Adalah malang pemimpin perlukan teguran leka dengan kata-kata pujian, lupa masalah rakyat
NASIHAT dan peringatan begitu diperlukan manusia kerana dengannya mereka akan didorong untuk sentiasa berada dalam kebaikan dan kebenaran. Beberapa ayat Allah menegaskan kepentingan peringatan kerana ia mendatangkan manfaat, khususnya kepada golongan beriman.
Kepentingan nasihat juga ditegaskan oleh Nabi SAW dalam hadis Baginda sehingga dikatakan bahawa Islam itu adalah nasihat. Agama terletak pada nasihat yang mengandungi unsur ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya selain keimanan serta usaha beramal dengan kitab-Nya serta Sunnah Rasul-Nya.
Manfaat atau kebaikan besar yang terkandung dalam nasihat terserlah pada maksud perkataan itu sendiri. Nasihat mengandungi maksud supaya individu yang dinasihati memperoleh keuntungan atau faedah.
Selain itu, nasihat juga terkandung kaedah penyampaian iaitu dengan menggunakan kata yang dipilih dengan teliti dan dihalusi di samping berasaskan ketulusan hati serta tidak dipengaruhi maksud yang buruk.
Nasihat dan peringatan lebih-lebih lagi diperlukan oleh pemimpin disebabkan beban serta amanah besar yang dipikul mereka. Adalah malang seandainya mereka tidak memiliki kumpulan penasihat yang sentiasa bersedia untuk memberikan nasihat serta peringatan secara telus.
Pada zaman silam, cendekiawan dan ulama sentiasa memainkan peranan besar dalam menasihati dan memberikan bimbingan dengan berani lagi telus kepada pemerintah. Antara mereka termasuklah Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abdis Salam, fakih Mazhab Syafie yang agung dan tokoh pengislah kurun ke-13 masihi.
Suatu ketika, beliau pernah menghadiri jamuan diraja pada hari raya dan sebagai kunjungan hormat terhadap baginda sultan. Pengawal diraja dan kumpulan tentera berdiri di bahagian hadapan sementara sultan bersemayam di singgahsana di kelilingi pegawai kerajaan di tempat masing-masing, berdasarkan kemegahan istiadat Kesultanan Mesir.
Putera dan pembesar serta orang kenamaan mula memberikan penghormatan kepada Sultan al-Salih Najmuddin dengan mencium lantai di hadapan baginda. Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abdissalam hanya memperhatikan semua yang sedang berlaku.
Kemudian, beliau berpaling menghadap sultan lalu mengatakan dengan suara yang lantang: "Wahai Ayyub, apakah yang akan menjadi asas bagi tuan untuk mempertahankan diri di hadapan Allah apabila Dia menanyakan kepada tuan, "Bukankah sudah Kuberikan kerajaan Mesir kepada kamu, namun kamu masih juga membiarkan tempat manusia berfoya-foya terus wujud?
Tentera yang berada dalam majlis itu hanya berdiam diri sementara Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abdissalam terus mengemukakan pandangannya dengan lantang. Sultan menjawab teguran diberikan dengan mengatakan: "Wahai tuan faqih, bukanlah beta yang mengizinkan tempat itu dibuka, ia sudah pun berada di situ sejak zaman pemerintahan ayahanda beta.
Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abdissalam kemudian berkata pula: "Jika demikian, tuan adalah salah seorang yang mengatakan, kami mendapati bahawa bapa kami sekadar menurut tradisi yang sudah pun wujud sejak sekian lama."
Anak murid Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abdissalam, al-Baji kemudian bertanya kepada gurunya alasan atau sebab yang mendorong beliau menegur sultan dengan lantang pada majlis yang hebat lagi mulia seumpama itu.
Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abdissalam menjelaskan beliau dapat melihat keagungan yang meliputi kehidupan sultan dan beliau bimbang seandainya kebanggaan baginda terhadap kuasa serta dirinya akan akhirnya menguasai serta membinasakan dirinya.
Al-Baji bertanya: "Tidakkah tuan berasa takut akan baginda sultan? Beliau menjawab: "Pada hakikatnya, yang jelas hanyalah keagungan Allah sedangkan baginda pula begitu kerdil pada pandangan mataku."
Ibn Hajar membuat catatan ringkas dalam tulisannya bahawa sultan tidak mempunyai pilihan lain kecuali menitahkan kemudian supaya tempat berfoya-foya itu akhirnya dihapuskan sama sekali.
Zaman silih berganti dan pada hari ini, kita dapati peranan dan sumbangan golongan ilmuwan serta cendekiawan tetap kekal penting dan diperlukan. Apatah lagi pada zaman kini yang memperlihatkan ancaman dan ujian terhadap agama Islam serta umatnya semakin besar lagi hebat.
Namun, malang sekali jika golongan yang diberikan pelbagai gelaran sebagai memuliakan serta mengiktiraf kedudukan mereka, tidak mampu untuk bersuara serta bertindak. Sebaliknya hanya sekadar merelakan dan mengiyakan apa juga keputusan serta tindakan meskipun ternyata ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan malah ada ketikanya hanya mendatangkan kerugian semata-mata.
Betapa malangnya mereka kerana tidak berupaya memanfaatkan ilmu dimiliki untuk memberikan nasihat yang betul, secara bijaksana, ikhlas serta berani kepada pihak yang memerlukan nasihat terutama pemerintah.
Lebih malang seandainya mereka menggunakan ilmu, gelaran serta kedudukan yang dimiliki hanya untuk kepentingan diri dan meraih segala kenikmatan duniawi. Nasihat sebenar diperlukan tidak diberikan dengan sebaik-baiknya, sebaliknya pihak yang memerlukan nasihat dihanyutkan dengan kata-kata pujian hingga mereka lupa akan masalah serta kesulitan sebenar dialami rakyat.
Dasar yang tidak menguntungkan misalnya tidak sama sekali berani untuk disanggah atau dikritik kerana mereka memikirkan kesan buruk seandainya tindakan sedemikian dilakukan. Kepentingan rakyat tidak termasuk dalam perkiraan dan perhitungan.
Sedangkan golongan digelar ilmuwan menyedari di bahu merekalah disandarkan harapan sentiasa menasihati pemimpin supaya mempertahankan kepentingan serta kebajikan seluruh rakyat yang dipimpin.
Alangkah malangnya mereka kerana berharap pada sekumpulan insan dianggap mampu memimpin dan membimbing kepada kebaikan serta kebenaran namun hakikatnya, tiadalah impian besar itu menjelma menjadi kenyataan malah yang diperoleh hanyalah kehampaan semata-mata.
Tiada juga perubahan dan kemajuan yang dicapai namun sebaliknya mereka terus-menerus dibelenggu kejahilan dan kemerosotan. Besarlah pula kesalahan ditanggung golongan ilmuwan itu kerana tidak menunaikan amanah terhadap ilmu yang dimiliki dan tidak menyampaikan nasihat bermanfaat kepada pihak yang memerlukannya.
Bagaimana mungkin mereka dapat mempertahankan diri apabila kelak dipersoalkan di hadapan Allah pada hari segala amal serta perbuatan menjadi saksi bagi mereka dan bukannya diri mereka sendiri atau juga pembela mereka semasa hidup di dunia.
0 leave ur comment here:
Post a Comment