-Hayati SoLat Baru Dapat kHusyuK-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...

Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Khusyuk diterjemahkan dalam kamus Arab, contohnya dalam Mufradat Alfaz al-Quran sebagai tunduk, patuh, tertib dan sopan. Ia merujuk kepada pelaksanaan anggota. Ini berbeza daripada Khudu' yang merujuk kepada ketertiban hati dan fokusnya perasaan ketika melakukan sesuatu.

Allah SWT memuji golongan beriman dengan deskripsi kejayaan dan syarat utamanya adalah penumpuan terhadap solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat kedua:

"Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."

Menurut Ibn Jarir dalam tafsirnya, dalam pentafsiran Ibn Abbas, khusyuk yang dimaksudkan itu adalah ketakutan kepada Allah SWT, ketenangan, merendah diri kerana terbayangkan kehebatan Allah dan keagungan-Nya.

Menurut al-Sabuni dalam Safwatut Tafasir, khusyuk adalah praktikal kepada kefahaman yang merangkumi iman yang ada dalam diri. Ia adalah bukti dan kayu ukur kepada amal salih yang melayakkan seseorang itu dinilai sebagai orang berjaya dunia dan akhirat.

Hubung kait antara khu-syuk dan khuduk dapat dilihat menerusi pesanan Nabi SAW yang melihat seorang sahabat memegang janggutnya ketika solat, lalu Nabi saw bersabda yang bermaksud :

"Jika hatinya khusyuk tentulah anggotanya juga akan khusyuk. (Riwayat al-Hakim al-Tirmizi dalam Nawadirul Usul, al-Hafiz al-Iraqiy menilai hadis ini sebagai daif dalam takhrij al-Ihyak).


Berpandukan hakikat di atas, kesimpulannya khu-syuk suatu perkara bersifat kualiti yang bertempat di hati, dan memberi kesan pada anggota.

Melanjutkan perbincangan ini, kalangan sahabat memiliki daya penumpuan amat mengagumkan dalam solat mereka. Contohnya Uqbah bin 'Amir dilaporkan tidak berasai kesakitan panah yang menikamnya ketika sedang solat malam. Demikian pula Ali yang tidak merasai serpihan panah dikeluarkan daripada betisnya ketika sedang duduk tahiyat sedangkan ia tidak boleh disentuh di luar solat kerana bisanya.

Demikian pula generasi tabi'in seperti Silah bin Usyaim yang tidak menyedari kehadiran singa ketika sedang solat tahajud. Perkara ini dapat kita baca dalam kitab mengenai kehidupan sahabat seperti yang ditulis oleh al-Kandahlawi dan Abu Nu'aim dalam al-Hilyat.

Antara kajian mengenai khusyuk yang boleh diusahakan adalah cadangan al-Imam al-Ghazali dalam Ihyak Ulumiddin. Beliau menerangkan khusyuk dapat dicapai apabila seseorang memenuhi syarat berikut iaitu:

1. Memahami bahasa Arab, sekurang-kurangnya pada apa yang dibaca;

2. Menghadirkan perasaan mengagungkan Allah SWT;.

3. Berasa bimbang bahawa amalannya belum tentu diterima Allah SWT;

4. Berasa malu atas kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan;

5. Menimbulkan perasaan takut terhadap-Nya (al-Khauf );

6. Meletakkan pengharapan yang tinggi kepada-Nya agar diterima solat yang dikerjakan ( al-Rajak).

Untuk mencapai darjat ini, saudaraku yang dikasihi fillah..hendaklah kita menghadirkan diri ke majlis ilmu secara istiqamah, bersahabat dengan sahabat yang baik, berdamping dengan ahli ilmu dan banyak memohon kepada Allah SWT petunjuk-Nya agar sentiasa mendapat bimbingan-Nya. Sebagai contoh, doa yang diajarkan Nabi SAW yang bermaksud: Ya Allah, aku memohon padaMu iman yang berterusan subur, hati yang khusyuk dan ilmu yang bermanfaat. (Riwayat al-Suyuti dalam Jamik al-Ahadis).

Bersyukurlah kerana masih diberi kesempatan memikirkan mengenai suatu perkara yang penting yang diabaikan oleh kebanyakan yang lain orang. Bahkan yang amat membimbangkan kita adalah amaran yang disampaikan oleh Nabi SAW dalam banyak hadis antara lain, bermaksud:

"Dari Jubair, beliau bertemu dengan Ubadah bin al-Samit bertanya mengenai berita yang disampaikan oleh Abu Dardak bahawa ilmu yang pertama yang akan diambil atau ditanggalkan dari umat ini ialah khusyuk dalam solat, hinggakan kamu memasuki masjid dan kamu tidak akan menemui seorang pun yang khusyuk dalam solatnya(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Hibban dan dalam al-Majma').


wallahu'alam..

0 leave ur comment here: