-PeMiMpiN Baik LaHir DariPaDa MaSyaRaKat SaLiH-

Setiap orang perlu sentiasa bermuhasabah, berusaha untuk memperbaiki diri

KESTABILAN sesebuah negara (pemerintahan dan pentadbirannya) sebenarnya terbentuk bermula daripada diri setiap individu, diikuti peringkat keluarga dan seterusnya kepada masyarakat yang akhirnya menyumbang dalam pembinaan sesebuah negara.


Oleh itu, perlu untuk kita memahami bahawa pemimpin yang baik itu sebenarnya dilahirkan daripada masyarakat kebanyakan iaitu kalangan kita. Jika setiap individu tidak dibina dengan keimanan dan sifat salih, bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin yang baik daripada kelompok masyarakat.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan Allah sudah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, seperti Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang sudah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka asalnya dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 55)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan:

"Dari sini kita berupaya mengetahui dan menilai akan kebenaran janji Allah dan Rasul-Nya. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita memohon kepada Allah supaya Dia selalu melimpahkan kepada kita keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kekuatan untuk mensyukurinya bersesuaian dengan apa yang diredai-Nya."

Ar-Rabi' bin Anas meriwayatkan hadis yang bersumber daripada Abul 'Aliyah ketika menjelaskan firman Allah itu berkata:

"Rasulullah SAW dan sahabatnya tinggal di Makkah sekitar 10 tahun. Mereka berdakwah, menyeru untuk beribadah kepada Allah dan menyembah Sang Khaliq Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Dakwah yang dilaksanakan bersifat rahsia dan secara senyap-senyap. Mereka tidak berani bertindak lebih daripada itu, kerana pada ketika itu, masih belum ada perintah untuk berperang. Perintah keluar berperang hanya muncul sekitar selepas mereka berhijrah ke Madinah.

Pada awalnya mereka berasa takut, sama ada pada waktu pagi atau petang. Mereka selalu sentiasa bersiap sedia dengan senjata. Mereka berada dalam keadaan seperti itu sehingga pada waktu yang dikehendaki oleh Allah dan turunlah ayat berkenaan.

Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai negara Arab, sehingga mereka berasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (ketakutan). Kemudian sesudah Rasulullah SAW wafat, mereka tetap berasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Uthman.

Beliau juga menjelaskan:

"Adalah sahabat kerana mereka kelompok manusia yang paling mentaati perintah Allah sesudah nabi wafat, maka kejayaan yang mereka peroleh itu adalah bersesuaian dengan keikhlasan menegakkan kalimatullah di penjuru bumi di bahagian timur mahu pun barat.

Oleh itu, Allah memperkuatkan kejayaan mereka sekuat-kuatnya sehingga berupaya menakluki pelbagai negeri lain dan menjadi penguasa penduduk negeri mereka takluki. Namun, ketika umat sudah mula lalai menjalani ketaatan kepada Allah, maka menjadi pudarlah kejayaan umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang yang menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat"." (Hadis Riwayat Muslim)

Terbuktilah bahawa sebuah pemerintahan baik dan pentadbiran berkesan lahir daripada masyarakat yang memiliki keimanan, sifat salih dan ketaatan kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi." (Surah Al-A'raaf, ayat 96)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

"Dan demikian kami jadikan sebahagian orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan." (Surah Al-An'am, ayat 129)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud ayat itu:

"Tiada orang yang zalim pun melainkan dia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan daripada kalangan orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang yang zalim lainnya. Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka diseksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan di atas kezaliman mereka."

Al-Walid ath-Tharthusi berkata:

"Sehingga sekarang masih terdengar orang berkata, amalan kamu adalah pekerja kamu. Seperti mana kamu sekarang ini; maka seperti itulah kamu akan dipimpin."

Abdul Malik bin Marwan pernah berkata:

"Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kamu mahukan dari diri kami seperti yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kamu tidak pun melaksanakan apa yang mereka (rakyat Abu Bakar dan Umar) amalkan?"

Dari sini kita dapat mengetahui dan memahami bahawa sifat salih dan adil yang terpancar pada diri pemerintah sebenarnya turut dipengaruhi sifat salih dan keadilan dalam diri masyarakatnya.

Dengan sebab itu, hendaklah kita mula membina sesebuah negara yang baik itu dengan mula mengubah diri kita terlebih dulu. Maka hendaklah kita sentiasa bermuhasabah dan berusahalah untuk memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

wallahualam....

0 leave ur comment here: