Meja rundingan ditolak, gelanggang debat dibuka serlah dendam politik tak berkesudahan
GAMAT dan gawat! Parti politik yang mewakili umat Islam saling tuduh-menuduh, menghina dan mengeji sesama sendiri, mengata tanpa batasan kerana berasa diri serta kumpulan mereka paling ikhlas berjuang untuk Islam, sedangkan parti lain munafik, fasik, bahkan difatwakan kafir.
Padahal, mereka semuanya muslimin, mengucapkan syahadatain, mendirikan sembahyang dan fardu lain dalam rukun Islam. Apakah bacaan syahadat mereka itu sebatas kerongkong saja? Sembahyang mereka satu upacara amal semata? Apakah puasa mereka tidak berjaya melumpuhkan sifat keji dan amarah yang merasuk jiwa?
Lidah pejuang politik umat Islam seakan-akan bercabang dua, satu lidah untuk solatnya dan satu lagi lidah untuk mencaci maki saudara seagamanya. Hatinya juga umpama dua talam, hati yang kadang-kadang beristighfar dan hati yang tiba-tiba berubah bak singa kelaparan.
Sesama Muslim bercakaran, satu kumpulan mengaku Islam progresif, lawannya mengisytiharkan parti mereka paling Islamik. Perpecahan sebegini tidak hanya dialami parti politik Islam, bahkan dalam arena organisasi dakwah yang pelbagai timbul masalah perselisihan mengenai manhaj dakwah siapakah yang paling benar.
Jika memang benar semua mengaku bekerja untuk kemaslahatan Islam, maka kenapa timbul pelbagai kerosakan, kemudaratan bahkan mungkin akan menjurus kepada pertumpahan darah. Tidak mustahil apabila pengikut yang tidak dapat mengawal emosi akibat terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik akan memberontak sehingga menimbulkan kemudaratan lebih besar kepada umat Islam keseluruhannya.
Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh Daulah Fil Islam mengatakan: "Pelbagai parti dalam politik sama kedudukannya dengan mazhab dalam aliran fekah. Ulama yang mewakili mazhab fekahnya seperti pemimpin politik yang sama-sama mengaku mewakili Islam. Masing-masing berijtihad mengikut pandangannya yang tidak terlepas daripada kesilapan.
Katanya lagi: "Apa yang kita tolak dalam medan politik sama dengan apa yang kita tolak dalam bidang fiqh iaitu ketaatan yang melulu dan taksub buta serta memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi. Inilah punca kerosakan dan perpecahan."
Menyatakan bahawa ulama mazhab fekah itu suci dan tak berbuat kesilapan pun dilarang, maka apatah lagi menyatakan pemimpin politik yang dikasihi itu maksum tidak tersilap. Tidak ada manusia yang tidak bermaksiat melainkan nabi yang maksum.
Al-Qaradawi berkata lagi: "Saya ingin menyatakan kepada mereka, bahawa daulah Islamiyah bukanlah sebuah negara agama (Teokrasi) seperti yang dikenali umat lain. Saya bermaksud bahawa ia adalah daulah madaniyah yang diperintah oleh syariat Islam.
Rakyat hendaklah membantu mereka apabila mereka berbuat baik dan adil, membetulkan mereka apabila mereka silap dan menolak perintah mereka apabila mereka diperintahkan berbuat maksiat."
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Apabila pemimpin menyeru kepada semangat asabiyah kepuakan, taksub parti sehingga membutakan mata dalam memandang sesuatu isu tanpa usul periksa, memecah belah persatuan umat sehingga melemahkannya hingga ke tahap boleh tunduk dan taat kepada kuasa bukan Islam lagi kafir, maka ia tidak lagi wajib ditaati bahkan mereka wajib menasihati pemimpin yang melakukan kesilapan itu sebagai usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.
Al-Qaradawi juga mengulas isu perselisihan umat dalam kitabnya bertajuk Al-Shahwah Al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa Tafarruq al-Mazmum: "Walau bagaimanapun bukan semua perselisihan adalah keburukan, ia terbahagi kepada dua jenis.
Perselisihan yang membawa kepelbagaian dan keluasan berfikir dan yang kedua ialah perselisihan yang (hanya bermatlamatkan) saling berlawanan satu sama lain. Yang pertama adalah dipuji dan yang kedua adalah dikeji."
Kesatuan adalah saudara kembar kepada iman dan perpecahan pula adalah saudara kepada kekufuran dan jahiliah. Firman Allah yang bermaksud:
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Berbilang parti politik yang mewakili Islam diharap dapat membuka keluasan berfikir dan kebijaksanaan menguruskan hal ehwal umat, bukan sebagai medan bertumbuk, berbalah jiwa dan perasaan yang mengundang dendam politik tidak berkesudahan.
Jelas sekali hal sebegini bukanlah suatu rahmat, bahkan ia suatu azab kepada umat Islam. Jika meja perundingan ditolak dan gelanggang perdebatan dibuka, bukankah ia menunjukkan dendam politik yang bertujuan mahu menjatuhkan satu sama lain?
Natijah yang pasti adalah akan saling mendedahkan aib sesama sendiri yang sudah ditutup oleh Allah dan ia sudah pasti merugikan umat seluruhnya.
Apakah sebenarnya yang mahu dibuktikan dengan majlis saling berbantah-bantahan dalam forum terbuka dan disaksikan ramai orang, sedangkan kaedah menasihat sesama Muslim berbeza dengan cara menasihat penjenayah yang zalim lagi suka menumpahkan darah seperti Fir'aun.
Sedangkan Allah menyuruh Musa dan Harun AS menasihati Fir'aun dengan cara berlemah-lembut sebagaimana termaktub dalam al-Quran yang bermaksud:
Sewajarnya semua ahli politik Muslim meletakkan maslahat Islam atas segala kepentingan. Dengan itu mereka akan bersikap matang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar tanpa melepaskan ikatan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan moral.
Bukankah al-Quran sudah menjelaskan tahap menyeru manusia ke jalan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
Dalam hati orang yang menasihati saudara muslimnya hendaklah sentiasa hadir rasa tawaduk, amat sangat inginkan saudaranya dapat menerima nasihat kerana Allah, jauh sekali mahu menunjukkan kehebatan, bahkan dia berkata-kata seolah-olah dia menasihati dirinya sendiri.
Renungilah ungkapan bijaksana ulama Salaf yang agung, al-Imam al-Fudail bin 'Iyad dalam kitab Al-Faqih wal Mutafaqih:
0 leave ur comment here:
Post a Comment