BUDAYA keusahawanan bukanlah suatu yang asing daripada kerangka Islam. Malah, Islam sebagai cara hidup menekankan nilai positif yang boleh diguna pakai dalam membentuk budaya perniagaan jernih menepati prinsip dan matlamat syariah.
Tidak hairanlah jika budaya keusahawanan turut ditekankan Nabi Muhammad SAW sebagai pintu rezeki yang utama. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Walaupun Islam menitikberatkan bidang perniagaan dan keusahawanan, realiti hari ini menunjukkan umat Islam lebih selesa menjadi masyarakat pengguna dikeluarkan pihak lain atau negara luar terutama dari Barat.
Demikian juga suasana dalam negara yang memperlihatkan umat Islam khususnya golongan Bumiputera yang agak ketinggalan dalam penguasaan ekonomi khususnya bidang perniagaan dan keusahawanan berbanding bukan Islam.
Budaya keusahawanan sebati dengan keperibadian Nabi SAW. Sebelum Baginda diangkat menjadi rasul lagi, Baginda adalah usahawan berjaya. Nabi Muhammad SAW pernah diamanahkan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab mengurus dan memperdagangkan harta dimiliki Saidatina Khadijah.
Budaya keusahawanan dimiliki Baginda SAW ditambah dengan akhlak terpuji yang dizahirkan dalam mengurus perniagaan lantas berjaya menambat hati Khadijah hingga dilamar menjadi suami.
Tidak terhenti setakat itu, apabila diangkat menjadi rasul, Baginda tetap menerapkan budaya sama di kalangan sahabat dan umat Islam. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila Baginda berhijrah ke Madinah.
Selaku ketua negara bagi sebuah kerajaan Islam yang baru bertapak, Nabi SAW amat mengerti dan memahami kepentingan memperkasa ekonomi kerajaan Islam. Apatah lagi dalam suasana Madinah pada ketika itu ekonominya hampir sepenuhnya dikuasai kaum minoriti Yahudi.
Merekalah yang menguasai pasar utama dan sumber asasi seperti air telaga. Mereka juga terkenal dengan kelicikan menindas bangsa Arab dalam urusan muamalah harian. Umpamanya, perniagaan dijalankan secara hutang dikenakan bunga yang tinggi hingga menjerat sesiapa saja berhutang dengan mereka. Malah caj penggunaan air juga amat tinggi hingga menjadikan mereka sebagai golongan berkuasa.
Sebab itulah sejarah memaparkan bagaimana usaha kedua terpenting Nabi SAW selepas membina masjid sebagai lambang pengukuhan aqidah dan iman penduduk Islam Madinah, turut membina pasar yang dikhaskan kepada umat Islam sebagai satu usaha penting pemantapan ekonomi Madinah.
Baginda sendiri turun dan mentarbiah usahawan baru di kalangan masyarakat Arab yang sebelumnya tidak pernah terdedah kepada bidang perniagaan dan perdagangan. Kebergantungan kepada minoriti Yahudi memaksa mereka hidup dalam suasana penganiayaan dan persekitaran terhimpit serta tertekan.
Kehadiran Nabi SAW berjaya membebaskan mereka daripada segala bentuk penindasan dan perhambaan yang berkait rapat dengan kegagalan mengurus ekonomi hingga terpaksa bergantung kepada ihsan orang lain.
Kemandirian ekonomi penting bagi memastikan bukan saja umat Islam kuat daripada segi fizikal tetapi membolehkan mereka mempertahankan aqidah dan keimanan. Kekuatan ekonomi menjadikan umat Islam dipandang tinggi dan membantu menyebarluaskan agama ke seantero dunia.
Ulama feqah merumuskan suatu kaedah feqah (qaidah fiqhiyyah) yang berbunyi: “Sesuatu yang tanpanya menyebabkan perkara wajib itu tidak lengkap maka ia menjadi wajib.”
Apa yang difahami melalui kaedah itu ialah apabila wujud suatu perkara yang tanpanya tuntutan kefarduan itu tidak lengkap atau tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna maka perkara itu dengan sendirinya menjadi wajib.
Aspek ekonomi yang menjadi faktor penting menjana kekuatan tamadun Islam dan penyebaran agama Allah dengan sendirinya menjadi wajib bagi menyempurnakan tanggungjawab dakwah yang difardukan.
Hakikat menyedihkan hari ini, rata-rata umat Islam mengalami masalah kecelaruan pemikiran yang menyebabkan mereka menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Umat Islam gagal memahami keutamaan (fiqh awlawiyat) dalam mengatur kehidupan mereka. Rata-rata umat Islam memahami agama daripada perspektif ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Sedangkan aspek muamalah yang sama penting dikesampingkan.
Akibat penyimpangan pemikiran sebeginilah menyebabkan umat Islam hari ini dilihat lemah dalam pelbagai bidang kehidupan, utamanya dalam hal berkaitan pentadbiran keduniaan, termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Kebanyakan negara Islam dikategorikan sebagai miskin dan terkebelakang, sedangkan 1/3 sumber asli dan galian serta ekonomi dunia berada di negara Islam. Umat Islam tidak mampu bersaing dengan masyarakat lain dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Semua ini pastilah tidak menepati semangat dan nilai yang terkandung dalam ajaran Islam. Malah umat Islam hari ini bolehlah dikatakan gagal menghayati Islam seperti tuntutan wahyu Ilahi.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
0 leave ur comment here:
Post a Comment