Ulama guna wadah politik sebagai jalan perjuangan perlu fahami mereka umpama khadam, bukan tuan
"SESUNGGUHNYA pemerintah itu adalah bayangan Allah. Oleh itu, ulama Salaf seperti al-Fudhail bin 'Iyadh, Ahmad bin Hanbal dan selain keduanya menyatakan: Sekiranya kami memiliki doa yang makbul lagi mustajab nescaya kami akan doakan untuk pemerintah." (Al-Siyasah al-Syar'iyah dan Majmu' Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah juzuk 28, halaman 390-391)
Inilah sikap ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap pemerintah mereka. Suatu sikap yang diwarisi daripada ulama Salafus Salih yang akan terus dipertahankan dalam tatacara berhubungan dengan pihak pemerintah.
Ulama yang memahami keadaan umat Islam dan mempunyai harapan besar untuk melihat kemenangan Islam akan sentiasa mengambil berat kepentingan mendakwahkan pemimpin umat, menyeru mereka dengan nasihat penuh hikmah dan sentiasa membuka jalan dialog dengan semangat berhujah dengan cara yang terbaik antara ulama dan umara demi kepentingan Islam.
Zaman demokrasi sudah membuka ruang yang lebar kepada ulama untuk lebih berperanan menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan membabitkan diri dalam bidang politik, sehingga mereka terpaksa berdepan pemimpin berlainan haluan serta cita-cita.
Tetapi, masing-masing berjanji memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Ulama yang menggunakan wadah politik sebagai jalan perjuangan fisabilillah sentiasa memahami mereka umpama khadam dan orang gaji bagi rakyat, bukannya sebagai tuan dan raja atau rahib yang suci maksum tanpa dosa.
Fakih Tabiin yang zuhud lagi mulia, Abu Muslim Al-Khawalani, masuk menemui Muawiyah bin Abu Sufyan yang waktu itu menjadi Khalifah Islam. Beliau berkata kepadanya: "Assalamu'alaika ayyuha al-Ajir, salam sejahtera atas kamu wahai orang gaji. Lalu berkatalah pemimpin di sekeliling Khalifah: "Assalamu'alaika ayyuha al-Amir, salam sejahtera atas kamu wahai Amir (ketua atau raja). Mereka saling mengulang-ulangi salam itu sehingga Muawiyah berkata: Cukuplah! Biarkan Abu Muslim, sesungguhnya dia lebih arif dengan apa yang dikatakannya."
Abu Muslim dengan kecintaannya kepada khalifah mahu mengingatkan kedudukan beliau adalah seperti orang gaji kepada rakyat. Seperti mana pernah dinyatakan khalifah bijaksana, Umar bin Abdul Aziz sewaktu menerima perlantikannya: "Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu, hanyasanya Allah menjadikan aku lebih berat bebanannya daripada kamu."
Ulama yang ikhlas memperjuangkan Islam dalam arena politik hendaklah memiliki sensitiviti jiwa yang halus, sentiasa memperbaharui niat dan menilai strategi dijalankan, bukan untuk keuntungan partinya semata-mata, bahkan hendaklah melihat daripada sudut lebih luas dan terbuka serta menerima pandangan parti lain demi kepentingan agama.
Mereka hendaklah sedar, perjuangan itu bukan untuk parti tetapi untuk umat Islam keseluruhannya dan agama Allah semata-mata. Maka, hendaklah dikikis rasa kebencian dan dendam yang pernah ditoreh oleh parti lain ke atas mereka.
Ingatlah, sunnah Rasulullah SAW yang menyeru kepada jihad kerana Allah semata-mata, bukannya kerana membela suatu kaum atau menuntut balas atas kematian keluarga apatah lagi kerana mahukan habuan dunia.
Ulama yang mahu menegakkan Islam perlu mengkaji strategi politik Rasulullah SAW yang memaafkan kaum Quraisy pada hal merekalah yang membunuh bapa saudara yang paling dikasihinya, Hamzah bin Abdul Muttalib.
Orang kafir Quraisy itulah yang merampas harta benda umat Islam pengikut Nabi SAW dan mengusir mereka dari tanah air Makkah, menyeksa bahkan membunuh orang Islam awal yang mereka kasihi.
Tetapi, saat terbukanya gerbang kemenangan Fathu Makkah, mereka memasuki Makkah dengan semangat sebagai rahmat untuk sekalian alam, semangat perdamaian demi menyatukan kekuatan semata-mata untuk menegak dan menyebarkan lagi agama Islam.
Pada saat di Madinah, Rasulullah SAW juga sentiasa mengingatkan kaum Aus dan Khazraj supaya jangan sesekali membangkitkan sentimen jahiliah mengenai Peperangan Buath kerana ia boleh menjejaskan kesatuan umat dan melemahkan Islam.
