan dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidupnya. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ibunya telah berdoa agar dia diberikan tempat bukan di bumi dan bukan juga di langit.

Suatu hari pemuda itu berjalan-jalan di tepi laut. Dia melihat sebuah kubah, lalu masuk ke dalamnya. Pintu kubah itu tiba-tiba tertutup. Pemuda itu pun berdoa kepada Allah, lalu kubah yang gelap itu tiba-tiba menjadi terang benderang.

Suasana di dalam kubah itu berubah menjadi kebun yang dipenuhi dengan pohon-pohon, kolam air susu dan madu, suara-suara yang merdu dan segala makanan yang lazat. Jika dia lapang, dia akan memetik buah-buahan yang pelbagai rasa itu. Jika dia dahaga, sudah tersedia di hadapannya pelbagai macam minuman yang lazat.

Oleh kerana pemuda itu mahu meneruskan solat dan zikirnya kepada Allah, Nabi Sulaiman dan para pengikutnya terpaksa keluar dari kubah tersebut. Kemudian baginda memerintahkan supaya mengembalikan semula kubah itu ke dasar laut. Setelah itu, pulanglah baginda bersama bala tenteranya menuju ke istananya.

Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd

-MeMBeri DaN MeNeriMa NaSiHat-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Cara berkesan elak rakan, saudara terlalai


PERMINTAAN seorang pelajar supaya Imam al-Ghazali memberi nasihat dalam bentuk tulisan untuk dijadikan panduan hidup, diberi maklum balas dalam bukunya Ayyuha al-Walad bahawa memberi nasihat itu mudah. Namun, timbul kesulitan daripada sudut orang yang mahu menerima nasihat itu.

Kenyataan Imam al-Ghazali menunjukkan tradisi dan budaya nasihat menasihati antara sesama manusia sesuatu yang mudah dipraktikkan. Setiap orang berhak menasihati orang lain dalam konteks memberi ajaran, petunjuk dan pengajaran yang baik.

Malah, apabila seseorang mengesyorkan atau mengusulkan sesuatu yang baik juga boleh dikira sebagai agenda nasihat menasihati. Islam meletakkan aktiviti nasihat menasihati sebagai lambang persaudaraan dan persahabatan sejati yang ditandai dengan dasar keimanan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara." (Al-Hujurat: 10)


Nabi SAW pernah bersabda, daripada Anas yang bermaksud bahawa kesempurnaan iman seseorang itu terletak di atas prinsip persaudaraan sejati sehingga dia boleh mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

Sehubungan itu, Nabi SAW pernah mengaitkan bahawa agama itu terdiri atas nasihat seperti sabda Baginda yang bermaksud,

"Agama itu nasihat. Sahabat bertanya, " Untuk siapa (wahai Rasulullah)? Baginda menjawab, "Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, dan pemimpin umat Islam dan seluruh umat Islam."


Nasihat menasihati boleh berlaku dalam institusi keluarga, masyarakat dan negara. Nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya seperti dirakamkan dalam surah Luqman, ayat 13-19, mengandungi mesej pendidikan yang jelas kepada kita.

Nasihat itu memperlihatkan keprihatinan ayah terhadap anaknya dalam kehidupan. Ia meliputi aspek hubungan hamba dengan Pencipta-Nya dan hubungan sesama hamba.

Nabi dan rasul dalam misi dakwah kepada kaum mereka juga menyampaikan nasihat supaya tunduk kepada kekuasaan yang agung dan mentauhidkan Allah. Nabi Nuh umpamanya yang didakwa sebagai sesat dan menyampaikan ajaran sesat memberitahu kaumnya, baginda adalah penyampai risalah dan amanah Allah serta pemberi nasihat dalam misi dakwahnya.

Firman Allah yang bermaksud,

"Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata: Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain-Nya, sesungguhnya (kalau kaum tidak menyembah Allah, aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat).

Pemuka dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami memandang kamu berada dalam kesesatan yang nyata. Nuh menjawab: Hai kaumku, tidak ada padaku kesesatan sedikitpun tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku sampaikan kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan aku memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui..." (Al-A'raf : 59-64).

Begitu juga dengan Nabi Hud yang dituduh sebagai orang bodoh dan pendusta ketika berdakwah kepada kaumnya. Baginda menjawab bahawa baginda adalah utusan Allah yang mempunyai ciri bijak pandai, berperanan sebagai penyampai amanah Tuhan dan pemberi nasihat yang boleh dipercayai.

Ini dirakamkan Allah dalam firman yang bermaksud,

"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum `Aad saudara mereka, Hud. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?

Pemuka yang kafir daripada kaumnya berkata, " Sesungguhnya kami benar-benar memandang kau dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk dalam golongan orang yang berdusta".

Hud berkata, "Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang dipercayai bagimu..." (Al-A`raf: 65-68)

Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita suburkan budaya nasihat-menasihati supaya kita tidak terlalai daripada ingatan Allah untuk berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.



wallahu'alam..

-HiKmaH ibaDaH, RaHSia ALLAH-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


ALLAH tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil. Firman Allah,

"... (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka." - (Ali-Imran: 191)

Namun di setiap kejadian dan ciptaannya tersembunyi pelbagai rahsia dan hikmah yang sukar untuk dilihat secara mata kasar dan akal logik. Hikmah di atas ciptaannya hanya dapat dilihat secara umum tanpa penjelasan secara terperinci.

Misalnya solat, manusia tidak akan mengetahui hikmah dan kebaikannya secara terperinci. Bermula dengan hukum solat, rukunnya dan sudah pasti setiap pergerakannya juga kita tidak akan dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malahan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang akan timbul untuk memuaskan akal.

"Mengapa solat perlu lima kali sehari?" "Mengapa ada perbezaan rakaat untuk setiap jenis solat?" "Mengapa solat Subuh di awal pagi?"

Mengapa dan terus mengapa. Akal sentiasa mencari jawapan di atas perintah ibadat yang disyariatkan Allah. Namun semua jawapan yang diberi berdasarkan kefahaman akal, ia tidak akan memuaskan sampai bila-bila. Hikmah adalah rahsia Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Bagaimanapun, Allah menjelaskan hikmah itu secara umum di dalam al-Quran. Misalnya hikmah disyariatkan solat. Firman Allah

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain)." � (Al-Ankabut: 45)

Hikmah disyariatkan membayar zakat. Firman Allah:

"Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (At-Taubah: 103)


Timbul persoalan, mengapa Allah menyembunyikan hikmah di atas ibadah yang disyariatkan-Nya. Ulama menjelaskan bahawa hikmah ini disembunyikan sebagai satu cubaan kepada hamba-Nya. Allah mencuba hamba-Nya dengan ibadah yang manusia tidak mengetahui sedikitpun mengenai hikmah pensyariatannya. Dengan cubaan ini, terlihatlah siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan menolaknya.

Andai kata hikmah ibadah tidak dirahsiakan dan akal dapat memahaminya dengan mudah, sudah pasti, manusia hanya akan beribadah kepada Allah jika sesuatu ibadah itu sesuai dengan rasional akalnya yang terbatas, dan akan mengingkari jika sesuatu ibadah itu tidak sesuai dengan akalnya. Dan ini akan membuatkan manusia menyembah akal bukannya Allah yang mencipta mereka.

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fi al-Islam menyatakan: "Bukanlah menjadi keharusan bahawa ibadah yang disyariatkan itu perlu ada manfaat dalam kehidupan manusia dari segi material. Malahan bukan juga sesuatu yang mesti sesuatu ibadah itu boleh difahami akal yang terbatas. Ibadah adalah ujian bagi ketaatan manusia kepada Tuhannya. Jadi, jika akal dapat mengetahui rahsia ibadah secara terperinci, maka ia tidaklah dapat memberi manfaat dan makna kepada manusia terhadap konsep ibadah dan taat kepada Tuhan."

Cukuplah seseorang mukmin mengetahui hikmah ibadah itu secara umum, dan meyakini bahawa setiap ibadah itu adanya manfaat dan hikmah yang tersendiri. Allah tidak pernah memerlukan ibadah para hamba-Nya, tetapi Allah mencipta ibadah adalah semata-mata untuk kebaikan dan manfaat hamba-Nya.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertakwa umpama hati orang yang paling bertakwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang cacatkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku." � (Hadis Imam Muslim)


Banyaknya rahsia alam semesta yang tidak mampu manusia khususnya saintis menemuinya, begitu banyak juga rahsia ibadah yang tidak terjangkau oleh akal. Hal ini sebenarnya membuatkan tumbuhnya rahsia rindu manusia kepada rahsia yang tersembunyi, dalam masa sama membuatkan manusia insaf dan sedar mengenai kelemahan dirinya sendiri.

Sudah ramai manusia tersesat kerana sengaja mencari rahsia hikmah dalam setiap perkara yang disyariatkan dalam ibadah. Apabila mereka tidak menemui rahsia itu kerana akal yang terbatas, mereka mula berasa ragu-ragu di atas kepercayaan yang ada dan kemudian menjadi sesat.

Al-Imam Ghazali dalam kitabnya Al-Munqidz min adh-Dhalal berkata,

"Maka sesungguhnya suatu kebodohan sesiapa saja yang mencari hikmah yang ada di sana, atau orang yang mengatakan bahawa ibadah itu dilakukan secara kebetulan dan tidak ada rahsia Allah di dalamnya."


Oleh sebab itu, perbuatan mencari hikmah dalam ibadah dengan secara terperinci sehingga dapat memuaskan akal adalah perbuatan yang salah dan keliru. Berpuas hatilah dengan keterangan umum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, kemudian sama-sama kita katakan, "Kami dengar dan kami taat."

wallahu'alam..

-WaSiat UntUk DaPat DaRJat TinGGi-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


ABU Darda' ditanya, "Ajarkan kepadaku beberapa kalimat yang berguna bagiku. Abu Darda' berkata: Saya berwasiat kepadamu beberapa kalimat, siapa yang mengamalkan maka ia akan mendapat darjat yang tinggi sebagai pahalanya: "Jangan makan kecuali yang halal. Dan mintalah kepada Allah rezeki setiap hari. Dan anggaplah dirimu dari golongan orang mati. Dan serahkan dirimu kepada Allah, maka siapa yang maki atau mengganggu kepadamu, maka katakan, "Kehormatanku sudah aku serahkan kepada Allah. Dan jika engkau berbuat kesalahan atau dosa maka segeralah minta ampun kepada Allah.

Ketika Rasulullah SAW patah gigi ketika Perang Uhud, maka sahabat berkata kepadanya, "Ya Rasulullah, andaikan engkau berdoa kepada Allah terhadap orang yang berbuat kepadamu sedemikian itu. Jawab Nabi, "Sesungguhnya aku tidak diutus untuk mengutuk, tetapi aku diutus untuk berdakwah dan rahmat, Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku kerana mereka benar-benar belum mengetahui.

Rasulullah bersabda, "Siapa yang menahan lidahnya dari kehormatan kaum muslimin, maka Allah memaafkan kesalahannya pada hari Kiamat, dan siapa yang menahan marahnya, maka Allah akan menghindarkan dari murka-Nya pada hari Kiamat.

Sumber Abulaits Assamarqandi, Tanbihul Ghafilin.

-BerBUat BaiK KepaDa iBu BapA-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Seseorang anak mesti taat segala kemahuan orang tua selagi tidak langgar syarak



BERIMAN dan mentauhidkan Allah adalah syarat yang perlu dipatuhi agar segala ibadat yang dilakukan seseorang tidak menjadi sia-sia. Seterusnya, Allah memerintahkan supaya manusia melakukan kebaikan (ihsan) kepada kedua ibu bapa. Ihsan kepada ibu bapa dengan mentaati segala kemahuan mereka selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Begitu juga, apabila bercakap dengan ibu bapa, si anak diharamkan meninggikan suara, mengherdik, mencaci dan berkata dengan perkataan yang tidak baik. Malah, mereka juga tidak boleh menunjukkan 'bahasa badan' yang boleh mengguris perasaan kedua-duanya.

Ia menggambarkan ibu bapa mempunyai kedudukan yang amat istimewa menurut perspektif agama sebagaimana firman Allah SWT, bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua di dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `Uhh`, dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memelihara dan mendidikku semasa kecil. " (Al-Isra' : 23 & 24)

Ulama mempunyai pendapat tersendiri mengenai persoalan berbuat baik kepada ibu bapa. Imam Malik berpendapat kedudukan ibu dan bapa adalah sama dari sudut hak untuk mendapatkan ihsan daripada anak. Al-Layth bin Sa'd menyatakan berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali ganda lebih utama jika dibandingkan dengan berbuat baik kepada bapa.

Pendapat al-Layth dikuatkan dengan pandangan al-Imam al-Qurtubi yang membawa satu hadis mengenai seorang sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapakah yang paling utama untuk berbuat baik kepadanya. Di dalam hadis berkenaan, jawapan yang diberikan Rasulullah SAW adalah ibu dan Baginda mengulangi jawapannya sebanyak tiga kali apabila ditanya lagi oleh sahabat berkenaan.

Selanjutnya, beliau berhujah bahawa si ibu adalah lebih utama untuk dicurahkan kebaikan kepadanya kerana kesusahan ketika mengandung, penderitaan ketika melahirkan dan pengorbanan yang dilakukan ketika membesarkan dan mendidik si anak. Justeru, ketaatan kepada ibu adalah lebih utama jika dibandingkan dengan bapa. Sementara bagi perkara haram, seseorang mesti meninggalkannya walaupun disuruh ibu bapa.

Melakukan ketaatan kepada ibu bapa meliputi pelbagai aspek yang boleh dilaksanakan, iaitu:

# Sentiasa berbuat baik dan menjalinkan hubungan mesra dengan mereka walaupun terdapat sedikit pergeseran pendapat dan kurang bersefahaman. Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya."
(Hadis al-Tirmizi).


#Berlemah-lembut ketika bercakap dengan mereka dan tidak meninggikan suara. Apatah lagi, seseorang diharamkan daripada membantah, berdebat, berdusta dan mendahului percakapan mereka.

#Sentiasa berdoa kepada Allah agar mereka sentiasa diampunkan. Berdoa yang dimaksudkan di sini bukan hanya terbatas ketika mereka masih hidup saja, malah dituntut juga berdoa selepas kedua-duanya meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh untuk ibu bapanya akan diterima Allah.

#Membantu mereka dari sudut kebendaan mengikut kadar kemampuan yang dimiliki. Ia akan membuatkan ibu bapa merasa gembira sekali gus akan membawa keberkatan di dalam hidup seseorang anak.

#Menunaikan segala wasiat apabila mereka meninggal dunia. Begitu juga, si anak sepatutnya terus menjalinkan silaturahim dengan saudara-mara dan rakan-taulan ibu bapa mereka. Ia akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan hidup dalam keadaan harmoni.

Tegasnya, setiap insan perlu melakukan segala kebaikan kepada ibu bapa mereka. Ini kerana, dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mereka akan dimurahkan rezeki dan mendapat kasih sayang dan ihsan daripada isteri dan anak-anak. Ini bertepatan dengan satu hadis daripada Ibn Umar , Rasulullah bersabda,

"Berbuat baiklah kepada ibu bapamu, nescaya anakmu akan berbuat baik kepadamu. Dan bersikap jujurlah kepada ibu bapamu, nescaya isteri kamu akan bersikap jujur kepada kamu." (Hadis al-Tabrani)

wallahu'alam..

-PeNcaRiaN iNSentiF ILAHI-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Masa dihubungkaitkan dengan pelaksanaan ibadat supaya manusia tidak alpa


ADA persamaan yang ketara antara Aidiladha dan Aidilfitri tetapi ada juga perbezaan ketara antara kedua-duanya ketika diraikan umat Islam. Persamaan antara kedua-duanya ialah umat Islam di seantero dunia merayakannya dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan, manakala perbezaannya ialah sebelum Aidilfitri ada ibadah puasa Ramadan selama sebulan penuh tetapi sebelum Aidiladha tidak nampak sebarang aktiviti ibadah di kalangan umat Islam. Mengapa demikian? Padahal pada 10 hari pertama Zulhijah sudah ditetapkan Nabi SAW yang bermaksud:

"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini iaitu 10 Zulhijah." Sahabat Baginda bertanya: "Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?" Jawab Baginda: "Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun." �
(Hadis riwayat al-Bukhari).

Kita memahami situasi di atas kerana puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang lima dan ia sudah sehati dengan seluruh umat Islam. Tetapi apa salahnya 10 hari pertama bulan Zulhijah? Padahal Allah bersumpah dengannya dalam Surah al-Fajr ayat 1 dan 2 bermaksud:

"Demi waktu fajar, dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Jika umat Islam menunaikan ibadah puasa Ramadan sebelum Aidilfitri mengapa pula mereka tidak mahu mengaplikasinya kepada Aidiladha dan mereka mengagungkan 10 hari pertama Zulhijjah dengan amalan yang lazim dilakukan pada Ramadan? Padahal sudah jelas kepada kita sabda Nabi yang bermaksud:

"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh itu perbanyakkanlah padanya tahlil (Lailahaillallah), takbir (Allahu Akbar), dan tahmdid (Alhamdulillah)." � (Hadis riwayat Ahmad)


Sepuluh adalah angka yang mempunyai kesignifikannya sendiri dalam ajaran Islam. Angka 10 digunakan untuk lipatan ganda ganjaran satu amal soleh,

10 digunakan untuk menyebutkan kelebihan membaca Surah al-Kahfi bagi yang ingin terselamat dari dugaan Dajal (baca 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir);

10 digunakan untuk menyebut kelebihan Surah al-Baqarah bagi menjaga dan memelihara rumah daripada godaan syaitan yang terkutuk (10 ayat yang lazimnya dibaca umat Islam);

10 juga digunakan untuk fidyah haji (Surah al-Baqarah: 196), edah suami meninggal (Surah al-Baqarah: 234), hukuman kafarah sumpah (Surah al-Maidah: 89), penyempurnaan jumlah hari pertemuan Allah SWT dengan Nabi Musa AS (Surah al-A'raf: 142), dan

10 digunakan untuk menyebut kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah (Surah al-Fajr: 2) serta kelebihan 10 terakhir Ramadan. Ada apa dengan bilangan 10?

Allah telah menetapkan bahawa jumlah bulan adalah 12 seperti termaktub dalam Surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud:

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)..."

Penjelasan mengenai 12 bulan ini telah diberikan kepada Nabi Adam as kemudian ditetapkan dengan suhuf yang diturunkan kepada Nabi Syits AS untuk kepentingan anak cucu mereka.

Allah telah menghubungkaitkan peredaran hari dengan mendirikan agama yang betul lagi lurus dalam ayat di atas. Ini bermakna pelaksanaan agama tidak terlepas daripada masa dan Allah telah menetapkan sesetengah masa sebagai insentif untuk umat manusia beramal salih di dalamnya.

Ramadan dengan ibadah puasanya selama sebulan penuh; Zulhijjah dengan ibadah hajinya dalam ayyam ma'dudat (hari tasyriq) dan ayyam ma'lumat (10 hari pertama Zulhijjah) yang mana di dalamnya ada hari Arafah dan penyembelihan binatang korban; bulan Muharram dengan 'Asyuranya, dan bulan Rejab dengan syahrullah (bulan Allah); dalam seminggu ada solat Jumaat dan dalam setiap hari ada solat fardu lima kali. Semua masa ini dijadikan insentif agar manusia selalu dekat dengan Penciptanya dan tidak terlepas daripada kawalan-Nya selama mengharungi kehidupan mereka.

Penciptaan dan menjadikan masa sebagai satu insentif untuk mendekatkan diri kepada Allah dapat kita fahami daripada sepotong ayat al-Quran yang bermaksud:

"Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)." (Surah Yunus: 5)

Kebahagiaan yang sebenar-benar kebahagiaan ialah ada pada diri kita ketika kita melaksanakan apa yang perlu kita laksanakan dengan petunjuk syarak. Dan kecelakaan yang sebenar-benar kecelakaan adalah ada pada tidak mengendahkan petunjuk syarak. Semua petunjuk syarak ini adalah insentif agar kita selalu dengan kepada Allah dan sebagai balasannya kita mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Insentif Ilahi demi menjana kebahagiaan duniawi dan ukhrawi tidak hanya ada pada masa saja tapi ada pada semua ciptaannya. Bahkan segelas air pun boleh ditukar dengan satu kerajaan yang penuh dengan hingar bingar seperti dalam kisah Khalifah Harun al-Rasyid.

Ibnu Sammak seorang yang pandai memberi nasihat menemui Harun al-Rasyid. Saat itu al-Rasyid sedang haus dan meminta segelas air. Maka Ibnu Sammak bertanya: "Seandainya anda dicegah untuk minum air itu apakah anda akan menebusnya dengan separuh kerajaan anda?" Khalifah menjawab: "Ya!" Setelah selesai minum, Ibnu Sammak bertanya lagi: "Jika anda dicegah untuk mengeluarkan air yang telah anda minum dari perut anda, apakah anda rela membayar dengan separuh kerajaan anda yang lain?" Harun menjawab: "Ya!" Ibnu Sammak pun berkata: "Tidak ada ertinya sebuah kerajaan yang nilainya tidak lebih berharga daripada segelas air."


