In The Name of ALLAH,Most Gracious Most Merciful...
Holy Prophet Muhammad, peace and blesssings be upon him and his Household (Ahlul Bayt)
AMALAN mulia yang wajib dalam Islam ialah menghubungkan silaturahim. Amalan mulia ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membentuk ummah yang kuat dan utuh. Silaturahim bermaksud perhubungan persahabatan dan persaudaraan sesama Islam.
Dalam hubungan ini, diceritakan, Abul Laith al-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Aiyub menurutnya, seorang Badwi menghadang Nabi SAW dan memegang kendali untanya, lalu berkata; “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku apakah amalan yang boleh mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka?”
Nabi SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah, dan janganlah mensyirik-Nya dengan sesuatu, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, dan kamu menjalin hubungan silaturahim (terhadap keluarga dan kaum kerabat).”
Hubungan silaturahim ini adalah sebagai asas ke arah pembentukan keluarga cemerlang dan bahagia. Melalui hubungan ini keluarga dapat dieratkan dan jangan ada di antaranya yang cuba melakukan perbuatan yang boleh menyinggung ahli keluarga lain.
Selain itu, umat Islam digalakkan berbuat baik kepada jiran yang juga diwajibkan dalam Islam. Jiran yang lebih hampir dengan rumah kita adalah lebih penting kepada kita terutama jika kita mengalami kesusahan dan sakit. Hanya jiran yang paling dekat dapat membantu kita dengan segera.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah berbuat baik kepada jirannya.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, jika kita mengadakan rumah terbuka, dan mengadakan jamuan, atau kenduri kendara, jangan lupa mengutamakan jiran dan keluarga serta saudara-mara kita terlebih dulu, selepas itu barulah sahabat handai, dan lain-lain.
Ini juga akan menjalinkan kasih sayang antara ummah terutama pada hari raya atau rumah terbuka yang sering diadakan di bandar dan desa. Hubungan yang baik ini juga akan mengukuhkan ketakwaan, kemesraan dan menjalin hubungan yang baik sesama Muslim.
Apa yang lebih penting, bukan hanya jamuan yang dihidangkan. Tetapi jalinan kemesraan, ukhuwah dan persaudaraan dapat dikukuhkan. Dengan jalinan ini, akan mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.
wallahu'alam..
0 leave ur comment here:
Post a Comment