-Ta'aRuf, ta'aWuN DaN taWaSau-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


JIKA dalam bahasa Melayu kita mengenal konsep 3 Ta yang boleh mengelirukan kehidupan seorang lelaki sehingga dia boleh berjaya mahupun binasa dengannya, dalam bahasa Arab - setidak-tidaknya untuk penyesuaian dengan bahasa Melayu, boleh diperkenalkan konsep Ta 3 yang akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Konsep 3 Ta dalam bahasa Melayu merujuk kepada 'harta, takhta dan wanita' manakala Ta 3 yang dalam bahasa Arab adalah ta'aruf (saling mengenal), tawasau (menasihati) dan ta'awun (tolong-menolong).


Ta 3 ialah asas perhubungan umat manusia sejagat yang digariskan al-Quran secara nyata. Ia panduan Ilahi yang kekal, tidak putus walau apa pun terjadi. Konsep Ta 3 ialah manusia dicipta untuk saling mengenal (ta'aruf). Apabila saling mengenal, mereka diperintahkan untuk tolong-menolong (ta'awun). Selepas itu mereka perlu mekanisme yang boleh meneruskannya yakni saling menasihati (tawasau).


Bagi ta'aruf, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami sudah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenalan (beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujarat: 13).

Bagi ta'awun, al-Quran menjelaskan maksudnya:

"Dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." (Surah al-Maidah: 2)

Bagi tawasau, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran." (Surah al-'Ashr: 1-3).

Cuba kita bayangkan jika manusia dicipta, kemudian tidak saling mengenal, apa yang akan terjadi? Begitu pula jika sudah kenal, tapi tidak wujud tolong-menolong. Walaupun sudah terjalin hubungan tolong menolong, tapi saling nasihat menasihati tidak menjelma, apa yang akan diperoleh? Hanya hampa dan kepincangan yang bakal dikecapi.

Ibadat yang dengannya tujuan manusia diciptakan seperti dalam firman-Nya bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku" (Surah al-Dzariat: 5)

menjelma dalam 'Ta 3'. Ta'aruf, tawasau dan ta'awun juga ialah ibadat.

Seperti kita perhatikan dalam ketiga-tiga ayat di atas, Ta 3 dikaitkan dengan ketakwaan.

Ta'aruf dengan "sesungguhnya semulia-mulia kamu pada sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu." Ta'awun dikaitkan dengan "dan saling menolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa." Tawasau pula dikaitkan dengan manusia yang tidak merugikan dan manusia yang sedemikian ialah orang yang bertakwa.

Sifat tolong-menolong adalah jambatan saling mengenal dan menasihati. Pengertian saling menolong sangat luas, bahkan sampai ke tahap manusia tidak memahaminya.

Ketika Rasulullah SAW bersabda di depan sahabat yang bermaksud:

"Berikan pertolongan kepada saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi," mereka hairan lantas berkata: "Kami faham jika kami memberikan pertolongan kepada saudara kamu yang dizalimi tapi bagaimana pula memberikan pertolongan kepada saudara kami yang menzalimi?" Baginda memberikan penjelasan dengan sabdanya: "Kalian halang dia daripada berbuat zalim, dengan itu kalian telah memberikan pertolongan kepadanya."

Sikap tolong-menolong amat digalakkan Islam. Pertolongan yang kita berikan kepada saudara kita, akan membawa pulangan yang lebih kepada kita. Sabda Nabi maksudnya:

"Allah SWT sentiasa menolong orang selagi orang itu sentiasa menolong saudaranya." (Hadis riwayat Ahmad)

" Bahkan memberikan pertolongan adalah sedekah yang paling baik. Rasulullah bersabda maksudnya: "Pertolongan kamu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal." (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunia).

Jika saling menolong diamalkan meluas di kalangan umat, ia tanda keberkatan hidup. Dalam hadis Baginda bersabda maksudnya:

"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum, maka dijadikan pemimpin mereka kalangan orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum dan mahkamah. Allah SWT juga jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan. Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi satu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang dungu yang menangani hukum dan mahkamah manakala harta berada di tangan orang kikir." (Hadis riwayat al-Dailami).

Ketiga-tiga aspek kehidupan masyarakat yang disentuh hadis di atas berhubungan erat dengan tolong-menolong untuk mewujudkan pemimpin dan ulama ulung serta dermawan yang ikhlas.

Jika sifat tolong-menolong juga tidak boleh direalisasikan, tiga perkara yang akan memporak-perandakan sendi kehidupan bermasyarakat seperti sabda Baginda maksudnya:

"Ada tiga perkara tergolong musibah yang membinasakan iaitu seorang penguasa apabila kamu berbuat baik kepadanya, dia tidak mensyukuri kamu, apabila kamu berbuat kesalahan dia tidak mengampuni; seorang jiran, apabila melihat kebaikan kamu dia pendam (diamkan saja) tapi apabila melihat keburukan kamu dia sebarkan; seorang isteri apabila berkumpul dia mengganggu kamu (dengan ucapan dan perbuatan yang menyakiti) dan apabila kamu pergi, dia akan mengkhianati kamu." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Dalam sejarah awal Islam, contoh saling menolong di kalangan umat Islam banyak kita temui. Ketika putus hubungan kerabat antara Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya Abu Lahab, dan saudaranya Amru Hisyam (Abu Jahal), iaitu ketika orang Muhajirin sanggup bertempur di medan perang, menentang sanak saudara, kaum kerabat dan sahabat handai mereka sendiri di medan Perang Badar, ketika itu juga jalinan kekeluargaan terikat begitu erat antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka menjadi saudara dan kaum keluarga yang saling menolong dan membantu. Pada masa sama juga tercantum rasa kasih sayang dan tali kekeluargaan antara orang Muslim Arab dengan Muslim berbangsa lain terjalin hubungan kasih mesra dan setia antara mereka. Semua ini berkat ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW.

Tujuan akhir berjemaah daripada ajaran tolong-menolong adalah penyebaran secara berleluasa amar makruf nahi mungkar yang menjadi mercu tanda kebaikan umat Islam seperti firman Allah SWT maksudnya:

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah SWT." (Surah Ali Imran: 110).

Jika tidak ada ta'aruf, ta'awun dan tawasau, bolehkah ayat ini dapat direalisasikan?

renung-renungkan la ya ukhti wa akhi..

wassalam....


2 leave ur comment here:

Unknown said...

salam..terima kasih kerana terkongsi 3 ta.. post saudari lebih kurang sama dgn post ini..

http://insaaniyyah.blogspot.com/2009/11/pegang-3-perkara.html

terima kasih berkongsi~

♥Niesa' imana♥ said...

salam..
la syukran 'ala wajib,ya akhi..
owh..artikel tu ana posting pada november 17..ana kongsikan artikel tu dari apa yang ana baca dalam akhbar berita harian..

mudah-mudahan kita sama2 ambil manfaat daripadanya..insyaALLAH..
syukran ziarah blog ana..