Jika dunia ini tidak ada keimanan di dalamnya, maka dunia tidak berguna, tidak berharga, dan tanpa makna. Agar dunia ini bermakna, berharga dan berguna maka tidak ada cara lain kecuali kita mencari insentif Ilahi dalam semua peraturan-Nya tanpa kita mencuba untuk mengabaikannya.

Keimanan akan mengarahkan kita kepada pencarian insentif itu dan insentif itu pula yang akan mendorong kita untuk mempertingkatkan lagi keimanan kita. Jika ia berlaku, maka tujuan dari penciptaan jin dan manusia seperti ditegaskan Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku," �(Surah al-Zariyat: 56) akan nampak menjolok mata juga.

Wallahu'alam..

-KeRaNa EgO TiDak bErtePi-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Kemusnahan alam dipaparkan dalam filem hanya gambaran terhad dari kaca mata manusia


FILEM selain untuk hiburan, ia juga menjadi sumber rujukan dan satira dalam masyarakat. Namun ada kalanya ia dilihat sudah bersifat melampaui akal logik manusiawi yang dahagakan hiburan sambil mengutip sedikit pengajaran. Di negara ini penerbit dan pengarah filem sering menguar-uarkan filem mereka sebagai penuh elemen moral dan Islamik walaupun ia sebenarnya memerlukan lebih penjelasan daripada mereka sebelum kita bulat-bulat menerima pernyataan itu.

Filem dari barat selepas berakhirnya era fobia kepada Y2K banyak memaparkan elemen kepercayaan agama tertentu mengenai tanda awal kiamat seperti dalam filem End of Days, Stigmata, Knowing dan terbaru 2012. Lupakan apakah moral filem sedemikian melainkan ia hanya ingin menonjolkan bahawa tamadun kita sudah mencapai tahap optimum dan segala-galanya akan berakhir tidak lama lagi, hanya Allah SWT yang maha mengetahui.

Kehebatan imej janaan komputer (CGI) menghasilkan filem mega dari Hollywood hasil tangan manusia kreatif seperti Star Wars, Terminator, Titanic, Spiderman, Batman dan berpuluh lagi filem fiksyen yang ada 'sumbangan' ikhlas sebahagian daripada kita yang membeli tiket wayang. Kehadiran filem 2012 yang menggambarkan kiamat bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh. Gambaran CGI yang memaparkan kemusnahan alam maya ini dibuat dengan penuh teliti. Tsunami setinggi Everest, gempa yang membelah bumi dan letusan gunung berapi yang membadai hebat amat menggetarkan hati sesiapa yang menontonnya.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya kepada hari kiamat dan kepercayaan ini perlukan keyakinan yang sebenar-benarnya bahawa kita akan melaluinya tidak kira kiamat kecil (kematian) atau kiamat yang sebenar-benarnya. Kita sebagai insan wajib mempercayai bahawa filem adalah gambaran hasil ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Daripada penulis cerita, lalu diangkat menjadi skrip dan lakon layar diadun pula oleh pengarah dan pasukan kreatifnya lalu jadilah sebuah filem yang kelihatan hidup tetapi bukan yang sebenar-benarnya.

Ia tetap rahsia Allah SWT walau bermacam ramalan dilakukan manusia sejak berzaman. Seperti dalam filem 2012 ramalan kiamat berlaku dibuat oleh kaum Maya melalui kalendar ortodoks mereka. Ada juga ajaran sesat yang percaya kiamat akan berlaku menelan racun beramai-ramai untuk mengelakkan diri menghadapi situasi apabila kiamat berlaku. Akhirnya mereka mati katak atau mati sesat mengikut pemimpin songsang mereka.

Kiamat dalam agama Islam juga disebut sebagai hari pembalasan, hari pengadilan atau hari kebangkitan, hari di mana manusia dan bumi ini akan musnah sekelip mata lalu dibangkitkan dari kematian untuk diadili di Padang Mahsyar. Namun bencana yang melanda dunia yang kita diami pada hari ini seakan riak-riak kecil atau petanda awal bahawa kiamat dan mati tidak jauh dari kita hanya kita yang seakan ego tidak bertepi.

Tsunami yang melanda Sumatera pada Disember 2004 meragut ratusan ribu nyawa dan sesungguhnya ia tidak jauh dari negara kita dan ada juga korban nyawa dan kemusnahan fizikal turut membabitkan rakyat negara ini. Kita tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan kita jauh dari bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami lagi kerana ia semakin dekat dan semakin menggegarkan kita seperti yang berlaku di Bukit Tinggi Pahang dan gempa bumi di Padang, Sumatera.

Gempa bumi di Padang adalah realiti yang tidak dapat disangkal lagi. Bumi atau tanah merekah dan menimbus hidup-hidup semua penduduk kampung dan menghilangkan langsung landskap sebahagian tanah adat perpatih yang asal.

Kita sebagai umat Islam perlu lebih bertaqwa dan beriman dengan Rukun Iman yang satu daripadanya ialah percaya kepada hari kiamat dan percaya kepada qada dan qadar. Kiamat adalah realiti yang belum lagi berlaku dan wajib bagi kita mempercayai sebagai sebahagian dari akidah kita.

Tragedi yang berlaku akibat taufan yang semuanya bernama wanita seperti Katrina, Wilma dan sebagainya adalah gambaran hidup yang boleh kita saksikan di televisyen bahawa manusia tidak dapat menentang kuasa Allah SWT walau sehebat mana mereka membina teknologi.

Kisah 25 rasul dalam menyebarkan ajaran Islam turut menyaksikan peristiwa dahsyat yang menimpa umat manusia yang tidak beriman dengan Allah SWT.

Kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, begitu juga kaum Nabi Musa yang diketuai Firaun tenggelam kelemasan bersama bala tenteranya ketika memburu Nabi Musa yang menyeberang laut yang terbelah dua setelah dipukul permukaan laut dengan tongkat baginda.

Begitu juga dengan takdir yang menimpa kaum Nabi Lut yang diterbalikkan bumi ke atas mereka kerana nafsu rakus mereka yang mengamalkan seks sejenis. Kisah kaum Nabi yang menerima balasan kerana kufur nikmat dan tidak beriman dengan Allah SWT selalunya berakhir dengan balasan bencana fizikal yang dahsyat dan mengerikan.

Gambaran yang dibuat oleh filem mutakhir tidak lebih daripada gambaran berasaskan rujukan bersifat keagamaan dan realiti kiamat yang digambarkan dari kaca mata manusia yang terhad pengamatannya.

Sesungguhnya kiamat yang sebenarnya jauh dari realiti yang digambarkan di layar perak oleh sutradara Barat. Filem 2012 sendiri hanya gambaran peristiwa kiamat yang belum sampai takdirnya yang mana dalam filem itu ia berakhir dengan muka bumi Allah SWT ini berubah dari kedudukan asalnya dan manusia masih berjaya meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Lambang makhluk yang memiliki ego yang tidak bertepi. Secara mudahnya moral filem mengenai kemusnahan duniawi seperti filem 2012 menunjukkan kepada kita bahawa kemusnahan dunia ini akan berlaku apabila kita tidak lagi bersifat manusiawi atau berlakunya kiamat dalam sifat kemanusiaan. Mungkin itu moralnya.

wallahu'alam..

