Seseorang insan bertakwa perlu terima bahagian rezeki Allah dengan ikhlas
SELEPAS dua bulan kita meraikan Aidilfitri, hari kemenangan ke atas tuntutan nafsu, tidak lama lagi kita menyambut hari kegembiraan dan pengorbanan mengingati Allah, iaitu Aidiladha. Pengajaran terpenting Aidiladha ialah memperingatkan diri kita mengenai pengorbanan, seorang ayah dan anaknya dalam melaksanakan perintah Allah.
Peristiwa Nabi Ibrahim diuji dengan perintah supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail, disebut dalam surah As-Saffat, ayat 102 hingga 109:
"Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.
Maka apabila keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tompok tanah (untuk disembelih), ketika itu Kami (Allah) menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu" - Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim,".
Pengertian ayat diatas menyingkap keimanan tinggi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan segala perintah Allah, walaupun ia hanya satu ujian. Pengorbanan dan kesabaran seperti ini yang sepatutnya diterapkan dalam jiwa kita supaya kita berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran dalam kehidupan dunia ini, dalam kita melaksanakan segala perintah Allah.
Lihat saja bagaimana ibadat haji meminta kita menunjukkan kesungguhan, ketabahan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Sifat mulia ini sudah sewajarnya kita tunjukkan dalam semua jenis amal perbuatan kita. Ingatlah bahawa ganjaran yang sebenarnya bukan datang daripada makhluk dan manusia lain. Ganjaran sebenarnya adalah dari Allah semata-mata.
Apakah dia nilai pengorbanan? Apakah sifat murni yang dapat kita semai dalam melakukan pengorbanan? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita renungkan akan peristiwa korban Nabi Ibrahim serta puteranya Nabi Ismail yang diabadikan Allah di dalam surah As-Saffat: 102-109. Begitulah pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan juga puteranya Nabi Ismail. Di mana kedua-duanya membuat satu pengorbanan yang besar dalam kehidupan.
Jika kita lihat akan pengorbanan Nabi Ibrahim, beliau sanggup untuk mengorbankan anak kesayangannya kerana Allah. Begitu juga dengan puteranya Nabi Ismail, beliau pula sanggup mengorbankan nyawanya bagi mendapat keredaan Allah.
#Pertama, kedua-duanya dengan keteguhan iman dan takwa berkeyakinan penuh akan ketetapan Allah dan tidak berganjak sedikitpun dalam menjalankan perintah-Nya.
#Kedua, nilai kesabaran. Nabi Ibrahim dan Ismail amat sabar dalam mengharungi cabaran dihadapi serta tabah dalam menunaikan tanggungjawab. Sanggup berkorban inilah nilai dikehendaki setiap Muslim dalam membangunkan diri untuk menuju ke arah masyarakat cemerlang. Nilai ini amat penting dan perlu disemai dalam diri kita, keluarga serta masyarakat.
Marilah kita lihat akan kepentingan nilai pengorbanan ini supaya kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan seharian. Nilai iman dan keyakinan penuh akan ketetapan Allah bermaksud reda akan ketetapan dan takdir Allah.
Kita sebagai seorang yang beriman perlu percaya akan semua ketetapan ditetapkan Allah. Seorang hamba mestilah sentiasa menerima akan bahagian rezeki yang Allah kurniakan. Inilah sebenarnya kekuatan yang ada pada seorang yang beriman di mana dengan kekuatan iman pada Allah dan prinsip yang teguh dalam dirinya, dia akan menjadi seorang yang mampu untuk berkorban atas dasar mendapat keredaan Allah.
Seorang bapa dengan penuh keimanan akan berkorban sedaya upaya berusaha dalam mencari nafkah bagi keluarganya dan membangunkan mereka dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa saja usaha dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah dan dengan usahanya keluarga yang dibangunkan menjadi sebuah keluarga Islam yang boleh menjadi tunjang kekuatan masyarakat.
Begitu juga seorang ibu pastinya dengan keimanan yang teguh akan mendidik anak-anaknya dengan prinsip agama dan sentiasa berdoa kepada Allah agar menjadikan anak-anak itu orang berguna untuk agama, masyarakat dan negara.
Inilah pengorbanan yang sering kita lakukan. Pengorbanan ini akan lebih bermakna apabila tersemat di dalam hati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan keredaan Allah.
Sabar pula adalah satu lagi nilai yang besar dalam kita membuat pengorbanan mengharungi hidup yang berbagai cubaan dan rintangan. Inilah nilai yang dipancarkan oleh Nabi Ismail apabila ketika ditanya oleh Ibrahim akan perintah Allah untuk menjadikan beliau sebagai korban. Lantas Nabi Ismail menjawab:
Pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan ini hendaklah kita tempuh segala cabarannya dengan kesabaran. Kita mengorbankan masa, tenaga, wang dan akal fikiran, semua ini memerlukan kesabaran, dengan pengorbanan inilah terhasil pelbagai kenikmatan dari Allah.
wallahu'alam..
credit to -> Prof Madya Dr Engku Ahmad Zali Engku Alwi
0 leave ur comment here:
Post a Comment