Influenza A berlaku angkara alpa tanggungjawab sebagai khalifah
KEHIDUPAN dan kematian adalah ketentuan Allah. Dalam dunia serba fana, semua ada kepada yang berusaha, mampu memiliki apa dianugerahkan kepada makhluk semesta tetapi yang selalu dilupa ialah kehidupan dunia hanya sementara, tiba masanya perlu meninggalkan segala-galanya. Tambahan, apa yang ada di dunia ini menyebabkan manusia lalai dan lupa. Justeru, Allah mengutuskan Rasul dan Nabi sebagai penyampai peringatan daripada-Nya supaya manusia yang alpa kembali kepada fitrah. Ada yang menentang, ada juga yang taat.
Apabila ditimpa bencana dan wabak menguji manusia, ia bukan bertujuan menghukum atau mendera atas kesalahan dilakukan tetapi sebagai amaran kita melewati batas dan harus sentiasa beringat ujian untuk menguji keimanan.
Oleh itu, orang yang mengakui hakikat keesaan Allah harus menerima qada dan qadar di samping meningkatkan ketahanan diri daripada tipu daya serta berusaha memantapkan diri kerana setiap ujian itu ada hikmah di sebaliknya.
Namun, kesombongan juga boleh membuatkan manusia menghadapi bencana sebagai tanda kita harus akur dan mematuhi perintah-Nya serta insaf terhadap perilaku yang mencabar kekuasaan-Nya.
Firman Allah bermaksud:
"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka sudah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat." (Surah ar-Ruum, ayat 41)
Benar juga bahawa aksi dan lagak manusia adalah permainan serta hiburan. Firman Allah bermaksud:
Hari ini dunia digemparkan dengan wabak Influenza A yang virusnya begitu rakus menyerang manusia di beberapa negara dan ia penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian. Sesiapa saja boleh terdedah kepada virus itu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengelak ia berlarutan. Langkah pemantauan serta usaha awal menghadapi kemungkinan dijangkiti wabak dilakukan dengan pantas dan berkesan.
Namun, kita trauma dengan apa yang sedang berlaku sehingga selesema dan demam biasa pun menimbulkan kerisauan yang bukan sedikit. Itulah akibat tidak menjaga kebersihan dan tidak adil terhadap imbangan alam. Ia boleh dielak dengan pencegahan seperti mengelak kekotoran di ladang ternakan, tidak makan makanan memudaratkan kesihatan serta mengamalkan hidup berhemah. Firman Allah bermaksud:
Dalam Islam, membersihkan diri tidak cukup dengan yang zahirnya saja, tetapi mencakupi kesucian akidah daripada syirik dan kufur. Perbuatan menjurus kepada mempercayai kuasa lebih besar daripada Allah menandakan akidah sudah tercemar dengan anasir mengganggu kesucian hati serta jiwa.
Kita juga harus membersihkan diri daripada dikotori nafsu yang bersifat zalim kepada diri serta orang lain. Nafsu memusnahkan hidup manusia dan membuatkan mereka ketagih kehidupan sia-sia sedangkan mereka tahu ada kehidupan sesudah itu yang kekal abadi.Selain itu, kita boleh mengelakkan wabak dan bencana yang menghancurkan umat Islam dengan menjaga kebersihan akal daripada terlalu bebas sehingga mengetepikan wahyu dan sunnah yang diutus sebagai panduan hidup di dunia.
Ada penyakit yang menimpa jasad manusia akibat mengamalkan seks bebas, minum arak, makan makanan haramkan dan yang berpunca daripada akal dikotori pemikiran bebas, bukan berteraskan perintah serta larangan Ilahi.
Kehidupan sosial yang terjaga mengikut batasan syarak dan bersih daripada anasir melampaui keizinan hukum serta syariat akan menjamin kehidupan lebih baik. Bukan saja hubungan sosial secara umum juga membabitkan pergaulan antara suami dan isteri yang ada sempadannya.
Banyak bencana berlaku terhadap manusia kerana tidak berpegang teguh kepada perintah dan panduan disediakan. Selain itu, bersih daripada sifat keji antara cara mencegah kebinasaan manusia. Lalai mengingati Allah dan suka menzalimi manusia antara sifat bermukim di hati manusia yang sudah kotor dengan dosa.
Musuh manusia bukan iblis dan syaitan saja tetapi juga manusia memusuhi Penciptanya dan kotor jiwa sehingga sanggup melakukan perbuatan jahat seperti fitnah serta membunuh. Cabaran dan dugaan melanda dunia hasil tangan makhluk Allah ternyata menjadi pengajaran kepada orang yang berfikir. Kemusnahan manusia dan alam tidak berlaku tanpa sebab dan manusia perlu memohon pertolongan-Nya supaya bumi serta isinya selamat.
0 leave ur comment here:
Post a Comment