-KeHaDiRaN DajJaL KeCiL-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


MUNCULNYA orang yang mengaku sebagai nabi adalah salah satu tanda kiamat kecil sebagaimana peringatan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Kiamat belum terjadi sehingga muncul golongan dajjal kecil (penipu kecil) hampir jumlahnya tiga puluh orang, setiap mereka mengaku bahawa dialah utusan Allah.”

Golongan itu cukup berbahaya dek kepakaran memutar belit fakta di samping membawa perkhabaran aneh yang belum pernah didengar ketika wahyu masih diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Nabi-nabi palsu ini bukan setakat muncul di kalangan lelaki, bahkan ada juga di kalangan wanita.

Kemunculan mereka mengundang perpecahan besar umat Islam khususnya dari segi akidah apabila sebahagian besar mereka mendusta kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW.

Sejarah Islam menyaksikan berlaku beberapa siri peperangan untuk membendung ancaman golongan dajal ini.

Contohnya, pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau mengutus tentera di bawah pimpinan Khalid al-Walid menentang pemberontakan Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya sebagai nabi utusan Allah Taala dalam Perang Yamamah. Akhirnya Musailamah mati di tangan Wahsyi ra lalu panji Tauhid kembali seperti sedia kala.

Salah satu ciri utama golongan ini ialah sikap mereka yang suka menyeleweng fakta selain mendustakan risalah wahyu sewenang-wenangnya.

Tindakan sebegitu dilakukan demi memenuhi tuntutan kehendak hawa nafsu bahkan kebanyakan karakter nabi palsu ini sebenarnya membenci Islam dengan menyembunyikan niat jahat pada zaman baginda SAW.

Aksi licik mereka sukar dikesan seperti menukar penampilan umpama haiwan sesumpah, selain bijak menyesuaikan diri bersama komuniti Islam sejak awal lagi.

Kebatilan mereka mula terserlah hanya selepas melantik diri sendiri menjadi nabi atas tauliah logik akal serta menurut hawa nafsu yang dipengaruhi syaitan.

Tanpa melalui prosedur biasa lantikan Nabi dan Rasul oleh Allah Taala menerusi perantaraan malaikat Jibril atau secara terus, tauliah golongan ini cuma bersandar logik akal serta hawa nafsu.

Demi mengejar harta dunia, mereka tidak mengendahkan autoriti milik Allah Taala yang melantik insan terpilih sebagai utusannya.

Contoh jelas apabila Musailamah al-Kazzab menyamatarafkan dirinya dengan Rasulullah SAW selain menuntut kuasa atas sebahagian sempadan Makkah. Ibn Athir dalam kitabnya, al-Kamil fi al-Tarikh, menyebut isi kandungan surat Musailamah al-Kazzab kepada Baginda SAW antaranya ditulis:

“Dari Musailamah, utusan Allah kepada Muhammad utusan Allah, sesungguhnya aku berkongsi dengan engkau dalam perkara sama (iaitu sebagai Nabi Allah), kemudian setiap seorang daripada kita dikurniakan sebahagian tanah (sempadan), begitu juga sebahagian (sempadan) tanah untuk kaum Quraisy, akan tetapi mereka, iaitu kaum Quraisy telah melampaui batas.” (Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/350).

Munculnya seorang nabi palsu di tanah air mengetengahkan misi serupa nabi-nabi palsu sebelumnya iaitu menolak kerasulan Nabi Muhamad SAW. Sebelum ditangkap, Kahar Ahmad yang mendakwa sebagai Rasul Melayu sempat mengecapi kesenangan dan mengumpul ramai pengikut ketika masih dalam buruan pihak berkuasa. Sejarah baru tanah air mencatatkan nama Kahar Ahmad, seorang lagi nabi palsu sebagai bahan tatapan generasi akan datang sampai bila-bila.

Kes serupa berlaku pada 1985, apabila kerajaan Sudan membanteras kegiatan nabi palsu, Mahmud Muhamad Taha al-Sudani, yang banyak menyesatkan orang awam menerusi penulisannya. Kerajaan Sudan bertindak menangkap sekali gus menghukumnya disebabkan kufur dan kemurtadannya.

Umat Islam akan sentiasa terdedah dengan fitnah nabi palsu sehingga dajal sebenar muncul apabila semakin menghampiri waktu kiamat besar. Bicara mereka dipenuhi kepelikan, karut dan miraj khayalan lebih-lebih dalam bab memutar belit fakta. Matlamat mereka cuma satu, iaitu dapat menyesatkan umat Islam supaya berpecah-belah akhirnya.

Karakter mereka mudah dikenali berdasar keterangan dari hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Akan muncul menjelang akhir zaman, dajal-dajal kecil (pendusta kecil) membawa kepada kalian khabar-khabar yang tidak pernah didengari bapa-bapa kalian, maka berhati-hatilah kalian terhadap mereka, jangan sampai menyesatkan kalian atau menimbul fitnah (besar) ke atas kalian”. (Sahih Muslim, 14/142, no: 5205)

Selama mana umat Islam berpegang teguh pesanan Nabi Muhamad SAW dan sunnahnya, selagi itu mereka akan dapat menangkis ancaman fitnah yang cuba mengganggu gugat kesatuan umat Islam.

wallahu'alam..

-KeraNa CiNtakaN DuniA, pEnGoRbaNaN kEpaDa ALLAH diLuPaKan-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


PERISTIWA korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. Ia juga membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau dihargai untuk memberi manfaat kepada orang lain. Sudah tentulah menjadi korban untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada yang bertanya, apa ganjaran berkorban?

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata bahawa sesungguhnya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.”

Mereka berkata: “Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.”
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis di atas mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja. Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu baginda sudah lanjut usia.

Namun baginda tidak pernah berputus asa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Siapalah yang tidak gembira mendapat cahaya mata? Kisah ini dinyatakan dalam surah al-Soffat ayat 101 yang bermaksud:

“Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar”.


Ulama termasuk ahli kitab bersepakat bahawa Nabi Ismail dilahirkan terlebih dulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat di dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 99 tahun. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian yang amat berat diturunkan oleh Allah SWT ke atas dua beranak itu, dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya. Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Dengan hati yang sedih, Nabi Ibrahim menyatakan mengenai perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya baginda berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar”.

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah yang terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi patuh dan redanya terhadap perintah Allah SWT. Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, ma'rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara, agar ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia lumayan menjerumuskan kita ke lembah yang sia-sia, tiada apa pun menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah pun. Di dalam al-Quran Allah SWT memberi amaran kepada manusia melalui firman-Nya dalam surah At-Taubah, ayat 24 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq”.

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati agar sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja.

wallahu'alam..

-AidiLaDHa & PeNGorBaNaN 3 inSan aGuNg-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


HARI Raya Haji atau Korban mempunyai banyak keistimewaan yang harus diperbesarkan oleh umat Islam, bagi mengingati semula serta mengambil iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya, Hajar dan Nabi Ismail yang wajar dicontohi.

