-Rai AidiLfitri SeCara SonGsanG CeMari MaDraSaH RaMaDHaN-


In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)


Peredaran zaman kembalikan tradisi orang jahiliah sambut perayaan, kegembiraan


MENAFIKAN peranan Ramadan sebagai bulan ujian dalam mengangkat martabat insan dengan pengisian perayaan yang bercanggah dengan tuntutan Islam adalah satu kesilapan besar umat Islam. Ramadan adalah tempoh penting sepanjang setahun untuk melihat sejauh mana manusia terdidik secara khusus terhadap pengabdian dan kepemimpinan diri dalam fitrahnya.

Sekiranya ia dicemari dengan amalan maksiat dan sia-sia dalam menyambut Syawal, maka ini menjadikan madrasah Ramadan satu lakonan yang merugikan. Berpuasa pada Ramadan bukan hanya untuk mendapat lapar dan dahaga. Lebih daripada itu, pelaksanaan ibadahnya dengan ganjaran yang tidak ternilai.

Maqam fitrah yang paling tinggi diletakkan sebagai sasaran. "Barang siapa berpuasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan baginya segala dosanya yang lampau". Maqam fitrah sejak dilahirkan, setiap anak itu berada dalam keadaan bersih daripada sebarang dosa sehinggalah perjalanan kehidupannya dihiasi atau dicemari oleh amalan seharian.

Dengan pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang setahun akhirnya manusia diberi kesempatan semula untuk mengasuh dan memurnikan kembali dirinya dan akhlaknya melalui penghayatan Ramadan dan penilaian Syawal.

Aidilfitri adalah satu titik penting penanda untuk menilai sejauh mana manusia terdidik oleh kongkongan nafsu. Apa yang tergambar boleh dilihat melalui bentuk sambutan perayaan dan bagaimana kesyukuran ke atas pencapaian diri diterjemahkan. Penilaian ini juga penting menentukan tahap di mana kedudukan sesebuah bangsa daripada pelbagai sudut sama ada politik, ekonomi dan sosial serta jangkaan kemungkinan tertentu pada masa akan datang.

Walaupun masih ada beberapa aspek perlukan tambah baik, suasana matang yang digambarkan oleh masyarakat Malaysia sepanjang Ramadan diterjemahkan dalam kesederhanaan menyambut Syawal. Perkembangan ekonomi masih dalam kawalan apabila kadar kawalan barangan, kenaikan harga dan keprihatinan pengguna menyeimbangkan pasaran.

Pengusaha yang ghairah mengaut keuntungan dulunya boleh mendabik dada mungkin hanya mampu berasa lega saja pada tahun ini kerana tekanan keseimbangan tingkah laku pengguna yang makin bijaksana. Persaingan sihat ekonomi memberi kesan baik kepada pilihan pengguna dalam berbelanja dan memberi nilai kepada wang yang mereka keluarkan.

Orang pada zaman jahiliah menzahirkan kegembiraan dengan pesta makan minum, kegiatan sosial yang tidak mengira sempadan serta kegembiraan yang tiada bertepi. Kedatangan Islam memberi takrifan semula kepada perayaan dengan mengagungkan Allah dan meraikan kemenangan berjihad melawan nafsu sendiri.

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah pada peringkat awal penghijrahan, Baginda gantikan dua amalan sambutan pada zaman itu dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Rasulullah dan sahabat memberi takrifan baru kepada perayaan dengan tidak putus-putus bertakbir, bertasbih dan bertahmid sejak gelincir matahari sehinggalah pada siang hari raya.

Perkembangan yang berlaku di Malaysia pada zaman 1980-an dan 1990-an pula ialah malam raya diisi dengan aktiviti kumpulan perarakan takbir berjalan dari rumah ke rumah di kawasan kejiranan untuk bertakbir dan bertahmid. Kini penggunaan komputer, internet dan televisyen yang ketara mempamerkan bagaimana umat Islam menyatakan kesyukuran di hadapan semua ini.

Takbir, tasbih dan tahmid diambilalih televisyen. Mungkin tidak salah perkembangan ini tetapi, sejauh mana penghayatan kesyukuran itu berlaku kepada umat Islam dalam mendukung usaha berterusan memerangi nafsu. Apakah kesan 'sambutan' kesyukuran ini selepas selesai tempoh perayaan?

Begitu juga dengan apa yang difahami dan diamalkan oleh segelintir muda-mudi zaman sekarang. Mereka agak janggal bila mengaitkan kegembiraan dengan kesyukuran tetapi lebih menitikberatkan erti kebebasan mutlak melakukan apa saja tuntutan nafsu seperti fahaman jahiliah apatah lagi untuk melihat amalan anjuran Rasulullah ketika meraikan perayaan.

Sekiranya pola perayaan yang sering terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman tidak dikawal, salah faham mengenai erti perayaan akan berlaku akhirnya. Zaman yang berputar akan mengembalikan tradisi jahiliah ke dalam perayaan Islam. Di samping pergaulan bebas, aktiviti tidak sihat berlaku apabila beramai-ramai berkumpul untuk berpesta dengan hidangan muzik, minuman atau ubatan mengkhayalkan serta kebebasan kegiatan seks.

Pengaruh kuat anasir luar dan kurangnya pemantauan ibu bapa, kelemahan penghayatan menjadi kunci utama kepada gejala tidak sihat ini. Bagi golongan begini, 'perayaan' hanyalah istilah penanda kemuncak merajakan nafsu dan alasan bagi mereka yang memang sudah tergelincir daripada hakikat Islam.

wallahu'alam..

0 leave ur comment here: