-KeHaDiRaN DajJaL KeCiL-

In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


MUNCULNYA orang yang mengaku sebagai nabi adalah salah satu tanda kiamat kecil sebagaimana peringatan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Kiamat belum terjadi sehingga muncul golongan dajjal kecil (penipu kecil) hampir jumlahnya tiga puluh orang, setiap mereka mengaku bahawa dialah utusan Allah.”

Golongan itu cukup berbahaya dek kepakaran memutar belit fakta di samping membawa perkhabaran aneh yang belum pernah didengar ketika wahyu masih diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Nabi-nabi palsu ini bukan setakat muncul di kalangan lelaki, bahkan ada juga di kalangan wanita.

Kemunculan mereka mengundang perpecahan besar umat Islam khususnya dari segi akidah apabila sebahagian besar mereka mendusta kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW.

Sejarah Islam menyaksikan berlaku beberapa siri peperangan untuk membendung ancaman golongan dajal ini.

Contohnya, pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau mengutus tentera di bawah pimpinan Khalid al-Walid menentang pemberontakan Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya sebagai nabi utusan Allah Taala dalam Perang Yamamah. Akhirnya Musailamah mati di tangan Wahsyi ra lalu panji Tauhid kembali seperti sedia kala.

Salah satu ciri utama golongan ini ialah sikap mereka yang suka menyeleweng fakta selain mendustakan risalah wahyu sewenang-wenangnya.

Tindakan sebegitu dilakukan demi memenuhi tuntutan kehendak hawa nafsu bahkan kebanyakan karakter nabi palsu ini sebenarnya membenci Islam dengan menyembunyikan niat jahat pada zaman baginda SAW.

Aksi licik mereka sukar dikesan seperti menukar penampilan umpama haiwan sesumpah, selain bijak menyesuaikan diri bersama komuniti Islam sejak awal lagi.

Kebatilan mereka mula terserlah hanya selepas melantik diri sendiri menjadi nabi atas tauliah logik akal serta menurut hawa nafsu yang dipengaruhi syaitan.

Tanpa melalui prosedur biasa lantikan Nabi dan Rasul oleh Allah Taala menerusi perantaraan malaikat Jibril atau secara terus, tauliah golongan ini cuma bersandar logik akal serta hawa nafsu.

Demi mengejar harta dunia, mereka tidak mengendahkan autoriti milik Allah Taala yang melantik insan terpilih sebagai utusannya.

Contoh jelas apabila Musailamah al-Kazzab menyamatarafkan dirinya dengan Rasulullah SAW selain menuntut kuasa atas sebahagian sempadan Makkah. Ibn Athir dalam kitabnya, al-Kamil fi al-Tarikh, menyebut isi kandungan surat Musailamah al-Kazzab kepada Baginda SAW antaranya ditulis:

“Dari Musailamah, utusan Allah kepada Muhammad utusan Allah, sesungguhnya aku berkongsi dengan engkau dalam perkara sama (iaitu sebagai Nabi Allah), kemudian setiap seorang daripada kita dikurniakan sebahagian tanah (sempadan), begitu juga sebahagian (sempadan) tanah untuk kaum Quraisy, akan tetapi mereka, iaitu kaum Quraisy telah melampaui batas.” (Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/350).

Munculnya seorang nabi palsu di tanah air mengetengahkan misi serupa nabi-nabi palsu sebelumnya iaitu menolak kerasulan Nabi Muhamad SAW. Sebelum ditangkap, Kahar Ahmad yang mendakwa sebagai Rasul Melayu sempat mengecapi kesenangan dan mengumpul ramai pengikut ketika masih dalam buruan pihak berkuasa. Sejarah baru tanah air mencatatkan nama Kahar Ahmad, seorang lagi nabi palsu sebagai bahan tatapan generasi akan datang sampai bila-bila.

Kes serupa berlaku pada 1985, apabila kerajaan Sudan membanteras kegiatan nabi palsu, Mahmud Muhamad Taha al-Sudani, yang banyak menyesatkan orang awam menerusi penulisannya. Kerajaan Sudan bertindak menangkap sekali gus menghukumnya disebabkan kufur dan kemurtadannya.

Umat Islam akan sentiasa terdedah dengan fitnah nabi palsu sehingga dajal sebenar muncul apabila semakin menghampiri waktu kiamat besar. Bicara mereka dipenuhi kepelikan, karut dan miraj khayalan lebih-lebih dalam bab memutar belit fakta. Matlamat mereka cuma satu, iaitu dapat menyesatkan umat Islam supaya berpecah-belah akhirnya.

Karakter mereka mudah dikenali berdasar keterangan dari hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Akan muncul menjelang akhir zaman, dajal-dajal kecil (pendusta kecil) membawa kepada kalian khabar-khabar yang tidak pernah didengari bapa-bapa kalian, maka berhati-hatilah kalian terhadap mereka, jangan sampai menyesatkan kalian atau menimbul fitnah (besar) ke atas kalian”. (Sahih Muslim, 14/142, no: 5205)

Selama mana umat Islam berpegang teguh pesanan Nabi Muhamad SAW dan sunnahnya, selagi itu mereka akan dapat menangkis ancaman fitnah yang cuba mengganggu gugat kesatuan umat Islam.

wallahu'alam..

0 leave ur comment here: