Antara senario menyakitkan mata ketika menunaikan solat Jumaat/solat fardhu berjemaah di sebuah masjid ialah wujudnya masalah saf terputus yang mana kelompok jemaah berpecah. Begitu juga apabila solat di surau berhampiran rumah, sering menyaksikan bapa membawa anak-anak yang tidak duduk diam dan seterusnya menyebabkan saf terputus. Persoalannya, apakah hukumnya apabila saf terputus? Apakah kita mendapat pahala solat berjemaah atau sebaliknya
Antara perkara yang amat diambil berat dalam soal peraturan solat berjemaah ialah lurusnya saf, malah ia salah satu daripada kesempurnaannya. Dalam hadis sahih, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud:
“Luruskan saf, kerana ia adalah kesempurnaan mendirikan solat.” (Al-Bukhari no 723, Muslim no 1003).
Dalam hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah, ada tambahan, iaitu jika kamu tidak meluruskan saf, maka Allah SWT akan mewujudkan perselisihan pada hati-hati kamu.
Dalam riwayat Ahmad pula, Nabi memberitahu kita, saf yang tidak dirapatkan antara bahu-bahu itu akan mengakibatkan kemasukan syaitan di antaranya, lalu ia merosakkan solat kamu (menghilangkan rasa khusyuk) (Riwayat Ahmad no 22317).
Malah, ketegasan lebih jelas apabila Nabi saw bersabda bermaksud:
“Jangan sampai aku melihat celahan antara saf-saf.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir no 11453).
Berdasarkan hadis di atas, kita dapat membuat kesimpulan berikut:
# Tuntutan merapatkan saf dalam solat dan larangan keras memutuskannya.
# Doa kehilangan keberkatan pada orang yang memutuskan saf atau menyebabkannya menjadi bengkok.
# Akan timbul perselisihan pada hati-hati mereka.
# Menyebabkan tidak dapat pahala berjemaah kerana terputus saf dengan jemaah yang lain.
# Sekiranya dilakukan dengan sengaja, ia haram kerana menyebabkan jemaah yang berada di samping kita turut tidak memperoleh pahala berjemaah yang dijanjikan dalam hadis-hadis yang sahih. Kewujudan tiang yang menghalang saf bercantum adalah suatu yang dimaafkan kerana ia adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.
# Imam bertanggungjawab memberitahu makmum kewajipan meluruskan saf kerana ia adalah amalan Nabi SAW.
Dalam perkara kedua pula iaitu amalan membawa anak-anak ke masjid adalah suatu perkara yang amat digalakkan. Dalam banyak hadis sahih menunjukkan Nabi SAW menyegerakan solat apabila mendengar tangisan bayi kerana bimbang bahaya terhadapnya. Ini menunjukkan sahabat turut membawa anak bersolat berjemaah di masjid bersama Nabi SAW. Demikian pula Nabi SAW pernah ditunggangi oleh cucu baginda ketika sedang sujud hingga menyebabkan baginda melambatkan rukun berikutnya.
Berpandukan hadis ini, kalangan ulama meletakkan garis panduan tertentu untuk menjaga kepentingan roh solat agar sentiasa ada khusyuk dan selamat daripada najis yang boleh disebabkan oleh anak, antaranya:
# Kanak-kanak itu sudah pun mumayyiz
# Anak itu diletakkan dalam saf khas dalam kebanyakan sistem yang diguna pakai di masjid .
# Kewajipan ibu bapa atau imam memberi ingat kepada jemaah kanak-kanak agar berakhlak mulia ketika di masjid, terutama ketika solat berjemaah.
Ini antara adab penting yang mesti diikuti oleh umat Islam bagi melahirkan jemaah berkualiti yang menjadi objektif utama solat jemaah disyariatkan.
In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)..
Sebagai seorang Newbie atau pemula di dunia blogging sejak sebulan yang lalu..hehehe..(baru la jugak).. ana belum dapat award..huhu.. syukran to ukhti qudwatul hasanahwho gives me an award ("FRIEND AWARD"),and this is my first award act..
pada mulanya ana beranggapan award atau tag tidak memberikan apa2 faedah untuk dipost dalam blog ni,tetapi dari sudut positifnya bagi diri ana adalah untuk mengeratkan ukhuwah silaturrahim yang terjalin antara kita..
semoga ukhuwah antara kita dan semua sahabat/sahabiah akan sentiasa dieratkan,memperingati antara satu sama lain dan sentiasa berlapang dada...insyaALLAH..
Semoga ukhuwah antara kita akan diberkati Allah. Ameen..
AL-QURAN mempunyai pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah perjuangan anbia dan perkhabaran ghaib yang pasti menjanjikan kesejahteraan, kebahagiaan, kesejahteraan hidup insan dunia dan akhirat.
Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan berbeza membacanya tanpa matlamat. Menghayati kandungan al-Quran memberi kelebihan apatah lagi jika dapat difahami suruhan serta tegahan terkandung dalamnya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya sudah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 15-16)
Sebagai pemimpin kepada anak yang sedang dewasa, ibu bapa wajar membimbing mereka menjadi generasi celik al-Quran selaras usaha kerajaan melalui program Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) yang diajar di sekolah rendah.
Matlamat program j-QAF ialah melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna, menulis semula ayat yang sudah dibaca, memberi kefahaman mengenai isi kandungan al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?” (Surah al-Qamar, ayat 17)
Namun, apa yang perlu diberi perhatian ialah ibu bapa perlu terlebih dulu celik al-Quran dan turut melengkapkan diri mempelajari serta mendalami al-Quran supaya dapat mendidik anak dengan kaedah yang betul.
