-KeSeNGsaraaN, MuSibaH DoroNG inSaN GigiH perBaiki HiduP-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).


ALLAH menciptakan alam ini sarat dengan ujian sebagai kelayakan untuk melahirkan insan paling baik amal, tinggi nilai kesabaran, jitu darjat keimanan dan yang terpuji akhlak. Neraca piawaian yang menjadi pertimbangan di sisi Allah ialah kualiti bukan kuantiti amal.

Firman Allah bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang bertaubat)”. (Surah al-Mulk, ayat 2)

Kehidupan dunia pada umumnya dihiasi pelbagai rentak dan ragam manusia. Ada wajah ceria yang penuh tawa ria dan ada pula wajah muram yang penuh tangisan dan duka. Kebahagiaan dan kesejahteraan adalah wajah dunia yang menjadi impian setiap insan, manakala musibah dan kesengsaraan amat digeruni setiap makhluk. Yang pasti setiap makhluk pasti melaluinya berdasarkan ketentuan Ilahi yang Maha Berkuasa. Kedua-duanya ujian Allah untuk menguji, menapis dan memilih di kalangan manusia yang beriman, beramal dan bertakwa ke hadrat Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sungguh menakjubkan sifat dan keadaan orang mukmin, seluruh urusan kehidupannya mengandungi kebaikan dan hal berkenaan tidak terdapat pada orang lain. Orang mukmin jika diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kemudian dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya, sebaliknya jika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar maka hal yang demikian juga kebaikan baginya. (Hadis riwayat Ahmad)

Perlu diinsafi ujian Allah ke atas makhluk-Nya pelbagai jenis sama ada berbentuk nikmat atau musibah. Kenyataan ini menolak tanggapan dan pemahaman umat Islam yang menyempitkan skop ujian Allah kepada musibah dan bala.

Kurniaan nikmat, kesenangan, kesihatan dan kemewahan harta termasuk senarai ujian Allah terhadap makhluk-Nya. Kehidupan yang dilalui setiap manusia tidak terlepas daripada pasang dan surut, senang dan susah, sukses dan gagal serta gembira dan sedih.

Oleh itu, manusia dibekalkan Allah kemampuan fizikal, kecerdasan akal dan hati nurani untuk menyesuaikan diri mendepani kesulitan dan musibah yang dihadapi. Kadangkala timbul persoalan di fikiran apakah makna hakikat kesulitan dan musibah yang menimpa manusia dalam kehidupan.

Jika direnung secara mendalam realiti kesulitan dan musibah, ternyata ia menjadikan manusia semakin kuat dan tabah menghadapi kehidupan. Tanpa kesulitan dan musibah tidak wujud istilah kemajuan dalam kehidupan manusia.Perlu diingat manusia ialah makhluk berilmu dan terpelajar kerana mampu belajar daripada kesulitan dan seterusnya mencetuskan inspirasi menjadi lebih kuat serta maju kerana berjaya melepasi halangan sepanjang hidupnya.


Tanpa kesulitan, tidak ada erti kekuatan intelek manusia berbanding makhluk lain, malah tanpa musibah, keupayaan intelek mati dan akhirnya menghilangkan identiti manusia dalam kehidupan penuh dinamik dan inovasi.

Kesulitan hidup jika dilihat daripada sumber kehidupan sebenarnya adalah jalan pendakian menuju ke puncak keredaan Ilahi dan kebahagiaan sejati.

Oleh itu, setiap insan jangan mengeluh dan berputus asa, apatah lagi mencaci maki segala musibah. Sikap mengeluh dan berputus asa hanya menghancurkan kemampuan manusia sedia ada, malah setiap keluhan hanya menyebabkan kesulitan terasa semakin berat dan payah untuk dihadapinya.

Justeru, musibah dan kesulitan hidup dihadapinya dengan penuh kesabaran sebagai langkah menuju keredaan Allah.


wallahualam..

2 leave ur comment here:

Ummu Iman said...

Salam Niesa...

Sahih...ujian tu memanglah pahit, menyakitkan, namun kemanisannya dapat dirasai insyaAllah jika kita redha dan tabah menghadapinya.

teruskan perjuangan menulis!!!!!

♥Niesa' imana♥ said...

salam Iman..

betul tu anti..
ujian itu tarbiyah,sabar itu indah..

Datuk Dr Fadzilah Kamsah pernah cakap,"setiap dugaan besar yang ditanggung kita, nescaya akan ada lagi perkara besar yang akan terjadi di kemudian hari."

maka kita sbg hambaNYA perlulah bersedia dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian kerana itu tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Rasulullah SAW, ialah orang yg paling hebat mendapat ujian drp Allah. cuma nya Baginda tidak pernah jemu dan bosan untuk merintih dan meminta kepada Allah. dan kerana itulah Baginda tidak pernah putus asa dgn Allah. hasilnya? Islam dapat disebarkan di seluruh dunia. kalau tidak, masakan kita sekarang akan berada di dalam komuniti Islam kan? subhanallah. betapa kuasa Allah itu sangat Hebat untuk hamba-hambaNya yg meminta. yang benar2 meletakkan kebergantungan itu kepada Allah..

wa iyyakum ya ukhti..
nad'ullah an nado' fi mizan amal solehah.. ameen..=)