In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)
SYAWAL dan bulan seterusnya menjadi medan dan landasan terbaik untuk kita menguji sejauh mana madrasah Ramadan benar-benar menjadikan kita insan yang bertakwa. Jika mengikut Indeks Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard takwa ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran? Jika kita berjaya berpuasa sebulan, khatam al-Quran, banyak solat malam, berzikir, bersedekah dan sebagainya pada Ramadan, maka amalan berkenaan hendaklah diteruskan dan ditingkatkan di luar Ramadan.
Pesan ulama, jadilah kamu 'rabbaniyin' dan janganlah jadi 'ramadhaniyin' iaitu jadilah hamba Allah dan janganlah menjadi hamba Ramadan. Oleh itu, amat rugi jika kita hanya hebat beribadah pada Ramadan tetapi ambil mudah atau sambil lewa saja ketika di luar Ramadan. Madrasah Ramadan sepatutnya menjadikan kita lebih komited, tekun dan bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah dan berbakti serta melaksanakan segala tuntutan agama.
Latihan berpuasa selama sebulan sepatutnya diteruskan lagi dengan amalan sunat puasa enam Syawal di mana dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda:
"Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim).
Di samping puasa enam pada Syawal, kita juga disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis serta hari sunat lain kerana puasa bukanlah sekadar amalan ritual saja, malahan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan manusia.
Amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi saudara-mara, sahabat, jiran tetangga menjadi kelaziman kepada masyarakat Islam di negara kita sememangnya sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan lagi silaturahim. Rasulullah bersabda, bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam." (Riwayat Muslim)
Suasana berhari raya juga menjadi bertambah meriah dengan majlis rumah terbuka yang kini menjadi trend positif dalam masyarakat kita dan perlu digalakkan lagi. Majlis berkenaan kebiasaannya dianjurkan individu, badan korporat, parti politik dan sebagainya mewujudkan suatu kelainan serta keunikan sambutan hari raya. Konsep rumah terbuka seperti dianjurkan membuka landskap baru kepada sambutan Aidilfitri yang mungkin agak janggal suatu ketika dulu dalam masyarakat Melayu.
Namun, dalam keghairahan menganjur dan menghadiri majlis rumah terbuka sepanjang sebulan Syawal ini, maka perlu diberi penekanan kepada beberapa perkara asas iaitu meliputi aspek menjaga batasan pergaulan dan aurat; menghindari hiburan melalaikan; tidak boros dan berlebih-lebihan ketika berbelanja; di samping bersyukur dengan rezeki yang ada; serta tidak melupai saudara, jiran atau sahabat yang berada di dalam kesusahan.
Dalam pada itu juga, apa yang paling penting ialah niat mengadakan majlis sedemikian adalah untuk berkongsi rezeki dan meraikan sahabat-handai, saudara-mara, jiran tetangga, pekerja dan sebagainya. Oleh demikian, penganjuran majlis berkenaan bukanlah bertujuan bermegah-megah sehinggakan ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis sosial itu.
wallahu'alam..
0 leave ur comment here:
Post a Comment