Kita sedih melihat generasi Islam sekarang lebih mudah dan gemar menghafaz lirik lagu termasuk dalam bahasa asing walaupun mereka tidak memahami apa yang dihafalkan, sedangkan ayat al-Quran tidak meluncur lancar di bibir mereka.
Inilah pentingnya didikan awal kerana asas yang tertanam dalam diri anak tunjangnya bermula daripada didikan, teladan dan amalan yang dapat mereka lihat di sekeliling.
Barangkali kerana kealpaan terhadap al-Quran, ramai anak muda yang dibelenggu masalah diri, keluarga atau rakan lebih senang mengambil tindakan bertentangan ajaran agama konon untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
Ada terbabit dengan arak, dadah, pil khayal, lari dari rumah, ponteng dan pelbagai kegiatan jenayah lain sebagai cara membebaskan diri daripada masalah serta tekanan.
Padahal pada saat begini mereka boleh kembali mencari diri, ketenangan dan kekuatan dengan membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya mendengar alunan bacaan ayat suci itu.
Firman Allah bermaksud:
“Dan kami turunkan kepadamu kitab untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri kepada Allah.” (Surah al-Nahl, ayat 89)
Membaca al-Quran adalah ibadat. Allah memberi ganjaran pahala jika usaha memartabatkan isi kandungannya dapat diamalkan bersama.
Antara kaedah mudah boleh dimulakan ibu bapa mendekatkan diri dengan al-Quran ialah:
# Mengkhususkan masa antara Maghrib dan Isyak untuk bersama keluarga bertadarus al-Quran. Selain dapat membetulkan bacaan antara satu sama lain, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan.
# Seandainya ibu bapa tidak mahir membaca al-Quran, dapatkan guru yang mampu membantu ahli keluarga membaca ayat suci itu dengan betul dan tepat.
# Semarakkan kehidupan berkeluarga dengan bercerita kisah nabi daripada al-Quran. Setiap ahli keluarga boleh bergilir bercerita.
# Jika bermusafir, biasakan mendengar rakaman bacaan ayat suci al-Quran atau alunan zikir.
# Tidurlah dengan alunan bacaan ayat al-Quran. Biasakan menidurkan anak dengan lafaz ayat al-Quran.
Apabila bibir sentiasa dibasahi bacaan al-Quran, ia menjadi sebati dalam jiwa seseorang. Ia akan mengalir bersama darah, menjalar ke seluruh urat saraf dan kesannya akan terpamer melalui ketrampilan diri, peribadi dan perwatakan. Inilah individu generasi al-Quran.
GOLONGAN munafik sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati.
Firman Allah yang bermaksud:
“Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” - (Surah al-Munafiqun, ayat 1)
Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam.
Pada zaman Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu.
Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” - (Surah Ali-Imran, ayat 167)
Ulama mengkelaskan golongan munafik kepada dua keadaan. Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja.
Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - (Surah al-Baqarah, ayat 8)
Hakikatnya, golongan itu sudah terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada keimanan seseorang di sisi Allah.
Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.” - (Surah an-Nisa’, ayat 145)
Keadaan kedua disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud:
“Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - (Hadis riwayat Bukhari)
Jelas kepada kita ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.
Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?
Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak tetapi dengan mengamalkannya sudah cukup untuk melayakkan diri menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.
Sebagai Muslim yang berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba sentiasa mendapat keredaan Allah, tidak boleh tidak, semua sifat dan perbuatan yang melambangkan perihal orang munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.
Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Bermuhasabah juga, membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri.
Kadang-kadang kita tidak sedar perbuatan itu melampaui batas ditetapkan agama. Muhasabah diri menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan setiap amalan tidak terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.
Firman Allah yang bermaksud:
“Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” - (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya:
“Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”
Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.
Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu dapat membantu kita daripada terus hanyut di bawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.
Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Agama itu nasihat.” - (Hadis riwayat Muslim)
Allah juga mengingatkan pentingnya sentiasa memberi peringatan yang sememangnya akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - (Surah az-Dzariyat, ayat 55)
Marilah sama-sama berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah satu perlakuan biasa tanpa ada rasa bersalah dan takutkan azab yang sentiasa menunggu bagi mereka yang tidak menyesali segala perbuatan jahat dilakukan.
Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat golongan munafik itu. Sesuai sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
PERSEPSI yang bertapak di minda masyarakat bahawa masjid hanya tempat bagi mereka berkelapangan, orang tua yang bersara atau yang alim ilmu keagamaan, persepsi jumud yang tidak harus wujud pada zaman ketandusan aspek nilai murni hidup bermasyarakat.
Betapa besar ganjaran bagi mereka yang memakmurkan masjid dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, namun ada golongan masih sukar diikat hatinya untuk hadir ke rumah Allah.
Masjid ialah institusi yang bukan saja penting bagi umat Islam untuk tujuan ibadat malah, menjadi pusat percambahan dan pengembangan ilmu pengetahuan, penyatuan perpaduan masyarakat, tempat mencari ketenangan jiwa dan suatu masa dulu sebagai tempat mesyuarat dan penstrukturan pentadbiran kerajaan.
Pembinaan Masjid Quba, ketika hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah antara program awal dalam kerangka kronologi peristiwa agung hijrah membuktikan pentingnya masjid dalam pembentukan kerajaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga masjid. Masjidku ini (Masjid Nabi), Masjidilharam dan Masjidilaqsa. Aku juga pernah mendengar Baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita musafir selama dua hari melainkan bersama mahram atau suaminya.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengimarahkan masjid harus menjadi tanggungjawab setiap Muslim merentas sempadan usia, bangsa, warna kulit dan tidak mengira masa. Masjid tidak hanya dipenuhi pada Jumaat atau Ramadan dan hari raya.
Paradigma sesetengah kita masjid tempat bagi ulama saja suatu yang perlu diubah. Persepsi salah masjid hanya tempat mereka yang pencen wajar ditepis. selaras hadis Baginda SAW yang menggesa umatnya merebut peluang masa muda sebelum tua dan masa sihat sebelum sakit.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Ketika usia muda biasanya kesihatan lebih baik berbanding apabila umur meningkat yang sering uzur seperti sakit sendi, lenguh otot, cepat penat, letih, termasuk kurangnya penglihatan serta pendengaran untuk menangkap kandungan program ilmu yang disampaikan.
Bagi menjadikan perkara yang baik itu tabiat, ia memerlukan proses membiasakan diri seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tarbiah dianjurkan sepanjang Ramadan harus menjadi motivasi yang cukup untuk menjadikan seseorang menggantungkan hatinya di masjid.
Anak harus dibiasakan sejak kecil berjinak dengan masjid. Mungkin pada peringkat awal, mereka diajak bersolat waktu saja dan lama-kelamaan apabila rasa cinta sudah berputik, masa di masjid boleh dipanjangkan untuk mengikuti kuliah dan majlis ilmu.
Mungkin ada juga yang berpandangan tidak semestinya orang selalu ke masjid baik atau mereka yang sentiasa bersolat di rumah lebih khusyuk dan ikhlas, selaras dengan keutamaan untuk menjaga hati terutama dalam hal ibadah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanya orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun), kecuali Allah. Maka, mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)
Pihak pengurusan masjid perlu sentiasa proaktif mencari idea dan membuat perancangan program untuk menarik masyarakat menjinakkan hati mereka yang lebih muda untuk ke masjid.
Selain mewujudkan suasana beribadah yang kondusif dari segi penjagaan kebersihan, pelbagai program perlu diatur untuk mencapai objektif menjadikan masjid sebagai rumah kedua.
Program sukan misalnya, boleh distrukturkan bersesuaian dengan matlamat menjemput golongan lebih muda dan aktif supaya turut sama menjayakan program mengimarahkan masjid.
Majlis ilmu yang dianjurkan harus dapat menarik perhatian pelbagai lapisan usia dan kelas pengajian tidak harus fokus kepada satu golongan saja.
Sesungguhnya amat bertuah jika program dianjurkan masjid dihadiri mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki sebelum ini dan lebih bertuah jika impak program itu menjadikan mereka pengunjung tetap masjid selepas itu.
Malang jika kali pertama mereka yang mula menjinakkan diri ke masjid mengambil keputusan sebaliknya hanya disebabkan faktor yang menjatuhkan imej sesebuah masjid disebabkan tidak peka kepada keperluan jemaah.
Golongan yang mula menjinakkan hati ke masjid wajar diberi sokongan tanpa mengira latar belakang, cara berpakaian asalkan menutup aurat, teguran penuh berhikmah jika ada kesilapan dilakukan sewaktu beribadah.
Kritikan secara terbuka atau dengan cara memberitahu orang lain kesilapan jemaah baru boleh mengakibatkan malu pada diri dan akhirnya itulah kali pertama yang menjadi kali terakhir mereka singgah bersolat di masjid.
Selain usaha memupuk kesedaran dalam diri sendiri, sokongan masyarakat sekitar tidak boleh dinafikan kepentingannya. Justeru, kehadiran di masjid patut diraikan setiap yang ada supaya matlamat mencari keredaan serta rahmat dapat dicapai.
Masjid adalah kunci kerahmatan, pintu perpaduan, ada semangat persaudaraan dan ia ditinggikan martabatnya sebagai tempat paling mulia di bumi sebagai rumah Allah. Tidak hadirkah rasa mulia di hati kita untuk menjadi tetamu-Nya?
CIRI utama ibadat dalam Islam berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antara lain membina ukhuwah serta perpaduan.
Justeru, Allah mengisyaratkan setiap mukmin adalah bersaudara seperti firman Allah bermaksud:
“Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Orang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan keluarga. Mereka berkewajipan memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan membantu dalam kehidupan seharian.
Inilah ciri persaudaraan Islam unggul dibina Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah. Persaudaraan berasaskan akidah itu berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai pegangan agama dan kabilah.
Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara Ansar dan Muhajirin. Dinyatakan keluarga Ansar yang memiliki dua pakaian memberikan sehelai kepada saudaranya daripada golongan Muhajirin.
Mereka yang memiliki dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin dan mereka mempunyai dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati masyarakat Islam pada zaman Nabi SAW.
Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan, malah ada sesetengah keluarga tidak mengenali saudaranya serta jarang berjumpa.
Sesetengah jiran tetangga pula tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran, peniaga memeras pengguna, majikan mengabaikan kebajikan pekerja atau fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan golongan berada.
Fenomena hasad dengki, khianat, dendam dan buruk sangka berleluasa dalam masyarakat. Dalam perkembangan semasa, apa yang membimbangkan lagi ialah berlaku permusuhan dan perbalahan di kalangan pemimpin serta pengikut parti politik yang pasti mengancam kekuatan dan kedaulatan umat.
Persoalan besar timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan kita semakin mengecil? Antara sebabnya ialah pegangan akidah dan takwa umat Islam sedang dilanda krisis.
Kehidupan harian sebahagian umat Islam tidak dikuasai iman dan akhlak, tetapi dipengaruhi nafsu yang mengutamakan kepentingan peribadi, bukan kepentingan agama, masyarakat dan negara.
Menangani permasalahan membimbangkan ini, segenap lapisan masyarakat Islam diseru menghayati budaya ukhuwah dan perpaduan dengan kaedah digariskan Allah antaranya:
#Mengikis perbuatan saling mencaci, mengeji, mengadu domba dan berprasangka buruk antara satu sama lain yang menjadi punca perselisihan dan perbalahan.
Ini selaras dengan perintah Allah dalam firman bermaksud:
“Wahai orang beriman! Jangan sesuatu puak merendahkan puak lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula wanita ke atas wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan jangan kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruk sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
#Memastikan hak sosioekonomi dan politik dalam masyarakat dipenuhi dengan adil serta saksama. Hindari diskriminasi dalam apa juga aspek menyentuh kepentingan individu.
Dengan terlaksana keadilan, timbul kepuasan mewujudkan persefahaman, penghormatan dan kerjasama yang sekali gus mengukuhkan perpaduan. Firman Allah bermaksud:
“Wahai orang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)
#Setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berfikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa juga kebajikan dilakukan oleh sesiapa saja selagi kegiatan itu berlandaskan tuntutan syarak, berkebajikan dan mendatangkan maslahah umat.
Hindari sikap ego atau fanatik kepada fahaman sendiri serta serba tidak kena dengan pendapat dan usaha orang lain. Mari kita ambil iktibar dan cermin diri pada masa ini ada tanda kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi juga tertinggal di belakang kaum lain dan kualiti sosial umat merosot.
Oleh itu, kita tiada pilihan kecuali kembali bersatu menguatkan persaudaraan berdasarkan ketaatan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
PERANAN dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.
Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom.
Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Constantinople) ketika usia beliau 21 tahun. Peranan golongan muda juga disebut dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh golongan muda berani mempertahankan akidah daripada raja yang zalim.
Firman Allah yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), ketika mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” - (Surah al-Kahfi, ayat 13-14)
Golongan beliau menghadapi cabaran hebat dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global hari ini. Mereka bukan saja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi juga semakin diresapi dengan budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur.
Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan negara.
Justeru, marilah kita terutama ibu bapa dan belia sekalian bersama berganding bahu serta bekerjasama membina anak bangsa dengan acuan dan cara hidup sihat berteraskan ajaran Islam yang suci.
Ini selaras firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” - (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Oleh itu, belia Muslim perlu bangkit menyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam.
Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa depan negara, mereka perlu meletakkan diri sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati serta disegani masyarakat dunia.
Jika golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi serta terbaik.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)
Sesungguhnya tanggungjawab besar belia pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Peranan belia hari turut menyumbang ke arah membangun modal insan supaya menjadi bangsa dihormati.
1. Doa wanita lebih maqbul dari lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat dari lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulallah SAW akan hal tersebut, jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."
2. Wanita yang solehah itu lebih baik dari 1,000 orang lelaki yang tidak soleh.
3. Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 orang wali.
4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 lelaki soleh.
5. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takutkan Allah SWT dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
6. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedakah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan dari anak lelaki. Maka barangsiapa yang menggembirakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail AS
7. Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarah (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya membaca "Alhamdulillahi'alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah". Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa."; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui shiratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan AllahTa'ala mengangkatnya ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya..
8. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW.) di dalam syurga.
9. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggung jawab, maka baginya adalah syurga.
10. Dari 'Aisyah r..ha. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu dari anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka."
11. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
12. Apabila memanggil akan engkau kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
13. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredhainya. (serta menjaga sembahyang dan puasanya)
15. 'Aisyah r.ha. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?" Jawab baginda, "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki ?" Jawab Rasulullah SAW. "Ibunya".
16. Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.
17. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (10,000 tahun).
18. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
19. Dua rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
20. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.
21. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.
22. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah SWT
23. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.
24. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
25. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.
26. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya dari badannya (susu badan) akan dapat satu pahala dari tiap-tiap titik susu yangdiberikannya.
27. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), makamalaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.
28. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.
29. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.
30. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila diahiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.
31. Apabila seorang wanita mencucikan pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebaikan, dan mengampuni dua ribu kesalahannya,bahkan segala sesuatu yang disinari sang suria akan meminta keampunan baginya, dan Allah mengangkatkannya seribu darjat untuknya.
32. Seorang wanita yang solehah lebih baik dari seribu orang lelaki yang tidak soleh, dan seorang wanita yang melayani suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibukakan baginya lapan pintu syurga, yang dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa dihisab.
33. Mana-mana wanita yang menunggu suaminya hingga pulanglah ia, disapukan mukanya, dihamparkan duduknya atau menyediakan makan minumnya atau memandang ia pada suaminya atau memegang tangannya, memperelokkan hidangan padanya,memelihara anaknya atau memanfaatkan hartanya pada suaminya kerana mencari keridhaan Allah, maka disunatkan baginya akan tiap-tiap kalimah ucapannya,tiap-tiap langkahnya dan setiap pandangannya pada suaminya sebagaimana memerdekakan seorang hamba. Pada hari Qiamat kelak, Allah kurniakan Nur hingga tercengang wanita mukmin semuanya atas kurniaan rahmat itu. Tiada seorang pun yang sampai ke mertabat itu melainkan Nabi-nabi.
34. Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.
35. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suaminya melihat isterinya dengan kasih sayang akan di pandang Allah dengan penuh rahmat.
36. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.
37. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.
38. Jika wanita memijat suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memijat suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.
39. Dari Hadrat Muaz ra.: Mana-mana wanita yang berdiri atas dua kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api,maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.
40. Thabit Al Banani berkata : Seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya sangat baik khidmatnya kepada suaminya. Apabila ia menghidangkan makanan dihadapan suaminya, dipegangnya pelita sehingga suaminya selesai makan. Pada suatu malam pelitanya kehabisan sumbu, maka diambilnya rambutnya dijadikan sumbu pelita. Pada keesokkannya matanya yang buta telah celik. Allah kurniakan keramat (kemuliaan pada perempuan itu kerana memuliakan dan menghormati suaminya).
41. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah SAW. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis itu. Baginda lalu bertanya, "Adakah kamu menyembahyangkan mayat ?" Jawab mereka,"Tidak". Sabda Baginda "Sebaiknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami niscaya pahalanya sama dengan ibadat-ibadat orang lelaki.
42. Wanita yang memerah susu binatang dengan "Bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.
43. Wanita yang menguli tepung gandum dengan "Bismillah" , Allah akan berkahkan rezekinya.
44. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.
45. "Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan mejadikan 7 parit diantara dirinya dengan api neraka, jarak diantara parit itu ialah sejauh langit dan bumi."
46. "Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utus benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat."
47. "Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat."
48. "Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian."
49. "Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya,menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya."
50. Sabda Nabi SAW: "Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumis (misai) dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman- taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."
51. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.
52. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal dari suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat dari yakut.
53. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat,tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.
54. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.
55. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya,cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).
56. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggirangkan engkau, jika engkau memerintah ditaatinya perintah engkau (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.
57. Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.
58. Rasulullah SAW bersabda bahwa, "Allah telah memberikan sifat iri (pencemburu) untuk wanita dan jihad untuk lelaki. Jika seorang wanita melatih kesabarannya dengan iman dengan mengharapkan pahala dari sesuatu perkara yang menyebabkannya menjadi cemburu (iri hati), seperti misalnya suaminya menikahi isteri kedua, maka ia akan menerima ganjaran seorang syahid".
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl: ayat 125)
(Sumber ana dari : Kitab Kanzul 'Ummal, Misykah, Riadlush Shalihin, Uqudilijjain, Bhahishti Zewar dan Al-Hijab..).
(YOU TUBE from Afiqah Syamimi_Royal College of Surgeons in Ireland)
Umat Islam diminta supaya sentiasa hormati hak orang lain, elak cetus permusuhan
SETINGGI manapun cita-cita dan semurni manapun tujuan, tidak dapat tidak, usaha menegakkan kalimah Allah adalah kerja berkumpulan dan bersama, bukannya mudah untuk dicapai secara bersendirian.
Hubungan sesama masyarakat Islam diikat melalui ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam. Walaupun keturunan berbeza, tahap kekayaan tidak sama, bahasa dan pelbagai warna kulit, mereka diikat dengan satu ikatan akidah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Persaudaraan bukan sekadar hubungan biasa setakat bertegur sapa antara satu sama lain, atau bertukar-tukar juadah di bulan Ramadan semata-mata, tetapi menuntut kepada pelaksanaan beberapa hak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Perumpamaan orang mukmin itu daripada sudut kasih sayang adalah seumpama satu jasad yang apabila sakit satu anggota badan, maka seluruh anggota lainnya akan turut merasa sakit dan berjaga malam."
Dalam menjaga ikatan persaudaraan ini, Islam menyusun atur beberapa adab bagi memastikan ukhuwah Islamiah itu selari dengan tuntutan syarak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain, janganlah ia menzalimi dan menganiaya serta mencela saudara muslimnya. Setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram darahnya ditumpahkan, harta dan maruahnya tidak boleh dimusnahkan."
Islam juga memerintahkan supaya menjaga kehormatan saudara muslimnya. Sehubungan itu, perasaan orang Islam lain mesti dijaga. Maka, Islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan mendedahkan aib orang lain, mencari keburukannya, berburuk sangka atau memulaukannya.
Sifat mazmumah adalah antara faktor yang memutuskan perhubungan, merobek simpulan kasih sayang, menyemai perasaan benci dalam hati dan melebarkan rasa permusuhan sesama manusia.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Dalam ayat selanjutnya, Allah berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Perbuatan mungkir dalam berjanji dan khianat akan membawa kepada mudarat sangat besar dan melumpuhkan rasa saling percaya mempercayai antara sesama mukmin. Kesannya, seseorang itu tidak lagi dipercayai kata-katanya di masa akan datang, amalannya dipertikaikan, malah boleh dianggap sebagai orang yang hilang nilai keimanan dalam dirinya.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfaal, ayat 27)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak sempurna seseorang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama mereka yang tidak menunaikan janji."
Islam menganjurkan amalan tawaduk dan merendah diri sesama orang Islam bersaudara serta menjauhkan rasa sombong dan bongkak. Masyarakat Islam yang berkasih sayang tiada istilah takbur dalam dirinya.
Hal ini dinyatakan dalam firman yang bermaksud:
"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah al-Isra', ayat 37)
Aspek utama yang tidak harus diabaikan dalam menjamin keamanan hidup bermasyarakat ialah tolong menolong dan bekerjasama, kerana kesan amalan mulia itu sangat bermanfaat. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing".
Prinsip itu bertepatan dengan panduan wahyu seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah, ayat 2)
Semoga setiap individu dalam komuniti Muslim dapat menghayati secara teori dan praktikal sistem nilai mahmudah yang dianjurkan Islam dalam usaha membentuk masyarakat menjunjung dasar berkasih sayang antara satu sama lain.
Masyarakat wajar ambil iktibar daripada sejarah silam sewaktu keruntuhan kerajaan Islam
SARANAN supaya menjaga kepentingan kesatuan bagi menolak sifat taksub dan kebanggaan terhadap kaum serta bangsa bertujuan melarang persengketaan atau berpecah belah kerana bergerak sendirian tidak akan membawa sebarang manfaat.
Perkara itu dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai." � (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Pujangga Iqbal (1877 � 1938) pernah mengemukakan falsafah pembentukan ketakwaan diri setiap insan yang akhirnya dapat membentuk kesatuan antara mereka.
Katanya, setiap orang mengisi peribadinya dengan ketakwaan lalu setiap seorang daripada insan yang bertakwa itu meleburkan dirinya dalam diri (Zat) Yang Agung, iaitu Allah. Maka dengan demikian, setiap diri bergabung menjadi satu kerana kesatuan kepercayaan, malah matlamat kesatuan mereka juga sama. Di dunia mereka memperoleh kemenangan, sehingga dapat melaksanakan amanah serta kewajipan dipikul, iaitu sebagai khalifah Allah yang memakmurkan bumi dengan sebaiknya.
Dalam ayat itu juga, Allah menegaskan seterusnya bahawa Dia mengurniai hamba-Nya yang beriman, nikmat yang bermakna persaudaraan dan kesatuan antara mereka. Mereka dulu saling bermusuhan dan dengan nikmat Islam, hati mereka disatukan Allah.
Sesungguhnya kesatuan dan persaudaraan menghimpunkan segala kebaikan dan kesejahteraan, sebaliknya perpecahan, permusuhan dan kebencian menghancurkan kebaikan yang tercipta selain menyebabkan tenaga serta jiwa disia-siakan begitu saja.
Contoh terbaik dapat dilihat pada apa yang berlaku pada kabilah seperti 'Aus dan Khazraj yang sentiasa bersengketa dan berperang sesama sendiri. Kedua-dua kabilah itu pernah terbabit dalam peperangan yang berlarutan selama 120 tahun dan sedemikian banyak nyawa terkorban dengan sia-sia.
Namun, apabila datangnya Islam dibawa Nabi SAW segala bentuk persengketaan, kebencian, permusuhan dan perbalahan berjaya dipadamkan begitu saja. Mereka diajar Nabi SAW mengenai persaudaraan yang melewati batasan kaum, kabilah serta keluarga.
Demikian juga mereka dididik supaya saling kasih-mengasihi, bantu-membantu, kuat-menguatkan, mudah memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan, sentiasa rela berkorban dan mengutamakan kepentingan saudara mereka melebihi diri sendiri.
Persaudaraan atas dasar keimanan yang menjadi ikatan antara mereka itulah yang membolehkan mereka lahir sebagai masyarakat teladan sepanjang zaman. Mereka juga melakar kejayaan penting dan membantu usaha Nabi SAW membina masyarakat serta negara yang utuh seperti Madinah daripada segenap sudut; kemasyarakatan, siasah, pertahanan dan ketenteraan serta ekonomi.
Jelaslah asas utuh dan bermakna bagi perpaduan serta kesatuan yang mahu dibentuk hanyalah keimanan. Perpaduan atas dasar tauhid ini akan kekal bertahan selama-lamanya kerana ia dihubungkan secara langsung kepada Yang Maha Berkuasa.
Dengan itu juga kita dapat melihat bagaimana masyarakat sesebuah negara cuba disatukan atas asas lain selain keimanan, misalnya asabiyyah, akhirnya mengalami bibit-bibit perpecahan dan akhirnya runtuh sama sekali.
Barangkali kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa menimpa Bani Umayyah pada zaman kelemahan dan keruntuhannya, iaitu pada zaman pemerintahan al-Walid II bin Yazid (125 hijrah/743 masihi) hingga zaman Marwan II bin Muhammad (127-132 hijrah/744-50 masihi).
Selain memiliki keperibadian, akhlak dan kecenderungan yang buruk serta tidak menjalankan tugas pemerintahan dengan penuh tanggungjawab, al-Walid II bin Yazid, khalifah Bani Umayyah ke-11 misalnya juga mengamalkan dasar memihak kepada orang Arab lalu menimbulkan permusuhan serta perpecahan di kalangan rakyat.
Hakikatnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan kegemilangan dasar pemerintahannya cuba mewujudkan keamanan dan kestabilan serta menghapuskan dasar perkauman diamalkan sebelum baginda, antaranya dengan menggalakkan perkahwinan antara orang Arab dengan bukan Arab. Namun, keadaan kembali sebagaimana sebelumnya, apabila beliau meninggal dunia.
Khalifah Yazid III bin al-Walid yang memperlihat kecenderungan terhadap suku tertentu seperti Yaman dan khalifah sebelumnya pula berpihak kepada suku Qais (suku Yaman dan Qais adalah orang Arab yang berasal dari Syria).
Pada zaman pemerintahan Marwan II bin Muhammad, beliau kembali mengamalkan dasar memihak kepada suku Qais dan keadaan itu menimbulkan permusuhan lebih sengit antara suku Qais dengan suku Yaman.
Selain itu, Kerajaan Bani Umayyah pada zaman kejatuhannya juga terpaksa menghadapi siri pemberontakan, ancaman dan penentangan oleh pelbagai wilayah iaitu Syam, Jazirah, Iraq, Mesir, Yaman dan Khurasan.
Penduduk Khurasan membuat beberapa tuntutan kepada Kerajaan Bani Umayyah termasuklah kerajaan perlu mengamalkan ajaran Islam tanpa wujud diskriminasi antara Arab dengan bukan Arab dan kerajaan tidak wajar sama sekali menghalang pemaduan antara orang Arab dengan bukan Arab di Khurasan.
Di samping semua kelemahan dan dasar merugikan itu, kerajaan Bani Umayyah juga bertindak mewujudkan dasar membeza-bezakan golongan mawali (bukan Arab) dengan orang Arab, khususnya dalam bidang ketenteraan.
Tiada satu pun jawatan tinggi atau rendah diberikan kepada golongan mawali. Malah, semua tentera Arab didaftar dan dibayar gaji manakala golongan mawali hanya berkhidmat sebagai tentera infanteri dan tidak didaftar dalam diwan (Jabatan Tentera) dan tidak dibayar gaji.
Hari ini, kita masih lagi dapat melihat bagaimana sifat asabiyyah terhadap bangsa dan kaum menyelubungi umat Islam, khususnya di dunia Arab dan disebabkan sifat asabiyyah itulah persoalan kesatuan serta perpaduan kelihatan seolah-olah hanya tinggal sebagai impian kosong.
Amat menyedihkan juga, kerana sifat asabiyyah mendorong berlakunya pertelagahan dan perbalahan yang tidak sewajarnya, termasuk dalam keadaan genting seperti soal menghentikan penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam, misalnya di Palestin.
Bagi Malaysia sendiri, pengalaman dilalui masyarakat silam dan kini harus dijadikan panduan. Sememangnya kesatuan dan perpaduan penting bagi menjamin keamanan serta kestabilan. Namun harus disedari bahawa akar yang mengasaskan kesatuan itulah yang akan menentukan hala tuju serta kesudahannya, iaitu sama ada ia akan kekal berdiri dengan utuh atau hanya berupaya bertahan untuk tempoh waktu tertentu.
KEADILAN penting dalam pemerintahan, begitu juga kepemimpinan dalam sesebuah keluarga akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap daripada kita adalah pemimpin bagi diri keluarga, masyarakat dan negara.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir mereka." � (Hadis riwayat Muslim)
Ciri pemimpin yang baik mestilah perlu mempunyai kecerdasan spiritual tinggi dan memahami penderitaan serta kehendak rakyat dipimpinnya. Begitulah sebagai ibu atau bapa mesti memahami kehendak ahli keluarga dipimpinnya dan bertindak adil dengan penuh kesedaran.
Menurut K H Dewantara, pemimpin di hadapan memberi contoh sehingga dapat diteladani, di tengah memberi dorongan semangat dan mengikuti dari belakang dengan memberi kekuatan dalam usaha melaksanakan tugas.
Muhammad Iqbal berkata, seseorang pemimpin mesti mempunyai semangat patriotisme. Oleh sebab itu, seseorang pemimpin mestilah memerintah dengan bijaksana, ia akan dipatuhi dengan senang hati oleh orang dipimpinnya.
Sewajarnya, seseorang pemimpin mestilah berakhlak, beradab, berani bertindak, bersikap adil, lemah lembut, penyayang, saksama, berdisiplin, selalu bermusyawarah, memudahkan dan mempunyai misi mengarah ke masa hadapan.
Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya sebahagian tanda orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling berakhlak mulia dan paling lembut kepada keluarganya." � (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)
Perilaku seseorang pemimpin yang baik akan menjadi ikutan kepada orang dipimpin. Apabila perilaku baik, sifat ini akan menjadi ikutan dan teladan kepada orang dipimpin ke arah mewujudkan ummah cemerlang di dunia dan akhirat.
Khalifah Umar Al-Khattab adalah contoh pemimpin yang berani dan tegas. Selain itu, beliau juga mempunyai sifat dan rasa kasih sayang tinggi, adil dalam menghukum, suka bermusyawarah, tidak sombong, pendengki dan tidak pendendam.
Beliau mendahulukan kepentingan masyarakat daripada kepentingan peribadi. Suka menerima kebenaran daripada sesiapa saja, sederhana, tidak berlebihan dalam makan minum, berpakaian dan hidup seperti rakyat biasa. Beliau sangat benci kepada yang batil dan berani membela yang benar.
Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata:
"Janganlah engkau datangi sesuatu yang tidak penting bagimu! Jauhkan diri daripada musuhmu. Awaslah daripada temanmu yang ramai, kecuali teman kepercayaanmu! Jangan kau percaya selain orang yang takut kepada Allah. Jangan engkau berteman dengan orang zalim, kerana nanti engkau peroleh pengetahuan dari kezalimannya! Jangan engkau perlihatkan kepadanya rahsiamu! Dan bermusyawarah dalam urusanmu dengan mereka yang takut kepada Allah."
Sebagai pemimpin Saiyidina Umar Al-Khattab seorang yang berani, tegas, disegani oleh kawan dan lawan, berakhlak mulia, berhati jujur dan perkataannya selalu benar. Begitu juga khalifah pertama, Abu Bakar As-Siddiq, yang lebih cinta kepada Allah dan Nabi SAW melebihi cintanya kepada harta benda serta anak serta isterinya sendiri.
Sebagai pemimpin, beliau adalah seorang yang gagah berani, suka menolong orang miskin, memuliakan tetamu, pemurah lagi bersopan santun serta dermawan.
Antara kata nasihatnya: "Aku adalah manusia biasa dan aku bukanlah manusia yang terbaik di antara kamu. Apabila kalian lihat perbuatanku benar, ikutlah aku, tetapi apabila kalian lihat perbuatanku salah, maka perbetulkan aku."
Begitulah sifat rendah diri dan tawaduk yang ada pada pemimpin yang juga sahabat walaupun termasuk antara mereka yang mendapat jaminan masuk syurga.
Oleh sebab itu, sebagai pemimpin, baik pemimpin negara, di pejabat, rumah dan dalam kalangan masyarakat, sifat ketakwaan dan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara dan masyarakat.
Sesungguhnya, sabda Nabi SAW ini seharusnya menjadi renungan dan pandangan kepada kita. Sabdanya yang bermaksud:
"Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin)." � (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ana ingin mencari ketenangan diri,agar hidup ini bukanlah sekadar mimpi krn di sini hnyalah prsinggahn yg di tuju adalah alam akhirat yg kekal abadi.Setiap dr kite trselit rahsia msing2kan,renungkanlah akan dr sendiri atas setiap dosa dan kesilapan yg kite lakukan,bersediakah kite melalui perjalanan yg tiada kesudahannya nanti,subhanallah.yg pastinya kite tetap akan melalui samaada brsedia mahupun sebaliknya...
Rasulullah saw bersabda:"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya.Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada' iri kepada mereka. Ketika ditanya para shahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, saling bersahabat karena Allah dan saling kunjung kerana Allah."(hadis riwayat at-tirmidzi)
Fatimah An-Naisaburi r.a, beliau berkata: "Barangsiapa yang tidak dapat memperoleh perhatian daripada ALLAH, mereka akan melangkah kaki mereka ke mana-mana sahaja tempat dan bercakap apa sahaja mengikut kemahuan hati mereka. Barangsiapa yang diperhatikan ALLAH, mereka akan membisukan mulutnya kecuali kebenaran serta sentiasa mempunyai sifat malu dan ikhlas kepada-NYA."
Beliau juga berkata: "Pada hari ini,orang yang jujur dan bertaqwa bagaikan dilautan yang bergelora, terumbang-ambing dilambung ombak. Dia berdoa kepada Tuhannya bagaikan orang yang tenggelam, memohon supaya dikeluarkan daripada peraka dan selamat."
Beliau juga berkata: "Barangsiapa yang beramal kerana ALLAH agar dapat bermusyahadah, mereka ialah orang yang makrifat dan barangsiapa yang beramal agar dilihat ALLAH, ia adalah orang yang ikhlas."
Lubabah, seorang wanita ahli ibadah berkata : "Ma'rifatullah menghasilkan mahabbah, mahabbah menghasilkan rindu, rindu membuahkan manja, dan manja menjadikan seseorang itu selalu mengabdikan kepada-NYA serta rela atas segala ketentuan-NYA."
Aisyah binti Usman berkata kepada puterinya: "Janganlah engkau senang dengan perkara fana dan janganlah engkau sedih atas segala sesuatu yang telah pergi. Berbahagialah engkau dengan mengabdikan diri kepada ALLAH serta bersedihlah atas keruntuhan darjatmu dimata ALLAH."
Beliau juga berkata: "Barangsiapa yang tidak mahu untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, hal tersebut menunjukkan betapa minimanya kemanjaannya kepada Tuhannya."
Beliau juga berkata: "Barangsiapa yang memandang remeh tentang seorang hamba, dia adalah orang yang sangat sedikit sekali pengetahuan mengenai junjungannya. Barangsiapa yang mencintai penciptanya, nescaya dia akan mencintai ciptaan-NYA."
Bahariah, seorang wanita ahli ibadahberkata: "Jika hati meninggalkan syahwat, ilmu akan menjadi dekat, mengikuti, dan hati akan menerima segala sesuatu yang datang pada hati" (maksudnya; anugerah yang dicurahkan ALLAH daripada pelbagai ilham).
Saudari Abu Sulaiman Ad-Darani berkata: "Orang-orang fakir semuanya mati, kecuali orang-orang yang dihidupkan ALLAH swt dengan kekuatan qana'ah serta redha dengan keadaan fakirnya."
Zubdah, saudara perempuan Basyar Al-Kafi berkata: "Dosa adalah sesuatu yang paling berat bagi hamba dan sesuatu yang paling ringan bagi hamba ialah taubat. Mengapa dia tidak menolak sesuatu yang paling berat dengan sesuatu yang paling ringan."