Nabi Ibrahim berjiwa kental dan mempunyai cita-cita unggul serta ketakwaan yang tinggi kepada Allah, Hajar pula solehah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang yang mempunyai kesabaran luar biasa dan Nabi Ismail, sebagai anak salih berjiwa takwa, tawakal dan sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.

Keistimewaan inilah yang harus diperbesarkan dan dijadikan teladan segenap lapisan masyarakat terutama ibu bapa, pemimpin dan juga remaja. Semangat dan ketabahan ini haruslah dijadikan landasan dalam kehidupan bagi membina sahsiah diri, kekuatan mental dan fizikal serta kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan Allah.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim, sangat besar dalam menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah sebagai Kota Suci umat Islam yang amat penting.

Mengenai Kota Makkah, Allah berfirman maksudnya,

“Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (di antaranya) makam Ibrahim. Barang siapa memasukinya (Baitullah) amanlah dia. Dan (di antara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.” (Ali Imran:97).


Daripada ayat ini jelaslah bahawa pembangunan Kota Suci Makkah banyak membawa kebaikan dan manfaat kepada umat Islam. Selain ia menjadi arah kiblat ke Baitullah, kota ini juga menjadi tumpuan jutaan umat Islam untuk menunaikan haji setiap tahun. Ini dijelaskan dalam ayat sebelumnya melalui firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makah) yang mempunyai berkat dan menjadi petunjuk seluruh alam.” (Ali Imran: 96)

Selain itu, Hari Raya Korban wajar diperbesarkan demi mengingati betapa penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim, dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah. Baginda Nabi Ibrahim disenaraikan sebagai salah seorang Rasul yang bergelar ‘Ulul Azmi yang memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk mencari keredaan Allah.

Membesarkan Hari Raya Korban dengan pelaksanaan ibadat korban yang dilakukan semata-mata kerana Allah pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah).

Ibadat korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kariah masjid. Peserta yang melakukan ibadat korban melalui daging korban dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan ahli kariah masjid. Ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Selain itu, ibadat ini dapat mengukuhkan pertalian dan kasih sayang di kalangan keluarga dan ahli masyarakat yang berkumpul melaksanakan ibadat korban melalui kerja menyembelih, melapah, menyiang daging dan kemudian makan bersama-sama daging korban dimasak.

Ini juga dapat melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan melaksanakan perintah Allah. Ingatlah firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Ibrahim:70).


Hari Raya Korban hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, dengan mengucapkan takbir secara berterusan pada malam hari raya hingga solat sunat didirikan pada esok harinya. Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan atau juadah sebelum ke masjid tetapi untuk Hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat demikian. Sebaliknya disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah yang menyentuh antara lain kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Sebaik selesai solat sunat Aidiladha, maka bersegeralah menyembelih binatang korban. Kemudian dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan sebahagiannya juga diberikan kepada kariah masjid sebagai hadiah. Nabi SAW bersabda bermaksud:

“Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan (rezeki) hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik) sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya.” (Riwayat Asy Syihaab).

wallahu'alam..




* Sebelum terlambat, ana nak ucapkan Eid Mubarak Saeid kepada semua pengunjung yang tidak jemu2 berkunjung ke blog ana dalam mengembara mencari ilmu dunya wal akhirah..Semoga Aidiladha kali ini, kita diberi kesabaran dan ketabahan persis nabi-nabi Allah terdahulu serta dikurniakan sifat sanggup berkorban demi mendapat keredhaan ILAHI...insyaALLAH..

Photobucket

Photobucket

........Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.......

-KeiMaNaN dan KeSaBaRaN DaLaM PeNGorBaNaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Seseorang insan bertakwa perlu terima bahagian rezeki Allah dengan ikhlas


SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.

Peristiwa Nabi Ibrahim diuji dengan perintah supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail, disebut dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109:

"Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama, dengannya, Nabi Ibrahim berkata:

"Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.


Maka apabila keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tompok tanah (untuk disembelih), ketika itu Kami (Allah) menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu" - Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim,".

Pengertian ayat diatas menyingkap keimanan tinggi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan segala perintah Allah, walaupun ia hanya satu ujian. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita supaya kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah.

Lihat saja bagaimana ibadat haji meminta kita menunjukkan kesungguhan, ketabahan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Sifat mulia ini sudah sewajarnya kita tunjukkan dalam semua jenis amal perbuatan kita. Ingatlah bahawa ganjaran yang sebenarnya bukan datang daripada makhluk dan manusia lain. Ganjaran sebenarnya adalah dari Allah semata-mata.

Apakah dia nilai pengorbanan? Apakah sifat murni yang dapat kita semai dalam melakukan pengorbanan? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita renungkan akan peristiwa korban Nabi Ibrahim serta puteranya Nabi Ismail yang diabadikan Allah di dalam surah As-Saffat: 102-109. Begitulah pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan juga puteranya Nabi Ismail. Di mana kedua-duanya membuat satu pengorbanan yang besar dalam kehidupan.

Jika kita lihat akan pengorbanan Nabi Ibrahim, beliau sanggup untuk mengorbankan anak kesayangannya kerana Allah. Begitu juga dengan puteranya Nabi Ismail, beliau pula sanggup mengorbankan nyawanya bagi mendapat keredaan Allah.

Lihatlah nilai yang tersemai dalam jiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

#Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.

#Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.

Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.

Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.

Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.

Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.

Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.

Sabar pula adalah satu lagi nilai yang besar dalam kita membuat pengorbanan mengharungi hidup yang berbagai cubaan dan rintangan. Inilah nilai yang dipancarkan oleh Nabi Ismail apabila ketika ditanya oleh Ibrahim akan perintah Allah untuk menjadikan beliau sebagai korban. Lantas Nabi Ismail menjawab:

Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar. � (As Saffat: 102)

Pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan ini hendaklah kita tempuh segala cabarannya dengan kesabaran. Kita mengorbankan masa, tenaga, wang dan akal fikiran, semua ini memerlukan kesabaran, dengan pengorbanan inilah terhasil pelbagai kenikmatan dari Allah.

wallahu'alam..



credit to -> Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi

-NiLai PengOrbaNaN Sejati KiaN LuNtuR-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Contohi Nabi Ismail meletakkan perintah Allah, kewajipan taati ibu bapa perkara utama


KEHADIRAN Zulhijah yang turut dikelompokkan dalam bulan haji, umat Islam dituntut menghayati nilai pengorbanan sejati sebagai wadah untuk membina kecemerlangan diri, agama, bangsa dan negara. Islam meletakkan kepentingan umat itu perlu didahulukan daripada kepentingan puak, kumpulan atau peribadi seseorang. Firman Allah:

"Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah sebagai sebuah benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu ada seratus buah. Dan Allah melipatgandakan ganjaran untuk siapa yang disukai-Nya dan Allah luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui." � (Surah Al-Baqarah: 261)

Sambutan Hari Raya Korban yang diraikan seluruh umat lslam sebagai mengenang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Ia mempunyai nilai pengajaran yang tidak mampu dirungkaikan dengan akal semata-mata. Sebagai orang yang beriman, kita tidak wajar melihat dari sudut kehidupan dunia yang meletakkan nilai kebendaan sebagai landasan sebenar. Justeru, perhatikan firman Allah yang menggambarkan mengenai nilai pengorbanan sejati.

"Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah, hanya yang sampai kepada Allah adalah takwa (kepatuhan menjalankan kewajipan) dari kamu. Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu, supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang yang berbuat kebaikan." � (Al-Hajj: 35)

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh umat mutakhir ini. Sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anak kesayangan Baginda sendiri. Hari ini dapat kita perhatikan bagaimana roh pengorbanan dalam diri umat Islam semakin luntur dan kabur.

Anak Muslim terbiar tanpa didikan agama sehingga sanggup mencemarkan maruah lslam dengan perlakuan keji dan batil. Budaya negatif seperti merempit, pergaulan bebas, minum arak, berpakaian mendedahkan aurat seperti yang diamalkan remaja lslam hari ini tidak mungkin akan berleluasa sekiranya nilai pengorbanan untuk melihat imej lslam dipandang tinggi menjadi keutamaan.

Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai diri sendiri dalam kesusahan, perlu menjadi iktibar sebagai cermin moral kepada anak generasi masa kini. Tanpa pengorbanan tulus ikhlas daripada ibu bapa, tentulah ramai anak yang tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam pendidikan, kerjaya mahu pun kehidupan berkeluarga.

Ibu bapalah yang bersusah payah mengorbankan seluruh tenaga, masa dan wang ringgit demi anak yang dikasihi hingga mereka mampu berdikari.

Persoalannya, sejauh manakah letaknya nilai pengorbanan dalam diri anak pula apabila membiarkan ibu bapa mereka yang tua dan uzur tinggal di rumah kebajikan. Apakah sudah hilang perasaan kasih sayang terhadap insan yang membesarkan kita dengan segala susah payah, sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Ismail yang patuh dengan suruhan dan tuntutan bapanya, Nabi Ibrahim hingga Allah mensyariatkan tanggal 10 Zulhijah sebagai takwim mengenang sirah pengorbanan yang tiada tolak bandingnya dalam kehidupan anbia.

Semua itu menjadi iktibar kepada umat lslam akhir zaman yang perlu menanamkan semangat jihad dan sanggup berkorban mempertahankan maruah lslam yang semakin diperlekeh masyarakat bukan lslam di seluruh dunia.

Kesimpulannya, umat lslam perlu menjadikan nilai pengorbanan sejati sebagaimana yang ditunjukkan Nabi dan Rasul sebagai benteng mengukuhkan cinta dan kasih sayang di antara umat lslam. Janganlah kita berbantah-bantah atau menuding jari mencari salah ketika umat lslam sedang berhadapan dengan krisis dan bencana dari Allah. Sifat dengki-mendengki, irihati, dan dendam dikikis dalam hati setiap umat agar maruah lslam kembali dihormati sebagaimana yang berlaku di zaman kegemilangan lslam dulu.

wallahu'alam..

-FadiLat aMaLan SePuLuH Hari pErtaMa ZuLhiJaH-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Pada hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah,

"Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya". (Hadis Muslim).

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan ALLAH swt tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda,

"Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, "Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?". Jawab Baginda, "Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun". (Hadis Bukhari)


Dalam hadis lain, Rasulullah juga bersabda,

" Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid". (Hadis Ahmad).

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.

Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.

Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.

wallahu'alam..

-LaMBanG SejaraH RasuL, KeSaMarataaN-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Allah SWT memerintahkan supaya setiap jemaah haji berniat ihram kerana memuliakan Tanah Haram dan bumi Makkah selaku tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Mereka juga tidak dibenarkan melakukan perkara keji didalamnya walaupun melakukan perkara yang harus ketika berada di luar seperti memakai wangian, memotong kuku, memburu dan sebagainya.


Dengan memakai pakaian ihram yang sama melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pemandangan ini tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Pakaian ini juga sama seperti kain kafan putih ketika si mati dibawa bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW memakai pakaian ihram dari Madinah dan meniatkannya di Miqat bernama Zul Hulaifah. Mereka yang berihram menuju ke Makkah yang dijanjikan keamanan oleh Allah SWT daripada ketakutan dan kelaparan. Firman Allah,

"Di sana ada tanda-tanda kemuliaan yang nyata dan sesiapa yang masuk ke sana akan mendapat ketenteraman" (Ali-Imran: 96)


Tawaf di Kaabah pula adalah kerana adanya Baitullah dengan pakaian yang sama bagi mengingatkan kita mengenai kematian yang pasti bagi setiap yang hidup. Ini juga untuk menyatakan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan mereka yang bertakwa. Ada riwayat menyatakan Nabi SAW mengucup Hajarul Aswad sebelum melakukan Tawaf Qudum.

Mengucup Hajarul Aswad adalah pelengkap kepada ibadat tawaf di Kaabah kerana mengikut perbuatan Nabi SAW jika memungkinkan kita berbuat demikian. Nabi SAW mengucup sebelum bermulanya tawaf dengan meletakkan kedua bibir Baginda sambil menangis dan berkata kepada Saidina Umar yang bersamanya, "Wahai Umar, di sinilah tempat terkumpulnya dosa". Ada riwayat mengatakan bahawa asalnya batu ini berwarna putih dan bertukar menjadi hitam dengan dosa manusia.

Selepas selesai tawaf, Nabi SAW bersolat di belakang makam Ibrahim dengan dua rakaat sunat Tawaf dan meminum air Zamzam sambil berdoa ke ada Allah SWT lalu berjalan ke Bukit Safa untuk bersai. Sai antara Safa dan Marwa adalah bagi menghidupkan peristiwa Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali bagi mencari sumber air yang diperlukan. Begitu juga berlari anak padanya seperti dilakukan Nabi SAW bagi menzahirkan kekuatan dan kecerdasan kaum Muslimin.

Doa Nabi Ibrahim ketika meninggalkan Hajar:

"Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang kering kontang di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, semuanya agar mereka mendirikan solat dan memakmurkannya. Oleh itu, jadikanlah sebahagian dari hati manusia tertarik ke sana dan kurniakan rezeki dari berbagai jenis buah-buahan agar mereka bersyukur" (Ibrahim: 37).


Wukuf adalah salah satu rukun haji yang mesti dilakukan jemaah haji. Sejarah membuktikan bahawa hari itulah Allah SWT menyempurnakan nikmatnya kepada kaum Muslimin dan menjadikannya hari raya untuk mereka. Allah SWT berfirman,

"Pada hari ini Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan Aku reda bahawa Islam ialah agama bagi kamu" (Al Maidah:3).


Bermalam di Muzdalifah yang ada padanya Masyha'ril Haram, tempat berkumpulnya manusia selepas wukuf bagi menghabiskan satu malam di sana seperti yang dilakukan Baginda SAW. Suasana tenang dalam kegirangan dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT sehingga fajar menyinsing.

Melontar jamrah adalah simbolik kepada kemenangan Nabi Ibrahim dan Ismail daripada gangguan syaitan. Begitulah perbuatan yang dilakukan Ibrahim dan Ismail ketika menghalau Iblis Laknatullah.

