Umat berusaha dan sabar menghadapi musibah mampu bina kejayaan lebih cemerlang
HIDUP di dunia penuh cubaan dan tidak semua dirancang dan diingini akan diperoleh dengan mudah biarpun sudah dilakukan segala usaha termampu. Justeru, hanya mereka bersemangat kental dapat menghadapi cabaran hidup dengan jayanya.
Seperti kata pepatah, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Ia mengajar kita supaya berusaha dan terus mencuba biarpun sering berdepan kegagalan. Hakikatnya, kegagalan lumrah kehidupan. Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pelbagai cara. Ada banyak hikmah di sebalik sesuatu kegagalan dan ia ujian menentukan tahap kesabaran seseorang.
Sesiapa yang bersabar, dia bakal beroleh kejayaan berlipat ganda di sisi Allah. Hidup di dunia adalah medan ujian menentukan siapa paling layak mendapat pembalasan baik daripada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Allah berfirman bermaksud:
"Mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka sabar." (Surah al-Qasas, ayat 54)
Firman Allah lagi:
"Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan." (Surah az-Zumar, ayat 10)
Oleh itu, orang beriman melihat kegagalan dan musibah dari sudut positif. Dia sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Malah bersyukur dan menerima takdir itu dengan berlapang dada, dijadikan pengukuh kepada rasa takwa.
Kegagalan tidak bermakna dia akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang sama sekali berputus asa. Setiap Muslim mesti terus berusaha untuk mencapai apa yang diharapkan kerana tidak ada kejayaan tanpa berusaha.
Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan keadaan dan menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan. Orang berputus asa sebenarnya menjauhkan diri daripada kejayaan yang separuhnya sudah dicapai di sebalik kegagalan ditempuh. Setiap usaha tentu ada kebaikannya, biarpun tidak mencapai kejayaan diharapkan. Tidak tepat jika dikatakan usaha dilakukan hanya sia-sia disebabkan tidak mencapai sasaran ditetapkan. Setiap kebaikan dilakukan tidak hanya untuk satu matlamat atau kebaikan. Kebaikan diraih dari pelbagai sudut bagi setiap perkara kebaikan dilakukan biarpun matlamat akhir belum tercapai.
Umpamanya, pelajar yang belajar dan kemudian menduduki peperiksaan, tetapi gagal mencapai gred diharapkan, sudah tentu lebih baik daripada mereka yang tidak belajar langsung. Dia mendapat banyak kebaikan daripada proses pembelajaran diikuti.
Sesungguhnya, setiap Muslim dilarang keras daripada bersikap berputus asa daripada rahmat Allah. Sikap berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini, manakala sabar memudahkan seseorang berusaha mencari jalan menghadapi kegagalan.
Apa yang terjadi kepada manusia sudah ditetapkan Allah. Namun, ia tidak menghalang manusia daripada berusaha dan berdoa. Hanya Allah mengetahui di sebalik qada dan qadar. Tugas manusia ialah terus berusaha melakukan sesuatu untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup. Kekecewaan menghampirkan diri kepada kegagalan mutlak.
Individu yang teguh imannya tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Dia mengetahui dirinya sudah menuju kejayaan sama ada ditunjukkan di dunia ataupun di akhirat kelak.
Firman Allah bermaksud:
"Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, ayat 87)
Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya. Setiap apa yang Allah jadikan itu ada sebabnya. Ujian diberikan Allah adalah tanda Allah menginginkan kebaikan untuknya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesungguhnya besar ganjaran seseorang berdasarkan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diuji dengan ujian. Barang siapa yang reda, maka baginya keredaan Allah dan barang siapa yang tidak bersabar, Allah tidak akan bersabar terhadap mereka." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Firman Allah bermaksud:
"Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Oleh itu, kegagalan sepatutnya akan menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Kebanyakan individu yang berjaya cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu. Mereka bersyukur kerana berdepan dengan kesukaran dulu. Bagi yang berfikiran positif, musibah dan kegagalan adalah peluang. Ketika berdepan masalah, banyak orang menjadi 'cerdik' dan akal panjang untuk mengatasinya. Keadaan mencabar memberi satu momentum melonjak ke arah lebih baik.
Kegagalan bukan disebabkan peluang tiada. Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk manusia berjaya mendapat apa dihajati. Namun, liku-liku perjalanan untuk mendapat apa dihajati berbeza antara satu sama lain.
Orang berjaya sentiasa melihat kegagalan sebagai peluang membolehkannya membina kejayaan. Dia terpaksa bersusah payah untuk menukar kegagalan sebagai kejayaan. Apa dicapai itu lebih manis dan bermakna, yang memberi pengajaran hidup cukup berharga.
0 leave ur comment here:
Post a Comment