Betapa jelas teladan dan contoh yang dicatat oleh sejarah umat ini, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan dendam politik walaupun ke atas orang kafir. Inilah uswah hasanah dan sunnah yang wajib diikuti dalam berhadapan dengan mereka yang pernah dimusuhi.
Seandainya orang yang mahu membela Islam dalam arena politik masih memiliki saki baki kudis dendam ke atas golongan dan parti umat Islam lain serta menutup pintu serapat-rapatnya, menolak sebarang bentuk rundingan bagi mencapai perdamaian maka dikhuatiri niat perjuangan mereka tidak lagi murni dan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Mungkin sudah timbul bibit-bibit niat lain yang berputar sekitar perebutan kuasa, kedudukan dan sentimen kepuakan yang penanda arasnya adalah saling memuji diri sendiri dan merendahkan puak lain.
Semua itu hembusan fitnah habuan dunia dan sifat takbur dengan kekuatan sendiri yang ditiupkan oleh syaitan. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya berhati-hati terhadap penyakit hati yang boleh mengharamkan syurga ke atas orang yang dijangkitinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Selain keikhlasan, sifat memaafkan dan semangat menyatupadukan umat, kekuatan politik Rasulullah SAW juga terletak pada amalan syura. Daulah Islam tidaklah dibina melalui politik kuku besi.
Bahkan Islam menyeru supaya dipotong kuku yang mencengkam bahu rakyat, juga dipotong kuku besi yang menyuruh pengikut taat dan setia secara membuta tuli, yang memperguna agama sebagai tali pencekik yang mengikat leher umat dan menakutkan mereka dengan gelaran murtad atau kafir.
Daulah Islam bukanlah seperti amalan politik rahib dan pendeta Kristian yang mengamalkan negara teokrasi di Eropah suatu ketika dulu. Mereka menguasai rakyat dengan undang-undang ciptaan yang dicapkan agama, yang mengikut hawa nafsu dan keinginan sendiri dan mendakwa kebijakan politik mereka itu adalah suara Tuhan.
Mereka mengaku kerajaan yang dibina adalah kerajaan Tuhan tetapi sebenarnya rakyat ditipu supaya mereka tidak melawan setiap kebijakan politik raja yang menjadi sekutu golongan gereja. Rakyat tidak boleh bersuara, membangkang apatah lagi melawan. Kerana suara Tuhan dan rahibnya lebih berkuasa dari suara rakyat yang hina. Lihatlah betapa liciknya mereka memperbodohkan rakyat.
Al-Quran menceritakan keadaan mereka ini dalam ayat yang bermaksud:
Rahib itu dijadikan seolah-olah Tuhan kerana mereka percaya pemimpin agama yang berkuasa itu semuanya maksum, tidak akan tersilap langkah dan wajib ditaati seperti mana mereka mentaati Tuhan. Siapa yang membangkang akan dikafirkan bahkan dihalalkan darahnya.
Sedangkan amalan politik Islam seperti mana diperjuangkan Rasulullah SAW ketika mendirikan Daulah Islamiah sama sekali jauh daripada amalan kuasa mutlak di tangan pemimpin tanpa mengambil kira pandangan pengikut dan rakyat.
Politik Islam hakikatnya memperjuangkan suara rakyat. Walaupun Rasulullah SAW bersifat maksum tetapi dalam mengambil kebijakan politik yang tidak turun wahyu padanya, Baginda SAW sentiasa mengambil kira pandangan sahabat dan umat Islam keseluruhannya.
Rasulullah SAW pernah bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi dalam perang Khandak, Rasulullah SAW juga mengikuti suara terbesar ketika mengambil keputusan menyerang orang kafir di luar kota Madinah saat perang Uhud.
Padahal pandangan Rasulullah SAW pada mulanya adalah menyerang mereka di dalam kota. Tetapi disebabkan Rasulullah SAW melihat ramai di kalangan pemuda Ansar bersetuju keluar menyerang, akhirnya Rasulullah SAW akur dengan keputusan suara terbanyak, walaupun Baginda seorang Rasul yang maksum dan mendapat dokongan wahyu dari langit.
Memelihara perdamaian dan kesatuan umat adalah perjuangan sunnah Rasulullah SAW sedangkan dendam politik dan takbur parti dan kepuakan adalah benih dosa dan maksiat yang akan meruntuhkan kekuatan umat.
Kuasa memerintah adalah anugerah Allah dan amanah kepada orang mukmin. Pembela Islam yang kalah dalam perjuangan politik dunia tetap akan menerima pahala di sisi Allah, maka mereka tidak perlu sedih dan berputus asa.
Maka tiada sebab untuk mereka merosakkan niat suci kerana inginkan kemenangan dunia semata-mata. Mereka wajib percaya mereka hanyalah penyambung risalah perjuangan nabi dalam membela agama Allah, kalah dan menang hanya sebuah permainan dunia yang akan menjadi dugaan terhadap matlamat dan tujuan akhirat mereka..
0 leave ur comment here:
Post a Comment