-KeMerdeKaan nEgara aDaLaH nikMat terBeSar-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt).



Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 sudah pasti akan menyemarakkan lagi semangat patriotik dan rasa gembira dan bangga kita sebagai warga negara yang akan dirayakan 3 hari lagi. Dengan tema ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ kecintaan kepada tanah air bertuah ini kian bersemarak di sanubar kita. Setiap kali kemerdekaan disambut, ia pasti mengembalikan ingatan penuh nostalgia saat-saat tanah bertuah ini bebas daripada cengkaman penjajah.

Kecintaan yang kuat terhadap tanah air sendiri adalah obor pencetus semangat untuk terus membawa kemajuan kepada setiap diri warga negara bagi sama-sama memikul tanggungjawab untuk mengekalkan kemerdekaan yang diperoleh atau memajukan negara sehingga ke tahap kecemerlangan.

Kemerdekaan negara ini adalah nikmat terbesar kurniaan Allah kepada seluruh warga. Kita harus ingat, nikmat ini tidak semua dapat dirasai oleh semua penduduk dunia. Berapa ramai umat manusia pada hari ini berjuang sejak berpuluh-puluh tahun untuk membebaskan bumi kelahiran daripada cengkaman bangsa asing dan ingin merasai nikmat hidup bebas dalam sebuah negara yang merdeka.

Namun rahmat Tuhan pasti akan datang dengan syarat setiap hamba-Nya tidak mudah patah semangat dan berpaling tadah dari nawaitu asalnya. Firman Allah dalam surah ar-Ra’du ayat 11 bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubah keadaan hidup mereka.”

Berjihad dan berkorban jiwa raga untuk memerdekakan negara daripada belenggu penjajahan sebagaimana yang dilakukan bekas pejuang kemerdekaan negara kita, adalah di antara golongan insan mulia disanjung tinggi oleh Islam.

Kedatangan Islam itu sendiri sebenarnya membawa mesej jelas dan bersifat kemerdekaan. Islam menyeru setiap umatnya membebaskan diri daripada dibelenggu kejahilan terhadap Allah.

Islam yang syumul meletakkan kesejahteraan, keharmonian, kedamaian dan keamanan pada martabat paling puncak.

Islam juga bersifat merdeka dalam maksud berjihad membebaskan diri dari terjerumus dalam keruntuhan akhlak dan tingkah laku yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah. Lantaran itulah Islam begitu menitikberatkan usaha membebaskan diri dengan menyelamatkan tamadun manusia dari terus hidup dalam gelombang nafsu yang diselaputi sifat syirik kepada Allah, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan melalui sistem perhambaan dan penindasan yang berlaku sesama makhluk Allah di muka bumi ini.

Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab setiap warga yang cintakan negara untuk menghalang segala unsur negatif yang cuba dan sedang menyelinap masuk ke dalam pemikiran hidup masyarakat kita.

Sehubungan itu, semua umat Islam haruslah mengisi ruang kemerdekaan ini untuk terus berjihad membebaskan diri dari sifat yang boleh meruntuhkan wibawa manusiawi kerana ia amat dimurkai Allah.

Sebaliknya isi nikmat kemerdekaan ini dengan meneruskan perjuangan demi kestabilan negara agar ia terus dapat diwarisi oleh generasi terkemudian, sanggup berkorban dan sanggup pula menghadapi kerenah era globalisasi agar kita dapat menjadi bangsa yang mampu bersaing dengan bangsa lain di dunia.

Dengan roh dan semangat merdeka, marilah kita berganding bahu bertekad mempertahankan negara dari sebarang anasir serta ancaman yang boleh menggugat kestabilan hidup warga dan tanah air tercinta ini.

Kita jejaki sunnah perjuangan Rasulullah yang melipat gandakan usaha untuk membebaskan umat Islam era Madinah dan Makkah dari cengkaman kekufuran dan menjadi hamba serakah nafsu, maka wajarlah kita berusaha untuk membebaskan diri kita dari apa juga gejala yang tidak sihat dan sebarang permasalahan yang boleh mencetus prasangka.

wallahualam..

2 leave ur comment here:

Ibnu Siddique said...

Assalamualaikum..

ukhti..afwan ya..

"hubbul wathon minal iman"..itu bnar2 hadis sohih bukhari dan muslim ya..hadis ke brp ye?sbb..saya prnh dgr...katanya hadis tu maudhu'..mohon di tunjuki dan di ajari..

♥Niesa' imana♥ said...

waalaikumussalam..

subhanallah..
syukran ya akhi kerana menegur..
ana terlepas pandang semasa publish..

tak silap ana,ana juga pernah terbaca,Al-Albani menyebutkan dalam Silsilah bahawa dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda :
"hubbul wathon minal iman"
Ertinya: Cintakan tanahair adalah sebahagian dari iman
Al-Albani berkata : Ash-Shaghani berkata ; Hadith ini adalah Maudhu’
*Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 61

Hadis ini banyak digunakan oleh golongan yang ingin mempertahankan fahaman asabiah. Ulama hadis meletakkan hadis ini di taraf palsu (maudhu'). Imam al-Saghghani dan lain-lainnya mengatakan hadis ini hadis mauduk. Makna hadis ini tidak benar kerana sesungguhnya cintakan tanah air setaraf dengan cintakan harta, diri sendiri, anak-anak dan sebagainya. Semua yang disebut itu adalah termasuk dalam perkara naluri atau gharizah yang tidak akan ada pujian bagi yang mencintainya, dan yang demikian itu bukan termasuk daripada bahagian iman kerana ia dipunyai oleh semua manusia sama ada Islam atau kafir..wallahualam..

sekadar perkongsian untuk sahabat/sahabiah..
Kehadiran hadis maudhu' atau palsu bermula sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w dan berlakunya pertentangan politik, kemudian ia berkembang melalui perkembangan arus politik, asabiah, fanatik mazhab dan sebagainya. Ianya dilakukan oleh orang Islam sendiri yang lemah imannya dan juga oleh orang-orang munafik dan kafir zindik dengan pelbagai dorongan dan tujuan.

perbetulkan kalau ana silap..syukran jazillan..