Menyembelih korban adalah mesej bagi menyatakan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah SWT ke atas Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail serta seluruh kaum Muslimin. Ia juga bagi menghidupkan nikmat yang besar atas kejayaan dari ujian yang begitu hebat.

Di sinilah bermulanya keturunan yang membawa kepada Nabi yang terakhir (Muhammad SAW). Di sinilah Nabi SAW menghadiahkan seratus unta untuk dikorbankan serta menyembelih dua kambing untuk dirinya dan keluarga dan satu untuk umatnya.

Umrah pula adalah ibadat ringkas bagi mereka yang menziarahi Baitullah kerana tidak memberatkan bagi kaum Muslimin. Allah mengharamkan bagi mereka meninggalkan Makkah tanpa melakukan ibadat. Jadi yang lebih ringan dari ibadat haji adalah umrah.

wallahu'alam..

-Ta'aRuf, ta'aWuN DaN taWaSau-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


JIKA dalam bahasa Melayu kita mengenal konsep 3 Ta yang boleh mengelirukan kehidupan seorang lelaki sehingga dia boleh berjaya mahupun binasa dengannya, dalam bahasa Arab - setidak-tidaknya untuk penyesuaian dengan bahasa Melayu, boleh diperkenalkan konsep Ta 3 yang akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Konsep 3 Ta dalam bahasa Melayu merujuk kepada 'harta, takhta dan wanita' manakala Ta 3 yang dalam bahasa Arab adalah ta'aruf (saling mengenal), tawasau (menasihati) dan ta'awun (tolong-menolong).


Ta 3 ialah asas perhubungan umat manusia sejagat yang digariskan al-Quran secara nyata. Ia panduan Ilahi yang kekal, tidak putus walau apa pun terjadi. Konsep Ta 3 ialah manusia dicipta untuk saling mengenal (ta'aruf). Apabila saling mengenal, mereka diperintahkan untuk tolong-menolong (ta'awun). Selepas itu mereka perlu mekanisme yang boleh meneruskannya yakni saling menasihati (tawasau).


Bagi ta'aruf, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami sudah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenalan (beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujarat: 13).

Bagi ta'awun, al-Quran menjelaskan maksudnya:

"Dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." (Surah al-Maidah: 2)

Bagi tawasau, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran." (Surah al-'Ashr: 1-3).

Cuba kita bayangkan jika manusia dicipta, kemudian tidak saling mengenal, apa yang akan terjadi? Begitu pula jika sudah kenal, tapi tidak wujud tolong-menolong. Walaupun sudah terjalin hubungan tolong menolong, tapi saling nasihat menasihati tidak menjelma, apa yang akan diperoleh? Hanya hampa dan kepincangan yang bakal dikecapi.

Ibadat yang dengannya tujuan manusia diciptakan seperti dalam firman-Nya bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku" (Surah al-Dzariat: 5)

menjelma dalam 'Ta 3'. Ta'aruf, tawasau dan ta'awun juga ialah ibadat.

Seperti kita perhatikan dalam ketiga-tiga ayat di atas, Ta 3 dikaitkan dengan ketakwaan.

Ta'aruf dengan "sesungguhnya semulia-mulia kamu pada sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu." Ta'awun dikaitkan dengan "dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." Tawasau pula dikaitkan dengan manusia yang tidak merugikan dan manusia yang sedemikian ialah orang yang bertakwa.

Sifat tolong-menolong adalah jambatan saling mengenal dan menasihati. Pengertian saling menolong sangat luas, bahkan sampai ke tahap manusia tidak memahaminya.

Ketika Rasulullah SAW bersabda di depan sahabat yang bermaksud:

"Berikan pertolongan kepada saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi," mereka hairan lantas berkata: "Kami faham jika kami memberikan pertolongan kepada saudara kamu yang dizalimi tapi bagaimana pula memberikan pertolongan kepada saudara kami yang menzalimi?" Baginda memberikan penjelasan dengan sabdanya: "Kalian halang dia daripada berbuat zalim, dengan itu kalian telah memberikan pertolongan kepadanya."

Sikap tolong-menolong amat digalakkan Islam. Pertolongan yang kita berikan kepada saudara kita, akan membawa pulangan yang lebih kepada kita. Sabda Nabi maksudnya:

"Allah SWT sentiasa menolong orang selagi orang itu sentiasa menolong saudaranya." (Hadis riwayat Ahmad)

" Bahkan memberikan pertolongan adalah sedekah yang paling baik. Rasulullah bersabda maksudnya: "Pertolongan kamu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal." (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunia).

Jika saling menolong diamalkan meluas di kalangan umat, ia tanda keberkatan hidup. Dalam hadis Baginda bersabda maksudnya:

"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum, maka dijadikan pemimpin mereka kalangan orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum dan mahkamah. Allah SWT juga jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan. Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi satu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang dungu yang menangani hukum dan mahkamah manakala harta berada di tangan orang kikir." (Hadis riwayat al-Dailami).

Ketiga-tiga aspek kehidupan masyarakat yang disentuh hadis di atas berhubungan erat dengan tolong-menolong untuk mewujudkan pemimpin dan ulama ulung serta dermawan yang ikhlas.

Jika sifat tolong-menolong juga tidak boleh direalisasikan, tiga perkara yang akan memporak-perandakan sendi kehidupan bermasyarakat seperti sabda Baginda maksudnya:

"Ada tiga perkara tergolong musibah yang membinasakan iaitu seorang penguasa apabila kamu berbuat baik kepadanya, dia tidak mensyukuri kamu, apabila kamu berbuat kesalahan dia tidak mengampuni; seorang jiran, apabila melihat kebaikan kamu dia pendam (diamkan saja) tapi apabila melihat keburukan kamu dia sebarkan; seorang isteri apabila berkumpul dia mengganggu kamu (dengan ucapan dan perbuatan yang menyakiti) dan apabila kamu pergi, dia akan mengkhianati kamu." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Dalam sejarah awal Islam, contoh saling menolong di kalangan umat Islam banyak kita temui. Ketika putus hubungan kerabat antara Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya Abu Lahab, dan saudaranya Amru Hisyam (Abu Jahal), iaitu ketika orang Muhajirin sanggup bertempur di medan perang, menentang sanak saudara, kaum kerabat dan sahabat handai mereka sendiri di medan Perang Badar, ketika itu juga jalinan kekeluargaan terikat begitu erat antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka menjadi saudara dan kaum keluarga yang saling menolong dan membantu. Pada masa sama juga tercantum rasa kasih sayang dan tali kekeluargaan antara orang Muslim Arab dengan Muslim berbangsa lain terjalin hubungan kasih mesra dan setia antara mereka. Semua ini berkat ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Tujuan akhir berjemaah daripada ajaran tolong-menolong adalah penyebaran secara berleluasa amar makruf nahi mungkar yang menjadi mercu tanda kebaikan umat Islam seperti firman Allah SWT maksudnya:

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah SWT." (Surah Ali Imran: 110).

Jika tidak ada ta'aruf, ta'awun dan tawasau, bolehkah ayat ini dapat direalisasikan?

renung-renungkan la ya ukhti wa akhi..

wassalam....