-HaDiaH Buat aNak SoLeH-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


NABI Sulaiman dikurniakan oleh Allah SWT kelebihan yang istimewa dan memiliki banyak mukjizat. Dengan izin Allah, baginda boleh melihat sesuatu yang terselindung daripada pandangan mata manusia biasa.

Pada suatu hari, baginda berjalan-jalan di tepi laut untuk melihat kebesaran Allah SWT. Tiba-tiba baginda terlihat ada sesuatu yang menakjubkan di dalam dasar laut itu. Kemudian baginda memerintahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dasar laut untuk mengetahui benda tersebut.

Jin Ifrit pun terus menyelam ke dalam laut untuk mendapatkan benda yang ajaib itu tetapi tidak menemuinya. Kemudian, Ashif bin Barkhiya, iaitu seorang lelaki telah menawarkan dirinya untuk menyelam ke dasar laut tersebut, dan dia telah menjumpai suatu benda yang berupa sebuah kubah.

Dia sangat kagum dengan kecantikan kubah tersebut lalu mengangkatnya dan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman.

"Alangkah indahnya kubah ini. Aku berasa hairan dibuatnya. Aku telah dikurniakan oleh Allah mukjizat sehingga pandanganku dapat menembusi segala sesuatu yang terselindung. Tetapi kali ini aku tidak dapat melihat sesuatu di dalam kubah ini," kata Nabi Sulaiman.

Lalu baginda pun berdoa kepada Allah agar dapat melihat isi kandungan kubah itu. Doanya dikabulkan oleh Allah, dan kubah tersebut terbuka pintunya. Di dalamnya ada seorang pemuda sedang sujud sambil memuji Allah tanpa henti-henti.

"Siapakah engkau. Manusia, jin, atau malaikat?" tanya Nabi Sulaiman.

"Aku seorang manusia biasa," jawab pemuda itu.

"Bagaimana engkau memperoleh kemuliaan serupa ini?" tanya Nabi Sulaiman.

"Kerana aku telah berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuaku," jawab pemuda itu.

Pemuda itu pun menceritakan kepada Nabi Sulaiman tentang kisahnya memelihara kedua-dua ibu bapanya. Mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang soleh dan kuat imannya. Sejak kecil dia dipelihara oleh ibu bapanya dengan didikan yang baik dan mereka sentiasa mendoakannya menjadi anak yang soleh.

Bapanya telah meninggal dunia. Kemudian dia telah memelihara ibunya yang sudah tua, buta, lumpuh, lemah dan selalu sakit. Ibunya sangat mengharapkan dia supaya menjaga dan menguruskan segala keperluannya.

Dia selalu menyuapkan makanan ke mulut ibunya, memberi minuman dan memandikannya. Ibunya selalu berdoa kepada Allah supaya dia akan dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidupnya. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ibunya telah berdoa agar dia diberikan tempat bukan di bumi dan bukan juga di langit.

Suatu hari pemuda itu berjalan-jalan di tepi laut. Dia melihat sebuah kubah, lalu masuk ke dalamnya. Pintu kubah itu tiba-tiba tertutup. Pemuda itu pun berdoa kepada Allah, lalu kubah yang gelap itu tiba-tiba menjadi terang benderang.

Suasana di dalam kubah itu berubah menjadi kebun yang dipenuhi dengan pohon-pohon, kolam air susu dan madu, suara-suara yang merdu dan segala makanan yang lazat. Jika dia lapang, dia akan memetik buah-buahan yang pelbagai rasa itu. Jika dia dahaga, sudah tersedia di hadapannya pelbagai macam minuman yang lazat.

Oleh kerana pemuda itu mahu meneruskan solat dan zikirnya kepada Allah, Nabi Sulaiman dan para pengikutnya terpaksa keluar dari kubah tersebut. Kemudian baginda memerintahkan supaya mengembalikan semula kubah itu ke dasar laut. Setelah itu, pulanglah baginda bersama bala tenteranya menuju ke istananya.

Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd

1 leave ur comment here:

agus suparman said...

Aku baru tahu neh kisah Nabi Sulaiman yang seperti ini. kisah yang menakjubkan, wonderful....
semoga kita dijadikan Alloh hamba-hambaNya yang pandai bersyukur kepadaNya dan kepada ibu bapak kita. berbakti dan mengabdi hanya kepadaNya. hingga khir hayat kita...
Oke sobat teruskan beramal dan berkarya.... keep spirit dakwah Ilalloh..