In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).
kedudukan qada ibadat dalam solat. Secara dasarnya sesuatu ibadat yang ditinggalkan hendaklah diganti, seperti solat contohnya. Demikian pula haji. Ini berpandukan kepada hadis yang bermaksud:
“Dan hutang Allah itu lebih berhak untuk disempurnakan. - (Riwayat Muslim)
Cuma persoalan ini semakin kompleks ialah apabila seseorang yang meninggalkan ibadat itu meninggal dunia, apakah kewajipan menggantikan itu masih tertanggung atas waris atau ke atas dirinya sendiri (zimmahnya). Satu lagi persoalan adakah si mati meninggalkan dengan sengaja dalam keadaan dia mampu mengerjakannya lalu dia mengabaikan atau dia meninggalkan dalam keadaan dia memang tidak mempunyai keahlian untuk mengerjakannya.
Sebahagian fuqaha meletakkan syarat bahawa sesuatu ibadat itu boleh digantikan oleh orang lain, sekiranya ia ibadat yang bersifat harta, sebaliknya jika ia ibadat yang membabitkan tenaga seseorang itu sendiri, maka kebanyakan ulama berpendapat ia adalah tertanggung atas dirinya, bukannya orang lain. Ibadat berbentuk harta yang dimaksudkan ialah haji dan zakat, sedangkan ibadah yang merujuk pada tenaga adalah puasa dan solat.
Hujah mereka dalam perkara ini adalah firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat ke 164 yang bermaksud:
“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah saja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja).”
Ibn Jarir dalam tafsirnya satu pandangan dari Saeid dari Qatadah ayat ini membawa maksud seseorang itu tidak akan memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain.
Demikian juga Ibn Kathir dalam tafsirnya. Sebagai tambahan beliau menjelaskan ayat ini juga mempunyai kaitan dengan ayat ke 18 surah Fatir yang bermaksud:
“Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu daripada kerabatnya sendiri.”
Berpandukan ayat ini ulama secara ijmak mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap kesilapan yang dikerjakan oleh pihak yang lain, sekalipun ayah dan ibunya.
Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk menyebut secara terang pilihannya ialah tidak diwajibkan mengqada ibadat bagi pihak seseorang yang telah mati.
Kata beliau pandangan yang dipilih dalam mazhab ialah pandangan pertama Imam Shafie yang mengatakan bahawa puasa adalah ibadat peribadi yang tidak boleh digantikan oleh orang lain ketika hayat, maka demikian pula tidak boleh diambil gantinya selepas matinya. Ini berdasarkan hadis riwayat Umar ra yang bermaksud:
“Sesiapa yang meninggal dunia, sedangkan dia belum menyem-purnakan puasanya bagi hendaklah dikeluarkan makanan untuk diberikan kepada seorang miskin (untuk setiap hari yang ditinggalkan).
Cuma, al-Nawawi menjelaskan lagi jika sekiranya waris menggantikannya, ia diharuskan kerana ada sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi ada bersabda yang maksudnya:
“Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka warisnya hendaklah berpuasa untuk pihaknya.”
Ini disebabkan ganti yang diperbolehkan bagi waris dalam konteks hadis ini hanyalah terbatas kepada puasa nazar yang dilakukan oleh seseorang ayah atau ibu yang meninggal dunia itu.
Jadi dalam kes ini, waris yang terdiri daripada anak tidak diwajibkan menggantikan puasa ayah kerana ibadat puasa dan solat tidak sama dengan ibadat haji yang boleh dikerjakan bagi pihak simati. Tambahan pula tidak dikatakan bilangan hari yang ditinggalkan secara tepat.
Nasihat saya memadai bagi anak untuk mentafsirkan bilangan hari yang ditinggalkan itu lalu menyediakan makanan untuk fakir miskin mengikut jumlah yang dianggarkan itu. Seorang fakir miskin nisbahnya untuk sehari yang ditinggalkan. Perkara ini bolehlah dirujuk kepada ibu sekiranya masih hidup ataupun ingatan golongan yang hampir dengannya yang mempunyai rekod kehidupan beliau secara umum atau terperinci.
Jika waris tetap tidak berupaya mengetahui bilangannya, dicadangkan agar melakukan perkara berikut:
١-Bersedekah secara istiqamah dengan niat pahalanya untuk simati.
٢-Meniatkan kebaikan yang dilakukan agar pahalanya diberikan kepada beliau, umpamanya umrah sunat yang dikerjakan ketika di tanah suci dan ibadat yang lain.
٣-Mendoakan untuk beliau, agar diberikan keampunan atas kesilapannya.
Semoga usaha saudara dan saudari yang bertanya ini adalah satu sumbangan yang amat bermakna untuk ayah yang dimaksudkan oleh Nabi sebagai ikhtiar anak salih seperti ungkapan baginda dalam hadis sahih riwayat al-Tirmizi yang bermaksud:
“Apabila mati seseorang itu, maka terputuslah amalannya melainkan daripada tiga sumber, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak yang salih yang mendoakan untuknya.”
Kita perlu yakin dengan sebenarnya bahawa walaupun anak yang hidup tidak akan dipersoalkan mengenai dosa ayah dan ibu, namun Nabi pernah bersabda dalam sebuah hadis sahih riwayat Abu Daud dan al-Hakim yang menjelaskan keadaan simati bermaksud:
“Mintalah keampunan untuk saudaramu... kerana dia sedang ditanya.”
Andainya suruhan ini diperintahkan kepada kita untuk dilakukan pada rakan dan taulan, sewajarnya ia ia dilakukan kepada ibu bapa kita tentulah lebih-lebih lagi.
*Tuhan tidak membebankan perkara tidak mampu dilakukan...wallahualam..