KEMATIAN tidak boleh ditangguh walau sesaat. Hakikatnya, ramai yang pergi buat selama-lamanya tanpa meninggalkan pesan, tetapi itulah kehidupan yang dijanjikan, sampai masanya makhluk Allah SWT akan kembali juga kepada pemiliknya.
Walaupun masih ramai yang menyayangi dan memerlukannya di dunia. Kata-kata yang sering kali kita dengar, jika kita boleh membuat permintaan, sudah pasti semuanya mohon untuk menangguhkan kematian.
Tetapi, sesiapa yang terlalu merindui Dia, itulah juga yang ditunggu-tunggu. Orang yang bertakwa dan beramal soleh inginkan kehidupan lebih baik di akhirat kelak. Justeru, peningkatan amal serta takwa penuh keikhlasan dan keyakinan adalah keutamaan setiap umat Islam supaya selamat di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Kehidupan dunia adalah kehidupan untuk orang yang hidup. Mereka memulakan kehidupan seawal usia satu hari sehingga tamat nyawanya seperti direncana Allah SWT. Perlakuan dan perkataan serta diamnya menunjukkan bekalan disediakan untuk kehidupan akhirat yang akan dihitung sebelumnya.
Sesiapa melakukannya dengan penuh kehambaan dan taat kepada suruhan Allah SWT, menjauhi larangan-Nya, Allah SWT menyediakan balasan syurga dan neraka kepada yang ingkar serta bongkak. Kerana itulah, dunia penuh dengan kemewahan buat orang yang mengejarnya dan kesulitan kepada yang tidak memanfaatkan isinya.
Bagaimanapun, jangan pula tidak menyempurnakan sebuah kehidupan buat diri sendiri dan ahli keluarga jika itu menjadi keharusan dan ibadah kepada yang Maha Mencipta.
Kematian, iaitu berpisah nyawa dari roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan dipenuhi roh orang yang sudah meninggal dunia serta sedang menunggu untuk dibangkitkan semula, berkumpul di Padang Mahsyar. Di situ nanti perhitungan dilakukan untuk menentukan kehidupan kekal, yang tiada akhirnya lagi.
Sering kali apabila mengetahui mengenai kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah mendoakan rohnya dicucuri rahmat, keluarga serta kaum kerabatnya dilimpahi pahala berganda, digantikan dukacita dengan sebaik-baik hiburan.
Antara sering diucapkan ialah: “Mudah-mudahan Allah membalas kepadamu dengan pahala yang berganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”
Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah adalah perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Bukanlah sia-sia kepada orang yang turut berkongsi dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberikan ganjaran sama seperti orang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.
Lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat al-Quran dan Yaasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah SWT mengurniakan rahmat. Sedekah makanan kepada keluarga si mati untuk dihidangkan kepada tetamu dan orang ramai yang berziarah serta membaca ayat suci al-Quran adalah perbuatan sangat digalakkan dalam Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah dan mendapat petunjuk-Nya daripada kesesatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Hari ini, seiring kemajuan dunia, jalan raya yang melebar dan kenderaan pelbagai, manusia dikejar waktu dan urusan, kemodenan menawarkan kehidupan pantas dan luar biasa, makanan juga menjadi faktor kematian, apatah lagi masalah dan tekanan lainnya menjadikan usia manusia tidak panjang.
Tetapi itu hanyalah penyebabnya kerana semua sudah ditentukan oleh qada’ dan qadar-Nya. Yang pasti, siapa pun meninggalkan kita, janganlah pula dibezakan sedekah dan ganjaran kepada si mati dan ahli keluarganya yang bersedih.
Bacaan al-Quran, zikir dan tahlil biarlah sentiasa dikirim buat yang pergi kerana Islam tidak mengehadkan amalan itu kepada sesuatu tempoh tertentu, sebaliknya sepanjang masa supaya arwah sentiasa mendapat rahmat dan ketenangan di alam barzakh.
Kepada yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk kita sentiasa beringat akan kehidupan yang sementara cuma, tiada apa dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga merencanakan kebahagiaan di akhirat sana.
0 leave ur comment here:
Post a Comment